Aku
cuba membayangkan saat-saat pertempuran yang berlaku di Uhud pada ketika
peperangan. Nukilan ini aku kongsikan untuk tatapan semua, bagaimana rentetan
peristiwa yang membawa kepada peperangan Uhud.
Perang
Badar telah dimenangi oleh kaum muslimin. Ramai pemuka-pemuka Quraisy telah
tewas di tangan panglima-panglima muslimin. Namun Abu Sufian bin Harb dan
pengikutnya terselamat. Mereka yang terselamat kemudian berjanji dengan Abu
Sufian untuk memerangi Nabi Muhammad dan kaum Muslimin di Madinah.
"Kita
perlu gunakan segala harta tuan untuk memerangi Muhammad,” seorang ketua
Kabilah memberi cadangan.
"Demi
Latta dan Uzza, aku bersedia mengorbankan hartaku untuk memerangi Muhammad dan
pengikutnya. Dendam kematian saudaraku, Bani Abd-Dar di tangan Hamzah mesti
dilunaskan," Abu Sufian bercakap kepada ketua kabilah dengan penuh
harapan.
"Kita
akan memerangi Muhammad dan pengikutnya sehingga tiada lagi yang mengikut
Muhammad di bumi ini," Abu Sufian berkata dengan dendam penuh di dada.
Kaum
musyrikin menghimpunkan bala tentera, kuda dan unta untuk persiapan perang.
Seramai lebih 3000 orang tentera telah disiapkan. Ditambah dengan 200 ekor kuda
serta 300 ekor unta sebagai rencana untuk melancarkan perang.
Khalid
Ibnu Walid dilantik mengetuai pasukan berkuda, manakala Talha Ibnu Abi Talha
mengetuai pasukan tentera yang dilengkapi dengan 700 tentera memakai baju besi.
Hindun, isteri Abu Sufian bertindak meniup semangat tentera musyrikin.
"Ayuh
semua jangan ada yang tertinggal. Kita perang habis-habisan. Mereka telah
membunuh bapa-bapa kita!"
Rancangan
persiapan perang kaum musyrikin telah diketahui oleh Abbas Ibnu Abdul Mutalib.
Abbas adalah bapa saudara Nabi, beliau amat sayangkan Nabi. Ketika itu Abbas
belum lagi memeluk Islam.
Abbas
kemudiannya mengutus surat memaklumkan persiapan perang yang akan dilancarkan
pada bila-bila masa. Surat itu dibawa oleh seorang lelaki dari Kabilah Ghiffar,
di sampaikan kepada Rasulullah serta dibacakan oleh Ubai Ibnu Kaab.
Rasululullah
kemudiannya memaklumkan kepada kaum muslimin Madinah selepas Solat Asar di
Masjid.
Perang
Uhud berlaku pada bulan Ramadhan .Perang meragut banyak nyawa. Di Bukit Uhud
menyaksikan pemuka-pemuka Musyrikin Quraisy bertindak liar dan ganas. Khalid
Ibn Walid dan anak Abu Jahal, Ikrimah meratah bagaikan harimau yang lapar.
"Kita
bunuh semua, jangan biarkan siapa pun yang tinggal hidup," seru Khalid
dengan bengisnya.
"Ayuh...
ayuh semua jangan biarkan Muhammad hidup!" Ikrimah mengambil tempat di
kedudukan yang strategik.
Perang
berlaku dengan sungguh hebat. Keadaan di Bukit Uhud seolah-olah gelap dengan
debu bertebaran di udara, dari pergerakan kuda-kuda dan pahlawan di kedua-dua
belah pihak.
Serangan
demi serangan berlaku. Tikaman dengan pedang, tombak serta pisau bersilih
ganti. Masing-masing perlu mempertahankan diri, dari terbunuh. Perlu membunuh
sebelum dibunuh musuh.
Hamzah
bin Abdul Mutalib, seorang pahlawan berkarisma dari kaum Muslimin, lahir dalam
tahun hampir sama dengan Rasulullah, seorang yang cekap menunggang kuda dan
memanah telah dipertanggungjawab mengetuai perang itu. Asadullah (Singa Allah)
berjuang berhabis-habisan sehingga titisan darah terakhir.
Sebelum
perang berlangsung, Hindon yang bapanya Utbah telah terbunuh dalam peperangan
Badar, menyimpan dendam kesumat terhadap Hamzah bin Abdul Mutalib. Hamzah mesti
dibunuh dengan apa cara sekalipun.
"Kita
perlukan seorang yang cekap untuk melepaskan tombak ke dada Hamzah,” Hindun
berkata kepada suaminya, Abu Sufian.
"Ada,
kita ada seorang yang bagus di kalangan kita, yang cekap bermain tombak,” jelas
Abu Sufian.
Abu
Sufian kemudiannya menghantar wakil berjumpa Jubair Ibnu Muthim untuk
berbincang sesuatu.
"Washyi
ibu Harb, tuanmu memanggilmu, ada tugas untukmu," pesan seorang orang
suruhan Hindon binti Utbah kepada Wahsyi, seorang hamba berketurunan Habsyi.
Wahsyi
juga adalah hamba kepada Jubair Ibnu Muthim, seorang pemuka kafir Quraisy.
