Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 51

Safi menapak laju menuju ke rumah dan daripada jauh dia seperti sudah ternampak basikal abah yang dipakir di tengah laman. Segera dia menarik nafas lega, kerana mujurlah abah ada, jadi, pastilah adik-adiknya itu takkan pergi ke mana.

“Dah balik?” kedengaran suara abah yang menegur daripada arah rimbunan batang koko, serentak Safi tercari-cari arah datangnya suara itu. Abah sedang sibuk mengait buah koko yang sudah banyak ranum bergayutan. Sebahagiannya sudah dimakan tupai, meningalkan sisa-sisa yang terdampar di atas tanah. Safi nampak abah terbongkok-bongkok demi mengutip baki-baki biji yang masih elok parasnya.

“Ha, dah. Man dengan Ina mana?”

“Ada dekat atas rumah. Tengok tv agaknya. Keputusan macam mana?” soal abah yang sudah menghentikan kerjanya. Kerengga yang menggigit di lengan dikibas dengan baju sebelum peluh yang menitis si segenap ruang badan disapukan. Safi terus menghampiri abah yang jelas kelihatan kepenatan lalu slip keputusan yang ada di di tangan dihulurkan.

“Berapa? Lulus?”

“Keciknya tulisan. Abah tak pakai cermin mata ni.” ucapnya sebelum berusaha meneliti kertas di tangan dan dia nampak seperti tidak percaya selesai mengetahuinya.

“Semua dapat A? Mak dah tahu ke belum?” soal abah yang sudah tersenyum sebelum mengembalikan kertas berkenaan.

“Dah. Tadi Safi ada singgah kat pasar. Safi dah bagitahu mak.” balasnya.

“Hmm, eloklah tu. Pargilah naik. Tengokkan adik-adik. Bukannya boleh percaya sangat budak berdua tu. Pantang lepa, entah apa pulak yang dibuatnya nanti. Tadi Abah ada belikan roti canai. Pergi makan.” arah abah pula.

“Hmm.” balas Safi sebelum melangkah pulang.

Abah menghantar pergi kelibat Safi sampai ke laman rumah. Dia bangga. Anak-anaknya terang hati dan mudah memahami apa yang dipelajari. Setidak-tidaknya adalah juga berita gembira dalam keluarga mengganti duka yang sengaja anak sulungnya tempa.

“Memang tak tahu mengenang jasa orang tua!” gerutu abah setiap kali mengingatinya sebelum dia mengeluh melempiaskan kekecewaan.

“Biarlah apa pun nak jadi, dah malas nak ambil tahu.” tambahnya sebelum mencapai batang rokok yang ada diselitkan di dahan pokok.

Along tak pernah menjengah mereka sejak peristiwa itu dan mereka sekeluarga sudah mula biasa dengan ketiadaannya. Abah pasrah. Dia tahu, semua itu mungkin balasan Allah atas kesilapan dirinya sendiri. Dia sedar yang dia tidak sebaik mana. Serentak, kenangan pahit di zaman remajanya menjelma lagi. Cepat-cepat abah melenyapkannya, tak mahu dikenang kerana makin dikenang, makin menyesakkan pemikiran. Sabit yang ada tersandar di batang koko segera dicapai, sebelum dia beralih pula ke arah pokok yang seterusnya.

 

Bertalu-talu ucapan tahniah diterima daripada angah dan ateh yang tinggal di perantauan. Safi rasa gembira, lawak pun ada. Tak pernah kakaknya melayannya seperti itu. Angah biasalah, sentiasa dengan sikap machonya. Tak pernah menunjukkan perasaan yang berlebihan, hanya menjanjikan ganjaran yang bakal diberikan. Sepuluh ringgit untuk setiap A. Berbaloi-baloi! Tetapi, bukan itu yang dia mahukan sebenarnya. Cukup sekadar kejayaannya itu dapat menggembirakan kembali, kalau tak banyakpun, sedikit, hati-hati yang kecewa akibat onar yang along cipta.

Ateh macam biasalah, tak mahu kalah. Kalau angah bagi 10, dia nak bagi 20. Mentang-mentanglah dah dapat pinjaman pelajaran, belanjanya tak ingat, sampai terlupa untuk berjimat. Sudah bertimbun-timbun hutang abah pada tokey, tak pernahnya nak luak, bertambah adalah. Sehingga dah tak boleh dibilang dengan jari. Kalau campur dengan jari kaki pun, masih banyak sangat lagi yang berbaki.

