Bas
bergerak dari Masjid Terapung menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah. Kami
sampai sebelum waktu Maghrib. Kami perlu menanti penerbangan NAS Air ke Pulau
Pinang yang dijangka berlepas pada jam 1.00 pagi pada Khamis 23 Mei 2013. Hari
ke 12 dalam perjalanan ke Haramain (dua tanah suci).
Suka
duka selama berada di Tanah Suci Madinah dan Madinah selama 12 hari 13 Malam
amat mengesankan dan akan diingati selamanya. Perjalanan ke Haramain bersama
'anak syurga' penuh bermakna. Semua berjalan lancar dengan bantuan dan
kelapangan yang Allah berikan. "Anak syurga” kami seolah-olah faham ketika
berada di dua tanah suci, segalanya di permudahkanNya.
Sampai
di LTA Jeddah pada hampir waktu solat Maghrib menandakan detik-detik akhir
berada di bumi Arab Saudi. Sungguh berbeza keadaannya ketika berada di Madinah
dan Makkah, berbanding dengan singgah sebentar di Jeddah. Amat Jauh bezanya.
Susah hendak menentukan adakah orang-orang Arab yang ditemui adalah Islam atau
sebaliknya. Samada petugas di LTA Jeddah atau Pasukan Kawalan LTA Jeddah, sukar
dipastikan kerana Jeddah di luar tanah haram. Siapa sahaja boleh masuk dan
tinggal di sini. Jeddah terkenal sebagai Kota pelancungan.
Ilal
liqa' Haramain (Insya’-Allah kita akan bertemu lagi, tanah haram Madinah dan
Makkah).
Urusan
pendaftaran di kaunter penerbangan NAS AIR berjalan lancar. Bagasi ditimbang
bagi menentukan beratnya seperti biasa. Sana-sini kelihatan para jemaah sibuk
dengan urusan pendaftaran penerbangan. Kaunter pendaftaran agak lambat dibuka.
Dua kumpulan jemaah dari dua syarikat penyedia perkhidmatan urusan umrah akan
berlepas dengan NAS AIR ke Pulau Pinang.
"Semua
kena pastikan dapat air Zam-Zam seorang satu. Kena tunjukkan passport
masing-masing. Nanti di kaunter depa[1]
akan check," Ustaz Zul seperti
biasa memberi ingatan kepada para Jemaah.
Setiap
jemaah akan mendapat satu botol air Zam-Zam seberat yang telah dimasukkan dalam
kotak berwarna oren. Air Zam-Zam itu adalah merupakan hadiah daripada Kerajaan Arab
Saudi. Hanya yang telah disediakan secara resmi dibenarkan di bawa balik,
melalui penerbangan.
Ada
jemaah yang ditahan dari membawa balik 500ml air Zam-Zam yang dimasukkan di
dalam botol, setelah melalui pemeriksaan keselamatan. Ada yang lepas dan dapat
dibawa masuk bersama bagasi penumpang.
Aku
telah berjaya membawa balik dua belas botol air zam-zam yang dimasukkan dalam
botol air mineral. Terdapat cara yang mudah untuk membawa air Zam-Zam yang
diisikan dalam botol air dengan muatan 500ml atau 1 liter. Dengan adanya
botol-botol itu, air Zam-Zam diisi dari tempat bekalan air Zam-Zam di sekitar
Masjidil Haram.
Kemudian
dengan menggunakan pita pelekat, semua mulut botol dikejapkan dengan plastik
kecil dan dibalut dengan pita pelekat. Pita pelekat itu kemudiannya dibalut dan
dilekatkan dengan kuat pada keseluruhan botol tadi. Ini bertujuan untuk
mengelakkan air tersebut tumpah.
Kemudian
semua botol-botol yang mengandungi air Zam-Zam itu dimasukkan ke dalam bagasi
yang akan didaftar masuk (Check-in baggage) semasa mendaftar masuk penerbangan.
Tiada pemeriksaan bagasi dijalankan. Jadi botol-botol tersebut selamat bersama
pakaian dan lain-lain barangan yang dimasukkan dalam bagasi.
Botol-botol
air Zam-Zam tersebut kemudian boleh disedekahkan kepada saudara mara dan
rakan-rakan apabila sampai ke tanahair.
Kami
mendapat enam kotak air Zam-Zam. Di dalamnya berisi botol plastik besar
memuatkan sebanyak 10 liter air. Semua Jemaah sibuk menulis nama dan nombor
telefon pada kotak itu.
Bagaimanapun
ia tidak membantu sebenarnya, kerana kotak-kotak oren berisi air Zam-Zam tadi
akan bercampur di dalam ruang kargo. Banyak mana kotak berwarna oren itu dapat
dituntut bergantung kepada jumlah passport yang ditunjukkan di kaunter tuntutan
air Zam-Zam, di LTA Bayan Lepas.
Beberapa
orang petugas akan mengedarkan kotak-kotak mengikut jumlah passport
antarabangsa yang ditunjukkan. Oleh itu kita akan mendapat kotak yang ditulis
nama orang lain. Tidak mengapa asalkan isinya adalah air Zam-Zam.
Semasa
memasukkan kotak-kotak air Zam-Zam ke dalam daftar bagasi, kelihatan beberapa
orang petugas bantuan menguruskan timbangan dan pergerakan kotak-kotak air itu.
Mereka kemudiannya meminta Riyal sebagai “Tips”, bagi kerja yang dilaksanakan.
Urusan
bagasi dan air Zam-Zam telah disediakan, sekarang kami menunggu sebuah bas yang
akan mengangkut kami ke dalam pesawat NAS Air.
Ustaz
Zakaria berpesan “nanti jangan lupa, Solat dalam kapal terbang. Gunakan botol
semburan yang tuan dan puan ada untuk berwuduk.”
Sebelum
ini kami semua telah melakukan solat Maghrib dan Solat Isya’ secara qasar dan
jama’, di mana seperti biasa solat Maghrib kekal tiga rakaat dan dihimpun serta
dipendekkan rakaat solat Isya’ menjadi dua rakaat. Waktu solat Subuh akan
berlangsung beberapa jam sebelum kami mendarat di LTA Pulau Pinang.
Bas
yang mengangkut kami tiba. Kami beramai-ramai menaikinya ke pesawat yang telah
tersedia. Nasib baik anak kami Iris tidak menunjukkan perangainya, ketika
bersesak-sesak dengan jemaah di dalam bas. Ini kerana di dalam bas itu,
terdapat lain-lain jemaah dari kumpulan umrah yang berbeza.
Kami
akhirnya sampai di hadapan pesawat NAS Air
dan seterusnya menaiki pesawat itu mengikut kedudukan tempat duduk yang lebih
teratur. Jika ketika berlepas dari LTA Pulau Pinang semasa datang ke Madinah,
susunan tempat duduk agak kelam-kabut.
[1]
Bahasa Kedah bermaksud Mereka