Bab 4

Terasa pagi menjelang dengan begitu pantas. Dia hampir menyelesaikan kerja-kerja terakhirnya. Mencatat beberapa laporan di fail pesakit yang akan ditempatkan di wad. Kejap lagi bolehlah dia menarik nafas lega.

“Cepatlah,” panggil Zakiah malas dan menguap bosan ketika berdiri menunggunya berdekatan kaunter pendaftaran. 

Selepas selesai, dia terus mencapai jaket merahnya di atas kerusi dan bergegas menyusul Zakiah. Ketika kakinya baru saja menjejak pintu keluar langkahnya mati. Dia mendengar namanya dilaung seseorang dari belakang. 

“Nika! Nika...”

Nika berpusing ke belakang dan melihat Dr. Ishak sedang berlari mendapatkannya sambil tersenyum. Dr. Ishak merupakan kenalannya. Dia merupakan salah seorang doktor yang bertugas di bahagian kecemasan tapi berlainan syif. Orangnya boleh tahan, berkulit hitam manis, tingginya kira-kira lima kaki serta berwajah lembut. Yang paling penting sekali, Dr. Ishak nampaknya sedang berusaha memikatnya.

 “Awak free tak tengahari esok?” tanya Dr. Ishak sejurus mendapatkan Nika.

“Kenapa?” soalnya lalu tersenyum.

“Kita keluar makan?”

Dia berfikir sesaat sebelum membalas permintaan Dr. Ishak. “Pukul berapa?”

“Nanti saya beritahu,” kata Dr. Ishak yang senyum mesra padanya.

“Yalah, nanti call Nika jelah.”

Dr. Ishak tersenyum lagi. Sebelum berjalan pergi dia sempat melambaikan tangan dengan wajah gembira. Seolah-olah permintaannya sudah dipenuhi.

Nika tak pasti pula tentang perasaannya saat dia menyusul Zakiah yang sudah menunggu di dalam kereta.

“Wah… senyum nampak. Ada janji temu?” usik Zakiah. 

Nika sekadar mengangkat kening.

“Adalah, tapi kenapa aku rasa… yang perasaan aku dengan Ishak tu biasa-biasa aje,” gumam Nika yang sebenarnya ditujukan lebih kepada dirinya sendiri.

Tapi pendapatnya yang ringkas tadi segera mendapat perhatian dari Zakiah yang berpaling padanya dengan muka bengang. Bibirnya mengherot dan kembali menumpukan perhatiannya pada jalan raya sambil menggelengkan kepala.

“Hei! Kau dah gila ke Nika, ada doktor muda suka dengan kau.. yang kau kata  cuma biasa-biasa je, kau tak gila ke? Fikir sikitlah tentang masa depan cik oi, kita ni perempuan mesti buat rancangan masa depan yang terjamin.”

Berjela-jela ucapan Zakiah awal pagi. Nika mengerling geram bersedia mahu membantah kata-kata Zakiah tadi. “Jauhnya kau berkhutbah sampai ke situ, orang tu belum pun canang apa-apa pasal nak kahwin. Malu sikitlah cik Zakiah.” 

“Kalau macam tu bagus!” sahut Zakiah lagi. “Kalau dia melamar nanti, terima je jangan nak fikir-fikir lagi, jangan jadi bodoh.”

“Ish..” keluh Nika. Tetapi dalam hati dia tetap mempertahankan pendapatnya yang hubungannya dengan Dr. Ishak itu benar-benar biasa. Mungkin Zakiah berpendapat dia memang patut bersama lelaki berkulit hitam manis itu. 

Nika tak pasti, lagipun kesibukan lelaki itu dengan kerjanya dan mereka juga jarang berjanji temu menyebabkan dia selalu merasakan yang percubaan Dr. Ishak untuk merapatinya lebih dekat cuma sekadar percubaan yang  dirasakan tidak membawa erti.

“Untunglah perempuan cantik macam kau ni, senang-senang aje doktor terpikat, kalau orang gelap macam aku ni ha! Asyik tunggu mana-mana keluarga yang ada anak lelaki bujang terlajak,” rungut Zakiah menyesali jodohnya yang belum muncul tiba.

“Tak baik cakap macam tu, nasib kita ni tak siapa tahu,” kata Nika sambil matanya menghala ke rumah majikan emaknya yang tersergam di pinggir jalan.

“Harap-harap Dr. Ishak tu cepat-cepat pinang kau, taklah kau tinggal kat rumah kecil tu lagi.”

“Sudah-sudahlah fikir pasal kahwin tu Zakiah,” kata Nika sebaik kereta berhenti. Lantas dia  turun.

