Bab 24

Tubuhnya terasa berat dan malas ketika dia turun dari katil. Matahari pukul 10 pagi bersinar megah di langit.  Amr sudah pun pulang. Dia sedang nyenyak tidur ketika Nika masuk ke biliknya mengambil pakaian kotor dan membawanya turun. Rutin seharian yang perlu dilakukan mengikut tanggungjawab. Walaupun hatinya masih terluka, walaupun rasanya dia tidak sanggup lagi hendak berhadapan dengan Amr dalam rumah itu dan kalau dia boleh meneruskan rajuknya dia rela menjadi halimunan dan membiarkan saja Amr melakukan semua hal ikut suka hatinya. 

Seperti biasa, dia memasuki dapur, mengharungi kesunyian yang sering menemani setiap sudut ruangan dalam rumah itu yang sudah hampir biasa padanya. Dia berjalan ke arah pintu dapur, ke ruangan khas mencuci pakaian. Mesin cuci di bukanya malas. Kemudian dia memasukkan pakaian kotor sambil memeriksa pakaian yang perlu diasingkan dulu dengan lain. Semangatnya terasa pudar dan sangat mengecewakan. Nika paksakan juga hati untuk meneruskan kerja kerana berharap Amr mempunyai alasan yang lebih baik untuk menjelaskan semuanya nanti. 

Namun, hatinya semakin runtun..

Duri beracun telah menusuk lebih dalam. Dia menemui kesan bibir dan gincu kemerahan terukir jelas di belakang kemeja putih milik Amr. Hatinya berterusan dihambat kebencian. Tanpa sedar, kemeja itu melorot dari tangannya. Sekali lagi, dia merasakan cintanya punah.

Dia meninggalkan ruang yang dirasakan hanya menambah beban. Airmata yang ditahan sejak semalam akhirnya runtuh berjuraian. Langkahnya laju menuju ke taman kaca di pinggir banglo besar itu.

Di situ, tubuhnya tersandar lemah, membiarkan airmata kecewa dan rasa benci menguasai diri. Di kala cahaya mentari menyilau menembusi kaca dia terus menangis sambil memeluk lutut. Kepalanya rebah tak bermaya, mendekap pada dinding kaca yang hangat. Terheret dalam cinta yang melukakan. Dia merasakan penyesalan yang lebih dari sebuah sesalan.

Mungkinkah juga kerana hatinya yang mohon diberikan waktu dan Amr juga sedia menunggu maka memberi alasan yang baik untuk Amr meneruskan pengkhianatan dalam hubungan mereka. Tidak terfikirkah Amr... bagaimana dia hendak menerima semuanya secara mendadak, bukankah Amr juga yang memaksanya untuk hidup bersama,  jadi, di manakah kedudukannya sekarang.

Nika menilik dirinya dari dinding kaca gelap, melihat gambaran dirinya di balik kaca. Bermata sembap dan cengkung. Penuh kesedihan yang tidak mampu digambarkan hanya dengan airmata. Apalah salahnya hingga dia tidak pernah merasakan kesungguhan cinta Amr. Dia ibarat barang mainan yang hanya dibawa bermain jika diperlukan tapi langsung tidak beroleh kesetiaan pemiliknya. 

Detik itu, dia terfikir.... haruskah dia meminta Amr supaya tinggalkannya saja. Kalau itu yang Amr sedia lakukan, dia juga sanggup dan akur, mungkin sudah begini jalan cerita hubungan mereka. Tidak ada kesudahan yang bahagia. Nika terus menangis. Tersedu-sedu menadah airmata yang tidak mahu berhenti. Entah berapa lama dia menangis di situ. 

Akhirnya tangisan itu surut... rasa lega menyusul perlahan-lahan seolah-olah semua beban dipundaknya melurut jatuh walaupun tidak kelihatan. Benarlah seperti yang pernah dibacanya di dalam mana majalah, menangislah... kerana dengan tangisan sahaja kamu akan merasa lega. 

Selepas menanam nekad untuk tidak mahu terjebak lagi dalam hubungan hangat-hangat dengan lelaki yang sedang lena diulit mimpi itu lantas dia bangun dan dengan berat hati dia berjalan kembali menuju ke pintu dapur. 

Sebelum memusing tombol pintu di hadapan, dia mengelap sisa airmata dengan kedua tapak tangannya. Mahu memastikan yang dia tegar dan takkan pernah dikalahkan oleh perkara-perkara yang menyakitkan hati terutamanya bila nama Dania dan Amr bermain-main di benaknya. 

Tetapi sejurus pintu dapur dibuka.... langkahnya terhenti..... tanpa tersentak, tanpa ada cinta lagi malah tanpa mengharap penjelasan... Amr sedang berdiri di hadapan, jarak mereka berdua hanya beberapa langkah. Di tangan kiri Amr, baju kemeja yang tercemar oleh dosa. Lelaki itu merenungnya hampa. Matanya menunjukkan sesuatu yang sukar untuk diperjelaskan. Rahang pipinya bergerak-gerak.

Nika membalasnya dengan pandangan benci yang tidak akan diluahkannya melalui kata-kata. Semuanya sudah jelas, dia tidak perlu mengheret kemeja itu dan melontar kepada empunya. Pemilik kemeja itu telah beroleh jawapan kenapa matanya pagi ini bengkak dan hidungnya kemerahan kesan airmata yang dihabiskan semalam dan beberapa minit tadi.

