Bab 36

“Kita perlu bercuti,” ulang Amr lagi. Ayat yang sama dikatakannya selepas Nika akhirnya terpaksa bersetuju. 

“Untuk apa? Aku rasa kita boleh tunggu sebulan dua lagi,” sahutnya lambat sambil merapatkan baju sulaman ke tubuhnya yang disimbah suhu dingin dalam kapal terbang. 

“Nikmati hidup, kau perlu lupakan memori hitam itu. Biarkan ia berlalu.”

“Sebenarnya aku boleh lupakan,” gumamnya tidak yakin. “Aku tak tertekan.”

“Aku tahu kau kuat, aku kagumi kau,” Itu sahaja jawapan Amr selepas itu dia berdiam dan bermenung jauh ke luar jendela memerhatikan gumpalan-gumpalan awan yang menghiasi dada alam.

Amr kelihatan banyak berubah dari segi emosi. Dia benar-benar sudah dirawat dan nampak lebih bersedia dari sebelumnya sewaktu hubungan mereka berdua beberapa bulan dulu begitu terumbang-ambing tanpa hala tuju. Tetapi dalam masa yang sama dia juga masih bersikap hendak mengawal Nika secara keseluruhannya dan siap-siap menentukan apa perlu mereka lakukan sekarang ini.

Bagi Nika, samada mahu atau tidak keputusan bukan di tangannya. Semuanya keputusan Amr termasuk kerjanya yang bakal terbengkalai. Mereka berdua akan pergi bercuti ke satu lokasi pelancongan terkenal di negeri Sabah. Dia sendiri pun tidak tahu ke mana dan hanya menurut semua kehendak Amr.

***

Tubuhnya seperti terapung sebaik turun dari kapal terbang. Telinganya masih berdengung dan seolah-olah  bermimpi ketika membaca ucapan selamat datang ke Tawau yang menyambut kedatangan semua penumpang.  Dialog atau slang orang Sabah semakin menjadi kebiasaan pada halwa telinga.

Selepas tiga jam terbang di udara dan semua urusan penginapan siap diuruskan. Sekejap lagi mereka akan bertolak ke Semporna dalam sejam perjalanan, kata Amr tadi. 

Dalam perjalanan menaiki sebuah van pelancongan Amr menunjukkan kawasan-kawasan yang dikenalinya.

Sesampainya ke daerah Semporna, mereka terus dibawa ke jeti tempat bot-bot berlabuh. Sekarang mereka hendak melalui laluan laut pula. Perut Nika mula senak, tak pernah walaupun sekali pun dia naik bot atau apa-apalah pengangkutan laut. Dia bimbang melihat laut yang besar itu dengan enjin-enjin bot menderu laju yang menggetarkan. 

“Kau tak mabuk laut?” tegur Amr di dalam bot sambil memeluk bahunya ketika dia sedang asyik mendengar bunyi ombak memukul tebing batu. 

 “Errr.. tak tahu..” ucapnya risau saat terpandang seorang anak perempuan mat salih dalam lingkungan empat atau tiga tahun dalam dakapan ibunya. ‘Tak mabuk laut ke budak tu,’ desis hatinya.

Mereka sedang menunggu pelancong-pelancong lain yang berbaris di atas jeti kecil untuk masuk ke dalam bot. Hampir kesemua penumpang dalam bot itu berbangsa barat malah kelihatan seperti sudah biasa dengan perjalanan laut mereka. Pemandunya orang yang terakhir sekali masuk dan bersedia membawa mereka meredah lautan menuju ke Pulau Mabul. 

Amr memakaikan Nika jaket keselamatan berwarna orange yang menambahkan lagi rasa bimbang. Kepalanya terbayangkan kalau bot itu terbalik di tengah lautan. Oh Nika! Kenapalah dia suka fikir yang bukan-bukan. Sekarang bukan lagi Amr yang menderita  kekeliruan perasaan sebaliknya dia.

“Jangan risau, aku pandai berenang,” kata Amr seperti boleh membaca fikirannya. Dia tersengih. “Kita akan sampai dalam masa 45 minit,” Amr menepuk bahunya dan bersandar selesa. Lagaknya seperti sudah terlalu biasa melancong ke pulau-pulau di seluruh dunia seperti pelancong yang lain di dalam bot itu. 