“Kita ni.. tak kahwin pun masih boleh hidup,” tambah Nika menyedarkan Zakiah yang selalu mengeluh akan nasibnya yang belum-belum kahwin walaupun usianya sudah tiga puluh tujuh tahun. Kemudian dia menutup kereta dengan bibir Zakiah mengherot lalu memandu keretanya pergi.

Dia melangkah masuk ke lorong biasa yang menghala ke rumah kecilnya sambil menjeling ke arah Range Rover hitam berkilat yang tersadai di halaman. Kedengaran bunyi mesin rumput memecah suasana pagi sepanjang dia melangkah. Ayahnya sedang memotong rumput di belakang laman rumah Encik Prianto yang merupakan kejiranan terdekat dan kawan baik kepada arwah Tuan Rahmad dulu semasa hidupnya.

 “Balik pun dia!” detus hati Nika geram lalu menghayun langkah lebih pantas.  

Emaknya tidak ada di rumah. Irfan pula tertidur di ruang tamu depan tv yang bersiaran tanpa penonton. Selepas menyimpan beg, dia keluar ke belakang mahu ke kebun bunga emaknya yang memang seperti diduganya belum lagi disiram. Penjaga setia bunga-bunga yang cantik berkembang itu semakin sibuk menguruskan tuan barunya.

 Selesai menyiram bunga, dia tersenyum riang menyedut udara pagi yang nyaman dan menyegarkan. Matanya menjelajah seluruh pemandangan halaman belakang rumah arwah Tuan Rahmad yang besar dan sentiasa terjaga. Kemudian dia mengalihkan pandangannya ke arah balkoni rumah besar itu.

Sekali lagi… dari balik tabirnya, Nika melihat seseorang berdiri di situ. Bagaimanapun, sejurus saja kelibat itu menyedari yang dia turut memandang, bayangan itu lantas bergerak dan hilang. Aneh! Hantukah itu!

“Err.. tak mungkin..” detusnya sendirian memikirkan seseorang. Tidak berpuas hati dia masuk semula ke dalam rumah terus ke bilik kecilnya.  Dari tingkap kamar dia cuba mengintai sekali lagi. 

Dadanya berdebar-debar melihat bayangan aneh itu lagi. Bezanya, dia berdiri di balik tingkap yang kecil sementara kelibat itu kembali berdiri di balik tabir balkoni tersebut dan melihat ke arah rumahnya. Detik itu sekarang, mereka berdua saling melihat secara sembunyi. Nika berharap benar dia ada teropong?

Keanehan itu lantas mendorong Nika nekad bertanya pada mak siapa gerangan si Amr itu pada malamnya.

“Dia uruskan perniagaan arwah Tuan Rahmad ke?” soal Nika sambil mengingati kembali bayangan itu.

“Taklah, ada orang yang uruskan. Tapi.. mak tak tahulah apa kerja si Amr tu. Dia selalu keluar malam dan pulangnya pagi, lagipun kalau mak tanya dia jarang sangat nak menyahut.”

“Ah.. orang kaya memang begitu, ke mana lagi mereka nak pergi kalau tak lepak kat hotel-hotel mahal lepas tu pergi cari hiburan.”

“Eh.. taklah, Amr bukan begitu orangnya, dia cuma pendiam sedikit jadi mak tak banyak bercerita dengan dia.”

“Dia ok ke mak?” tanya Nika semakin berasa pelik.

“Ish! Oklah.. kamu ni Nika. Orangnya kacak jugak, ada iras-iras wajah Puan Helena.”

Puan Helena merupakan bekas isteri arwah Tuan Rahmad. Mereka telah bercerai ketika anak lelakinya bersekolah di New York dan sampai sekarang Nika langsung tidak pernah mendengar khabar tentang wanita British itu.

Ketika Nika membersihkan meja makan kedengaran ayahnya pulang marah-marah dan mengherdik pada Irfan di ruang tamu. Emaknya menggelengkan kepala.

“Itu mesti kalah judi,” kata emaknya.

“Ros! Ros!...” jerit ayahnya seperti orang gila dari ruang tamu. Nika bergegas keluar dari dapur emaknya menyusul dari belakang sambil mengomel.

“Oh Nika.. baguslah kamu ada, bagi aku wang! Aku mahu bayar hutang!” desak  ayahnya dengan bau arak yang meloyakan dan rupa yang menyakitkan hati.

“Nika dah bagi ayah semalam, mana ada lagi..” jawab Nika benci.

“Buat apalah kamu kerja kalau tak boleh tolong aku!” bentaknya.

