Catatan
perjalanan ini merakamkan sebuah perjalanan mengunjungi dua Tanah Suci
(Haramaian) iaitu Madinah dan Makkah. Perjalanan ini amat bererti kerana
perjalanan sekeluarga yang turut disertai oleh seorang ‘anak syurga’, seorang
anak perempuan kami berumur empat tahun yang menghidapi Autisme. Rakaman
catatan perjalanan ini juga turut menelusuri sebahagian daripada sejarah,
falsafah dan ibrah (pengajaran) yang terkandung dalam ziarah ke Tanah Suci
Madinah serta mengerjakan ibadat umrah di Tanah Suci Makkah. Ibrah yang
tersembunyi dapat dijadikan panduan dalam meneruskan perjalanan hidup sebagai
hamba Allah.
Catatan ini
juga turut menghubungkaitkan beberapa catatan lampau berhubung dua Tanah Suci
seperti perjuangan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan
kemurnian dan keteguhan agama Islam ketika mula mekar di Tanah Suci Makkah dan
seterusnya penubuhan Kerajaan Islam Madinah. Sebahagian daripada catatan ini juga
disampaikan dalam bentuk novel sejarah yang disandarkan kepada beberapa rujukan
yang diterima umum. Ia termasuklah catatan sirah perjalanan hijrah, peperangan
utama setelah pembentukan Kerajaan Islam Madinah serta catatan kecintaan
sahabat-sahabat kepada Nabi Muhammad SAW.
Adalah
diharapkan catatan kecil ini menjadi sebuah pengajaran dan sedikit sebanyak
panduan kepada bakal-bakal tetamu Allah yang akan mengunjungi Haramain, serta
ibu-bapa yang memiliki ‘anak syurga’.