Hindun dan Jubair masing-masing menaruh dendam untuk membalas dendam kematian
keluarga mereka dalam Perang Badar. Jubair berdendam dengan Hamzah kerana
membunuh bapa saudaranya dalam Perang Badar.
Wahsyi
bergegas ke rumah kawan tuannya, Hindun.
"Ya
Puan, saya datang," bersegera Wahsyi mengadap kawan tuannya.
"Aku
mahu engkau melaksanakan tugas yang penting untukku," Hindun menjelaskan
tujuan Wahsyi dipanggil.
"Ada
apa Puan?" Wahsyi bertanya sambil menundukkan kepalanya.
"Aku
ada tugas untukmu. Jika kamu membunuh musuhku, ganjaran besar untukmu menanti, “Hindun
memancing keinginan Wahsyi untuk lebih tahu tujuannya dipanggil.
"Aku
tahu, tuan Jubair juga telah berpesan kepadaku,” jelas Wahsyi.
"Apa
yang dipesan untukmu?" Hindun berkata kerana ingin tahu.
Wahsyi
bergerak sedikit menghampiri Hindon dan membisikkan sesuatu. Bisikan itu
membuat Hindun mengangguk tanda faham.
"Bagus...bagus,”
balas Hindun.
"Aku
bersedia memerdekakanmu dan menyerahkan seluruh hartaku kepadamu dengan satu
syarat," Hindun menambah tawaran.
"Apa syaratnya?" Wahsyi
berminat dengan tawaran itu.
Hindun
pun berkata "Hendaklah kamu membunuh Hamzah, bapa saudara Muhammad dengan
tombak."
Sejak
hari itu Wahsyi membeli sebatang tombak dan berlatih setiap hari. Sasarannya
adalah dada Hamzah Ibnu Abdul Mutalib. Dia berlatih bagi menambahkan
kemahirannya.
Sebenarnya
ketika kaum Musyrikin sedang bersiap sedia melakukan serangan terhadap kaum
Muslimin, Jubair Ibnu Muthim telah memanggil hambanya yang bernama Wahsyi.
"Jika
engkau dapat membunuh Hamzah, aku akan memerdekakan kamu," Jubair menaruh
tawaran yang tinggi kepada Wahsyi.
Serangan
bermula. Kaum Muslimin yang dipimpin oleh Nabi Muhammad serta dibantu oleh
Hamzah Ibnu Abdul Mutalib serta Ali Ibnu Abu Talib berbaris di kaki Bukit
Uhud. Seorang pemuda bernama Abdullah
dilantik oleh Nabi Muhammad untuk mengetuai pasukan pemanah di puncak Uhud.
Perang
dimulakan dengan satu lawan satu dan kemudiannya diikuti dengan pertempuran
terbuka. Hamzah dapat memenggal leher seramai tujuh orang pembawa bendera
Quraisy yang mengenderai unta, sedangkan Hamzah hanya berjalan kaki di medan
peperangan.
Hamzah
bertempur dengan penuh membara dengan penuh gagah berani. Mengikut riwayat
Hamzah telah tahu bahawa dirinya akan gugur dalam peperangan itu. Nabi Muhammad
telah memaklumkan kepadanya . Pada malam akan berlakunya Perang Uhud Nabi telah
mendapat tahu bahawa bapa saudaranya akan gugur syahid.
Pasukan
musyrikin mengalami kekalahan dan terus lari bercempera menyelamatkan
diri. Tentera Muslimin dari kalangan
pasukan pemanah yang berada di atas puncak bukit, lupa pesan Nabi Muhammad.
Mereka meninggalkan posisi sebagai pasukan pemanah serta turun memungut harta
rampasan perang yang ditinggalkan di lembah Uhud. Serangan balas dari kaum
Musyrikin menyebabkan mereka yang sedang memungut harta kucar-kacir.
Wahsyi
yang diberikan tugas besar terus mengintai peluang yang ada untuk merobek dada
Hamzah dengan tombak yang tersedia.
Pertempuran
berlaku dengan sungguh hebat, Hamzah diriwayatkan dapat membunuh seramai 31
orang tentera kafir Quraisy. Akhirnya tersingkap baju besi yang melindunginya
ketika memenggal kepala Siba' Ibnu Abdul Uzza. Ketika itu, Wahsyi yang sedang
bersembunyi di balik pokok melepaskan tombak tepat menusuk dari arah belakang
hingga menembusi pusat.
Hamzah
cuba mengejar Wahsyi yang berselindung di sebalik pokok, tapi darah yang
mengalir dari tubuhnya menjadikannya tidak bermaya, lalu gugur ke bumi.
Ketika
itu Hindun yang menyimpan dendam kesumat mengambil peluang yang tersedia.
Telinga dan hidung Hamzah dipotong. Kemudian dada Hamzah dibelah dengan belati
yang ada ditangannya. Dia cuba memamah jantung dan hati Hamzah yang masih bergerak-gerak.
Namun dia gagal berbuat demikian. Mengikut Imam Bukhari seramai 70 orang
Quraisy terbunuh dalam Perang Badar dan 70 lagi menjadi tawanan perang. Seramai
14 orang tentera muslimin gugur syahid.