Bab 19

Kelam-kabut dia bangun ketika jam menunjukkan pukul 7.15 minit pagi. Tangannya menggagau mencari telefon bimbitnya yang telah terjatuh ke lantai dan kehabisan bateri membuatkan dia gagal mendengar alarm yang biasa telah disetkan. Hari ini dia memulakan syif pagi.

Ibu jarinya menekan butang hijau bagi memastikan telefonnya beroperasi semula. Dua minit menunggu fungsinya kembali teratur dia menelefon Zakiah dan menyuruhnya tak payah tunggu. Dia naik teksi saja nanti. Selepas mematikan talian dia berjalan masuk ke  bilik air dengan terhincut-hincut. Tapak kakinya yang terkena pecahan kaca masih lagi sakit. 

Pukul 7.50. Nika menjenguk bilik Amr. Melihat lelaki itu masih tidur, pintu dirapatkannya kembali. Dia lalu turun ke bawah untuk menyiapkan sarapan dahulu sebelum kerja. Kepalanya masih berat kerana tidur lewat malam tadi. Agak lama dia menemani Amr semalam dan mendengar cerita yang sama sekali tidak disangkanya bahawa Amr disahkan mengalami anxiety disoder yang membawa kepada kemurungan berlarutan dan kadang-kadang mendorongnya untuk bunuh diri kerana terlalu bimbangkan sesuatu perkara. Dia mula mengalaminya ketika tinggal di New York.

Itu, memang satu kejutan pada Nika. Amr memberitahu padanya ia berlaku sejak tiga  tahun yang lalu tapi tidak menjelaskan apa puncanya. Dia juga mengaku yang dia tidak lagi mengambil ubat-ubatan yang sepatutnya harus diambil untuk mengatasi masalah kemurungannya. Memahami apa yang telah Amr hadapi sekarang merupakan satu lagi ujian buat Nika untuk terus bertahan dan mahu membantu Amr menangani kemurungannya. 

Mungkinkah, kerana dia merasa telah mengecewakan Nika maka Amr nekad untuk menghabisi riwayatnya malam tadi.

“Kenapa kau tak pergi lagi!”

 Suara tinggi Amr tiba-tiba memecah kesunyian pagi ketika dia sedang membuat secawan kopi. Nika berpaling ke belakang. Amr masih berbaju tidur, di tangan kanannya sekeping nota yang Nika letakkan di bilik Amr semalam dan lupa membuangnya.

“Kenapa kau masih berada di rumah ni!” nada suaranya kedengaran mendesak. Dia kelihatan sembuh sepenuhnya dan kembali bersifat dingin yang boleh menaikkan kemarahan. “Apa alasan kau masih berada di rumah aku lagi! Bukankah kau mahu pergi!” bentaknya lebih garang.

“Amr...” Nika cuba mencelah dan mahu menerangkan hal sebenar tapi tidak berjaya. Amr semakin berang.

“Buat apa kau tinggalkan nota, kalau kau masih mahu berada dalam rumah ini!”

Dengan dengusan geram Nika menghempas kasar cawan yang dipegangnya di meja sebelum memandang Amr.

“Terima kasih Amr! Thanks!... hmmm, baguslah. Jangan ingat aku suka berada dalam rumah ni! Dan jangan kau berani menyangka aku masih berada di sini kerana hubungan kita! Kalau saja aku tak fikirkan keadaan kau semalam... aku dah lama pergi!. Tapi kalau kau mahu aku lakukannya, baiklah,” kata Nika berang. Matanya mula berkaca. Suaranya terhenti sesaat lantas melarikan matanya dari memandang Amr di hadapan. Dia segera beredar dari situ, bahu mereka berlanggar ketika Nika keluar dari lorong sempit di antara meja makan dan almari.

Kali ini, dia nekad. Peduli apa dengan Amr dan masalahnya. Dia juga tidak lagi kisah pun hendak mengambil pakaiannya di atas dan rela keluar sehelai sepinggang kecuali kad pengenalan dirinya. Amr – betul-betul menyakitkan hati! Tubuhnya bergetar menahan rasa marah yang mahu meletup.

“Kau mahu ke mana?” tiba-tiba Amr bertanya kuat.