“Ayah pun bukannya cacat! Sampai bila nak minta duit untuk bayar hutang judi tu!” balas Nika jahat.

“Nika! Kau jangan cuba naikkan darah aku!!” bentaknya. Kali ini lebih kuat.

“Razali! Kenapa awak nak mintak duit lagi… tak ingatkah yang kami ni pun perlu makan. Janganlah pentingkan diri!” kata emaknya dengan jelas. Mudah sangat difahami bagi orang yang waras. 

Tapi muka ayahnya sekarang merah menahan marah, matanya sengaja dibesarkan merenung Nika dan emaknya bersilih ganti.

“Kamu berdua jangan cuba ajar aku! Sekarang bagi aku wang atau aku pukul mak kau Nika!!!”

“Ayah!!” jerit Irfan dan Nika serentak.

“Sedarlah!” desak Nika geram. Tapi sepantas kilat ayah menerkam dan menarik rambutnya.

Nika menjerit kesakitan. Irfan cuba menghalang tapi kepalanya ditampar hingga dia terpelanting dan tertolak keluar dari pintu bersama Nika yang turut ditolak ayahnya keluar. Pintu itu kemudian dikunci dari dalam.

“Awak dah gila ke Zali!!” pekik mak dari dalam rumah.

Selepas itu sesuatu yang lebih mengerikan kedengaran sehingga di luar. Emaknya terpekik kesakitan dipukul oleh ayahnya.

“Mak...! ayah!!” jerit Nika kuat sambil memukul pintu. Irfan menendang-nendang pintu tapi gagal, kayunya sangat utuh. Emaknya masih menjerit kesakitan. Airmata Nika berguguran, hatinya ngilu mendengar suara emaknya yang sedang menderita sekarang. Pantas dia dan Irfan berlari ke belakang rumah. Irfan cuba memecahkan pintu dapur pula.

“Mak...! Mak!” panggil Nika kian risau suara rintihan emaknya sudah tidak kedengaran lagi.

Irfan akhirnya berjaya memecahkan pintu dapur dengan kayu sebesar lengan di tangannya. Mereka berdua masuk dan terkejut melihat emak terbaring di lantai ruang tengah.

“Ayah! Keluar dari rumah ni!” Irfan mengangkat kayunya dan nekad mahu memecahkan kepala ayahnya yang sekadar mendengus.

Pantas ayahnya keluar.

“Aku bunuh kamu semua nanti!!” jeritnya dalam kegelapan dan menghilang di celah malam.

Nika menerpa emak yang tidak lagi berdaya. Mukanya lebam-lebam, begitu juga tangannya.

“Astaghfirullahal’azim.. kita ke hospital! Irfan angkat mak.”

“Tak perlulah Nika… mak tak apa-apa cuma sakit sikit,” keluhnya lemah.

“Mak…” rayu Nika dengan hati yang runtun.

“Kita laporkan polis saja kak,” kata Irfan yang merangkul mak bangun.

“Tak payah, bawa mak ke bilik…” pinta emak berkeras membantah. “Dia dah ambil rantai emas Nika dari dalam bilik Nika tadi.” beritahu mak lagi.

“Biarlah.. mak jangan cakap dulu, emak cedera ni.”

Kemudian mereka berdua mengangkat emak masuk ke bilik dan membaringkannya di atas tilam. Nika bergegas ke dapur mengambil ais batu dari peti sejuk lalu dibungkus dalam tuala kecil. Mak mengadu sakit sikit ketika Nika mendekap ais batu itu ke kawasan lebam-lebam di bawah dan tepi mata serta bibir emaknya yang diam sahaja. Perlahan-lahan mata mak terpejam dalam kesakitan dan hati yang kecewa.

“Selalu ke ayah pukul mak?” tanya Irfan sejurus dia keluar dari bilik mak. 

Nika tergamam di kerusi ruang tamu..

“Ada juga mak cerita kalau akak pergi kerja, tapi rasanya tak seteruk yang ini,” jawab Nika perlahan.

“Dia nak apa?”

“Wang… wang untuk berjudi Irfan, ayah berhutang dengan orang.”

“Kalau begitu, ayah mesti datang lagi.”

Kata-kata Irfan itu hanyut seperti angin yang menerobos perlahan sebelum menghilang. Pedihnya hati bila mengingatkan seorang ayah kandung yang menolak mereka berdua keluar dari rumah, seperti mereka itu bukan datang dari benihnya. Ayah jenis apakah itu untuk dihormati, tergamak benar dia menyakiti keluarganya sendiri. Tak kasihankah dia melihat isteri dan anak-anaknya yang pernah disayanginya dulu.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.