Bab 30

Dia mengesyaki yang lelaki itu sudah lama terlibat dalam dunia jenayah, mungkin sewaktu dia tinggal di New York lagi. Malah tidak keterlaluan kalau dia mengandaikan kalau suami yang dinikahinya itu bukan Raylan Amr sebenar! Barangkali seorang lelaki yang menyamar, mungkinkah Raylan Amr yang sebenar sudah mati dan dikebumikan di New York juga – ia kemungkinan berlaku!

Tetapi kalau bukan... bagaimana mungkin Amr terlibat dalam kancah dunia gelap itu bila dia dinamakan sebagai pewaris harta Tuan Rahmad. Dia pasti arwah Tuan Rahmad tidak pernah mengalami muflis hingga menyebabkan Amr mencari jalan keluar dengan aktiviti jenayah berat. Bukankah dia pernah menghadiri majlis ulangtahun kejayaan syarikat milik keluarganya... jadi? Kenapa tega benar Amr melakukan jenayah? Atau mungkinkah syarikat menjual kenderaan dan hartanya yang banyak ini hanya untuk mengabui aktivitinya. Semakin banyak spekulasi yang bermain di kepalanya. Tidak mustahil jika Amr terlibat sebagai salah seorang rakan kongsi sebuah kumpulan jenayah untuk melebarkan lagi perniagaannya atau mungkin juga dia mahu menimbunkan hartanya hingga sebesar gunung.

Jarum suntikan yang sedang dihunuskan Nika ke urat lengan seorang pesakit ikut menggeletar. Entah mengapa perasaannya kian tidak tenteram. Dia mula takut dan ragu-ragu dengan apa yang dilakukannya. Sepertinya kemurungan Amr dulu telah berpindah ke dalam tubuhnya pula. Dia seolah-olah sedang diburu sesuatu yang tidak jelas dan begitu menakutkan hinggakan jantungnya berdegup laju sepanjang masa. Ingatannya masih berada di rumah saat dia mendengar setiap patah dialog lelaki yang menghubungi Amr pagi tadi. 

Sungguh menjijikkan sekali bila dia mengetahui siapa Amr dan apa yang telah dilakukannya di luar sana. Mengingatkan semua itu kepalanya mula pening. Nika segera masuk ruang berehat. 

Tidak lama kemudian Zakiah datang menyusulnya.

“Nika! Nika kau tak apa-apa ke?” tanya Zakiah kehairanan. “Astaga.. muka kau pucat. Tak sedap badan ke?”

“Taklah, tak cukup tidur agaknya.”

“Dah, pergilah berehat dulu, nanti aku buat kerja kau.”

Nika menurut arahan Zakiah, dia duduk sebentar di bahagian pantri cuba menenangkan perasaannya sendiri. Cuba membuang semua ingatan yang menakutkan dari menjadi bayangan yang akan memanipulasi kehidupannya. Sekali lagi dia tegaskan dia akan bertahan tetapi entah bagaimana caranya dia tidak tahu?

Hampir sepuluh minit berehat, Zakiah masuk semula.

“Nika, Dr. Kumar cari kau.”

Nika pantas berdiri sambil meratakan baju seragamnya dan cuba tersenyum pada Zakiah.

“Petang nanti sebelum hantar kau pulang, temankan aku pergi airport ye, aku nak ambil adik aku,” pesan Zakiah sebelum Nika keluar.

“Yalah..” jawabnya.

 

******


Masih ada setengah jam lagi sebelum ketibaan kapal terbang yang dinaiki Zuraidah tiba ketika mereka sampai di lapangan terbang Senai. Mereka berdua menikmati pemandangan lapangan terbang yang cantik itu dari dalam kereta.

“Bagus juga kau temankan aku.. kalau tak entah apalah aku buat kat sini ni,” kata Zakiah sambil terus memandu mencari tempat parkir sebelum menyambung lagi. “Eh, Amr tak tahu kau ikut dengan aku kan.. dia tak marah ke?”

“Tak apa..  dia sibuk kerja.”

Kisah Jasmine yang dibacanya itu amat menggusarkan hati. Dia berusaha menyembunyikan keresahan dan gelodak fikirannya dari pengetahuan Zakiah yang kecoh itu. Kali ini, biarlah dia menyimpan kisah tragis Amr itu dalam lipatan hidupnya sehingga ke akhir hayat pun dia rela membawa rahsia besar itu demi seluruh cintanya untuk Amr yang tidak.... takkan dapat diungkapnya dengan berjuta-juta ayat sekalipun.

Mungkin sekarang Amr sedang risau kerana tidak dapat menghubunginya. Dia terus berperang dengan perasaan gundahnya ketika Zakiah mendapat tempat parkir di sebelah jalan utama. 

