Home Novel Travelog TASBIH BAITULLAH
TASBIH BAITULLAH
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 08:48:07
78,588
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 21: PASAR KURMA & KILANG CETAK AL-QURAN

BAB 21: PASAR KURMA & KILANG CETAK AL-QURAN

Lokasi kami seterusnya ialah ke kebun Tamar (Kurma) yang menjadi lokasi tumpuan para jemaah. Perjalanan ke lokasi ini adalah mengambil masa selama satu jam. Ketika sampai di sana kami hanya sempat melawat Bazar Qurma terbesar yang menawarkan berbagai jenis Qurma. Pekerjanya juga boleh berbahasa Melayu kerana mereka datang dari Indonesia. Mereka mungkin bekerja secara sementara atau telah lama tinggal di Madinah.

Jika di Australia boleh makan sepuasnya buah strawberry dan membayar apabila hendak meninggalkan ladang, di sini juga perlu membayar Qurma yang ditimbang untuk dibawa balik.

Bazar ini turut menyediakan air minuman secara percuma dan boleh menjadi bekalan dalam perjalanan ketika di dalam bas dengan cuaca yang panas. Pengunjung boleh merasa apa saja jenis qurma yang ada. Cuba bayangkan, setakat mana boleh merasa kerana qurma adalah buah yang amat mengenyangkan.

“Ajwa…..Ajwa Nabi … halal 120 riyal,” penjual menawarkan qurma Ajwa kepada para jemaah yang membanjiri ruang Bazar Qurma.

“Ajwa…Ajwa Nabi … halal,” pekerja di bazar itu terus melaung untuk menarik perhatian pembeli.

Selain daripada kurma yang berbagai jenis, terdapat juga coklat yang dibuat dari qurma dan berbagai jenis makanan yang diproses termasuk kekacang, gula-gula dan bijirin. Kami tidak sempat melawat ladang qurma yang terletak berdekatan dengan bazar kerana kesuntukan masa.

Setelah menyelami kisah Perang Uhud di Jabal Uhud, lokasi seterusnya adalah Kilang Cetakan Al-Quran King Fahd. Semua Al-Quran untuk kegunaan di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi dicetak oleh kilang tersebut. Hanya Al-Quran yang dicetak dari kilang ini dibenarkan diguna dalam dua masjid itu.

“Kalau ada rezeki dapat Al-Quran free seorang satu, untuk jemaah lelaki sahaja. Kena beratur ikut giliran ambil Al-Quran dan terus balik ke bas kita, “Ustaz Zul mengingatkan jemaah.

“Kalau siapa-siapa yang nak beli Al-Quran untuk waqaf di Masjid Nabawi atau Masjidil Haram boleh beli disini. Harga Al-Quran sini boleh kata separuh dari harga di Masjidil Nabawi, dan di Makkah tentu lebih mahal, “ Ustaz Zul terus berpesan.

Aku lantas teringat bahawa aku telah mewaqafkan beberapa naskah Al-Quran berwarna hijau yang diperolehi dari penjual yang menjual Al-Quran di atas kereta sorong, di luar pagar Masjidil Nabawi. Al-Quran itu telah dimasukkan ke dalam Masjidil Nabawi melalui Babussalam, dan diberikan kepada Jemaah berdekatan Mihrab Mesir di Masjidil Nabawi. Aku tidak perasan bahawa Al-Quran itu berlainan dengan Al-Quran yang dicetak di Kilang Quran King Fahd.

“Waqaf….waqaf….waqaf, Insya’-Allah,” kata Penjual Al- Quran yang terdiri daripada kanak-kanak remaja, di hadapan pintu pagar tempat berjual, di atas kereta sorong beroda dua. Berbagai jenis Al-Quran kecil dan besar ditawarkan. Aku mendapatkan beberapa naskah, dan kemudiannya penjual berkenaan mencetak perkataan ‘WAQAF’ dengan rubber stamp yang telah disediakan.

Naskah-naskah Al-Quran tersebut dibawa pulang ke hotel kerana aku mendapatkannya ketika pulang dari Masjidil Nabawi. Ketika dalam lift seorang jemaah Malaysia menegurku.

“Al-Quran ini ada cop tak? kalau tak ada kelulusan, tak diterima”, katanya kepadaku. Aku tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Jemaah itu.

“Mungkin dapat kelulusan, kalau tidak bagaimana mereka jual”, aku cuba meyakinkan Jemaah itu. Sebenarnya kelulusan itu bermaksud Quran yang dicetak khas di Kilang Quran Raja Fahd, tempat yang kami lawati.

“Al-Quran dari kilang ini sahaja diterima untuk waqaf, Quran lain akan dihantar ke masjid-masjid selain dari Madinah. Al-Quran hijau yang depa jual tu…Al-Quran dari Syria. Tak diterima dalam Masjid,” Ustaz Zul memaklumkan kepada kami dalam perjalanan yang hampir sampai ke Kilang Al-Quran

“Saya dah beli dan waqaf banyak juga. Nak buat macam mana dah beli. Kita pun tak tau, “ Fauzan, jemaah dari Langkawi berkata kepadaku secara berbisik.

