Bab 25

Beberapa hari selepas kejadian itu Nika meneruskan semuanya seperti biasa pada awal bulan Mei yang mendung dan panas sekali-sekala. Dia datang bekerja dengan Zakiah. Bukan lagi Amr. Suaminya itu bekeras mahu menghantarnya tetapi Nika tetap degil dan berkeras menolak semua kemahuan Amr. Dia tidak akan tunduk tidak kiralah kalau Amr mengecapnya perempuan ego. Dia cuma mahu melupakan semuanya. Dia tidak mahu hal dalam rumah tangga akan menjejaskan reputasi pekerjaannya. Jadi, berpura-pura merasakan yang hubungan mereka baik-baik saja tidak akan membenarkan Zakiah atau temannya yang lain bertanya apa-apa.

Di rumah pula, Nika berjaya menjadi mahkluk halimunan. Dia berusaha menyelesaikan semua kerjanya sebelum Amr pulang agar mereka tidak perlu berjumpa. Biliknya sekarang cukup privasi. Amr tidak lagi menceroboh masuk selepas malam dia melepaskan tekanan ketakutannya. Kadang-kadang Nika bersembunyi di mana-mana walau di belakang langsir sekalipun, jika mereka berdua hampir-hampir terserempak. Sambil-sambil itu dia cuba mencuri dengar perbualan rahsia Amr. 

Bagaimanapun cubaannya sering gagal kerana lelaki itu akan pergi ke kawasan lapang atau berkunci di dalam biliknya dan Nika tidak dapat menjejaknya lagi.

 Kalau ada orang yang paling sebal dan menyesal dengan tindakan degilnya untuk tidak berbaik-baik dengan Amr, orang itu ialah Zakiah.

“Nika.... Nika.. kenapalah kau tergamak biarkan BMW sport tu tersadai kat situ, spesis apalah kau ni,” kata Zakiah suatu hari ketika dia mengambil Nika pada awal pagi yang berkabus. Wajahnya jelas kesal

“Itu bukan harta akulah, semua yang kau nampak depan mata kau ni anggap saja hayalan cerita dongeng.”

Zakiah memukul dahinya berkali-kali dan asyik menggelengkan kepalanya sejak setengah jam yang lalu. “Alahai.. Nika... kenapalah dengan kamu berdua ni, nak kata tak suka dengan pasangan masing-masing tapi pandai cemburu pulak... huhu.”

Nika memukul lengan Zakiah yang tersengih mengejek.

Sehingga waktu rehat tengahari Zakiah tidak jemu mengulang semula rasa kesalnya yang membuatkan Nika hilang mood tetapi terpaksa melayan sahaja motivasi percuma dari Zakiah yang semakin kuat mempertikaikan keputusannya untuk terus menjarakkan diri dari Amr.

“Nika... Nika... Tuhan dah bagi kau rezeki tau, kalau tak macam mana kau boleh kahwin dengan pewaris harta tu, esok-esok nanti kalau kau tak mahu BMW tu, bagi-bagilah kat kawan kau ni ha! Nak juga aku merasa pandu kereta tu,” Zakiah menyambung ceramahnya hingga ke masa rehat mereka pada waktu tengahari.

“Mengucaplah Zakiah, kita ni menumpang jelah, lambat-laun kena pergi jugak.”

“Ish.. kau ni, banyak doa yang baik-baik itu yang kau minta, patutnya kau bersyukur kahwin dengan Amr, bukan asyik nak bergaduh dengan dia...” Zakiah terus mengomel hingga mereka ke pondok makan dengan Jaclyn.

Nika memarahi Zakiah dengan pancaran matanya yang sungguh tidak berkenan dengan Zakiah yang selalu mengatakan mungkin Amr ada hal yang hendak diselesaikan dan dia cukup berpegang dengan kata-kata itu. Tidak cukup dengan itu Zakiah menambah lagi rasa pedas yang terus menghasut Nika supaya terus bertahan terhadap sikap Amr.

“Kau tahu tak Nika,” Zakiah berkata lagi. 

Nika yang baru saja hendak menyuap nasi ke mulutnya meletakkan nasi itu semula kerana tak mahu menjeluakkannya keluar disaat Jaclyn keenakan menikmati makanan tengaharinya.