Keadaan di lapangan terbang Senai agak sibuk petang itu. Para penumpang keluar masuk melalui pintu utama manakala orang-orang yang menjemput di luar mula memenuhi setiap barisan parkir. Kelihatan kanak-kanak leka bermain di sekitar jalan dalam pengawasan ibu bapa mereka. Nika termenung jauh, dia dan Zakiah berdiam dalam kereta menunggu Zuraidah datang.

“Dah nak masuk maghrib, kita solat dekat surau stesen minyak jelah nanti..” Zakiah bersuara sambil tangannya memicit punat radio dari sebuah siaran terkenal.

“Iyalah..” jawabnya ringkas sambil memandang ke pintu masuk utama. “Pukul berapa sekarang?”  Nika mengerling pada jam dashboard kereta Zakiah yang sudah lama rosak.

Zakiah mengambil telefon bimbitnya. “Pukul tujuh, lima minit.”

“Kenapa? Dah langgar jadual Amr tetapkan lagi..” Zakiah tersengih.

Nika ketawa lucu, Zakiah memang orang yang paling rapat dan paling banyak tahu kisah rumahtangga dia dan Amr. Walaupun rahsia terbaru itu masih belum diceritakannya tetapi Zakiah begitu arif apa yang telah dilaluinya selama ini bersama Amr.

“Agak-agak kaulah, kalau korang ada anak lelaki mesti kacak macam Amr kan... woowww..” dia berangan sesaat sebelum Nika mencubit lengannya. “Kau...” 

“Tolonglah jangan merepek....” Nika mencelah sebelum Zakiah melalut panjang. Zakiah ketawa.

Tiba-tiba satu kejadian mengejutkan berlaku, sebuah kereta mewah Merz berwarna hitam gelap meluru laju di hadapan. Bunyi brek dan tayar berdecit di atas jalan bikin orang ramai yang berada di situ berpaling pada kejadian. Kereta mewah berkaca gelap dan berwarna hitam itu telah dikepung dari arah hadapan dan belakangnya oleh dua buah kereta jenis cabin trak yang nampaknya bukan seperti kereta biasa. Dan dari dalam kereta tersebut keluar sepasukan unit seragam yang bertopeng dan lengkap bersenjata, di belakang vest anti bullets mereka tertulis jelas perkataan POLIS

“Berhenti dan keluar! Letakkan senjata! Anda semua telah dikepung!!” perintah seorang pegawai polis kepada orang di dalam kereta Merz itu dengan satu suara lantang yang jelas kedengaran.

Mata Nika mengekori seorang pegawai polis yang berlari pantas menghampiri kereta mereka yang berada tidak jauh di belakang kereta mewah yang dikepung tadi. Polis itu memberi isyarat agar mereka kekal berdiam di dalam kereta dan tunduk. Dia dan Zakiah cuba mengikut arahan tersebut walaupun rasa ingin tahunya lebih tebal dari mengikut larangan polis yang berdiri di depan kereta Zakiah. Kemudian lebih ramai anggota polis mengawal keadaan dan melarang orang ramai hampir di tempat kejadian. 

Nika memanjangkan lehernya melihat kejadian tersebut, Zakiah yang tidak senang duduk sibuk memiringkan kepalanya sebelum dia berteriak kerana terkejut  mendengar bunyi letupan senjata berapi dari dalam kereta mewah tadi. Keadaan mula kecoh, anggota polis terpaksa bersembunyi dari balik kereta dan tiang-tiang bagi mengelak tembakan. 

Bunyi tembakan semakin kuat bila pasukan khas yang mengepung kawasan membalas tembakan sambil menjerit menyuruh orang-orang di dalam kereta mewah tadi menyerah diri.

Nika tidak dapat merakamkan semuanya dalam kepala, minit seterusnya menjadi lebih pantas bila serbuan dilakukan oleh pasukan polis yang lengkap berseragam canggih dan bertopeng, satu benda sebesar tin susu kecil digolekkan dari tepi kereta Zakiah sebelum asap merah muncul berkepul-kepul diudara menutup pandangan, bunyi kaca pecah dan senjata kedengaran tapi tidak lama. Semua orang yang menyaksikan kejadian tersebut tercengang tetapi enggan berganjak.

Asap yang berkepul-kepul tadi perlahan-lahan menghilang dan kembali mendedahkan badan kereta pacuan empat roda yang kini diserbu pasukan polis bersenjata. Kemudian pasukan polis menahan dalam empat orang lelaki, termasuk pemandu dan kesemua penumpangnya. Seorang lelaki berbangsa seperti kacukan cina tetapi rambutnya kemerahan kelihatan meludah polis yang menggari dan menolak kepalanya masuk ke dalam trak polis. Seorang lagi lelaki yang begitu di.... kenalinya, beriak tenang dan tidak melawan sedang menggetap bibir bila diarahkan naik ke atas trak.

