Bab 13

Cepat benar pagi menjelang. Sejak hidup sekian lama inilah pagi yang paling tidak dinanti-nantinya. Jika dia boleh tidur bertahun-tahun lamanya pun dia sanggup asalkan dia tidak bertembung dengan Amr. Tetapi mahu tak mahu Nika turun juga dari katil dan terus menuju ke jendela. Langsir di selak lalu diikat, daun tingkap dibuka membiarkan cahaya mentari masuk ke dalam kamarnya. 

Kemudian dia masuk ke bilik air, entah berapa jam dia mandi, berendam lama-lama di dalam tab mandi semata-mata hendak membuang masa yang ada. Selepas keluar dari bilik air dia menyiapkan diri dalam mood bercuti yang paling tidak menggembirakan selain tertanya-tanya samada Amr sudah pulang atau belum. Dia tidak mahu menjenguk ke dalam bilik lelaki itu sebenarnya lebih kepada teori ‘tidak mahu tahu’ namun yang anehnya, dia turun juga ke bawah dan  membuat sarapan untuk dua orang makan.

Tidak suka dengan perkahwinan ini satu hal, bertanggungjawab untuk perkahwinan ini juga satu hal. Jadi? Siapa hendak mulakan dulu? Dia? Ya, mulakan hari dengan membuat sandwich telur rebus cincang campur mayonis, juga susu segar kegemaran Amr yang pernah dipesan oleh maknya. 

Malangnya selepas Nika mandi dan menyiapkan sarapan dia terlupa yang dia belum membersihkan rumah itu. Sebagai mengganti warisan kerja mak, dia harus bertanggungjawab pasal kebersihan rumah ini juga.

Dengan peluh dan keletihan dia melangsaikan kerjanya mengemas ruang tamu dahulu. Memvakum seluruh ruang di bahagian bawah  kemudian mengelap almari dan bingkai-bingkai gambar yang berhabuk. Setengah jam yang terpantas setelah memastikan semuanya bersih Nika berdiri pula di hadapan dua buah jendela kaca yang luas yang berlangsirkan corak-corak bunga rekaan ala inggeris. Dia tercengang dan memaksa otaknya berfikir bagaimana hendak menukar langsir yang besar, tinggi dan tidak tercapai tangannya. 

“Kalau mak boleh buat mustahil pula dia tidak,” bisiknya sendirian. Tetapi macam mana maknya buat? Kat mana dia nak cari simpanan kain langsir lain dalam rumah itu? Tanya pada Amr? Manalah lelaki itu tahu di mana, dia pun baru sebulan dua dalam rumah ni, tak apalah nanti dia tanya emak.

Kesudahannya dia terduduk di atas sofa keletihan dan entah macam mana dia terlelap dalam beberapa minit ketika dikejutkan oleh satu sentuhan di pipinya yang membuat Nika terbangun dalam keadaan terkejut melihat Amr.

“Aku ingat kau pengsan  di situ..”

“Oh… err.. maaf,” kata Nika kelam kabut.

“Kau tak apa-apa?” 

“Tak..” jawab Nika dan terus berdiri. “Err.. aku sudah sediakan sarapan.”

“Kau sudah makan?” tanya Amr baik.

Nika tidak tahu harus mengangguk atau menggeleng. Aduh! Kenapalah dia selalu menjadi tolol setiap kali berdepan dengan lelaki ini.

“Kita sarapan..” ajak Amr.

Nika mengikut dari belakang. Mengikut dengan perasaan tidak keruan dan berdebar. Tapak tangannya berpeluh resah. Di meja makan, Nika membiarkan Amr duduk sementara dia menghidang makanan. 

Untuk setengah jam yang sudah berlalu, mereka berdua masih menikmati hidangan sementara dia turut makan dengan senyap. Tak ada perkara yang hendak dibualkan. ‘Tak ada perkara yang hendak dibualkan!’ oh Tuhan… dia boleh terkena penyakit tekanan jika perkara ini berlanjutan.

Selepas sarapan Amr naik ke bilik tanpa sepatah pun suara. Nika melihat sahaja suaminya itu berlalu tanpa mempedulikannya yang terkial-kial tidak tahu apa benda lagi nak dibuat dalam rumah sebesar itu. Setengah jam kemudian Nika naik juga ke atas sesudah habis mencuci pinggan mangkuk. 

Di tingkat atas, dia mencari aktivitinya sendiri. Dia mengikut sahaja ke mana kakinya melangkah sekitar tingkat atas itu. Suasananya tenang dan sunyi hingga dia boleh mendengar bunyi tapak kakinya sendiri. Kerana bosan mundar-mandir dia mencari habuk-habuk pada almari tv di ruang rehat dan mengelapnya dengan tisu. 

Sambil mengelap habuk tidak henti-henti dia menyalahkan ayahnya punca dia berada dalam rumah besar ini. Ahhh.. dia mengeluh bila mengingat lagi kejadian itu disamping kesal kerana tak ada apa-apa pun yang boleh dilakukannya. 

“Nika..”

Tiba-tiba namanya dipanggil. 

Siapa sebut nama aku, bisiknya dan berpaling ke belakang. Dia memasang telinga, sunyi. Nika kembali dengan kerjanya mencari habuk bila tidak mendengar apa-apa.

