Home Novel Cinta I Hate To See Your Heart Break
I Hate To See Your Heart Break
Ann Hann
1/3/2020 15:27:33
14,637
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

Pengakuan bahawa Amr memang menyintainya bukan satu-satunya perkara yang melegakan hati Nika. Walaupun Amr berkata padanya tentang keikhlasan hati  Nika tetap meragui hati jejaka itu. Sebagai seorang wanita yang menuntut kebahagiaan dunia akhirat, dia inginkan seorang suami yang akan membawanya ke arah itu. Bukan satu permintaan besar andai dia mahukan Amr berubah dan menjadi ketua keluarga yang menjadi teladan. Walau bagaimanapun, dia tidak pernah mengharapkan ia akan menjadi nyata begitu mudah.

 Padanya, kesungguhan Amr telah mencukupi kerana mahu menerimanya dan Amr mungkin orang yang paling gembira jika dia mengetahui yang Nika juga mencintainya. Dia ingin memberitahu kepada Amr yang hatinya telah ditaut oleh lelaki itu cuma dia tidak sedar sejak bila perasaan itu muncul. 

Apapun yang sedang dijalani mereka berdua, samada bahagia atau berduka, Nika tetap ingin mengetahui dan mencari kisah sebenar tentang kesahihan cerita Dania tentang kematian Jasmine yang melibatkan Amr. Dia yakin bahawa Amr menderita rasa ketakutan pada dirinya sendiri kerana Jasmine. Dirantai dengan ikatan sah sebagai seorang isteri dia berhak untuk mendapatkan jawapan. Menyiasat tentang latar kehidupan Amr dahulu mungkin akan membuka jalan kepada mereka berdua untuk menikmati hidup yang lebih tenang. 

“Nika...!” 

Nika tersedar dari lamunan panjang. Dr. Kumar meminta diberikan alat suntikan. Dia pantas bergerak dan meninggalkan pesakit asma tadi untuk mendapatkan keperluan Dr. Kumar.

Tepat pukul lima petang, pintu wad kecemasan diterjah lagi. Husin sedang menyorong mangsa kemalangan, kelihatannya tidak parah tapi perlu dirawat segera. Dr. Priya dan Suzzie segera mengambil tugas mereka. Ketiadaan Zakiah membuatkan Nika terasa sunyi sedikit. Begitulah yang dirasakannya setiap kali Zakiah cuti pada hari Khamis seolah-olah dia kehilangan teman berbual yang kecoh walaupun menjengkelkan bagaimanapun sangat menyenangkan hati.

Sejurus jam menunjukkan pukul sembilan malam, dia bersiap-siap pulang sambil berdoa di dalam hati semoga Amr mengambilnya memandangkan Zakiah tidak ada.  Amr sudah memesannya tadi suruh tunggu, dia ada kerja sedikit katanya di telefon sejam yang lalu cuma dia saja yang risau kalau lelaki itu tidak dapat datang.

“Nikaaa....” Husin menyapanya ramah di luar dan suka mempamerkan gigi kekuningannya.

“Tak balik lagi ke?” tanya Nika laju.

“Kejap lagi, tengah tunggu Zainal ni.”

“Oo..” sahutnya.

“Hari tu, abang nampak Nika makan dengan lelaki,  suami Nika ke tu..?” tanya Husin sambil mengangkat keningnya lucu.

“Di mana?” tanya Nika semula.

“Kat cafe world, city square.”

“Oh... emm,” dia mengangguk dan ketawa segan. 

“Haa.... kacak jugak orangnya ek.... rasanya macam abang pernah nampak suami Nika tu, tapi tak ingat pulak kat mana?”

Nika berpura-pura ketawa, dalam hati dia berharap agar Husin tidak mengingati kisah Amr menerjah pintu bilik pembedahan dua bulan yang lalu. Kemudian perbualan mereka lenyap saat suara pembaca berita dari televisyen yang melekat di bawah siling dikuatkan volumenya oleh budak baru yang bekerja di kaunter pembayaran.