Along memang menghampakan. Belum pun sempat mak dan abah makan jasa, dia dah sibuk nak berjasa dengan orang lain. Tempoh hari, dia ada terdengar mak dan abah berbual-bual tentang hal along lagi, tapi, nasib baiklah masa tu mereka tak bertekak macam selalu. Safi tengok, mak dan abah seperti sudah dapat menenagkan hati masing-masing.

 

“Kata Kak Nab, hari Sabtu lepas, dia ada nampak along dengan mak mertuanya berbelanja di pekan sari. Sampai tak muat bakul katanya membeli.” ucap mak yang sedang mencabut uban abah daripada atas mata tangga and abah seperti biasa, berbaring di hadapannya.

“Dah tu, awak terasa hati ke?” duga abah pada mak.

“Mesabah la saya tak terasa bila dengar dia cerita macam tu. Susah payah kita besarkan dia, tapi orang lain yang makan hasil. Dah memang nasib kita agaknya kan?” balas mak. Sehelai demi sehelai uban di rambut suaminya itu dicabut dan dikumpulkan di tepi.

“Sabarlah. Esok lusa menyesal dia nanti. Kalau awak tak percaya, awak tandalah tempat saya duduk ni. Takpa kita tengokkan je.” tutur abah sebelum mengubah posisi badan ke arah yang bertentangan.

“Mananya?” soal mak pula.

“Apa?” balas abah yang sudah mengangkat muka menghadap ke arah mak.

“La, penandanyalah. Kan ke tadi awak yang suruh saya tanda.” jawap mak yang sudah ketawa.

“Ish! Awak ni!” bidas abah sebelum turut sama suka. Safi tersipu-sipu malu mendengar perbualan kedua-dua orang tuanya itu. Dia suka melihat mak dan abah berkeadaan begitu kerana terasa aman dunia. Man dan Ina yang sedang menonton telivisyen juga tak melepaskan peluang, tersenyum sumbing antara satu sama lain.

“Tadi masa saya beli ikan dekat Cina Panjang, dia ada cakap pasal budak bertuah tu jugak. Saja saya tak nak bagitahu awak.”

“Dia cerita apa?” soal mak ingin tahu.

“Dia kata bertuahlah kita ada anak macam Along tu. Setiap kali balik kampung, mesti singgah beli udang, ikan, sotong untuk kita makan.”

“Bukannya awak tak tahu untuk siapa semua tu sebenarnya kalau tak bagi melantak keluarga Zam Mara tu!” ucap abah berbaur geram.

“Ha ha dah! Tadi awak yang suruh saya sabar. Sekarang ni saya tengok awak pulak yang dah hilang sabar.”

“Biarkanlah dia. Kita dah besarkan dia dan beri pelajaran tertinggi yang kita termampu beri. Tanggungjawab kita dah lepas. Tanggungjawab dia, biarlah dia yang selesaikan.” jawap mak, tak mahu perbualan mencetuskan satu lagi siri perbalahan.

 

 Nyanyian cengkerik yang bergemersik masih mahu dinikmati, walaupun dia tahu malam sudah beralih ke pagi. Sambil membetulkan alas kepala, Safi mengiring dan menghadap Ina yang sudah lama terlena. Bunyi keruhan besar adiknya itu membuatkan dia menggeleng-gelengkan kepala.

“Hmm, seronok sangat main air tadi, sekarang barulah tidur macam barang kayu…” bisiknya sebelum cuba membetulkan kepala Ina yang sudah lari daripada bantal. Entahlah kenapa, hari ni, dia rasa susah nak tidur pula, tak lama sebelum dia mendapat puncanya. Serentak itu, dia terkenangkan apa yang berlaku di pasar siangnya.

 

“Haiya! Hari ni pun gantung juga?! Minggu ni sudah masuk dua kali woo! Husin mana?! Mana dia?!” bebel Ah Fatt pada mak. Duit di tangan dikira sekali lagi, tapi dia masih tak puas hati. Pantas tangannya membuka gubok duit di atas meja dan beberapa note RM 10 diambil lagi, kerana jumlah yang diberi masih tak mencukupi. Tercampak semangat mak dibuatnya, tak menyangka bila modal untuk membeli ikan esok sudah tiada. Muka masam tokey di hadapan dipandang sekilas, namun dia tak boleh nak buat apa kerana memang begitulah keadaannya setiap kali.

