Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,588
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 13: IRIS, KITA DI MASJID NABI

BAB 13: IRIS, KITA DI MASJID NABI

Hari kedua berada di bumi Madinah, seperti biasa keadaan berjalan lancar. Putaran masa terasa begitu cepat. Masa yang berlalu sangatlah terasa kehilangannya. Sekarang kami berpeluang berada di bumi mulia, entah bila akan diberi peluang sekali lagi berada di sini.

Malam semalam kami tiba di bumi Yathrib dan telah menziarahi makam Rasulullah. Kami kembali ke hotel pada jam 2.00 pagi.

Begitu teruja kerana buat kali pertama dalam hidup dapat mendengar Azan[1] dari Masjidil Nabawi. Hati terdetik, mungkinkah suara Azan yang dikumandangkan adalah dari suara Syeikh Muhammad Bin Majid Hakim. Suara yang biasa didengar sebelum ini di Internet. Sungguh teruja sekali mendengarnya.

Tiada keletihan sama sekali. Syukur diberi kekuatan olehNya. Tidur hanya dalam tempoh dua jam sudah menjadi kebiasaan sejak bertungkus-lumus dalam pengajian sebelum ini, Insya’-Allah.

Azan merdu dari suara Syeikh Muhammad amatlah menaikkan semangat. Itulah Azan yang paling merdu biasa didengar, itulah yang dapat digambarkan, kerana selama ini hanya mendengar suara Azan dari laman Internet seperti Youtube dan sebagainya.

Lantas, semua ahli keluarga dikejutkan untuk bersolat Subuh kali pertama di Masjidil Nabawi. Semua anak-anak bingkas bangun apabila mendengar suara Azan dikumandangkan. “Anak syurga’ kami, Iris kelihatan masih tidur mungkin kerana keletihan.

Aku tidak dapat membawanya ke Masjidil Nabawi. Aku bercadang akan membawanya selepas Solat Subuh. Kerana pada ketika itu suasana agak lengang di dataran masjid. Ramai pengunjung berehat di bilik-bilik hotel atau ada yang mengunjungi tempat-tempat berbelanja dan tempat makan.

Suasana akan kembali sibuk menjelang Solat Zuhur. Jadi di Antara waktu Solat, adalah waktu senggang yang boleh diambil untuk bersama anak kami, Iris.

“Abah, kakak dan Iman ikut Mak Cik sebelah, nanti tak payah tunggu Kakak,” kata anak sulungku Syafiqah.

Kami tidak perlu pergi ke Masjidil Nabawi bersekali, empat beranak, kerana dua orang anak perempuanku akan mengikut jemaah dari bilik sebelah yang baru dikenali semalam. Mereka dari Sungai Petani, Kedah dan datang bersama seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Anak perempuan mereka kemudiannya menjadi teman kepada Syafiqah dan Iman di sepanjang masa ketika berada di Madinah dan Makkah.

Syukur, kerana ada rakan yang boleh melihat dan membantu anak-anak perempuanku. Ini kerana arah masuk ke Masjidil Nabawi bagi jemaah lelaki dan perempuan adalah berbeza.

Jemaah perempuan telah dikhaskan laluan masuk, bagaimanapun bagi jemaah lelaki, mereka bebas masuk melalui kebanyakkan pintu di masjid, kecuali yang dikhaskan kepada wanita.

Biasanya akan diletakkan papantanda bertulis “Women Only” dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Arab. Seperkara yang agak menarik adalah biasanya notis-notis peringatan disediakan dalam tiga Bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Arab dan Bahasa Melayu.

Misalnya garisan pemisah yang menandakan kedudukan Imam disediakan dalam bahasa Melayu, seperti berikut:

“Di sini batas sejajar garis Imam.Dilarang shalat melangkahi garis sejajar dengan Imam. Batallah shalatmu, jika melanggar batasan tersebut”

Mungkinkah ini adalah sebahagian dari hasil usaha mereka-mereka yang terdahulu dari Asia Tenggara yang mengusahakan pakej Haji dan Umrah yang dikenali melalui "Syeikh-syeikh Haji". Pakej yang wujud sebelum adanya Sistem Muassasah bagi ibadah haji pada tahun 1987

Atau mungkinkah juga hasil keperahitinan pihak Muasasah Asia Tenggara ataupun usaha pihak kerajaan, atau pun pengiktirafan dari Kerajaan Arab saudi serta hubungan diplomatik yang erat di antara Kerajaan Arab Saudi dan kerajaaan dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura. Boleh jadi juga bahasa Melayu digunakan pada notis itu kerana majoriti jemaah dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunai atau pun Thailand, berbahasa Melayu.

