Bab 5

Keesokan paginya awal-awal lagi Nika ke rumah besar. Dia terpaksa menggantikan emaknya bekerja di rumah besar hari ini berikutan keadaannnya tidak mengizinkan.

Sebaik pintu di belakang di buka suasana sunyi menyambut ketibaannya masuk. Sejak dua tahun yang lalu, ini kali pertama Nika masuk ke dalam rumah itu lagi. Dapur mewahnya masih seperti dulu kemas dan bersih. Tidak mahu berlambat dia segera menjalankan segala pesanan emaknya yang menyuruhnya membasuh pakaian dahulu sebelum membuat sarapan pagi untuk Raylan Amr, tuan baru rumah itu.

Kerjanya tidaklah sukar, dia cuma perlu membiarkan mesin basuh itu bekerja dengan sendirinya sementara dia membuat kerja lain. Sarapan telur goreng hancur, sosej dan juga susu segar siap dihidangkan di atas meja sebelum dia beralih ke kerja seterusnya di tingkat atas. 

Ada empat buah bilik di atas, dua di bahagian depan dan dua lagi di belakang. Di hujung sebelah kanan terdapat sebuah lagi ruang yang ditutupi tabir panjang sepanjang ruangannya. Untuk ke ruangan itu dia perlu melintasi dua buah bilik yang saling berhadapan. Di situlah letaknya bilik Raylan Amr. Mengikut peta emaknya. Di hadapannya pula kelihatan balkoni yang ditutupi tabir nipis di sebelah ruang menonton tv, boleh dilihat oleh sesiapa pun yang menaiki tangga ke tingkat ini. Kenapa dia sangat berminat dengan balkoni itu? Sebab itulah balkoni yang dapat dilihat dari rumah kecilnya di mana seseorang sejak kelmarin berdiri di situ seperti sedang memerhati.

Nika pantas masuk ke bilik yang tepat. Dia mula mengemaskan katil dengan rapi, mencari habuk yang tidak kelihatan sebelum masuk ke bilik air dan mencebik di situ. Berkata dalam hati saja tabiat pengotor tuan punya bilik yang meninggalkan bilik airnya dengan barang mandian bersepah di sana-sini. Tangannya laju menyusun barang mandian kembali ke atas rak. Kemudian dia mula menyiram pencuci lantai hampir setengah botol di atas lantai dan menyapu lantainya dengan span besar yang ditemuinya dalam almari sebelum dia terkejut ketika pintu bilik air tersebut diterjah secara tiba-tiba!

Nika sempat terpandang seorang lelaki yang berundur semula dari pintu. Dia bingkas berdiri dan berkata dari balik pintu. “Maaflah…”

“Kamu siapa?” soal lelaki yang tidak syak lagi Raylan Amr.

“Oh… saya anak Puan Ros, dia kurang sihat hari ni jadi saya datang ganti emak bersihkan rumah tuan,” sahut Nika dari balik pintu. Mereka berdua sekarang hanya saling mendengar suara. 

“Tuan nak guna bilik air?” tanyanya lebih kuat.

“Tak mengapa, saya pergi ke bawah saja..” balas lelaki itu.

‘Terima kasih atas kerjasama tu’ katanya dalam hati dan kembali menyirami bilik air yang sekarang dipenuhi buih sabun dan berbau harum. Selepas itu dia mengemop lantainya hingga kering dan memastikan bilik air itu sangat bersih seolah-olah berkilat pada pandangannya. Nika segera meninggalkan bilik tersebut kerana tidak mahu bertembung dengan anak lelaki arwah Tuan Rahmad lagi. 

Tetapi, cadangannya cuba mengelak dari bertemu lelaki itu tersasar apabila mereka berdua terserempak di tangga dan kini bertentang mata dalam lima saat yang kaku. Nika menyedarkan dirinya sendiri dari terus terpana, dia berdehem kecil…. yang langsung tidak membantunya menghilangkan dari rasa berdebar. Seluruh tubuhnya terpaku melihat wajah sebenar Raylan Amr itu.

“Oh, hai, errr…. saya dah siapkan sarapan, tuan mahu saya bawanya naik ke atas?”

Amr melangkah dengan sangat perlahan yang membuat Nika perasan akan sesuatu bila lelaki itu menggaru kening kirinya dan mempamerkan luka di lengan yang berbalut.

“Tuan, emmm.. Tuan yang datang ke ‘emergency’ tu kan, Tuan ingat lagi… saya, saya yang jahit luka tu?” kata Nika dengan matanya beriya-iya benar melihat pada lengan Amr.

Amr melihat lengannya sebelum berkata. “Ahhh… ya…” jawabnya lambat sambil memegang tangannya yang berbalut, keningnya  berkerut.

Nika menganggap yang lelaki itu telah melupakannya atau memang tidak ingin mengingatinya.

“Saya Nika. Anak Puan Ros. Tuan, Raylan Amr kan.” Kemudian dia menyedari rasa sungguh bodoh bunyinya bila dia menyebut ‘Raylan Amrkan’ padahal dia sudah tahu lelaki itu siapa.

Begitupun, Amr cuma tersenyum kelat dan mengangguk dengan berat sekali jelas menggambarkan betapa dia tidak gembira dan seperti tidak mahu langsung melihat anak orang gaji yang bertaraf rendah sedang bercerita dengannya.

Melihat reaksi Amr, Nika cepat-cepat turun. Dia melintasi sebelah Amr yang kaku di tangga. Betullah kata emaknya, lelaki itu tidak pandai bercakap. ‘Rugi benar diberi mulut yang boleh dipakai,’ detus hati Nika jahat tetapi dalam hati saja dia berani mengatakannya walaupun dia teringin hendak meluahkan. Dan detik itu juga dia tidak percaya kalau Amr lelaki yang berdiri dengan prihatin di balik tabir seperti yang dilihat dari rumah kecilnya. Barangkali di rumah itu masih ada roh Tuan Rahmad yang sedang berlegar-legar. Bulu tengkuknya tiba-tiba terasa lain.

Bagaimanapun Nika harus mengakui yang lelaki itu menakjubkan betul tarikannya. Dia memiliki mata, hidung mancung dan bibir yang menawan yang langsung tidak padan benar dengan sikap dingin luar biasanya.  

Hampir pukul satu petang barulah kerjanya di rumah besar selesai. Nika kembali menemani emaknya di rumah. Mak dah boleh bangun tetapi masih lemah. Masih ada lebam di pinggir matanya. Irfan juga langsung tidak keluar, katanya dia mahu menunggu ayah mereka pulang dan memberinya sepatah dua kata. Namun, sehingga ke malam orang tua itu langsung tidak muncul-muncul.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.