Beberapa orang yang ada di situ termasuk Nika mengalihkan tumpuan mereka kepada laporan berita tentang kes pembunuhan seorang rakyat tempatan berbangsa India. Mangsa mati ditembak di kepala dan pembunuhnya tidak dikenal pasti. Kejadian itu dilaporkan berlaku di Kota Tinggi, Johor. Menurut laporan pembaca berita itu lagi, sebelumnya dua lagi kes pembunuhan dilaporkan dengan mayat kedua-dua mangsa dibakar dalam kereta. Kedua-duanya diyakini adik-beradik yang dipercayai telah berhutang banyak dengan Ah long.

“Makin menjadi-jadikan kes Ah Long ni, dah macam pembunuhan bersiri,” ujar Nika.

Husin mengangguk mendengarnya sebelum berkata. “Tapi.. ni.. yang mangsa India ni, bukan kes dibunuh Ah Long, dia dibunuh oleh orang-orang Samuel...” jawabnya dengan nada perlahan.

Nika membundarkan matanya tersentak. Serta-merta dia teringatkan ayahnya. Menakutkan benar nama Samuel itu. Penjenayah yang paling diingini itu dikatakan masih bebas di Johor.

“Macam mana abang tahu?”

“Mangsa tu dibawa masuk wad pembedahan syif petang semalam, keluarganya cerita, orang-orang Samuel syaki dia yang buat laporan pada polis pasal kes rompakan yang gagal tempohari ingat tak.” 

Nika pula mengangguk faham.

“Polis cerita kat bapak mangsa tu, masa tu Zainal... tahulah menyibok sikit.. haha..” dia ketawa dan menyambung ceritanya. “Dia kata budak tu yang bawa kereta dengan tiga rakannya yang cuba rompak kedai emas tu tapi dia lari bila polis datang, haa.. tup..tup dah mati, entah macam mana dorang tahu dia sembunyi kat mana.” 

Nika cuba mengaitkan semua itu dengan Amr yang juga dicurigainya. Tetapi dia gagal mencerna apa-apa untuk memburukkan Amr, suaminya sendiri.

“Dengar cerita... ada tali barut dalam geng Samuel tu, sebab tu kes rompakannya gagal, rumah pelacurannya di KL pun dah kena serbu.” Husin begitu rancak bercerita.

“Mereka nilah geng Rats kan?” kata Nika lagi pada Husin yang mengangguk laju. Dia pernah membaca senarai jenayah yang telah dilakukan oleh kumpulan yang dikatakan diketuai oleh Samuel dalam surat khabar dan dikatakan pihak polis sedang giat memburu kegiatan haram dan kebanyakan ahli kumpulan tersebut.

Husin kemudian menyambung ceritanya yang semakin panas tentang beberapa kes pelacuran yang melibatkan Samuel yang dikatakan kejam.

Ketika dia semakin seronok mendengar cerita Husin, Amr pun datang walaupun lewat lima belas minit. Nika segera beredar dan mendapatkan Amr yang menyambutnya dengan senyum senang. Cerita pasal jenayah Samuel tadi tidak dilanjutkannya kepada Amr. Melihat dari cara Amr yang memandu agak laju dan mereka tidak pun bercakap sepanjang perjalanan pulang sehinggalah pagar automatik dibuka, dia tahu yang Amr mungkin hendak keluar awal malam ini. Dia enggan bertanya. 

“Kunci semua pintu dan pastikan telefon bimbit kau berfungsi, kalau ada apa-apa telefon aku,” kata Amr, tiba-tiba sahaja memesan semua yang membuat Nika kembali curiga.

“Kenapa? Kau nak ke mana?” soal Nika ragu dan memandang muka Amr tepat.

“Aku ada kerja...” Amr diam sebentar seperti sedang berfikir. “Atau aku hantar kau ke rumah Zakiah..” katanya lepas sesaat, gayanya seperti orang yang cemas dan bimbang akan sesuatu.

“Tak payah, aku di rumah aje, jangan risau. Kenapa kau macam takut.. Amr, apa yang kau dah buat?” soal Nika melulu.

