Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 19b

Daun-daun yang berguguran disapu sebelum dikumpulkan di kawasan longgokan, tempat kebiasaan kerja-kerja pelupusan.

“Dah padat sangat daunnya, kalau ada apa-apa takut budak-budak tak nampak.” bisiknya sendiri. Sambil menyapu mak menyeka keringat yang mula terbit di dahi sebelum dia didatangi trio terkecilnya itu. Safi, Man dan Ina yang baru tiba, tak akan melepaskan peluang untuk bermain dengan asap, salah satu aktiviti yang ada di dalam jadual permainan petang mereka.

“Mak tak nak bakar lagi ke daun ni?” soal Man sambil menanti.

“Mana siap lagi, kan baru sikit tu.” balas mak, masih mengumpulkan daun-daun yang ada agak jauh daripada longgokan.

“Tolong mak angkat sampah ni ke sana.” arah mak minta bantuan dan tanpa berlengah bantuan segera dihulurkan. Selesai melonggok, mak hidupkan api dan itulah situasi yang paling dinanti-nanti. Safi, Man dan Ina cepat-cepat duduk mencangkung menyaksikan acara yang menjadi kegemaran semua. Mak lubangkan sisi longgokan sebelum menyembur sedikit minyak tanah pada sebahagian daun lalu dihidupkan. Bila api dah menyala, mak tutup lubang dengan baki daun, betul-betul berkesan.

Bila api dah makin besar dan asap makin banyak, mulalah mereka berjalan meredah asap yang memutih sebelum bermain kejar-kejar sesama sendiri.

“Ish, budak-budak ni! Berapa kali mak pesan, jangan main api, kencing malam kalian nanti.” tegurnya, tapi tak berguna kerana anak-anaknya itu sudah terlalu suka, serentak dia menggeleng-gelengkan kepala, dah tak boleh buat apa. Selesai di situ mak bergerak pula ke depan rumah untuk membuat longgokan yang seterusnya.

“Jom kita lawan! Siapa yang tahan paling lama dia menang.” cabar Man pada Safi.

“Ok, kita tengok siapa yang paling hebat.” balas Safi segera menyahut cabaran.

“Ina, Ina pun nak main.” sampuk Ina, menyibuk.

“Kalau macam tu, Ina pergi dulu. Lepastu Man, lepastu baru Safi. Nanti Safi kira, siapa yang paling lama dia menang.” tutur Safi menyusun giliran sambil mengaru-garu dada yang terbuka, tak berbaju. Pinggang seluar pendek hijau bekas kepunyaan Usop itu di digulung tinggi, untuk mengetatkannya lagi.

“Cepatlah! Ina pergi dulu.” arahnya pada Ina yang masih menunggu sebelum dituruti oleh adiknya itu.

“1..2..3..4..5..” belumpun sempat enam Ina dah mengaku kalah. Cepat-cepat dia berlari ke arah yang tak berasap, dah tak tahan mengidap.

“Apalah Ina ni…belum sampai sepuluh pun dah tak tahan.” lekeh Man sebelum dia mengambil giliran.

“Safi cepat kira Man punya.” pintanya sebelum memasuki kawasan permainan.

“1..2..3..4..5..6..7..8..9..10..11..12..” hitung Safi tanpa henti sebelum Man akhirnya mengaku kalah juga.

“Ohok! Ohok ohok!…” Man terbatuk-batuk dah tak tahan dengan serangan asap berkenaan.

“Man punya 12, Ina tadi 5, maksudnya Safi hanya perlu tahan sampai 13 untuk menang. Ok beres, kacang je tu.” tutur Safi sambil tersenyum, yakin dengan kemenangan yang bakal diperolehi.

“Sekejap, tunggu Man tambah minyak dulu, sebab asap dia dah tak banyak.” tutur Man sebelum mencapai botol plastik mineral yang berisi dengan minyak tanah dan menyemburkannya ke arah longgokan berkenaan.

“Man ja…” belumpun sempat Safi menghalang Man dah melakukan.

“Booom!!!” bunyi letupan akibat sambaran api pada jaluran minyak kuat kedengaran membuatkan Man terduduk kerana terkejut, tak menyangka keadaan seperti itu boleh berlaku. Bau rambut yang hangit terbakar dapat dihidu sampai jauh sebatu. Mujurlah dia sempat mengelak, kalau tak, mukanya pasti telah disambar gelombang api yang terhasil. Cepat-cepat Safi pergi memeriksa sebelum dia ketawa sambil disertai Man yang sama-sama terhibur dengan aksinya.

“Hikhikhik…” gelak mereka perlahan, dah tak mampu nak menahan.

“Bunyi apa tu?” soal mak, terkejut dengan apa yang baru didengari. Abah yang sedang berbaring di tengah pintu juga segera bingkas daripada lunjurannya.

“Apa tu?!!” soal abah keras, tak suka rehatnya diganggu.

“Man sembur minyak pada api.” adu Ina sebelum terkebil-kebil sendiri.

“Ina ni!..” marah Safi dan Man serentak, tak bersedia mahu dileteri.

“Main minyak api lagi? Berapa kali dah cakap, jangan main minyak api tu! Nanti bila nak diguna mulalah tak ada!” marah abah sambil membetul-betulkan lipatan bantalnya kasar.

“Hei, budak-budak ni! Bukannya tahu nak menambah, kerjanya asyik nak menghabiskan je! Dah! Naik!” arah abah lagi membuatkan Safi, Man dan Ina menjeruk rasa sendiri.

