Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,598
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 23: KAMI DATANG, KAMI DATANG SUNGGUH YA ALLAH

BAB 23: KAMI DATANG, KAMI DATANG SUNGGUH YA ALLAH

Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya). (Surah Al-Haj, Ayat 197)

Bumi Madinah, Masjidil Nabawi dan Hotel Mawaddah Al-Safwah mula ditinggalkan apabila semua jemaah menaiki bas “Muhammad Elah El-Maghribi”, yang berwarna merah. Dua buah bas dengan dua kumpulan jemaah Tiram Travel, bas A dan bas B bergerak berturutan.

Perasaan sayu dan rindu pada Masjidil Nabawi, Makam Nabi dan para sahabat, Raudhah dan segala tempat bersejarah di Masjidil Nabawi, tidak siapa dapat menafikannya. Indahnya saat sebelum waktu sebenar solat Subuh, ketika azan dilaungkan pada jam 3.30 pagi, berbondong-bondong jemaah datang dari seluruh arah berkumpul di Masjidil Nabawi, menyahut seruan azan. Masjid Quba’ indah tersergam, Jabal Uhud, Kilang Al-Quran dan Kebun Tamar, tinggal kenangan. Berebut-rebut di kawasan Raudhah, berebut-rebut menziarahi Makam Nabi.

Marilah menuju kejayaan!”

Kembangan payung indah di dataran masjid, setiap kali terbitnya matahari kira-kira jam 6.15 pagi dikenang kini, hanya terakam di memori kamera dan telefon. Menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan seumur hidup, menjadi teman sepanjang perjalanan.

“Ya Allah jangan jadikan ziarah ini ziarah yang terakhir bagi kami. Kurniakan bagiku untuk sekian kalinya ziarah dalam kebajikan, kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan”.

Perjalanan dengan bas “Muhammad Elah El-Maghribi” berwarna merah diteruskan ke tanah haram Makkah. Perjalanan dijangka mengambil masa selama kira-kira enam jam. Ketika itu jam sudah hampir 2.00 petang waktu tempatan. Ini bermakna dalam lingkungan jam 8.00 malam kami bakal menjejaki bumi Makkah. Makkatul Mukarramah, Masjidil Haram dan Kaabah, Kiblat para Muslimin seluruh dunia.

Sepanjang perjalanan Ustaz Zul menayangkan video berkaitan sejarah Makkah, sejarah pembinaan Kaabah, dan sejarah Nabi di Makkah. Video tersebut disiarkan dalam Bahasa Indonesia. Kata Ustaz Zul, belum ada video yang disediakan dalam Bahasa Malaysia. Alangkah baiknya jika pihak Tabung Haji menyediakan video seumpamanya dalam Bahasa Malaysia.

Tayangan video diselang-selikan dengan soalan kuiz dan hadiah. Kali ini soalannya adalah berkisar Makkah dan sejarahya. Ramai yang berebut untuk menjawab. Sungguh pandai mutawif menghilangkan keletihan dan menambahkan keceriaan di dalam perjalanan. Kadangkala diselang-seli dengan ta’aruf. Semua jemaah di dalam bas memperkenalkan diri masing-masing seorang demi seorang.

Mutawif juga menceritakan tentang suasana di Makkah, ibadat umrah dan mengingatkan para jemaah tentang perjalanan umrah, tentang cabaran dan cubaan yang ada di Makkah. Semua perlu bersabar atas segala dugaan.

Ustaz Zul membuka satu kisah:

“Saya ada jumpa seorang Jemaah dari Malaysia, Dia cukup ikhlas.”

“Dia jaga ibu dia, makan pakai cukup baik.”

“Dia hanya makan Qurma dan minum air zam-zam.”

Dia tak makan makanan Hotel, jarang sekali balik ke Hotel.”

“Dia boleh mencium Hajarul Aswad tak tau berapa kali.”

Inilah orang ikhlas.”

“Kalau Nampak Kaabah buat pertama kali minta doa banyak-banyak.”

“Minta doa boleh datang lagi berkali-kali.”

“Berkat, doa maqbul….saya dah pernah buat.”

“Kali pertama dulu saya nampak Kaabah, saya minta dapat datang lagi berkali-kali.”

“Sekarang ini, entah berapa kali saya dah ke Makkah, bawa jemaah dan datang sendiri.”

“Saya mula ke Makkah dulu duit bukan ada pun. Duit ada sepuluh ringgit.”

“Kebetulan adik saya bertuga di Jabatan Agama Islam Pahang, tak dapat pergi haji disaat akhir.”

Tempat dia saya ganti, free Sultan bagi.”

“Kali pertama saya nampak Kaabah berdoa supaya dapat datang berkali-kali. Maqbul, Alhamdulillah…dah berbelas kali saya ke sini,” Ustaz Zul terus berpesan.

Perjalanan diteruskan sehingga ke suatu tempat yang dinamakan Bir ‘Ali. Bir ‘Ali adalah suatu tempat yang terletak di Zulhulaifah, hanya berjarak 30 minit, jika memandu dengan kenderaan.