“Kau ni macam kisah cinderella zaman moden, menemui putera sejati yang menjadi impian semua wanita,” sambung Zakiah lagi.

“Sekali lagi aku dengar kau cakap macam tu, aku sumpah kau jadi tiang batu ni!” tempelaknya lalu memukul tiang batu pondok cendawan tempat mereka berehat sekarang.

Jaclyn tiba-tiba tersembur, nasi yang dikunyahnya mengenai Zakiah dan Nika yang kegelian dan cepat-cepat membersihkan seragam mereka.

“Eeeeiiii.. kau ni Jaclyn! Lain kali bagitahu dulu kalau nak buat macam tu, pengotorlah..” kata Zakiah yang menggelabah kerana bajunya baru saja terkena sedikit sos cili. 

Nika ketawa, faham benar dengan sikap pembersih Zakiah.

“Siapa yang buat lawak tadi, saya tengah syok makan tau, hahaha...” dia terus ketawa.“ “”Hahaha... tiang batu, kekekekke...”

“Tersampuk saka ketawa ke!” gumam Zakiah geram lalu menyumbat ayam ke mulut Jacklyn yang ketawa besar tadi.

Nika ketawa melihat paha ayam di mulut Jaclyn. Zakiah turut ketawa terbahak-bahak di situ, beberapa pengunjung dan rakan sekerja bengang melihat mereka yang berperangai kebudak-budakkan.

“Sejak bila cinderella boleh menyumpah ya Nika... dah salah tema awak ni,” kata Jaclyn menyambung ketawanya lagi.

Selepas makan tengahari dia menyambung kerjanya seperti biasa. Terlupa seketika kelibat wajah Amr yang sering berkunjung di kepalanya sehinggalah petang menjelma ketika dia pergi ke kaunter ubat untuk menemui Hasniza. Dengan tak disangka-sangka dia menemui Puan Rahimah yang berada di situ hendak mengambil ubat untuk ibunya.

“Nika masih kerja ke?” sapanya mesra.

Nika tersenyum senang. “Tinggal dua jam lagi. Mari saya tolong puan ambilkan ubat, puan mesti sibuk kerjakan,” pelawa Nika.

“Terima kasihlah... saya pun memang nak cepat, nak ambil ayah saya di airport sekejap lagi.”

Nika menyuruh Puan Rahimah tunggu dan duduk di bangku sebentar sementara dia pergi menemui Hasniza yang bersedia menolongnya.

“Besok aku bawakan handbag tu, kau masih syif pagi kan?” tanya Hasniza.

“A’ah.. aku bayar kau wang deposit dulu,” dia memberikan resit ubat dan sekeping duit not lima puluh ringgit.

“Betul ke kau nak?” tanya Hasniza seolah-olah tidak percaya dengan duit yang dihulurkan oleh Nika tadi.

“Kenapa pulak?” 

“Iyalah, sejak seminggu dua ni, heboh aku dengar kak Siti cerita yang suami kau tu bawa Range Rover, jadi.. bila kau nak barang tiruan tu mestilah aku tak pasti kau ni betul ke tidak.”

“Berhenti dengar apa-apa dari mulut Zakiah tu, suka hati akulah nak beli ke tidak.. kalau kau tak mahu duit ni aku ambil balik,” dia yakin kakitangan di situ bukan sahaja bercerita pasal Range Rover Amr.

“Eh... taklah, aku percaya terima kasih ya Nika... kaulah customer aku yang paling baik,” ujar Hasniza mengambil hati lalu menghulurkan ubat.

Nika segera menemui semula Puan Rahimah yang bingkas bangun dari kerusi.

“Terima kasih Nika,” ucap Puan Rahimah dan memasukkan ubat-ubat darah tinggi itu ke dalam beg tangan mahalnya.

“Kalau puan ada apa-apa urusan di sini jangan segan-segan telefon Nika aje, Insyaallah Nika tolong...” balasnya mesra dan mereka sama-sama berjalan beriringan keluar dari farmasi ubat tadi.

“Nika dan Amr baik-baik saja kan?” 

Mendengar pertanyaan Puan Rahimah tiba-tiba sahaja wajah lelaki itu kembali berputar-putar dalam kepalanya. Nada pertanyaan dari Puan Rahimah seperti sedang menghidu sesuatu dari hubungan mereka berdua.

