Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 107

Sudah lebih seminggu berlalu, tapi, selera makan mak tetap tak tumbuh-tumbuh juga. Puas Safi memasak semua jenis makanan kegemaran mak, namun selera makan mak masih tak datang, sedang muka dilihat makin lesu dan tak bermaya. Mana taknya, bila terdengar akan bunyi pesanan ringkas masuk atau panggilan yang diterima, hati mak mula menjadi tak keruan semula. Paluannya rancak ibarat dihentak. Safi sedih. Dia kasihankan mak. Sudah terlalu banyak mak korbankan untuk membesarkan anak-anak, tapi balasannya seperti tidak setimpal. Entah di mana silapnya. Semuanya mak dah lakukan, namun tiada satupun yang dibalas dengan kebaikan.

Tak cukup dengan itu, mak disakiti, lagi dan lagi. Ateh, dengan mulut celuparnya menuduh mak hanya sayangkan anak-anak yang memberi kesenangan kepadanya saja. Safi tahu ianya ditujukan khas untuk arwah angah. Biarpun angah sudah lama tiada, ateh dilihat kekal tidak berpuas hati dan tak pernah sekali bermuhasabah diri.

Man, yang sentiasa ada menyebelahi mak sebelumnya, berubah 360 darjah sejak mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya. Akibatnya, dia turut sama ‘berjemaah’ menentang mak, menuduh mak berpura-pura menyayanginya. Katanya, sayang mak bersyarat dan hanya dibuat-buat. Berpura-pura dan tidak ikhlas. Semua tuduhan yang mereka lemparkan mak terima dan rakamkan di dalam kotak fikiran. Along, sentiasa dengan perangai talam bermuka-muka. Mulut manis, tapi hati…hitam. Sudah tak dapat dipulihkan lagi, hanya Allah tempat kembali, barangkali.

Usop dan Ina, tukang kipas yang menjadi dalang kehancuran rumah tangga ibu-bapa, tetap juga di perangai lama. Mengata nista dan mengadu domba hal keluarga pada jiran tetangga untuk mengelakkan malu terbias kemuka. Mereka lebih malu dilihat tak sempurna di mata manusia, berbanding malu di hadapan Tuhan yang menjadikan kehidupan. Bila ada yang bertanya perihal keluarga, mereka tetap menyalahkan mak. Paling menyakitkan, setiap cakap-cakap itu turut sampai ke telinga mak, melalui kenalan dan jiran.  

Bila melihat mak merana sebegitu, Safi turut merasa pedihnya. Dia mula berfikir tentang arwah abah. Benarkah kata pepatah? Perkahwinan atas dasar paksaan tidak menjanjikan kebahagiaan? ‘Paksaan’ dengan melibatkan unsur-unsur syirik pasti akan mengundang kehancuran? Jika difikirkan, ada juga kebenaran. Tengoklah sendiri apa yang terjadi pada mereka sekeluarga. Biasanya dalam setandan pisang ada sebiji dua yang tak berguna, tapi dalam kes mereka, hanya sebiji dua yang bernas, selebihnya...sambang dan tak berisi.

Tiada apa yang dapat dikatakan lagi. Tali persaudaraan mereka terputus tanpa ada cara untuk di sambung semula…buat masa ini, kerana hati sudah terasa mati bila kejujuran dilihat sudah tiada dan ikhlas tidak berjaya untuk dijumpa di mana-mana. Beginilah akhirnya. Takdir yang dipaksa memang tiada sudahnya. Menyakiti dan disakiti menjadi makanan, cinta dan pengorbanan langsung tak berjaya untuk dimengertikan. Ibarat istana pasir yang dibina tanpa kekuatan, hilang dibawa ombak yang tak pernah henti datang berkejaran. Walau berapa kali dibina, ia bakal runtuh juga.

 

“Bau apa ni? Sakit kepala mak ni? Safi tak bau?” soal mak sambil menutup hidung dengan belakang jari.

“Bau apa? Mana? Dekat mana?”

“Dekat sini! Dekat hujung kepala mak ni.” balas mak sambil menunjukkan arah.

“Mana ada! Bau apa? Tak bau pun!” balas Safi selesai memeriksanya.

“Ada! Dah sakit dah kepala mak ni ha! Dah berdenyut-denyut. Bukannya baru hari ni dah berhari-hari dah ni, sampai nak tidur malam pun tak senang.” jawap mak makin tak dapat nak bertahan kerana baunya mencucuk-cucuk rongga hidung, kuat, tajam dan keras sampai mengganggu helaan nafas.

“Takpalah, malam ni, mak tidur dekat depan. Tidur sekali dengan Safi.” cadang Safi setelah lelah mencari.