Enjin bot telah dihidupkan kemudian berundur perlahan-lahan dari tempatnya berlabuh. Pemandu bot itu kelihatan begitu mahir dan bila membuat anggapan ‘mahir’ itu, Nika seolah-olah menyedapkan hatinya sendiri. Tetapi dalam lima, entah berapa minit tiba-tiba saja ia menderu laju, meredah ombak yang memukul ke dinding bot yang kalis dari simbahan laut biru. Tubuhnya terasa dihentak-hentak, perjalanan menaiki bot itu tidak sama dengan kereta mahupun kapal terbang. Jauh sekali! Dia selalu membayangkan kapal besar yang bergerak dengan tenang di atas lautan yang beralun gemalai itu tapi bot itu tidak! Dia bukan saja merasa seperti terhuyung-hayang tapi mula pening, penumpang-penumpang lain kelihatan lebih tenang berbanding dirinya. Kalau sahaja dia tidak bersedia, mungkin sepuluh minit tadi dia sudah terhumban ke dalam laut.

“Lautnya agak berombak hari ini!!!” Amr bersuara kuat kerana bunyi enjin bot yang begitu bising.

“Ohh... aku tak selesa,” luah Nika, dia menahan telinga mendengar bunyi enjin bot yang begitu kuat.

“Sebentar lagi kita sampai!” Amr mengenggam tangannya. 

Angin terus menghembus kasar, terasa udara liat dan bergaram menepek ke muka. Kepalanya hanya melihat ke sebelah kiri. Kelajuan bot itu menyukarkannya hendak melihat pemandangan. Hanya sekali dua dia melihat bot yang sama turut bergerak nun jauh di arah sana. 

Selepas minit keempat puluh bot itu mula perlahan, lautnya juga kelihatan lebih tenang. Semakin dekat, semakin jelas nama Pulau Mabul Resort terbentang melengkung di depan mata. Beberapa orang pekerja di atas jambatan bersedia menyambut ketibaan mereka. Amr lebih dulu bangun dan berjalan di hadapannya berbaris-baris dengan pelancong yang datang dari pelbagai negara. Mereka semua keluar dari sebuah pintu yang dibuka dari depan muncung bot tersebut. 

“Mom! Look at that!!” seorang anak lelaki mat salih menjerit bila melihat kumpulan ikan di dalam laut.

Nika ikut teruja melihat ikan-ikan yang banyak itu tetapi kepalanya pening sedikit, terasa tubuhnya masih terolang-oleng di dalam bot itu. Kakinya seperti tidak berpijak dengan betul. Ditambah lagi dengan matahari yang tegak di atas kepala, dia mula tidak selesa. Bahang kepanasan dan hembusan angin laut di pulau itu lain benar dengan kehidupan di kota. Amr segera menghulurkan tangannya dari atas jambatan, dia mencapai tangan Amr tidak sabar mahu berehat dan menghilangkan rasa tidak enaknya. 

“Selamat datang ke Pulau Mabul,” sapa pekerja-pekerja di pulau itu dengan ramah.

“Welcome to Mabul Island,”

“Welcome...’

Itulah ucapan mesra mereka kepada semua pelancong. Nika turut tersenyum lebar dan menurut saja tangan Amr yang membawanya ke bahagian Reception, tempat mereka mengisi borang yang diuruskan oleh Amr juga. Di situ, beberapa pelayan memberikan tisu basah dan jus tembikai yang sangat menyegarkan tekaknya. Dia segera mengelap tempias udara laut masin dari wajahnya. Amr telah pun berkenalan dengan dua lelaki mat salih yang mungkin penyelam laut dalam.

Tetapi, yang paling tidak menyenangkan, Amr rupa-rupanya menempah Grand Deluxe Chalet yang terletak paling hujung, mereka berjalan di atas jambatan kayu yang panjang dan melengkung. Seorang pekerja lelaki mengiringi mereka sambil mengheret bagasinya dengan bunyi berderap-derap pada papan-papan yang telah terhakis warna kulitnya. Amr berjalan di hadapannya dengan beg sandang digalas di bahunya. 

Sejurus pintu chalet itu dibuka, hati Nika resah dan berdebar, melihat lagi kamar tidur yang terhias rapi di hadapan matanya dia semakin gelisah.

“Kau tak booking satu lagi bilik,” soalnya sebaik saja pekerja tadi meninggalkan mereka.

“Buat apa?” tanya Amr bingung dan baring dengan enaknya.

“Errr... untuk kau?” jawapan yang lebih kepada pertanyaan.

“Kau tak takut tidur sendirian? Kau pernah dengar kes penculikan di pulau ini? Atau kau betul mahu aku tempah bilik lain juga untuk kau?” dia mula bangun.

“Err... tak payahlah,” bantahnya tidak mahu menyusahkan lelaki itu.

