Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 98a

Safi tekun memerhatikan angah yang masih menyandarkan belakang, belum mahu melelapkan mata. Wajah angah yang jelas masih terkilan ditatap sejenak sebelum dia menghela nafas dalam kerana mereka berkongsi kekecewaan yang sama. Fizah, Cen dan Imah, tak sempat bersua dengan mak seperti mana yang diharap-harapkan.

“Angah tak nak tidur lagi? Tak mengantuk? Dah lewat dah ni.”

“Angah tidur. Jom kita tidur.” tutur Safi sebelum mengemaskan selimut yang sudah hampir terjatuh.

“Hmm.” balas angah sambil mengangguk perlahan.

 

Suasana bilik yang separa gelap membolehkan Safi terus memerhatikan angah. Entahlah kenapa. Hari ni dia betul-betul rasa kecewa. Dia kecewa pada dirinya. Kecewa bila dirasakan dia tidak mampu untuk membuat angah tersenyum, dan dia sangat bencikan keadaan itu. Keadaan di mana dia rasa macam, tak berguna!

Sambil bermuhasabah, dia sempat memanjatkan doa agar angah mendapat penyembuhan daripada penyakit yang sedang dihadapinya.

“Angah…” bisiknya, tak mampu nak meluahkan perasaan. Selebihnya dia tahu, yang dia perlu kelihatan tenang menghadapi dugaan. Dia perlu nampak kuat, supaya angah juga akan jadi kuat. Namun, hibanya datang juga.

“Angahhh…” tuturnya, kekal perlahan sambil berusaha sedaya-upaya untuk menahan air mata yang jatuh tak terbilang jumlahnya. Sepantas ia gugur, sepantas itu juga dia menyekanya.

“Safi!”

“Sa, Sa, Safi!” seru angah tersekat-sekat mambuatkan Safi segera datang mendekat.

“Angah? Angah!”

“Angahhh!!!” tuturnya setelah memeriksa, tak menyangka yang angah terkena serangan sawan buat kali yang kedua. Mata dan tangan angah sudah kekejangan dan sepantas kilat dia keluar untuk mendapatkan bantuan.

“Allah…tolong angah….” bisiknya tanpa henti, berteman air mata yang belum mahu berhenti.

 

Fizah, Cen dan Imah datang melawat angah. Hari pertama dan kedua, berlalu begitu sahaja bila angah dilihat masih kekal serupa, sepi dan tekun mengistirehatkan dirinya.

“Angah tak sedar lagi?” soalnya pada Safi yang setia menanti.

“Tak.” balas Safi sambil menggeleng lemah selesai menyalami ketiga-tiganya.

“Safi, kalau Safi nak balik rumah rehat, Safi pergilah. Biar kami pulak yang jaga.” tutur Fizah, mencadangkan, namun Safi masih teragak-agak lagi.

“Safi balik dulu. Pergi bersihkan diri. InsyaAllah, takkan ada apa-apa.”

“Safi balik, rehat. Kalau Safi nak tidur, Safi tidur dulu. Safi jangan risau, kami ada.” tambahnya lagi, membuatkan Safi sedikit tergerak hati.

“Mak cik…” sapa Fizah, Cen dan Imah saat terpandangkan mak yang baru keluar daripada bilik air.

“Dah ada kalian. Bila sampai?” soal mak pula.

“Baru mak cik. Baru lagi sampai.”

“Cepat Fizah sampai sini. Pukul berapa bertolak daripada rumah?”

“Fizah tidur rumah Kak Cen semalam. Tak jadi balik ke Seremban. Lagipun kan hari ni hari cuti.” balas Fizah sebelum bertindak mendekati dan menyalami tangan mak.

“Mak cik baliklah rehat dulu, biar kami pulak yang tunggu.”

“Safi bawak mak balik, segarkan badan. Sementara kami ada dekat sini, mak cik rehatlah.” tutur Imah memberi sedikit buah fikiran, selebihnya dia sedar betapa mencabarnya tugas-tugas penjagaan di wad. Menanti tanpa ada kepastian tentang apa yang bakal terjadi kerana proses rawatan boleh berubah dengan serta-merta bergantung pada keadaan semasa pesakitnya.

“Betul tu mak cik. Mak cik baliklah dulu. Balik rehat, mandi. Nanti kalau dah selesai, mak cik datanglah semula.” tutur Cen pula, berusaha memujuk kedua-duanya.

“Safi…” tutur Fizah, namun sudah cukup untuk membuatkan Safi mengerti.

“Hmm. Mak, jomlah kita balik dulu.”

“InsyaAllah, tak ada apa-apalah. Nanti lepas mandi, tukar baju, kita datang semula.” tutur Safi memujuk mak yang dilihat masih lagi ‘liat’. Belum bersedia mahu meninggalkan angah sendirian di situ.

“Mak…” tambahnya sebelum mata mereka bertemu.

“Kita balik.” ulang Safi lagi, dan kali ini, mak segera menerima.