Di Bir ‘Ali terdapat sebuah masjid yang cantik. Boleh dikatakan ia adalah masjid kedua tercantik di Madiinah selepas Masjidil Nabawi. Istimewanya, di masjid ini adalah salah satu miqat (tempat berniat) bagi ibadah umrah. Jadi masjid ini menjadi tempat tumpuan jemaah umrah yang bergerak dari Madinah ke Makkah.

Sampai di Masjid Bir ‘Ali kami berwuduk dan berniat mengerjakan umrah dan solat sunat ihram. Bagi mereka yang belum memakai ihram, boleh memakainya di sini. Tetapi keadaan amat sesak dengan para jemaah, tandas dan bilik air dipenuhi jemaah dan perlu bersabar menunggu giliran.

“Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah swt."

“Orang perempuan yang belum manapouse perlu berniat ihram secara bersyarat, “kata Ustaz Zul.

“Saya tidak pernah niat Umrah bersyarat,” kata Ustaz Zul secara berseloroh.

Niat ihram bersyarat adalah diharuskan bagi seseorang yang bimbang berlaku perkara yang menghalang dirinya daripada menyelesaikan ibadat umrahnya. Niat ini hendaklah dilakukan secara muwalat (secara berturutan) antara niat ihramnya dengan niat bersyarat.

“Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah swt, sekiranya aku terhalang oleh sesuatu, ketika itu aku menjadi halal”.

Dengan niat bersyarat ini, bagi jemaah wanita yang datang haid ketika berihram umrah, maka dengan sendirinya ia menjadi halal iaitu terlepas dari pantang-larang dalam ihram.

Kelihatan di sana sini, jemaah yang telah berniat umrah, berihram dan menunaikan solat sunat ihram, bertalbiah di dalam masjid dan di luar masjid.

Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan ni'kmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.

Meremang bulu roma ketika kali pertama talbiah dilaungkan di masjid dengan berpakaian ihram. Di sana-sini jemaah bertalbiah, kita tetamu Allah.

Selepas itu kami menyambung perjalanan ke Makkah. Segala pantang larang dalam ihram perlu dipatuhi sepenuhnya.

Celoteh dan nasihat Ustaz Zul tidak menjemukan. Perjalanan diteruskan sehinggalah kami sampai di suatu tempat perhentian bagi para jemaah, di situ sebuah kawasan lapang, ada tandas dan restoran.

“Kita berhenti di RNR," kata Ustaz Zul.

“Siapa-siapa yang nak makan nasi, ada Nasi Bukhari, original punya, ada ikan ada ayam”.

Kami berhenti di tengah padang pasir, kawasan lapang. Tempat itu dinamakan Wadi Qudaid, seperti sebuah R&R, tapi tidaklah seperti R&R di sepanjang lebuhraya PLUS di tanahair. Di sini lebuhraya di atas padang pasir yang luas.

Di ‘R&R” tersebut berbagai jemaah Umrah dari berbagai tempat seluruh dunia berhenti. Ada yang menjamu selera dengan Nasi Bukhari (origianal punya) seperti yang dikatakan oleh Ustaz Zul. Yang lelaki kebanyakkan memakai ihram, kebanyakannya adalah dalam perjalanan ke Makkah seperti kami.

Di kawasan ‘R&R” tersebut disediakan petak-petak dari binaan simen dan dilapik dengan permaidani. Di dalam ruangan di petak itu boleh menjamu selera bersama keluarga dan juga menunaikan Solat. Beberapa petak disediakan. Ketika kami berada di dalam petak tersebut,beberapa jemaah meminta ruang untuk menunaikan solat kepada kami.

Selain daripada itu seperti biasa terdapat kerusi dan meja untuk mereka yang memilih untuk makan di meja bersama rakan atau keluarga.

Ramai jemaah beratur untuk mendapatkan makan malam. Perlu membuat pesanan hidangan nasi, roti, ayam atau ikan yang digoreng rangup, atau ayam ala tandoori. Kemudiannya membayar dan mendapatkan kopon, sebelum beratur untuk mendapatkan hidangan yang dipesan.

Kebetulan nak jadi rezeki, Ustaz Zul membelikan satu set Nasi Bukhari dengan ikan grill yang rangup, dihadiahkan kepada kami. Belum sempat kami memesan set hidangan untuk kami sekeluarga. Rezeki anak-anak.

“Sila...sila saya buat kenduri, “Ustaz Zul menghulurkan set Nasi Bukhari kepada kami sekeluarga.

Ustaz Zul turut berbelanja set hidangan Nasi Bukhari beserta ikan grill yang rangup kepada beberapa keluarga Jemaah.

“Rezeki-rezeki … makan makan," kata Ustaz Zul.

Sehingga sekarang masih terkenangkan keenakan Nasi Bukhari itu, yang lembut dan wangi, serta lazat. Pencarian nasi Arab di Alor Setar, Guar Chempedak serta Putrajaya tidak menemukan nasi arab yang dimasak sepertimana nasi arab di Wadi Qudaid itu.

Perjalanan diteruskan lagi. Di sepanjang perjalanan Ustaz Zul mengetuai bacaan doa mohon keampunan, zikir munajat dan zikir-zikir yang lain.

Talbiah dilaungkan bersambung-sambung sehingga sampai ke Makkah.

Ya Allah, kami datang...datang sungguh Ya Allah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.