Bab 37

Di jeti, tempat berlabuhnya bot-bot pengangkutan Pulau Mabul, dengan mengenakan jaket pelampung sebagai keselamatan Amr mengajarnya snorkling beberapa meter dari jambatan jeti itu. Dia kagum melihat ikan-ikan kecil berenang berpusaran di dalam laut. Selepas 26 tahun dia akhirnya merasai pengalaman melihat hidupan sebenar di dalam laut. Walaupun bukan sebagai penyelam pakar dan sekadar menyelam sekejap-sekejap dengan bantuan Amr tapi Nika berasa sungguh seronok dengan aktiviti itu. Ada juga pengunjung tempatan dan pelancong asing yang sepertinya, berenang-renang dan snorkling di situ dengan keluarga atau kawan-kawan mereka. Sesekali Nika menjerit ketawa melihat dua tiga ekor ikan sebesar betisnya. 

Keesokannya mereka dibawa ke Pulau Sipadan untuk menikmati keindahan lautannya yang terkenal di dunia. Bagaimanapun, dia hanya berehat di tepi pantai. Amr sudah hilang sejam yang lalu dengan pasukan penyelam pulau itu termasuklah Peter. Mereka pergi ke laut dalam, katanya mahu menyelam. Jadi, tinggallah Nika sendirian di tepi pantai, di bawah sinaran matahari pagi yang menyelar kulit gebunya. Selepas beberapa minit dia mencari tempat berteduh di pohon rendang yang membengkok dan hampir rebah. Dia menyapu lagi losyen penghadang sinaran UV ke seluruh kulitnya yang dibelinya sebelum datang ke pulau ini. 

Entah sudah pukul berapa sekarang, dia cuma datang ke situ dengan beg kantung yang berisi sebotol losyen dan air mineral. 

“Nika!!!” Amr melambai-lambaikan tangannya dan berlari kecil ke arah pantai. Bot yang membawa mereka semua kembali beredar.

Wajah kepuasan selepas menyelam terpapar jelas di wajah Amr yang keletihan tapi terus sahaja menerpanya di bawah pohon itu, menganggu keasyikannya menikmati udara hangat. Sekucup ciuman mendarat di pipinya dengan sebaris ayat yang mengujakan. 

“I love you..” ucap Amr mesra.

Nika terasa malu, darah hangat menyerbu ke mukanya.

“Seronok?” soalnya.

“Ya... dah lama aku tak menyelam.”

“Cantik tak ikan-ikannya?”

“Amazing... kau patut ikut aku menyelam tadi,” dia berdiri semula dan menarik tangan Nika yang ketawa lucu bila Amr mahu mengajaknya menyelam di bawah paras 20 meter ke dasar laut. “Ayuh bangun, kita jelajah lagi pulau ni.”

“Tak mahu, nanti kulit aku terbakar.”

“Jadi? Apa guna sapu losyen tu?” 

Huh! Dia bukan tak mahu berjalan-jalan dan bermanja-manja dengan Amr di tepi pantai tapi dia alah dengan bahang matahari di pulau Sipadan ni. Bagaimanapun dia tetap berdiri demi untuk suaminya tersayang.

Sepanjang hari, setiap saat dan seperti mesranya bayu yang membuai-buai tubuh begitulah juga mereka berdua berbulan madu di pulau yang cantik itu. Amr hanya memegang tangannya sepanjang sisir pantai dan tidak melepaskan pelukannya sehinggalah mereka kembali semula ke chalet di Pulau Mabul.

Malam terakhir di pulau, hatinya semakin riang. Sudah terlalu lama dia tidak pernah menikmati rasa bahagia yang pernah dinoktahnya perkataan itu tidak ada dalam kamus hidupnya. Tetapi, selepas dia dan Amr saling meluah rasa cinta yang disimpan begitu kemas barulah dia tahu yang hidup ini sebenarnya sangat adil hingga kita tak menyedari betapa sulitnya untuk menangis. Lewat malam terakhir itu juga, dia malah tidak peduli jika sesiapa yang mengatakan mereka kebudak-budakkan, duduk di atas lantai papan dengan kaki mereka berdua terjuntai-juntai ke bawah. Nika suka melihat ikan-ikan bermuncung tajam bermain di permukaan laut berebut-rebut mendedahkan diri melalui biasan tiang lampu di tengah-tengah resort itu.

“Apa kau fikir?” tanya Nika ketika Amr mendongak ke langit yang penuh dengan bintang-bintang dengan kedua tangannya menongkat ke belakang.

Dia berpaling dan tersenyum kemudian mengenggam tangan kanan Nika erat. “Aku sedang fikirkan macam mana nak dapatkan anak kembar.” 

“Astaga...” Nika tersedak lucu. Lidahnya tiba-tiba kelu tapi dia pun suka mendengarnya.

“Lepas kita ada baby nanti, aku mahu kau berhenti kerja. Uruskan rumah dan jaga anak kita sepenuh masa,” kalau sahaja wajah Amr tidak begitu serius ketika mengatakannya dia mahu ketawa kuat-kuat bila dia disuruh menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Kalau aku tak mahu?” bantahnya dan hampir ketawa gelihati.

“Aku akan tambah lagi kembar tiga supaya kau sibuk uruskan mereka semua.” kali ini mereka berdua ketawa. Nika tidak dapat menggambarkan betapa kecohnya hidupnya waktu itu.

“Cuba fikirkan dulu macam mana nak jadi ayah yang baik untuk teladan anak-anak,” tukasnya lembut dan mahu selalu mengingatkan Amr.

“Baiklah sayang... aku akan buktikan nanti,” lantas Amr mengucup pipinya lagi.

Detik ini selepas meluruhkan semua keraguan dan prasangka, Nika mendapati Amr banyak berubah. Dia bukan lagi lelaki dingin yang selalu mengalami mood tidak menentu. Saat ini dia lebih banyak senyum, suka bercerita dan lebih penyayang.

“Kau yakin kita boleh teruskan?” soal Nika perlahan, begitu mendadak perasaan tidak enak dalam perutnya yang tidak kena mengena dengan masuk angin.

Amr berpaling pantas padanya. “Kenapa kau kata begitu, kita dah lakukannya...”

“Ish! Amr.. ke situ pulak..” dia mula geram.

“Nika...” panggil Amr, mata mereka saling bertentangan. “Aku cintakan kau, itu yang kau perlu pegang untuk seumur hidup kita. Kau mengerti?”

Nika menganggukkan kepalanya dan tersenyum.


Previous: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.