Malam
ke-tiga berada di Madinah. Pada malam itu aku dan Syauqi ke Masjidil Nabawi
untuk solat Maghrib. Ketibaan kami agak lewat. Mengambil masa yang terluang
untuk bersama Iris. Melayan karenahnya yang terpaksa ditinggalkan di hotel.
Iris hanya berpeluang keluar pada pagi tadi sahaja ketika di dataran Masjidil
Nabawi. Selainnya, Iris perlu dikawal di dalam hotel oleh isteri dan anak-anak
perempuanku.
Oleh
kerana berlaku sedikit kelewatan, kami tidak dapat masuk ke masjid melalui pintu
Salam (Babussalam). Masih banyak pintu yang ada dan boleh masuk kecuali pintu
yang dikhaskan untuk Jemaah wanita. Selain daripada itu masih ada ruang solat
di kawasan dataran kerana terdapat ruangan yang dikhaskan untuk bersolat.
Kami
masuk ke dataran masjid seperti biasa, melalui arah pintu pagar No.15. Azan
Maghrib dilaungkan menandakan masuknya waktu Maghrib. Dan apabila masuk sahaja
di ruangan Solat, Imam telah pun mengangkat takbir, bermulanya Solat Maghrib.
Aku sempat mendapat ruang untuk bersolat. Syukur.
Di
sebelahku kelihatan seorang anak muda berpakaian seragam berwarna serba hijau,
dari baju dan seluar serta songkoknya. Dari pakaian itu dapat dikenali beliau
adalah petugas yang bertugas menjalankan kerja-kerja pembersihan di Masjidil
Nabawi. Warna hijaunya kelihatan terang dan baru. Aku tidak memperdulikannya
kerana Imam telah pun bertakbir.
Ketika
hampir memberi salam di tahiyyat akhir, kedengaran dari arah ruang jemaah
wanita bersolat, suara menangis dan meratap-ratap, berteriak, melaung-laungkan
suara dengan nada yang kuat. Pasti suara itu adalah dari seorang wanita Arab
dari bunyi laungan dan rintihannya yang dapat didengar. Kedengaran juga suara
wanita lain bersahut-sahutan mengiringi suara perempuan yang sedang meratap
itu.
Selesai
solat seperti biasa doa dibaca. Berada di tanah haram memang mudah untuk
mengeluarkan air mata ketika berdoa. Mengharap dengan penuh harapan dirahmati
dan diredai. Diampunkan dosa-dosa dan menyelesali apa yang telah berlalu.
Cairan air mata panas keluar tanpa dapat ditahan. Memang penuh rahsia dan
kelebihan tangisan orang berdosa. Lebih hebat jika dibandingakan air mata yang
hanya menitis ketika menonton babak sedih di dalam drama TV. Itulah hakikatnya.
...... bersambung
... bersambung