Aku dan anak lelakiku, Syauqi kemudiannya bersiap untuk ke Masjidil Nabawi. Solat Subuh di sana buat kali pertamanya. Pagi itu kami keluar dengan penuh harapan dan keterujaan.

Dari hotel penginapan menuju ke Pintu No.15 (pintu masuk ke kawasan dataran masjid), kelihatan ramai manusia berpusu-pusu keluar menuju ke tempat yang satu, menuju ke Masjidil Nabawi. Dari jalan-jalan sekitar hotel penginapan, dari berbagai arah, kelihatan aliran manusia mula membanjiri pintu ke dataran masjid dan seterusnya masuk ke dalam masjid dari pelbagai arah atau pun pintu masuk.

Satu pemandangan baru yang dihayati dengan penuh keterujaan, kerana sebelum ini hanya melihat suasana sebegini melalui siaran TV atau Youtube sahaja.

Usai solat Subuh, lokasi yang dituju pada hari kedua ini adalah Raudhah. Kawasan yang menjadi tumpuan yang ditandakan dengan karpet berwarna hijau.

Kawasan ini biasanya diletakkan sekatan bagi mengawal kemasukan jemaah. Sekatan yang dijadikan pendinding bagi mengelakkan gangguan kepada para jemaah yang lain, yang sedang bersesak-sesak dalam ruang solat.

Seorang jemaah dari Indonesia turut bersama-sama berusaha memasuki Raudhah. Dari arah tepi kepungan yang didirikan dan dijaga oleh polis pengawal, kami bersama-sama bergerak ke arah pintu kecil yang dibuka dari arah hadapan yang terletak hampir pada kawasan yang disebut Mihrab Tahajjud[2].

Kawasan yang terletak di bahagian hadapan makam Rasulullah yang juga menjadi tumpuan di mana kebanyakkan daripada mereka yang telah berada di situ akan terus kekal dan tidak keluar

"Bapak sudah bisa masuk ke Raudhah?” Aku bertanya kepada jemaah dari Indonesia yang berada bersamaku.

Pakaiannya agak unik kerana memakai baju lengan panjang yang diperbuat daripada batik. Kebanyakkan jemaah dari Indonesia boleh dikenali dengan imej batik.

"Belum pernah, ini pertama kali” katanya kepadaku.

Dia kemudiannya menambahkan kata-katanya dengan lenggok Bahasa Jawa.

"Kami langsung dari Makkah, ini pun umroh wisata[3], besok kami akan berangkat ke Turki, wisata umroh.”

Nampaknya beliau sangat teruja dan harus masuk ke Raudhah kerana besok beliau akan bertolak ke Turki. umrah wisata adalah umrah yang dipakejkan jadual untuk pelancungan ke lain-lain negara selain daripada mengunjungi Haramain.

Umrah wisata juga menyebabkan masa berada di Haramain amat terhad, bergantung kepada pihak pengendali pakej umrah kerana jadual lawatan yang disediakan adalah untuk melawat lain-lain lokasi samada semasa pulang atau pun semasa ketibaan.

Akhirnya setelah agak lama bersesak-sesak dan bersusah payah, kami sampai dipintu kecil yang dibuka oleh polis pengawal dari sebahagian kepungan kawasan Raudhah.

Kami mendirikan solat sunat dua rakaat, sebaik sahaja berada di dalam Raudah. Kemudiannya bermunajat dan berdoa. Pertama kali dapat solat di dalam kawasan Raudah, membaca doa-doa khusus seperti yang terdapat di dalam buku panduan umrah serta doa-doa umum.

Sedang asyik berdoa, polis yang mengawal di kawasan Raudhah meminta kami keluar kerana ramai lagi jemaah di luar kepungan bersesak-sesak hendak masuk ke dalam kawasan Raudhah.

Kami kemudian keluar dari arah belakang makam dan kemudian melalui hadapan makam, megucapkan Salam kepada baginda dan sahabat-sahabatnya dan kemudian keluar melalui Pintu Baqi’, yang terletak arah ke kanan makam ketika keluar dari masjid. Kami kemudiannya kembali ke hotel penginapan dan berehat.



[1] Azan Subuh dikumandangkan pada jam 3.30 pagi bagi mengejutkan penduduk Madinah. Biasanya dalam tempoh sejam jam lebih sebelum Solat Subuh, azan akan dikumandangkan. Azan begitu jelas kedengaran.

[2] Rujuk plan Masjidil Nabawi.

[3] Dari segi bahasa wisata bermaksud perlancongan atau liburan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.