“Dia tak ada tokey. Tak sampai lagi.” balas mak takut-takut. Berdebar-debar rasa hati tadkala melihat muka bengis Ah Fatt itu. Masam mengalahkan cuka. Sekali lagi wang di tangannya dihitung dengan kasar.

“Kalau ini macam, sampai you punya anak cucu pun belum tentu dapat bayar ini hutang!” katanya, sebelum meninggalkan mak. Mak tunduk bertemankan airmata yang bergenangan. Safi yang daripada tadi menyembunyikan diri di sebalik dinding pasar tak mampu untuk berbuat apa. Ingin dibelanya mak, tapi, dia tak mampu. Dia tak berdaya. Safi kesiankan mak kerana mak selalu jadi tempat Ah Fatt melepaskan geram.

“Dengan abah tak berani pulak banyak cakap! Mentang-mentanglah mak perempuan! Senang-senang je nak buli orang!”

“Memang dasar hati kutu!” bisiknya dengan hati bergerutu. Seketika kemudian, perlahan-lahan dia berdiri dan menjenguk daripada belakang dinding bagi memastikan keadaan yang paling sesuai untuknya memunculkan diri.

“Cak!” sergahnya, selesai membuat pemerhatian, mahu mengejutkan mak, juga untuk menghiburkan hati bondanya yang tersayang.  

“Hish Safi ni! Terkejut orang! Buat apa dekat belakang tu?” balas mak yang sudah berjaya menyembunyikan kedukaan.

“Bila Safi sampai? Mak tak nampak pun tadi.” bebelnya kerana kebiasan, dia sudah dapat melihat seandainya ada yang menuju ke pasar. Kawasan perkarangan pasar yang luas terbentang memudahkan penglihatan.

“Baru je sampai.”

“Dah kenapa awal sangat Ah Fatt tu datang hari ni? Hari kan baru pukul berapa? Abah mana? Ha, tengok, abah pun tak sampai lagi.” tutur Safi, tak mahu mak curiga.

“Abah balik. Ganti Mat tunggu Man dengan Ina.”

“Macam mana keputusan? Lulus?” soal mak pula, beriya-iya ingin tahu, dan Safi hanya mengembangkan lima batang jarinya ke arah mak.

“Janganlah main-main. Bagi sini, biar mak tengok sendiri.” tambah mak lagi, tak rela diakali.

“Orang cakap tak nak percaya. Nah tengoklah sendiri.” serentak slip keputusan dihulurkan pada mak yang sedang menadah menanti.

Satu demi satu subjek diteliti, lalu mak tersenyum dan memandang ke arah Safi. Safi mengelip-ngelipkan matanya berulang-ulang kali sebelum keduanya ketawa geli hati.

“Nanti Safi nak makan apa? Cakap je, niar mak masakkan.”

“Safi suka makan satey kan? Takpa, malam ni mak buatkan nak?” cadang mak, demi meraikan kejayaan.

“Tak payahlah mak, takpayah. Kita buat minggu depan je lah. Lagipun angah dengan ateh kan nak balik minggu depan. Ramai-ramai baru syok.”

“Mak, Safi tak boleh lama ni sebab Rita dengan Katy ada tunggu dekat kedai depan tu. Katanya nak balik sama-sama. Nanti Safi suruh abah datang ya. Hari ni nak masak apa? Mana lauknya?” pinta Safi pula bila kerja-kerja memasak di rumah sudah diturunkan padanya dan sejak ateh pergi belajar, dialah yang menguruskan dapur sepenuhnya.

Mula-mula tu memanglah tak sesedap yang mak masak, tapi benarlah kata orang, alah bisa, tegal biasa. Lama-lama nanti pandai juga sebab masak tak ubah macam buat experimen dan percubaan diperlukan untuk membuahkan kejayaan.

“Takpa, biarlah mak yang bawak balik nanti. Safi pergi balik dulu.”

“Tak baik biar kawan tu tunggu lama-lama. Nanti, suruh abah datang ganti mak ya.” arah mak pula.

“Okey. Safi balik dulu. Assalammualaikum…”

“Waalaikummussalam. Jalan elok-elok.” tutur mak, mendoakan.

“Ha.” balasnya sebelum berlalu pergi sambil tangan kekal dilambaikan ke arah mak yang masih memerhati dan mak membalasnya senang hati.

 

Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.