Bab 29

Setakat ini Nika masih berjaya mengekalkan apa yang ditemuinya dalam blog Dania sebagai satu rahsia penting. Dia masih mencari cara... atau adakah lebih baik jika dia terus berdiam memandangkan Jasmine pun sudah tidak ada lagi dalam dunia ini? Mengungkit kembali kisah Jasmine mungkin boleh mencetuskan pertengkaran dia dan Amr. Hanya yang tinggal menjadi tanda tanya siapa Amr.

Hujan gerimis menitik-nitik pada kaca kereta ketika dia memandu keluar.

Memandu ke tempat yang ditujunya itu tidaklah lama cuma makan masa tidak sampai lima minit. Bagaimanapun, ketika dia tiba di sederetan bangunan yang membariskan kafe francais Secret Recipe, Nika perasan ada kereta mengekorinya sejak dia keluar dari Hills Town tadi. Myvi jenis lama. Berwarna merah gelap. Namun dia cuba tidak ambil peduli. 

Ketika dia mendapat parkir di kiri jalan, dia memalingkan kepalanya sedikit, cuba melihat siapa pemandu kereta itu. Bagaimanapun, dia tidak dapat melihat dengan jelas. “Kebetulan sama jalan agaknya,” detus benaknya. Lantas dia turun dan masuk ke dalam Secret Recepi. Seorang pekerja lelaki menyambutnya dengan ramah. Dia segera memesan kek keju. Perasaan gembira melonjak-lonjak di dada ketika dia membayangkan keenakan kek itu. 

Ketika sedang menunggu pesanannya disiapkan, tiba-tiba, bunyi handphone bergetar kuat dari dalam beg. Pekerja di kaunter sedang sibuk membungkus kek yang dipesannya. Kelam-kabut dia menggagau-gagau ke dalam beg mencari telefonnya. 

Amr sedang di talian.

“Amr,” ucapnya senang hati.

“Nika, kau di mana? Di rumah?” 

“Tak, di luar. Aku pergi beli kek sekejap,” jawabnya.

“Dekat mana?”

“Kat bawah Hill Town ni je.”

“Tunggu aku di situ, jangan keluar selagi aku belum sampai.”

Belum dia sempat menjawab Amr sudah menutup talian. Selepas mengambil pesanannya yang telah siap di bungkus dalam kotak dia berdiri di dinding kaca dan melihat keluar. Myvi merah itu masih berada di luar. Parkir tidak jauh dari keretanya. Perasaannya terganggu oleh andaian yang tidak enak. Mungkinkah sebab itu Amr menyuruhnya kekal menunggu di situ. Nika perasan, pemandu kereta itu juga sedang memerhatikannya. 

Lebih kurang sepuluh minit kelihatan kereta Amr masuk ke kawasan itu, parkir dan turun dari kereta dengan begitu cepat. Tetapi, yang mencurigakannya Amr tidak langsung ke tempatnya menunggu sebaliknya dia terus menuju ke kereta Myvi tadi. Dia dan pemandu Myvi itu bercakap-cakap seperti sudah kenal lama. Selepas mereka habis bercerita kereta itu pun beredar Amr berdiri sekejap memerhati kereta myvi itu beredar sebelum menemui Nika dan membawanya keluar.

“Kenapa kau keluar rumah?” gumam Amr serius sambil cuba mengukir senyuman sedaya upaya untuk tidak menimbulkan sebarang keraguan. Amr menarik lengannya lembut dan membawanya ke tepi kereta yang Nika bawa tadi.

“Aku nak makan kek keju, tak boleh ke?” 

“Kau boleh pesan pada aku,” balas Amr.

“Kenapa pula aku tak boleh keluar? Dekat je pun.”

“Masuk kereta dan terus pulang ke rumah. Aku ikut kau dari belakang,” arahnya lembut tetapi tegas kemudian membuka pintu kereta dan menunggu sehingga Nika masuk dan menghidupkan enjin kereta sebelum dia kembali ke keretanya semula.

Nika mengikut sahaja. Malas dia hendak berbalah dengan lelaki yang jarang nak cakap banyak. Lelaki yang cuma bercakap bila perlu... lelaki yang tidak pernah difahaminya. Sambil mengomel, dia memandu kereta itu mengikut jalan pulang yang hampir setiap hari di laluinya. Amr mengekori di belakang, tak ubah macam kereta Myvi tadi.

Sejurus sampai di rumah dan memarkirkan kembali kereta itu di tempatnya, dia menunggu Amr seketika yang cuma meletakkan keretanya di luar pagar. 

Amr kemudian masuk. Laju sahaja Amr menarik tangannya dan membawanya naik ke atas. Sempat lagi Nika meletakkan kek tadi di atas almari di tepi tangga.

Sejurus mereka berdua berhenti di ruang menonton tv Amr memandang mukanya tepat dan berkata. “Maaflah... kalau kau rasa terkongkong..” ujar Amr seperti tahu andaian di benaknya sejak tadi.

Kau bolehkan?”

“Boleh apa?” soalnya dungu.

“Berkurung seketika di rumah kecuali ke tempat kerja, itupun aku perlu hantar dan ambil kau,” minta Amr sambil dia meletakkan handphone dan dompetnya di atas meja hiasan.

“Err...”

Dia yakin bukan sekarang waktunya. Amr sedang mengejar waktu. Memberitahu Amr pasal laman blog Dania sangat tidak sesuai sekarang. Akhirnya dia menyahut perlahan. “Emm... nanti saja.”

“Baiklah, beritahu aku nanti...” katanya tergesa-gesa. “Aku nak ke bilik air..” 

Nika sekadar memerhatikan langkah Amr yang terus menghilang ke dalam bilik. Sesaat yang sunyi telinganya menangkap bunyi getaran dari atas meja hiasan. Didorong dengan perasaan ingin tahu yang kuat  cepat-cepat dia mendapatkan handphone tersebut dan sekali slide Nika mendekapkan ke telinga.

“Hello Amr! Lima pelacur dari China tu tiba pukul tujuh petang nanti. Bos suruh kau uruskan kemasukan mereka di hotel nanti.” Talian dimatikan tanpa sempat dijawab dan tanpa pemanggil itu mengetahui siapa yang telah menjawab telefon itu.

Nika duduk terjelepuk di atas sofa. Rasa gemuruh memenuhi saluran uratnya. Nafasnya berhembus deras, tubuhnya seperti terapung, dia hilang dalam dunia realiti. Satu panggilan sahaja sudah cukup membuktikan bahawa semua andaiannya selama ini tentang Amr adalah benar! Dia tidak perlu bersoal-jawab lagi semuanya kena benar. Amr tidak akan berani menafikan apa yang telah didengarnya. 

Mengenangkan Amr, dunianya seakan gelap-gelita, segala impiannya ranap dalam sesaat. Jika sebelum panggilan itu dia merasakan seperti berada di dalam pekan yang cantik dan aman namun dalam sekelip mata dia berdiri menyaksikan sendiri pekan itu telah musnah  dibadai taufan.

“Ada sesiapa telefon?” 

Tiba-tiba suara Amr menutup gambaran kemusnahan. Tirai kebahagiaan ditarik rapat. Dia berpaling lemah pada Amr yang berdiri di muka pintu dengan matanya tepat kepada handphone yang berada di tangan Nika. “Tak ada.. panggilan terputus..” jawabnya lemah tapi sukar mengekalkan nada yang tenang.

Begitu deras ketakutannya muncul. Dia mula takutkan Amr, sedaya upaya dia menahan tangannya dari menggeletar dan cuba berlagak tenang. Amr terus sahaja keluar.



Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.