“Errr... ya, macam biasa tak ada masalah,” jawabnya sambil cuba tersenyum untuk menyembunyikan segala kelukaan hatinya yang masih belum sembuh.

“Semalam, lepas waktu pejabat. Amr ada datang ke pejabat jumpa Dania.”

Jantungnya seakan disentap sebaik mendengar nama Dania lagi. Apa pula ceritanya sehingga mereka berdua bertemu di pejabat.

 “Entah apa konflik mereka berdua sampai Amr berkeras pada Dania supaya jangan ganggu Nika lagi, kebetulan saya ada di situ juga,” ujar Puan Rahimah dengan air muka prihatinnya.

Nika terpana, terkejut mendengar cerita Puan Rahimah. “Kenapa dengan Dania pula?” tanyanya kemudian dengan perasaan pelik.

“Mestilah Dania tu dah buat perkara yang menyakitkan hati, kalau tak mana mungkin Amr suka-suka hendak ke pejabat mencari dia. Lagi pun Dania memang perangainya begitu. Saya percaya dia mungkin cuba buat sesuatu yang tak baik atau mahu merosakkan hubungan kamu berdua. Dia kan memang suka bergaduh dengan Amr gara-gara mendiang Jasmine dulu jadi, tidak syak lagi dia mesti berusaha hendak menyakitkan hati Nika...” jelas Puan Rahimah panjang. 

Tidak perlu Nika bertanya apa-apa, semua yang keluar dari mulut Puan Rahimah adalah keseluruhan dari kisah pada malam Dania menelefonnya yang membuatkan Nika cemburu dengan Amr.

“Saya bukan menyibuk tentang hubungan Nika dan Amr.”

“Saya faham,” jawab Nika lagi.

“Amr tu baik orangnya, seorang lelaki yang boleh dipercaya, sifatnya memang tak ubah macam ayahnya. Saya rasa kamu berdua sangat sepadan dan apa yang penting dia sangat sayangkan Nika.”

Kalaulah begitu mudah hendak meyakinkan hatinya sendiri yang Amr benar-benar menyayanginya sudah tentu Nika tersenyum lebar dengan pendapat Puan Rahimah itu. Tapi hakikatnya dia selalu terluka dengan apa yang telah berlaku sepanjang usia perkahwinan dia dan Amr. Kisah kesan gincu pada baju Amr bukan sesuatu yang mudah untuk dimaafkan. Itu yang Nika mahu beritahu, namun dia tidak akan menceritakan hal itu pada sesiapa pun. 

Dan sekarang benaknya bertambah lagi satu soalan, Dania tak suka Amr kerana Jasmine. Kenapa nama Jasmine terlalu penting dalam konflik mereka sedangkan perempuan itu sudah tak ada lagi di dunia ini.

Nika menghantar Puan Rahimah sehingga ke keretanya yang parkir berdekatan dengan wad kecemasan. 

“Bertahanlah selagi mampu bertahan Nika, hidup berumahtangga memang bukan sikit dugaannya, kalau Nika mengalah sekarang macam mana hendak menghadapi hari kemudian,” pesan Puan Rahimah dari dalam keretanya.

“Ya... Terima kasih sebab ambil berat pada kami,” jawab Nika sambil mengukir senyuman.

“Amr ada cerita pada saya yang Nika sejak kebelakangan ini cuba menjauhkan diri dari dia.”

“Dia beritahu pada puan masalah kami?” soal Nika terkejut.

“Tak juga, dia cuma beritahu saya yang dia sedih sebab tak boleh gembirakan hati Nika, saya ada juga cadangkan supaya kamu berdua pergi bercuti panjang, rehatkan fikiran.” Katanya mengakhiri perbualan mereka.

 Puan Rahimah langsung tidak mengetahui hal sebenar kisah perkahwinan mereka dan hanya menyangka yang dia dan Amr berhadapan masalah biasa dalam rumah tangga. Bagaimanapun sejurus pertemuan dengan Puan Rahimah itu Nika cuba berfikir lebih matang. Semua masalah ini akan berakhir. Amr sudah memilih bagaimana cara hidupnya termasuk membuat pengakuan palsu dan perlukah dia memaafkan dan menerima dengan hati terbuka kata-kata yang ‘dia cuma berkerja, tak ada apa-apa yang berlaku.’


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.