“Nika...”

Oh! Dia tercungap terkejut bila Amr tiba-tiba berdiri di sebelahnya. Tangannya memegang dada, cuba menahan semangat yang mahu terbang tadi.

“Kau pernah nampak briefcase? Warna hitam.” tanya Amr.

“Briefcase?” Nika tertanya sendiri. Rasanya dia tak pernah tahu pasal sebuah beg, mak pun tak pernah beritahu apa-apa yang penting. “Penting ke?” tanya Nika semula pada Amr yang sedang menunggu jawapannya.

“Ya, arwah ayah yang bawa beg tu dari New York. Puan Ros pernah cakap pada kau tentang briefcase tu?”

“Tak ada..” jawab Nika menggeleng. “Tak apa, aku pergi cari..” sesaat saja dia putuskan untuk membantu mencarinya.

Nika masuk ke bilik Amr. Dia mula mencari dengan mata yang mengekor ke segenap arah. Laci katil, tak ada. Meja sudut di tepi pintu pun tak ada. Nika beralih ke almari besar itu sambil mengomel dalam hati, ‘Amr bukannya cari betul-betul’ Almari besar itu diselongkarnya secara sopan setiap rak, malangnya memang benda itu tak ada.

Bilik arwah Tuan Rahmad! Dia mendapat idea pantas ke bilik sebelah yang tidak berkunci pun. Amr entah ke mana, cari dalam stor agaknya. 

Nika langsung mencari sambil terpegun melihat keunikan bilik majikan emaknya itu. Untuk pertama kali selama mengenali lelaki itu inilah kali pertama dia masuk ke bilik ini. Banyak buku di dalamnya. Sudut tepi tingkapnya dibarisi rak-rak melekat ke dinding yang dipenuhi dengan bahan bacaan. Kerana tertarik melihat dekorasi di bahagian sudut bacaan itu dia membawa langkahnya ke situ. 

Sebab itulah arwah Tuan Rahmad bijak rupa-rupanya dia seorang yang suka membaca buku ilmiah.

Berbagai jenis bacaan terutamanya bibiografi dan sejarah. Jari telunjuknya beralih dari satu tajuk ke satu tajuk dan teringin hendak membaca semua buku itu. Kemudian dia mendongak ke rak atas yang paling hujung sebelum terpandang sesuatu berwarna hitam yang bukan buku. Nika bergerak sedikit ke tepi dan menjongket kakinya untuk mencapai benda hitam itu yang seperti kotak.

Sekali, dua kali, tak dapat. Rak itu tinggi sedikit dari jangkaunnya. Dia mencari apa-apa yang boleh dibuat bantuan. Tetapi, tak ada. Lalu dia berusaha lagi dan kali ini meninggikan sedikit kakinya yang mula lenguh. 

Sikit lagi, jarinya sudah dapat dapat memegang benda itu dan sedang menariknya keluar. 

“Dapat!” jeritnya kecil dan menariknya keluar.

Malangnya ketika dia telah berjaya menarik briefcase itu keluar, buku di sebelahnya ikut terjatuh dan pantas menimpa kepala Nika.

“Aduh! Arhhh!” dia mengadu kesakitan.

Suara erangannya itu menyebabkan Amr berlari masuk menerjah bilik itu cemas melihat Nika terduduk di lantai memegang kepalanya. Ada briefcase yang dia cari di tangan Nika.

“Kenapa?” Amr terkejut melihat lebam di dahi Nika. Dia memegang lebam yang sudah kemerahan itu.

“Ahh..” Nika menarik kepalanya, rasa sakit bila disentuh. “Kena buku, jatuh atas kepala saya masa nak ambil briefcase ni,” dia menyorong beg kecil itu pada Amr yang masih memegang kepalanya mahu melihat lebam itu lebih dekat.

“Kenapa tak panggil aku?”

Kemudian Amr keluar, dua minit lepas itu dia datang dengan ketulan ais yang dibalutnya dengan kain. 

Amr membawa Nika duduk di atas katil lalu menuam dahi Nika yang lebam dengan ais. “Pening?”

“Tak..” Nika menggeleng. ‘Siapa juga yang jururawat kat rumah ni?’ katanya dalam hati. 

Dia terus menekap dahi Nika dengan ais untuk mengurangkan kesakitan yang dapat Nika rasakan. Pandai juga Amr, dari mana agaknya dia belajar. Lebam saja Nika, siapa-siapa pun tahu merawatnya.. Huh. 

“Tak apa dah okey,” kata Nika selepas beberapa minit dan mengambil kain sudah hampir basah itu dari tangan Amr yang masih merenungnya.

“Terima kasih,” ucap Amr, dia mengangkat briefcase hitam kecil itu dengan jari telunjuknya. 

Nika tidak menjawab, dia cuba memejamkan matanya sambil berharap Amr keluar sebab dia mahu berehat sekejap di situ. Tetapi tangan Amr ligat membuka briefcase menggunakan kod rahsia.  Nika mengerling dan melihat isi di dalamnya yang berupa sampul surat yang berisi entah apa dan sebuah diari berwarna hitam. Amr cuma mengeluarkan diari itu dan kemudian menutup kembali briefcase tersebut sebelum keluar.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.