Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 59

Sudah masuk enam bulan dan kini, Mat sibuk dengan tugasnya di kilang yang terletak di dalam daerah Shah Alam. Along memang tak boleh dipercayai. Segala yang along katakan dusta belaka. Gaji pokok di kilang hanya sekitar RM 600. Along kata boleh dapat beribu, tapi along tipu. Gaji yang diterima tak setimpal dengan kerja yang dilakukan.

Lebih menyakitkan hati, pendapatan yang diperolehi lebih rendah daripada yang sebelumnya, selepas ditolak sewa asrama dan komisyen pada agent. Dulu along kata, biasalah mula-mula, nanti dah lama-lama, naiklah. Kerja kontrak di bahagian pembersihan dan kebanyakan pekerja di bahagian itu adalah warga asing.  

Dia mula rasa geram. Duit simpanannya semakin berkurangan dan susut! Bukan hanya dihabiskan oleh dirinya sendiri, tapi, sebahagian besarnya dikebas oleh along. Mat semakin rasa tertekan. Nak mengadu, tapi along dah pesan jangan. Fikirannya bercelaru. Dia perlu segera bertemu Azrie kerana hanya Azrie yang dapat membantunya. Dia perlukan ‘ubat’ yang dapat menenangkan kekusutan yang melanda fikiran dan tanpa membuang masa, Azrie dihubungi.

 

Kepulangan Mat disambut ceria, namun mak sedikit sedih melihatkan perubahan yang berlaku padanya. Muka anaknya itu cengkung dan badannya juga dilihat sudah amat kurus berbanding sebelumnya.

“Assalammualaikum mak…” serunya saat terpandangkan mak yang ada di depan tangga.

“Waalaikumussalam…dah sampai dah? Cepatnya Mat sampai!” balas mak, terkejut dalam gembira sebelum kedua-duanya berbalas dakapan.

“Susah ke kerja kat sana Mat? Mak tengok Mat dah kurus sangat. Mat jimat duit sampai tak makan?” soal mak prihatin. Baru beberapa bulan, tapi Mat dah banyak berubah. Mata mak tak dapat lekang daripada memandang wajah Mat yang…layu.  

“Mestilah makan, mak ni.”

“Mak masak apa hari ni? Mat laparlah. Tadi tak sempat makan, awal-awal dah gerak ke station komuter. Nak cepat sampai kat Pekeliling. Cepat dapat tiket, cepatlah dapat balik.” tuturnya sambil tersenyum.

“Jom jom, jom naik! Mak ada masak gulai kari ayam dengan kentang yang Mat suka. Tadi mak ada asingkan dulu untuk Mat bila tahu Mat nak balik.” balas mak sambil bergegas menaiki tangga dan Mat turut menyertainya.

Mak sibuk bercerita itu dan ini, tapi Mat seperti tak memberikan perhatian. Fikirannya melayang. Dia teringatkan perbuatan along padanya. Mat sudah berkira-kira mahu memberitahu mak tentang perangai along yang tak pernah nak berubah.

Rupa-rupanya niat along hanya untuk mempergunakannya bila sesak. Bila tak ada duit, dialah tempat along mengorek. Mak pandang wajah Mat bila sedar yang Mat seperti tidak memberikan reaksi pada butir bicaranya.

“Kenapa? Mat ada masalah ke?” duga mak. Dia tahu ada sesuatu yang Mat sorokkan daripadanya. Mat memberanikan diri untuk berterus terang kali ini, tak sanggup menanggung sendiri lagi. Perbuatan along perlu didedahkan supaya dia menjadi sedar nanti.

“Mat, kenapa? Ceritalah dengan mak. Apa bendanya?” soal mak sekali lagi. Kali ini lebih serius, semakin pasti yang Mat sedang dalam kegusaran.

“Along makkk…along!”

“Betul cakap abah! Along memang takkan pernah berubah…” tutur Mat perlahan sebelum tertunduk dan serentak dengan itu juga mak terdiam, tak menyangka.

“Apa maksud Mat? Apa yang along dah buat pada Mat?” soal mak untuk mengetahui segala-galanya.  

“Mak tahu, rupa-rupanya selama ni along bohong. Kata je gaji beribu, tapi sebenarnya along tipu!”

“Gaji pokok Mat cuma 600, lepas tambah ot pun, tak sampai 900 sebulan. Itu belum tolak sewa hostel, bil air, letrik lagi. Baki yang ada sikit tinggal tu pun, along nak paw, sampai Mat nak simpan pun dah tak dapat.”

“Bulan-bulan asyik kena korek tabung. Duit simpanan Mat dulupun dah nak licin. Habis along pinjam. Kata nak beli susu anaklah, kereta rosaklah, itulah, inilah. Dulu iyalah, masa belajar, tapi sekarang dah kerjapun, takkan masih nak mintak lagi dengan Mat!”