“Tak ada apa-apa, aaa... aku nampak ayah kau berkeliaran di kawasan ni siang tadi. Dia ke rumah kecil tu.. tapi lepas tu dia pergi, aku cuma bimbangkan kau,” jelasnya.

Nika percaya kalau ia berkenaan dengan ayahnya. Sebab, itu juga yang dirisaukannya sejak akhir-akhir ini.

“Jangan bimbang, kalau ada apa-apa... aku hubungi kau.” 

Amr menghantarnya hingga ke muka pintu dan menutup pintu rumah sebelum beredar. Nika tidak mahu memaksa apa-apa dari Amr. Tetapi.. dalam masa yang sama dia mahu tahu kenapa dengan Amr. Macam ada yang tak kena dengan suaminya itu. Dia penjenayahkah? Oh Tuhan! Kenapalah dia yang harus memikirkan semua ini.

Sehingga jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi Nika masih belum mengantuk. Dia cuba memaksa dirinya tidur dan memejamkan matanya rapat-rapat tetap juga tidak dapat lelap. Sekejap-kejap dia beralih ke kiri tak sampai seminit pindah lagi ke kanan. Barangkali kerja tak banyak sangat jadi matanya masih segar dan enggan terpejam. Amr masih belum pulang. Dia risaukan lelaki itu walaupun tidak mahu terlalu memikirkannya. 

Beberapa kali Nika mengeluh kerana gelisah tidak dapat tidur, dia baru bercadang mahu mengambil segelas air sebelum dikejutkan dengan deringan telefon bimbitnya. Barangkali Amr. Cepat-cepat dia menggapai telefon di bawah lampu meja. Tekaannya silap. Nombor tidak dikenali terpapar di atas skrin. Lantas dia menjawab dengan malas. 

Kedengaran suara perempuan menyapanya.

“Hello Nika... ingat saya lagi?”  

Nika pelik sesaat. “Err... tak? Siapa ni?” sahutnya juga.

“Ini Dania, kita jumpa di majlis hari tu..” 

Dia pantas mengingati wajah Dania. “Dari mana awak dapat nombor telefon saya?” tanyanya bingung.

“Dari Amr, dalam handphonenya...” sahut suara Dania disusuli bunyi ketawa mengejek yang manja.

Nika terbayangkan kembali wanita itu dengan bibirnya suka mencemuh dan gaya manjanya yang selalu minta perhatian. “Oh... Dania.. ada ada apa awak cari saya lewat begini?” 

“Emmm... tak penting sangat, cuma nak beritahu awak... saya dengan Amr sekarang, dengan kawan-kawannya dan teman-teman saya juga, moodnya bagus betul, baiknya hati awak izinkan dia keluar lewat begini.” 

Setiap patah ayat yang Dania ucapkan itu hatinya seperti ditusuk duri beracun yang tidak punya penawar! Perasaannya luluh. Airmatanya mula bergenang.

“Awak tak percaya?” nada manja itu semakin menyakitkan. 

Tidak tahan mendengarnya Nika menutup talian. Dia percaya dengan Dania. Tidak perlukan bukti untuk itu. Dia sendiri pernah menjadi saksi. Amr tidak berubah. Dia hanya mampu membuat pengakuan yang cintanya tulus tetapi lelaki itu tidak mampu menyembunyikan semua pengkhianatan. Baru sahaja dia memesan dengan rasa prihatin kerana bimbang keselamatannya seorang diri di rumah. Sedangkan dia bersuka-suka di luar sana. Dia akhirnya kalah... kerana cuba meyakini Amr selalu benar. 

Keesokan subuhnya, selepas solat, Nika tidak terkejut kalau dia melihat kamar Amr kosong. Lelaki itu tidak pulang semalaman. Entah menghabiskan mood gembiranya di mana. Kehidupan orang yang penuh kemewahan tidak perlu dipersoalkan. Yang perlu dipersoalkan, apa akan jadi pada dirinya sendiri? 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.