 

“Hish! Tak hilang-hilang lagi bau ni! Dah pening sangat dah kepala mak ni.” rungut mak sambil menutup hidung dengan belakang tangan.

“Ada lagi! Bau apa mak ni? Kenapa Safi tak bau apa-apa?!” balas Safi yang sudah mula pening. Pening rasanya kepala mendengarkan rungutan mak saban masa. Siang, malam, langsung tak ada beza. Kemana mak pergi, ‘ia’ seperti mengekori.

“Bau nilah! Bau minyak, entah!”

“Tak tahulah macam mana mak nak cakap. Kalau nak dikata minyak wangi, ha, iyalah. Baru mak ingat. Bau ni sama dengan bau minyak yang arwah abah kalian suka pakai bila keluar rumah. Kuat sangat baunya ni, dah sakit dah kepala mak.” balas mak sambil memicit-micit kepala pula. Sudah beberapa malam dia terganggu lena, begitu juga dengan siang harinya. Tiada sesaat pun dia bebas daripada gangguannya.

“Bau yang arwah abah pakai? Tapi kan dah dekat setahun abah meninggal? Dah lama sangat tu.”

“Kalau nak kata abah ‘balik’, takkanlah. Tak mungkinlah rasanya, sebab dah lama sangat. Minyak tu sebenarnya minyak wangi atau minyak lain? Ke ada budak-budak ni yang ambik, lepastu guna?”

“Kan baru lagi hari tu along datang sini bagitahu yang Ina nak kahwin. Takkanlah ada kaitan pulak dengan si gonjeng tu?”

“Takpalah, mak cubalah tidur. Esok Safi cuba ikhtiarkan. Lepas sembahyang subuh esok, kita buat air Yasin lepastu sembur dekat dinding rumah. Doa-doalah berhasil.” cadang Safi yang sudah mula bangun dan mematikan suiz lampu.

 

“Kak, macam mana ya kak. Dah tak tertahan rasanya kepala ni.” adu mak pada We, jiran tertua yang ada di kampungnya.

“Kenapa Mah? Apa yang dah jadi?” soalnya yang sedang duduk berehat di pelantar bawah rumah.

“Dah berminggu-minggu. Dah sakit sangat rasanya kepala saya ni. Siang, malam, sama je, baunya tak hilang-hilang. Dah disembur air Yasin pun masih tak juga berkurang.”

“Saya di dapur ‘dia’ di dapur. Ke depan, dia pun kedepan, sampai ke tandas pun ada. Semualah pendek kata. Kemana Mah pergi, adalah ‘dia’ sekali.” terang mak pada apa yang sedang dilalui.

“Tapi yang pelik, hanya saya yang membaunya. Safi tak pulak.” tambah mak.

“Cuba Mah bakarkan kemenyan. Bakar waktu Maghrib. Bawak mengeliling rumah. Sambil-sambil tu bacalah apa-apa yang patut.” cadangnya.

 

“Bismillahir rahmanir rahim...”

“Alhamdulillah hir rabbil alamin…” bisik Safi menetuskan bacaan ayat-ayat suci sambil sebelah tangan memegang tempurung yang sudah berisi beberapa ketul bara kayu arang juga kemenyan yang sudah dibeli awal-awal lagi. Seram sejuk rasa muka saat melakukannya ditemani bunyi nyamuk yang hanya mampu didengari kerana sudah tidak dapat dilihat lagi. Dalam samar-samar senja dia tetap meneruskannya walaupun bula roma sudah terpacak tak terbilang banyak.

Selesai mengelilingi rumah, bekas tersebut ditinggalkan di bawah rumah, betul-betul di tentang tempat tidur mak sebelum dia bergegas naik ke rumah.

 

“Ha, dapat mak tidur malam tadi? Ada ke baunya lagi?” soal Safi setelah bangun keesokan pagi.

“Alhamdulillah. Baru dapat mak tidur. Dah tak ada dah baunya.” jawap mak, selesai memeriksa.

“Iya?! Betul ke dah tak ada?” soal Safi semula. Teruja bercampur lega.

“Hmm. Betullah apa yang We cakap. Memang ada ni, ada yang nak mengenakan kita.”

“Sampai buat orang tak boleh tidur berminggu-minggu? Dah gila ke apa? Otak letak mana? Sedang sehari tak tidur pun dah pening kepala, inikan pulak berminggu-minggu!”

“Nak mengenakan orang? Apa dah tak ada cara lain?”

“Menyusahkan orang betul! Sampai Safi dah nak mula marahkan mak. Iyalah, apataknya, dah puas Safi keliling rumah ni mencari punca baunya. Mak kata dekat kepala, Safi cari tak ada.”