“Ini semua sebab Ina!” gerutu Man perlahan sambil menjeling ke arah Ina yang mula menunjukkan muka mengada, ialah, sebab bukannya dia yang kena. Mak yang melihat hanya mampu memandang sahaja sebelum menyambung semula urusannya.

 

Ateh meraba-raba bahagian belakang yang rasa sejuk dan kebasahan, sebelum dia mencium tangan yang sudah dibawa ke hadapan. Riak wajahnya segera berubah marah bila mengetahui apa yang baru ditemui.

“Hish! Siapa yang kencing ni?” tuturnya marah sampai muka putihnya dah bertukar merah, mengejutkan Safi, Man dan Ina yang masih tidur di dalam barisan. Sambil terduduk, mereka menggaru-garu kepala, tak percaya pada apa yang baru didengarinya.

“Siapa yang kencing malam lagi ni? Man ke lagi?” soalnya tak puas hati sambil memuncungkan bibirnya tinggi, betul-betul benci, kerana dia dikencing lagi. Man segera bangun dan memeriksa seluarnya sebelum dia menundukkan kepala, tak sangka, memang dialah puncanya.

“Ha, betullah tu kan? Man lagi! Lagi-lagi Man! Itulah sebabnya, orang kata, sebelum tidur, pergi kencing dulu. Ni tak, degil sangat!”

“Betul-betul menyusahkan orang!” rungut ateh tanpa henti, membuatkan adik-adiknya jadi makin sunyi, sampai dah tak ada yang berani bertentang mata lagi. Man terutamanya, dah mula mencebik bila dah ada rasa macam nak menangis.

“Kenapa tu?” soal mak yang sedang menyiapkan sarapan pagi di dapur, terkejut dengan keriuhan yang dihasilkan pada waktu awal pagi sebegini.

“Man ni mak, dia kencing lagi! Habis baju ateh basah!” adunya sebelum bangkit dan mencapai tuala kelabu kepunyaannya itu. Dah malas nak berlama-lama kerana fajar dah mula naik tinggi.

“Tengok, sebab kalian ateh dah kena mandi pagi-pagi ni! Betul-betul tak habis-habis nak menyusahkan orang!”

“Lepas ni ateh dah tak nak tidur sekali dengan kalian lagi.” marahnya lagi sebelum berlalu pergi meninggalkan Safi, Man dan Ina yang masih terpandang-pandang sesama sendiri, namun tak lama, sebelum mereka akhirnya mula ketawa.

“Hikhikhik…, Man kencing tempat tidur lagi..apalah…umur je dah banyak, tapi macam budak-budak.” ejek Safi membuatkan Man mematikan senyuman yang terbit awalnya.

“Hihihi…” kekeh Ina pula, dah tak tahan dengan lawak yang Man lakukan.

“Dah dah dah! Apa lagi tu? Sudah, bangun mandi. Lepastu tukar baju, gatal badan tu nanti.” arah mak sebelum mencurahkan tepung gandum yang telah diadun sebati bersama gula merah dan santan bagi menghasilkan kuih talam untuk juadah makan pagi keluarga. Selesai di dapur dia kedepan untuk menjengah.

“Kenapa duduk lagi kat situ, dah bangun. Pergi ikut ateh mandi, biar mak bersihkan.”

“Itulah…kan mak dah cakap semalam, jangan main api, nanti kencing lagi. Ha, kan dah jadi.” tambah mak menegaskan apa yang terjadi membuatkan Man terkebil-kebil sendiri.

“Dahlah, pergi sungai mandi.” arahnya semula, tapi Safi, Man dan Ina masih kekal di situ.

“Takut ateh marah?” duga mak seperti dapat membaca keadaan. Serentak anak-anaknya itu mengangguk mengiyakan.

“Takpa, kalau macam tu bangun, tunggu mak kat dapur, sekejap lagi dah siap masak, kita pergi mandi.” tambah mak memberikan jalan penyelesaian. Safi nampak mak kumpulkan semua selimut dan longgokkannya atas mata tangga. Selesai melonggok mak bergegas pula ke dapur dan mencapai kain batik lusuh yang ada tergantung di kayu alang, tempat lalu-lalang sebelum mak membasuhkannya dengan air. Sesudah dibasuh mak bergerak semula ke ruang depan untuk membersihkan onar yang mereka lakukan. Ketekunan yang dipamer mak membuatkannya sedar, betapa susahnya menjadi seorang…mak.

 

Mak menghitung sekali lagi jumlah ayam yang ada di dalam tong berkenaan sebelum dia pasti seperti ada yang tak kena dengan jumlahnya dan demi untuk kepastian, sekali lagi dia memulakan hitungan.

“Ke mana pulak pergi hilangnya ayam ni? Bukan ke sepatutnya ada sembilan, tapi kenapa dah tinggal lapan?” bisiknya pada diri sendiri kerana di betul-betul pasti dengan apa yang disangsi dan tanpa menunggu lama, mak segera meronda.

Daripada situ mak berjalan melewati gerai Hamid, terus ke pintu belakang pasar dan alangkah terkejutnya rasa hati bila terpandangkan seekor ayam yang sedang terdampar sambil terangkat kedua-dua belah kaki, tak jauh dari kawasan longgokan sampah yang ada di situ.

“Ya-Allah…kerja siapa ni?” soal mak bertemankan rasa hiba di hati lalu bergegas mendapatkan ayam yang terdampar sendiri. Jawapannya nyata, bila mak dapat lihat Seman, adik kandung Hamid sedang ketawa bersama-sama dengan Ali dengan jelingan yang sesekali diarahkan kepadanya tanda suka dan gembira.

Previous: Bab 19a
Next: Bab 20a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.