Nika pantas membuka pintu kereta dan keluar... bukankah itu Amr? Tidak salahkah matanya? Dia melihat salah seorang lelaki yang ditangkap polis dari dalam kereta mewah itu adalah Amr!

“Nika! Kenapa dengan kau?” panggil Zakiah.

Dia tidak peduli lalu mencelah di tengah pasukan polis yang mengawal trak sebelum dihalang oleh seorang anggota. 

“Cik.. cik, sila beredar dari sini!” arah polis itu sambil menarik lengannya.

“I... i.. itu Amr,” memang jelas dia melihat Amr ditangkap dan dimasukkan ke dalam trak polis dengan tiga lagi penjenayah. Dia berkeras tidak mahu pergi dan cuba menolak polis itu yang terus menahannya.

“Jangan ganggu urusan polis!” satu arahan tegas diteriak kepadanya.

“Encik, itu suami saya. Lelaki berkumis yang ditangkap itu suami saya encik, tolong... saya mahu berjumpa dengannya.”

“Nika! Nika..” panggil Zakiah lalu menarik bahunya.

“Amr...”

“Kenapa dengan Amr?” tanya Zakiah dan sesaat kemudian dia mengucap dan ternganga di sebelahnya.

Mereka kemudian dihampiri salah seorang anggota pasukan polis yang memakai topeng dengan hanya bahagian mata sahaja kelihatan. Pegawai polis yang sedang memegang lengan Nika kuat lalu memberitahu yang dia isteri kepada dan menunjukkan lelaki yang sedang duduk di bahagian kiri dan sedang dikawal ketat. “Bagilah dia jumpa suaminya  Tuan!” mohon Zakiah.

Polis yang digelarnya Tuan itu segera berjalan menghampiri trak dan kemudian bercakap-cakap dengan Amr sambil menunjuk ke arah di mana Nika sedang berdiri melihatnya dari jarak beberapa kaki. 

Riak muka Amr kelihatan terkejut ketika melihat Nika yang berada tidak jauh dari situ. Dia berkata sesuatu dengan matanya tajam merenung Nika, kemudian Amr menggeleng dan memalingkan kepalanya enggan memandang Nika lagi.

Nika cuba melepaskan diri dari halangan pegawai polis yang menahannya tetapi tidak berjaya. Lengannya dipegang kuat supaya tidak melepasi had yang diawasi pihak polis. “Tolonglah... saya nak jumpa sekejap je..tolong..” rayunya bila polis yang bercakap dengan Amr tadi kembali menemuinya.

“Minta maaf cik... dia tidak kenal dengan cik,” kata polis itu kepadanya.

Tergamam, kelu lidah dan hampir tidak mampu bernafas, dia hanya kaku seketika di situ. Matanya cuma kepada Amr yang langsung tidak mahu memandangnya. Pegangan polis tadi mengendur dan dilepaskan. Dia tidak lagi meronta, hatinya retak tidak percaya Amr akan mengatakan sedemikian rupa dan berpura-pura tidak mengenalinya. Kenapa Amr tergamak buat begitu? Bagaimana dengan nasibnya selepas ini? Kesudahan yang macam mana akan dilaluinya setelah mengetahui lebih jelas dan bersuluh siapa Amr selama ini.

Bunyi siren kereta polis memecah lamunan Nika, biasan cahaya lampu merah dan biru yang bernyala terang menyimbah ke semua kawasan. Dia masih berdiri di tengah jalan dan merenung trak polis yang membawa penjenayah dengan Amr salah seorang di antaranya. Trak itu dikawal oleh dua lagi kereta pasukan khas yang mengepung sebentar tadi lantas meninggalkan lapangan terbang Senai yang baru sahaja dikejutkan dengan insiden menakutkan. Sementara itu, kereta mewah yang pintu pemandunya berlubang terkena tembakan selain serpihan kaca yang berterabur di atas jalan ditinggalkan dibawah kawalan dua lagi anggota polis biasa.

“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya masuk lubang jugak Samuel penyangak tu!” ujar seorang anggota polis yang bertugas di situ. Kawannya terlopong sehingga bunyi siren dan pasukannya jauh dari pandangan.

Nika pula berpaling terkejut pada Zakiah yang termengkelan sambil mengurut-urut bahu Nika menyuruhnya bertenang.

Samuel?

Lelaki berambut merah berkot dan berlagak macam orang kaya itu adalah Samuel? Selama ini dia tidak pernah tahu siapakah Samuel. Kalau dia tidak mendengar apa yang polis itu tadi katakan sampai saat ini pun dia tidak tahu itulah Samuel.

Tidak lama kemudian Zuraidah pun keluar sambil mengheret bagasinya…


Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.