Itu betul-betul soalan bodoh! Desis hati Nika tapi enggan berpaling pada Amr yang sedang mengekorinya di ruang tamu.

“Keluar dari rumah ini, untuk apalagi aku berada di sini, bukankah aku perempuan bodoh kerana sanggup tinggal dengan kau dalam rumah ni!” balasnya sinis sambil berjalan pergi dengan kaki yang terhincut dan berbalut.

Sekejap sahaja Amr menghalang dan berdiri di hadapannya lalu melihat pada kakinya yang cedera.“Kau tak boleh pergi,” cegahnya pula.

Nika berhenti, dia memandang geram dan benci tapi nekad untuk membalas semuanya. “Kau tak sepatutnya halang aku Amr dan aku tak perlukan simpati kau.” Kemudian dia mengeluarkan sejumlah wang kertas dari dalam dompetnya hingga habis. Malah tidak tahu berapa jumlahnya.

“INI!” dia menayangkan kepingan wang itu di muka Amr sebelum meletakkannya di atas meja berhampiran mereka berdua di mana bingkai gambar-gambar kenangan keluarga Amr terhias di situ. “Sedikit wang, sebagai bayaran permulaan semua hutang-hutang aku, bakinya aku bayar kemudian, cari saja aku di unit emergency,” ucapnya tanpa sedikitpun menyesal. Mereka berdua saling berlawan renungan sebelum Nika kembali melangkah.

“Kau tak boleh pergi Nika, aku takkan benarkan kau pergi jauh dari aku!” Lelaki itu mencapai lengannya.

Nika menggelengkan kepalanya kesal. Kenyataan Amr itu sekarang sangat berlainan dari versi asalnya. Dahinya berkerut kecewa dengan sikap Amr yang membuatnya terbeban dengan perasaan keliru. 

“Apa kebaikannya bila aku buat begitu Amr, sedang kita berdua takkan pernah aman,” kata Nika melepaskan pegangan Amr dan meluru keluar dari rumah tersebut tanpa niat berpatah balik lagi. Barangkali inilah takdir hidupnya, meredah keluar dari rumah Amr dalam rasa terhina dan fikiran bercelaru. 

Jadual kerjanya sudah lewat setengah jam yang lalu. Jalanraya di hadapan dipandangnya kabur kerana airmata yang bertakung. Nika mengesatnya sambil berharap ada teksi masuk ke lorong perumahan itu.

Bagaimanapun sesuatu yang tidak dijangka muncul. Kereta Amr tiba-tiba berhenti di tepi jalan, betul-betul di hadapan Nika yang masih berjalan. Amr kelam-kabut turun dari kereta.

“Nika... tolonglah,” katanya merayu.

Nika tidak peduli dan mengelak tapi Amr menangkap pergelangan tangannya dan memegangnya kuat.

“Amr...” deram Nika berang tidak mahu dihalang kepergiannya.

“Maafkan aku, tolonglah.”

“Lepaskan tangan aku Amr.”

“Aku mohon ... aku tetap tidak akan benarkan kau pergi jauh dari aku.”

“Kenapa?” soal Nika aneh.

Tapi Amr mendesak dan membawanya naik ke kereta.

“Aku hantar kau pergi kerja..”

Oh Tuhan! Dia benar-benar tidak memahami tindakan Amr. Adakah kerana hutang ayahnya pada Samuel – maka dia perlu diselamatkan! Itu bukan salahnya, dia cuma terjebak dalam kancah kedaifan ayahnya. Dan ‘keselamatan’ yang bagaimanakah lagi Amr maksudkan? Adakah ia berkaitan dengan kegiatan jenayah Amr di luar hingga boleh mengancam nyawanya.

“Aku minta maaf.... aku ingat kau benar-benar sudah pergi, aku panik selepas baca nota tu,” kata Amr sambil memandu.

“Aku memang nak pergi, aku tulis nota tu sebelum aku temui kau lemas dalam tab mandi. Kau seharusnya benarkan aku pergi.. Amr,” Nika mengenggam kuat kedua belah tangannya. Hatinya sebak, dia mahu menangis tapi  tidak mahu mengalirkannya di sebelah Amr yang akan menyangkanya seorang perempuan lemah. 