 Nika melangkah masuk..... derap langkahnya senyap saat berjalan melintasi sisi Amr yang hanya kaku berdiri. Mereka saling tidak mempedulikan sehinggalah...

Tiba-tiba Amr menangkap pergelangan tangannya. “Aku boleh jelaskan,” dia berkata dan menoleh ke belakang. 

Nika dapat mendengarnya dengan jelas tetapi enggan memandang Amr. Hanya pegangan kemas dari Amr yang menjadi penghubung di antara mereka berdua saat itu.

“Aku tak perlukan penjelasan,” Nika berbohong. Rasanya lebih baik begitu. Selagi dia merasakan hubungan mereka seperti tidak memberi apa-apa erti, maka dia tidak butuhkan penjelasan. Amr ada hak mencari kebahagiaannya sendiri sekalipun dia benci untuk mengakuinya.

“Ia bukan seperti yang kau fikirkan Nika.” 

Saat itu juga dia teringin menempelak Amr kerana tetap berusaha mempertahankan dirinya. Namun niatnya untuk bertengkar tidak ada sama sekali. Dia benci mendengar suara Amr. Nika hanya berpaling dan membalas tatapan jejaka kacak itu lalu berkata. 

“Aku tak mungkin fikir yang bukan-bukan kalau Dania tidak menelefon aku semalam dan kesan gincu itu tak kelihatan,” jawabnya sinis.

“Dania?” Amr menyebut nama sepupunya dalam terkesima. Matanya teralih seketika seperti mengingati sesuatu sebelum kembali melihat Nika.

“Aku tak buat apa-apa semalam, aku cuma kerja.” 

“Kalau ada perkara yang perlukan penjelasan.... aku cuma ingin tahu kenapa kau mengaku cintakan aku, sepatutnya kau tarik semula kata-kata itu selepas apa yang kau buat semalam dan sebelumnya,” ujar Nika jujur dan cuba menenangkan setiap nadanya. Dia tidak mahu mewujudkan sebarang pertengkaran.

Amr juga senyap. Matanya langsung tidak berkedip ketika merenung Nika sebelum dia membuang pandangannya ke pintu yang menuju ke taman kaca. Dia menghembus nafas resah. 

Pegangan tangan mereka terlepas. Nika tidak tahu samada dia mahu mempercayai Amr. Bukan sekali kecurangan itu berlaku. Di saat dia cuba belajar untuk menerima Amr dan ingin menyambutnya mesra, dia hampa lagi, apa yang dilaluinya kini membuatkan dia kembali takut untuk menjalin apa-apa dengan Amr.

“Kalau sudah tiba waktunya... beritahu pada aku, aku sedia..” ucap Nika dalam suasana paling sepi. Matanya kembali berkaca. Buat pertama kalinya dia sendiri takut untuk mengeluarkan kenyataan yang sedang berlegar di fikirannya sekarang.

“Beritahu apa?”  Amr menyahut dan menatap wajahnya semula.

Nika menghela nafas sesak nekad untuk mengatakannya. 

“Aku sedia kalau kau mahu tinggalkan aku, lepaskan aku dan kita kembali menjadi orang asing. Aku mengerti. Dan aku takkan lupa budi baik kau kerana sudi memberikan aku perlindungan dalam rumah ini.” 

Lantas dia berlalu sambil mengesat airmata sedihnya yang kian berlanjutan. Berat sungguh membawa beban cinta yang tidak tertanggung melebihi berat menerima rasa kasih yang dirasakan palsu. 

Namun.... Belum pun dia jauh melangkah, tak semena-mena Amr memeluknya dari belakang, menghalangnya pergi dari ruangan itu. Nika terpaku, tangan kanan Amr melingkar penuh kasih di bahunya, untuk detik-detik yang mendebarkan dia merasakan ciuman mesra lelaki itu di rambutnya. Hatinya tersentuh membuatkan Nika bimbang akan hatinya sendiri kerana takut tidak berdaya menolak kehadiran Amr yang cukup dibutuhkannya.

“Aku takkan lakukan itu, tidak sesekali,” bisik Amr dari balik rambutnya. Nika terdiam, airmatanya jatuh ke lengan berurat Amr yang menyambung bicaranya. “Aku perlukan kau. Kau mungkin tak dapat merasakan kalau aku sayangkan perhubungan kita. Tapi aku rasakannya Nika, aku tak tahu jelaskannya dengan kata-kata yang lebih baik, aku hanya mampu bersumpah Dengan Nama Tuhan, aku benar-benar cintakan kau.”

Nika menggelengkan kepalanya kesal.

 “Nika. Tolonglah....” rayu Amr.

Walaupun terasa sayu hati mendengarnya. Tapi dia enggan terpengaruh dengan bisikan mengujakan dari Amr. Biar saja mereka berdua begini, Amr dengan kehidupannya dan dia dengan caranya. Sekurang-kurangnya tidak ada hati yang akan terluka.

“Aku nak pergi kerja,” gumamnya dan melepaskan diri dari pelukan Amr walaupun dia terasa sayang dengan pelukan itu. Dia tidak lagi menoleh ke belakang dan berjalan cepat menuju ke tingkat atas. Dia bercadang untuk menyambung kerja-kerja rumahnya malam nanti, selepas pulang dari kerja.


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.