“Marilah Nika... kita berehat, tidur sekejap lepas tu kita pergi makan.” 

Baik benar hati Amr memanggilnya turut sama baring di katil besar itu. Barangkali mahu menguji hatinya yang sedang terusik. Dia tidak mempedulikan Amr, sebaliknya berpura-pura sibuk mengeluarkan baju-bajunya dari bagasi dan menyimpannya ke dalam almari.

“Berapa lama kita di sini?”

“Seminggu.”

Seminggu! Dia terkejut. Oh Tuhan..... duduk berduaan dengan Amr dalam bilik ini selama seminggu? Cepat-cepat dia membuang segala prasangka dari kepalanya dan cuba berlagak biasa terutamanya di depan Amr.

Selepas makan malam yang sangat menyelerakan dengan hidangan udang bakar idamannya yang memang mudah diperolehi di laut Sabah ini Nika dan Amr kembali menyambung penjelajahan mereka di sekeliling kehidupan Pulau Mabul yang memang benar-benar menakjubkan.

“Nika, tengok tu, penyu..” kata Amr.

“Mana?” matanya kelam-kabut mencari. “Mana? Mana penyu?” 

Amr menunjuk jarinya ke sesuatu di dalam laut. Seekor penyu sebesar meja kecil berwarna kehitaman sedang bergerak perlahan. Dia mula teruja seumur hidupnya ini kali pertama dia melihat penyu sebesar dan sejelas itu. 

“Wah! Penyu, cantiknya.....”

“Kau tak pernah lihat penyu?”

“Tak.... adalah kat tv,” lurus saja dia bercakap tentang kenaifannya. Dia terus membongkok di pagar jambatan di bawah tiang lampu yang menyuluh samar-samar si penyu yang sedang berenang-renang di dalam laut sendirian tapi sentiasa hidup tenang. “Bolehkah kita selalu nampak penyu di sini?”

“Memang habitat mereka di sini, besok pagi kita pergi ke Pulau Sipadan tak jauh dari sini. Di sana lebih banyak hidupan laut, aku ajarkan kau macam mana snorkling, mahu?”

“Mahu!” laju sahaja mulutnya menjawab. Tidak sabar betul dia mahu merasai pengalaman seminggu di pulau ini yang mungkin tidak akan dinikmatinya bila mereka berdua kembali ke Johor Bahru nanti.

Angin malam terus menyapu ke wajahnya. Dia merapatkan lagi jaket yang Amr berikan kepadanya. Para pelancong lain masih seperti mereka sudah lewat malam tapi tidak jemu-jemu bercerita di tepi-tepi titi. Melihat ikan-ikan yang menyerikan laut biru yang semakin dalam dengan bulan terang dan taburan bintang di langit turut memeriahkan keindahan di seluruh chalet itu. 

Tiba-tiba Amr disapa oleh seorang lelaki inggeris. Kelihatannya mereka seperti sudah kenal lama dan ketika dia diperkenalkan kepada lelaki asing itu, dia menyebut namanya sebagai Peter.

“Dia seorang penyelam, hampir semua pulau di dunia ini dijelajahinya,” kata Amr pada Nika yang hanya mengangguk teruja dan tersenyum lebar.

Kemudian kedua lelaki itu mula berbual. Kedengarannya mereka seronok bercerita pasal aktiviti menyelam di luar negara. Oleh kerana tidak mahu menghentikan perbualan dua teman lama itu Nika memohon pada Amr mahu kembali ke bilik, dia mahu  berehat dan tidur.

Tetapi malangnya, selepas beberapa minit berguling-guling di atas katil matanya masih tak mahu lelap biarpun angin membuai-buai enak di dalam bilik. Bosan baring dia lantas bangun dan pergi ke balkoni belakang. Angin menderu lebih deras ketika dia berdiri di tepi pagar. Desiran ombak perlahan mencebur ke tiang-tiang chalet jelas kedengaran dan sangat menenangkan.Walaupun kedinginan mulai menusuk lewat malam itu Nika enggan berganjak, dia seolah-olah tidak ingin melepaskan malam di pulau itu. Lupakan sejenak kesedihan yang dialaminya hampir dua bulan yang lalu selepas kematian ayahnya.

“Kenapa kau belum tidur?” Amr tiba-tiba muncul di belakang. Nika memusingkan tubuhnya melihat Amr yang sedang bersandar di tiang berdekatan kerusi rehat. Sosok tubuh Amr jelas kacak di bawah bulan purnama.

“Belum mengantuk lagi...” jawabnya.