Amr menggelengkan kepalanya kesal. “Jangan tinggalkan aku, aku merayu.”

Nika tidak menyahut.

“Kenapa dengan kaki kau..?”  Mata Amr kemudian bersilih ganti melihat wajah dan kaki kanannya yang berbalut. 

“Kita ke klinik,” desaknya bila Nika enggan menjawab.

“Tak perlu... tak teruk pun, aku terpijak serpihan kaca semalam,” kata Nika. “Aku boleh rawat sendiri,” jawabnya acuh tak acuh.

Sejurus mendengar jawapannya, Amr memberhentikan keretanya ke tepi jalan laluan berumput. Dia memandang dengan mata sayu dan rasa bersalah. “Aku minta maaf,” ucap Amr lagi. Kepalanya tertunduk dengan ibujari dan jari telunjuk kirinya memegang dahi. Airmata mengalir setitis. Benar-benar kesal dengan keterlaluannya. Amr tahu dari mana Nika mendapat luka itu.

Nika terharu. “Kau sepatutnya berhenti minum alkohol, ia akan memudaratkan diri kau sendiri,” ujar Nika cuba menenangkan perasaan Amr. 

Amr menggangguk perlahan dan kembali menyambung pemanduannya sehingga ke tempat kerja Nika, mereka berdua langsung senyap. Nika tidak ada mood untuk melanjutkan perbincangan yang menyesakkan fikirannya.

“Aku ambil kau pulang nanti,” kata Amr sebaik sahaja kereta itu tiba di depan perkarangan Unit Trauma dan Kecemasan.

 Sebelum turun dari kereta, dia berpaling pada Amr. “Amr!” sebutnya lemah. 

Amr menoleh. 

“Aku mahu kau fikirkan semula dan pertimbangkan apa kesudahan kita berdua nanti.”

“Bukankah tanggungjawab seorang isteri untuk berada di sisi suaminya,” jawab Amr yakin. 

Nika tidak tahu adakah kemahuan Amr menghalangnya dari pergi adalah pertimbangan jujur dan ikhlas dari hatinya. Bukan sekali dia meragui niat Amr.

“Kenapa kau tak fikirkan perkara tu, ketika kau bergandingan dengan perempuan lain malam tadi,” dia membalasnya kejam dan membuatkan Amr kembali berwajah murung.

“Percayalah... aku tak lakukan apa-apa yang kau fikirkan sekarang, aku sedang berkerja. Tak lebih dari itu,” Amr cuba mempertahankan dirinya dengan penuh keyakinan dan berharap benar pada Nika yang hanya menutup pintu enggan menjawab.

Ketika Amr beredar. Husin dan dua tiga rakan sekerja memandangnya dari kaunter pendaftaran dengan renungan aneh. Dia yakin mereka baru sahaja melihat dia dihantar oleh sebuah kereta mewah dan tahu mereka ingin bertanya padanya. Zakiah juga berada di situ. Tapi Nika enggan mempedulikan mereka.

“Dah ada teman lelaki rupanya, adik manis aku ni...” usik Husin ketika sedang bersandar di kaunter tiket sewaktu Nika melintas di depannya.

“Mmm.. haha...” balas Nika tidak ikhlas. 

Zakiah kemudian mengekorinya, sudah tentu dia sibuk mahu tahu hal antara dia dan Amr semalam.

“Siapa tu Nika?” soal Suzzie yang tiba-tiba saja menerpa dan memeluk bahunya.

“Suami Nika,” Zakiah menjawab laju. 

Nika berpaling geram pada Zakiah.

Suzzie juga terkejut tidak percaya. Dia baru saja hendak bertanya tapi terhalang bila Dr. Ishak yang entah dari mana datang, muncul di tengah-tengah mereka.

“Apa dia Zakiah?” Dr. Ishak terus sahaja menghampiri mereka bertiga dan memandang Nika dengan mata yang penuh tanda tanya.

Zakiah tersenyum senget, tidak tahu hendak menjawab apa-apa.

 “Kau kata lelaki yang menghantar Nika tadi, suaminya?” dia mengharapkan jawapan pasti dan terus merenung Nika.

“Err... iya.. do.. doktor,” jawab Zakiah tergagap.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.