“Mak tahu. Dinding rumah pun Safi dah pergi hidu. Tak ada pun apa-apa dekat situ. Kenapalah, kenapalah tak reti-reti nak menyenangkan hidup orang?”

“Takpa, tunggulah. Bila dah mati nanti barulah kalian tahu!” runggut Safi tak henti. Manataknya, biarpun mak yang kena, tapi kepalanya rungsing juga. Sentiasa kena mendengar mak mengadu tak selesa, sampai mata dan muka sudah mula cengkung dan tak bermaya.

“Mak rasa kerja siapa? Tu, minyak pada mangga kunci dekat pagar luar tu, kerja siapa tu? Mesabah ada minyak pulak dekat situ. Kalau Safi tahulah siapa yang buat, memang…”

“Biarkan jelah. Inipun dah alhamdulillah. Syukur kita pada Allah. Siapa pun yang buat, kita biarkanjelah. Selagi kita ingat dan tak lupa Allah, insyaAllah, Allah akan tolong kita. Banyak manapun usaha mereka, takkan dapat melawan kuasa Dia.” pintas mak, tak suka melihat Safi begitu, mendengarnya, Safi terus mengendurkan urat kepala.

 

“Mak, ni apa pulak ni mak? Ni titik kuning apa dekat atas kereta ni? Banyak pulak tu. Macam saja je diletak.”

“Depan, belakang, dekat badan semua ada. Cuba mak tengok ni.” adu Safi yang baru lalu di situ.

“Mana?” soal mak masih belum percaya.

“Ni, cubalah mak turun, tengok.”

 

“Ada lagi?! Ni dah masuk berapa kali?”

“Takkan dah pasang atap pun masih ada lagi?” bisiknya sendiri sambil terus juga memerhati bintik-bintik kecil bewarna kuning sebesar pangkal lidi yang merata di atas bahagian atap dan badan kenderaan.

“Safi tengok apa?” soal mak yang kebetulan datang menghampiri.

“Cuba mak tengok ni! Benda ni lagi? Apa benda sebenarnya ni? Seingat Safi, benda ni dah mengikut kita sejak dekat rumah sewa Cu lagi. Tapi masa tu, tak adalah fikir apa-apa. Sekarang bila difikir-fikirkan semula, memang ada orang ke yang buat semua ni? Apa pulak tujuannya?”

“Mak jangan! Jangan sentuh dengan tangan! Biar Safi pasang paip, kita sembur je, jangan diusik.”

“Tapi hari tu mak dah usik.”

“Yang dah lepas tu biarlah. Janji yang kedepan jangan. Manalah kita tahu apa bendanya. Hai entahlah…” tutur Safi kecewa, bukan suka-suka menuduh, cuma tak sanggup nak jadi orang bodoh.

“Takpa, nanti maghrib kita buat air Yasin lagi, ikhtiarlah mana yang termampu.

 

“Grunggg!” bergegar rasa rumah, tapi yang lebih pelik ianya bukanlah kali yang pertama.

“Setan! Parang tadi mana mak letak! Kapak mana? Kapak? Sabit! Mak pergi ambik sabit yang baru Safi asah tadi!” tutur Safi dah mula naik marah sebelum bergerak ke tingkap tinggi rumah dan membukanya. Lampu suluh yang sudah dipasang segera mencari punca gegaran yang baru dirasakan tadi.

“Safi! Tak payahlah dibuka tingkap tu malam malam-macam ni!” tegah mak, tak berani.

“Lantaklah! Kalau berani sangat keluarlah! Keluar! Kalau teringin sangat nak merasa mata sabit ni! Tak habis-habis nak menyusahkan orang!” jawap Safi belum habis marah.

“Tak berguna! Apa dah tak ada kerja? Datang mengendap-ngendap orang malam-malam buta?” tutur Safi sambil mata kekal juga mencari.

“Dah-dah! Tutup tingkap tu!”

“Kita ni perempuan, tak kuat nak melawan.”

“Apa ingat orang perempuan ni lemah semua?” balas Safi masih tak puas hati, kalau hari dah siang, alamatnya, pasti ada yang dah ‘disiang’.

“Dahlah, dah! Tutup semula tingkap tu. Dah malam dah ni.” tutur mak tetap memujuk.

“Eee! Geram betul!” jawap Safi kekal mengulum.

    

Demi sebuah ketenangan yang kian didambarkan, mak dan Safi pergi jauh membawa diri. Jauh daripada pengetahuan semua. Mak tak mahu dicari lagi kerana dia perlukan masa untuk mengubati hati yang teruk dikhianati.

 

Previous: Bab106b
Next: Bab108a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.