Nika berpaling perlahan. “Ya.” Sebenarnya dia lebih risaukan perasaannya. Tiba-tiba pergi bercuti begini dengan seorang suami yang tiba-tiba juga muncul buat Nika jadi skeptikal.

“Kau macam ragu-ragu...?” Amr bersuara lambat.

Itu salah satu penyebabnya. 

“Cuba jangan fikirkan perkara tu lagi. Fikirkan betapa tenangnya berada di pulau ini. Sebab tu aku bawa kau ke sini supaya kau boleh buang semua memori tragikmu.”

“Aku cuba Amr, tapi aku cuma risaukan kau... betulkah...”

“Dengar sini..” Amr mencelah lagi. “Kau risau kalau aku berfikiran tak keruan lagi? Aku dah pulih sepenuhnya Nika, kau nak tengok laporan hospital? Kita boleh telefon Puan Rahimah... ”

“Tak, tak payah aku cuma teringatkannya sesekali,” pintasnya.

“Aku faham..” Amr bergerak dari tempatnya bersandar dan sedang berjalan ke arahnya.

“Jangan dekat!” tiba-tiba Nika memberi amaran seperti tindakan refleksi yang tidak dijangka. Amr ikut berhenti dan kehairanan. Saat itu hal yang paling ditakutkannya, berada terlalu hampir dengan Amr di tengah-tengah pulau ini.

“Kenapa? Kau pemilik pulau ini?” katanya lalu tersengih lucu. Seperti tercabar dengan amarannya Amr lebih berani mendekatinya. “Ada dalam pakej ke yang pagar balkoni ni sebahagian dari kawasan peribadi kau,”

“Ada!” sahutnya geram mendadak. Tapi jarak mereka kini hanya selangkah saja. Amr sekarang betul-betul di hadapannya. “Amr....”

“Kenapa aku tak boleh dekat dengan kau, atas alasan apa?”

“Errrr... aku... aku..” dia mencari-cari perkataan yang sesuai tapi gagal.

“Kita memang sudah terlalu hampir Nika.”

“Oh.. jadi kau..!” kata-katanya tersangkut. Dia menelan air liurnya sendiri dengan perasaan bergetar.

“Kenapa?” tanya Amr mengejek dengan senyuman sengetnya.

Amr mencapai semula tangannya dan mengelusnya penuh rasa kasih. Mata mereka saling bertentangan pada malam yang kian sunyi dan dingin. Tiupan angin cinta menyelubungi hati Nika yang tanpa disedarinya semakin mengembang dan memenuhi ruang hati. Setiap kali dia berhadapan dengan Amr  getaran jantungnya menggoyah ragu hingga akhirnya meruntuhkan segala prasangka hanya kerana mereka berdua sebenarnya saling jatuh cinta yang telah dinafikan entah berapa lama.

“Aku berbohong tentang perasaanku, aku nafikan semuanya padahal aku ingin selalu memelukmu memberikan kebahagiaan padamu dan lihatlah bagaimana aku gagal memberi itu semua padamu...” bisik hati kecil Nika dengan mata yang berkaca-kaca. 

“Kau sudah jelas tentang perasaan aku Amr, aku tak perlu katakannya.” Itu saja yang mampu diluahkannya untuk mewakili seluruh keinginan hatinya saat ini. “Tapi seperti wanita lain aku juga tak mahu cinta aku dikhianati lebih-lebih dalam hubungan serius kita berdua. Kita bukan dua pasangan bercinta, kita suami isteri, ada perbezaan di antaranya dan ia bukan perkara main-main.”

Amr menghulurkan tangan lalu membelai pipinya lembut. “Peluk aku Nika..” katanya perlahan dan merapatkan tubuhnya hingga tidak ada sedikitpun ruang yang menjadi jarak di antara mereka berdua. Seolah terpukau Nika lantas memeluknya, airmatanya mengalir ke pipi menitis bersama kehangatan dada Amr. Dia mendengar degupan kencang sebuah nyawa dari balik tubuh lelaki itu. Sama seperti debaran jantungnya saat ini. Barangkali itulah tandanya permulaan suatu hubungan suci dan benarkah semuanya akan menjadi lebih indah bila mereka saling memberi dan menerima. 

Malam semakin larut, suara ombak terus menemani pelukan dua sang kekasih yang kian erat dan seperti tidak mahu dilepaskan lagi. Gemuruh rasa cinta diluah lebih mendalam dan mereka menyatukannya dalam erti ikatan sebenar. Bermula pada saat itu, Nika hanya ingin disayangi, dicintai oleh seorang lelaki yang membuatnya selalu jatuh cinta. Raylan Amr.


Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.