Bukan aku sahaja yang telah membeli Al-Quran berkulit warna hijau berkenaan di depan Masjidil Nabawi untuk diwaqafkan, bahkan ramai yang telah terbeli Al-Quran seperti itu.

“Nak buat macam mana abang, kira sedekah waqaf sajalah, “ Fauzan berkata kepadaku.

Kami sampai di kilang percetakan Al-Quran. Banyak bas kelihatan tersusun menandakan banyak Jemaah yang mengunjungi Kilang. Kami diarahkan membuat barisan masuk ke kilang oleh petugas. Majoriti jemaah ketika itu adalah dari Indonesia. Kelihatan ramai di antara mereka masih muda remaja.

“Umrah wisata, Pak,” kata seorang jemaah dari Indonesia yang bersongkok hitam serta memakai baju batik Indonesia.

Sampai di dalam kilang kami melihat proses mencetak Al-Quran. Kami kemudiannya diarahkan oleh petugas membuat dua barisan ketika keluar. Al-Quran percuma diedarkan. Setiap pengunjung lelaki dihadiahkan Quran apabila melalui ruangan pembahagian Quran.

Seorang petugas mengedarkan satu naskah Quran apabila Jemaah melalui tempat itu. Ada juga yang mendapat dua naskah Al-Quran serta senaskah buletin. Ada yang hanya berpuashati sekadar satu naskah. Semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing

Kami kemudiannya berkumpul di kaunter jualan Al-Quran di bangunan bawah dari kilang berkenaan. Ramai yang berebut-rebut membeli Al-Quran, menghulurkan riyal kepada petugas di kaunter jualan. Berbagai saiz Quran ada disediakan.

Wang riyal kelihatan berlonggok-longgok dan disepahkan di atas meja, tempat di mana petugas jualan berada. Begitu banyak, dibiarkan tanpa disusun atau disimpan. Seolah-olah riyal tersebut tidak berharga langsung. Tidak sempat petugas tersebut menyimpan riyal kerana ramai yang menghulurkan riyal kepadanya bertalu-talu, memesan naskah Al-Quran.

Aku sempat mendapatkan beberapa naskah Al-Quran dengan bantuan dari anak Abang Nizar, jemaah yang tinggal di sebelah bilik di hotel penginapan.

Semua dah dapat Quran free?” Tanya Ustaz Zul.

“Ada yang beli untuk waqaf? Quran dari kilang ini sahaja diterima di Masjidil Nabawi dan Makkah”, Ustaz Zul masih mengingatkan semula Jemaah ketika dalam perjalanan pulang.

Dalam perjalanan pulang, kami masih tertanya-tanya mengapa Al-Quran berkulit warna hijau masih dibenarkan dijual secara bebas di luar pagar Masjidil Nabawi. Al-Quran itu dikatakan tiada kelulusan, terdapat berbagai versi dari berbagai negara. Dikatakan ada yang didatangkan dari India, Syria, Iran dan beberapa negara Arab.

“Sebab apa Masjid tak kawal jualan Quran ini? Ramai yang beli tapi tak boleh waqaf dalam Masjid (Masjid nabi)”, kata Fauzan kepadaku.

“Mungkin tak dapat dikawal”, kataku.

“Berapa ramai yang dah terbeli? Al-Quran hijau itu akan dikeluarkan dari rak. Ada petugas yang periksa naskah. Mana yang bukan dikeluarkan, Ustaz Zakaria beritahu tadi”, Fauzan berkata.

Perjalanan diteruskan sehingga kami sampai di hotel. Semua menjamu selera dengan makan tengahari yang disediakan. Semua keletihan. Besok hari Rabu adalah hari terakhir di bumi Madinah.

“Esok jam 10.30 pagi, semua beg semua kena ready di lobi hotel,” Ustaz Roslan yang jarang memberi pesanan bersuara.

“Semua wajib solat Jama’, buat ziarah wida’. Siapa yang sempat ikut saya, “ tambah Ustaz Zul.

Ustaz Zul terus mengingatkan jemaah dengan berkata “Lepas makan tengahari, mandi sunat ihram, niat ihram kemudian pakai ihram, jaga pantang larang berihram. Kita akan bertolak ke Makkah. Perjalanan ambil masa 6 jam. Dalam perjalanan kita singgah di Bir Ali, Masjid Bir Ali untuk berniat Umrah di sana.”

“Ingat kena pakai ihram, sebab Umrah akan bermula bila kita niat umrah di Miqat Bir Ali. Di sana Solat sunat Umrah dua rakaat,” jelas Ustaz Zul.

Itulah antara kata-kata Ustaz Zul dalam bas mengingatkan Jemaah mengenai perjalanan meninggalkan Madinah untuk ke Makkah pada esok hari. Besok adalah hari terakhir berada di bumi Madinah.

Besok bermulanya perjalanan umrah, setelah tamat Ziarah Madinah. Kami akan berada selama tujuh hari di Makkah. Bir Ali adalah salah satu miqat untuk berniat umrah. Bir Ali terletak di luar tanah haram Makkah.

“Besok kita singgah di satu restoran Nasi Bukhari. Original punya,” kata Ustaz Zul.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.