“Janjinya pinjam, tapi sekalipun tak pernah berbayar. Mat tak tahu nak buat apa lagi. Mat dah bosan mak…” tuturnya perlahan. Dia hanya mahu menyatakan kekesalan, bukannya memulakan pergaduhan kerana dirinya sudah jadi makin tertekan dan tak termampu lagi menanggung bebanan.

“Kenapa Mat tak bagitahu mak awal-awal yang along ada minta duit? Kenapa nak kena tunggu dah teruk sampai macam ni, baru nak bagitahu mak!” balas mak, sesal. Tak sangka yang along masih dengan tabiat lamanya.

“Bukannya Mat taknak bagitahu. Dia dah pesan supaya rahsiakan semuanya daripada mak dan abah. Mat takut along marah…” tutur Mat lagi, membela diri.

Mak betul-betul menyesal kerana mengamanahkan Mat pada along. Sekarang baru mak sedar yang along memang tak pernah nak berubah. Harapkan pagar, tapi...pagar dah memakan padi.

“Kalau macam tu, berhenti jelah, lepastu, balik ke kampung. Kerja semula dengan mamak. Nanti mak tanyakan pada mamak.” tutur mak, mencadangkan.

“Hmm, ok, tapi, mak jangan cakap dengan along apa yang Mat beritahu, sebab nanti along mesti marahkan Mat. Abah pun sama.” pesannya, tak mahu menimbulkan kekecohan dalam keluarga.

“Kalau abah tahu, mesti bertambah marah abah pada along. Mat taknak keluarga kita berpecah-belah lagi mak…” tambahnya sayu dan serentak itu mak mengangguk. Mat lega. Derita yang selama ini terpaksa ditanggung sendiri, akhirnya kini sudah dapat dikongsi.

“Tapi, Mat kena balik semula esok. Kenalah bagitahu yang Mat nak berhenti, nak ambik barang-barang lagi. Lagipun kerja bulan ni dah tinggal seminggu je lagi. Mat ingat nak kerja sampai dapat gaji, lepastu nanti barulah Mat berhenti.”

“Tak elok pula rasanya lari macam tu je. Lagipun supervaisor tu kawan along. Nanti apa pulak kata dia.” tutur Mat, memberitahu perancangan.

“Iyalah, kalau Mat dah cakap macam tu. Nanti Mat balik, lepastu, Mat beritahu yang Mat nak berhenti. Dah berhenti nanti, terus balik ke sini. Tinggal dengan mak dan abah macam dulu.” balas mak dalam usaha meleraikan kekusutan yang telah berlaku.

“Terima kasih mak.” balas Mat dengan senyuman berteman lesung pipit di pipi yang jelas kelihatan, walaupun sudah tidak seperti kebiasaan.

 

“Awak pesan dengan along! Jangan pulak tak dibayar pinjaman pendidikan yang dia dah dapat tu.”

“Tu, surat lawyer hari tu mana? Mana awak letak?” tutur abah yang sedang duduk berlunjur sambil mengabiskan hobi masa lapangnya, menelaah.

“Ada atas meja tu…” jawap mak perlahan, tak mahu memanjangkan topik berkaitan, tapi abah terus juga dengan ‘syarahan’.

“Dah bertahun-tahun, tetap juga tak dapat nak dilangsaikan. Kemana pergi gaji dia? Ha, iyalah, habis dek memberi lantak anak-beranak bapak mertua dia tu! Sampai hutang yang sikit macam tu pun tak termampu nak dibayar.”

“Tahu awak berapa banyak gaji dia? Tahu awak? 4-5 ribu sebulan, dah? Kemana habisnya? Itu belum masuk bonus lagi, setahun sampai 6 bulan. Setakat hutang 3 ribu tu, sepatutnya pejam mata je boleh dibayar!” gerutu abah lagi, melepaskan kekecewaan dan mak hanya mampu menadah telinga mendengar leteran.

“Iyalah, nanti saya pesan pada dia.” jawap mak cuba menjernihkan keadaan.

“Jangan pulak sampai ditunggu dapat surat merah. Kalau dah sampai surat merah, mengamoklah Nora tu nanti!” jawap abah tegas, membuatkan mak terus mengeras.  

 

“Ini you punya.” tutur Robert selesai menghitung jumlah baki wang yang ada di dalam akaun bank along selesai ditolak ‘pokok’ dan ‘bunganya’. Along segera menyambutnya, tak ubah macam pak turut.

“Boss…” tutur along, sebelum dia mati kata-kata.

“Kenapa? Tak cukup? You mau pakai duit lebih lagi? Boleh-boleh, tapi, kena pinjam baru. You punya kad bank I pegang sampai you punya hutang habis.”

“You mau pakai berapa?” soalnya pula, membuatkan along mula tergoda dengan tawaran yang baru diterima. 

Previous: Bab 58
Next: Bab 60

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.