 

“Kenapa mak boleh datang lambat sangat hari tu?” soal Safi pada mak yang sedang duduk di sebelahnya, mencari jawapan pada persoalan yang sudah berhari-hari dibiarkan.

“Along tu la! Dia yang beriya-iya nak bawak mak pergi jumpa tukang urut.”

“Mak dah kata mak tak nak, tapi dia tetap berkeras mengajak. Katanya nak buat tengokkan lutut mak ni.”

“Masa dia datang jemput, mak ingat dia nak bawak mak terus ke hospital jumpa angah, tapi rupa-rupanya, sedar-sedar dah sampai rumah dia. Dahtu mak nak buat macam mana?” balas mak menjelaskan keadaan.

“Mak tahu tak, dah lama sangat angah tu nak jumpa dengan mak. Hari-hari bertanya dengan Safi, bilanya mak nak datang, hari-hari mengulang. Tapi, tak sangkalah, bila mak datang, macam ni pulak yang jadi.”

“Along ni memang…” tuturnya berteman amarah yang masih ada.  

 

Masuk hari ke tiga dan penantian mereka berakhir juga, bila kesan ubat penenang dah mula beransur hilang.

“Angah…” panggil mak pada angah yang sudah boleh membuka mata.

“Hmm…” balasnya perlahan sambil cuba menelan, namun tekak yang kekeringan menyukarkan keadaan.

“Angah nak minum?” soal Safi setelah berjaya membacanya.

“Nak.” tutur angah sambil mengangguk dengan mata yang sekejap terbuka dan sekejap ditutup, belum betul-betul mampu mendapatkan dirinya. Segera Safi menghulurkan air yang sudah sedia berada di tangan beserta dengan penyedutnya.

“Angah tahu tak, dah berapa lama angah tidur?” soal Safi tak berapa lama kemudian.

“Tak. Dah berapa lama angah tidur?” soalnya pula.

“Dah tiga hari, dah tiga hari dah.”

“Tiga hari?”

“Tapi angah rasa baru lagi.” jawap angah berserta senyuman membuatkan mak dan Safi terubat kedukaan.

 

“Assalammualaikum…”

“Dah sedar dah?!”

“Alhamdulillah…Has. Kau dah sedar.” tutur Fizah yang baru tiba.

“Hmm. Dah sedar dah aku...”

“Kau tak kerja ke hari ni?” soal angah pula berteman senyuman, membuatkan hati Fizah dipenuhi kelegaan.

“Kerja, tapi hari ni aku kerja separuh hari. Yang separuh lagi tu aku nak habiskan dekat sini.” balasnya sebelum mengucup ubun-ubun dan pipi angah yang luas terbuka, sahabat terkarib yang dia punya.

“Banyak habis cuti kau untuk aku…”

“Aku ni dah banyak susahkan kau…”

“Dah banyak sangat…”

“Banyak sangat, aku terhutang budi pada kau Fizah.”

“Has, kenapa cakap macam tu?”

“Selama ni, aku, sebenarnya aku yang dah banyak terhutang budi pada kau. Aku yang selalu susahkan kau. Buat kau dengar semua masalah aku. Kau sahabat aku Has, sahabat aku dunia akhirat.” pintas Fizah.

“Betullah...”

“Kau dah banyak tolong aku. Terima kasih tau. Terima kasih…” balas angah pula sambil membalas genggaman yang dirasakan di tangan, sedang mata masih lagi tak berjaya sepenuhnya difokuskan akibat kesan ubat penenang yang masih banyak bersisa.

“Has, bukan kau, tapi aku.”

“Aku yang sepatutnya ucap terima kasih pada kau. Terima kasih Has…terima kasih.”

“Terima kasih sebab sedar…” jawapan terakhir hanya mampu dibisik. Safi yang memerhati gelagat kedua-duanya sejak awal lagi betul-betul rasa dirahmati.

 

“Korang dah makan ke belum?”

“Kalau belum, pergilah makan.”

“Ni dah pukul berapa dah ni.” arah angah pada Fizah, Cen dan Imah yang masih menemaninya, selesai perbualan panjang tentang kisah-kisah lampau. Cerita-cerita lama, terutamanya pengalaman mengembara bersama ke seluruh pelusuk negara, juga negara jiran-jiran tetangga. Semua mengambil bahagian, mengulang acara dengan gembiranya.

“A’ah la. Dah pukul berapa dah. Punyalah seronok bersembang, sampai dah lupakan hari.”

“Kami turun sekejap ya Has. Nak makan dulu. Kejap lagi kami datang balik. Ada apa-apa nak pesan tak?” soal Fizah baru menyedari akan perut yang belum diisi.

“Hmm…”

“Aku nak pepsi! Belikan aku pepsi ya!” balas angah kekal dengan senyumannya.

“Ok. Mak cik? Safi? Ada apa-apa nak pesan?” soalnya pula.

“Tak ada.”

“Ingat ya…”

“...jangan lupa pepsi aku...” pesan angah semula dengan gembiranya membuatkan semua yang mendengar ketawa.

 

Previous: Bab 97b
Next: Bab 98b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.