Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,588
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 28: TAWAF SUNAT

BAB 28: TAWAF SUNAT

Suatu petang selepas Solat Zohor kami berpeluang lagi untuk melakukan tawaf sunat yang entah ke berapa kalinya sejak berada di Kota Makkah. Aku bersama dengan anakku Syafiqah mengambil kesempatan untuk melakukannya. Ini kerana dua orang daripada anak-anaku yang lain perlu mengawasi adik mereka iaitu Iris.

Cuaca agak panas ketika itu namun tidak melemahkan semangat kami untuk melakukan tawaf sunat. Tawaf sunat boleh dilakukan tanpa mengenakan pakain ihram, jadi untuk memudahkan pergerakan aku hanya memakai ‘track suit’ dan baju kemeja T sahaja. Berbeza dengan tawaf umrah, jemaah lelaki wajib mengenakan pakain ihram ketika melakukan tawaf, manakala jemaah wanita mengenakan pakaian menutup aurat seperti di dalam solat.

Selain daripada itu jemaah perlu mematuhi beberapa syarat tawaf seperti berikut:

1. Suci daripada hadas besar dan kecil. Jemaah disyarakan berwudu’ sebelum melakukan tawaf. Jika berlaku sentuhan kulit dengan perempuan yang ajnabi (asing), jemaah boleh berpegang dengan satu pendapat (qaul) dalam Mazhab Syafie yang mengatakan tidak batal wudu’ jika bersentuh tanpa sengaja dan tanpa syahwat.

“Kalau nak ambil wudu’ supaya tidak batal kena ambil wudu’ dengan sempurna kena ambil wudu’ dengan sembilan peringkat, termasuk baca Bismillah dan tertib,” Ustaz Zul pernah berpesan ketika kursus dan di dalam perjalanan ke Makkah.

Untuk itu, sebelum melakukan tawaf, perlulah mengambil wudu’ dengan sempurna. Ini bagi mengurangkan kesulitan mengambil wudu’. Jika perlu untuk mengambil wudu’ boleh menggunakan air dari botol semburan yang dibawa.

2. Suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat tawaf.

3. Menutup aurat sebagaimana dalam solat.

4. Tawaf hendaklah dimulakan pada Rukun (Sudut) Hajarul Aswad.

5. Sewaktu berjalan ketika tawaf, Baitullah hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri bahu. Jika bahu lari sedikit dari menghala ke Baitullah akibat kesesakan atau ditolak oleh jemaah yang lain, perlulah cepat-cepat membetulkan kedudukan bahu.

6. Berjalan itu adalah dengan tujuan tawaf. Jika terdapat jemaah yang telah terpisah dari pasangan atau kawannya, jika dia berjalan dengan tujuan mencari kawan tawafnya pada pusingan itu terbatal.

7. Cukup tujuh keliling dengan yakin. Jka merasa ragu-ragu, perlu mengambil jumlah pusingan yang terkecil dan melengkapkan pusingan kepada tujuh pusingan.

8. Tawaf hendaklah dilakukan di luar bahagian Kaabah seperti Hijir Ismail dan Syazrawan. Semasa melakukan tawaf tidka boleh menyentuh bangunan Kaabah, kelambunya, Hijir Ismail dan Syazarawan. Rajah di bawah menunjukkan satu pusingan

Perbuatan seperti mengucup Hajarul Aswad, menyentuh Hijir Ismail atau masuk ke dalamnya, menyentuh Kaabah boleh dilakukan setelah tamat tawaf.

Sebagai rujukan, pusingan lengkap tawaf yang bermula pada Rukun Hajarul Aswad, adalah seperti yang tertera padaGambarajah 4 berikut:



Gambarajah4: Pusingan Tawaf

Sumber : Dilukiskan semula dari Buku Panduan Haji, Lembaga Tabung Haji

Setelah tamat tawaf aku dan Syafiqah sempat solat di hadapan Syazarawan dan berdoa di hadapan Multazam. Selain daripada itu dapat menyentuh Kaabah, serta masuk ke dalam Hijir Ismail, menunaikan solat sunat dua rakaat dan berdoa di bawah pancuran emas, untuk kesekian kalinya. Ini kerana setiap kali menghampiri Kaabah kami dapat masuk ke kawasan atau tempat-tempat yang mustajab doa. Hanya hajarul Aswad sahaja yang hanya mampu dipandang dari arah yang amat hampir tetapi tidak dapat mengucupnya, kerana kesesakan di hadapan Hajarul Aswad pada hampir setiap masa.

Bila berada di hadapan Kaabah dan menyentuhnya, hati masih terfikir adakah ianya suatu mimpi. Air mata mengalir tanpa disedari ketika khusyuk berdoa. Cuaca yang panas di waktu tengahari sudah tidak terasa lagi. Tambahan pula, jenis mar-mar yang digunakan di dataran Kaabah adalah jenis yang tidak menyimpan haba. Insya-Allah langsung tidak terasa kepanasan lantai dataran yang dipijak oleh kaki kita. Hanya kepanasan matahari di atas kepala yang akhirnya tenggelam dengan khusyuk bertawaf dan peluh yang mengalir.

Syafiqah amat teruja kerana dapat menghampiri Kaabah dan menyentuh kelambu Kaabah dengan tangan. Dalam kesibukan dan kesesakan Kaabah, terdapat jemaah yang meratap tanpa henti dan menguriskan kelambu Kaabah dengan jari seolah-olah menulis sesuatu.

Selepas daripada tawaf sunat ini, pada hari-hari yang berikutnya, dengan kesempatan yang ada aku bersama Syauqi, Iman, isteriku dan Iris melakukan tawaf sunat. Kesempatan berada di bumi suci perlu diraih sebaik mungkin.

Melakukan tawaf sunat pada waktu malam lebih mudah. Ini kerana suasana waktu malam lebih tenang dan damai serta cuaca juga amat menyamankan. Aku juga membawa anak istimewa kami, Iris untuk melakukan tawaf sunat, dengan kesempatan yang ada.

Iris amat ceria kerana dibawa berjalan mengelilingi Kaabah ketika bertawaf. Kadang-kadang aku mendokong Iris di belakangku. Bagaimanapun, Iris lebih suka berjalan-jalan yang merupakan perkara yang amat digemarinya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.