Bab 32

Jadi... apa pilihannya sekarang, kalau Amr tidak muncul sampai pagi, kemungkinan besar dua penceroboh itu akan lari, atau tidak! Sudah tentu bakal ada tragedi lain berlaku. Nika mengelap lehernya yang berpeluh resah. Keadaannya sama jika dia keluar menyerah diri. Tragedi tetap berlaku. Dia tidak tahu macam mana cara untuk menyelamatkan diri, persis dibutakan dengan ketakutan. Ini bukan yang dibayangkannya.

Nika mula mundar-mandir sambil menggigit ibu jari kanannya. Sesekali dia berhenti menekan punat walkie-talkie mencari siaran penghubung tetapi masih kedengaran bunyi ritma kusut sahaja. Dia mengeluh kasar.

Sudah hampir pukul 10 malam ketika dia melihat jam di tangannya. Tidak ada tanda-tanda dua lelaki itu akan keluar dari rumah. Tidak? Bukan dua lelaki sebaliknya tiga, ada seorang lelaki yang berada di tingkat atas, berlegar-legar di kaki lima. Dua orang lagi berada di bawah, seorang darinya mengintai dari balik langsir ruang tamu. Nika tak pernah perasan dalam rumah itu ada banyak kamera tersembunyi. Dia boleh memerhatikan pergerakan mereka di beberapa kawasan penting termasuk bahagian luar betul-betul di pintu masuk depan yang membuatkan Nika terkejut dan hampir panik.

Puan Rahimah datang? 

Ya Allah, kenapa dia datang? Mahu saja dia menjerit menyuruh Puan Rahimah lari. Hampir menangis Nika bila lelaki india itu bersedia membuka pintu, dia bersembunyi di tepi, dua yang lain berdiam di tempat mereka di atas. Lampu dinyalakan di ruang tamu. Pada malam yang hangat, yang bakal meraih darah dan nyawa, keadaan bertambah buruk dengan kedatangan mengejut Puan Rahimah ke rumah itu.

Puan Rahimah melangkah masuk tanpa mencurigai apa-apa. Pintu tertutup di belakangnya. Kelihatan mulut Puan Rahimah bergerak barangkali sedang memanggil namanya cuma dia tidak boleh mendengar sebarang bunyi dari skrin tv pengawasan itu.

Kemudian hampir sudah diduga tetapi dengan gambaran mengejut, Nika yang berada di dalam safe room turut bagai direnjat elektrik yang kuat, dia memegang dadanya. 

Mata kepalanya menyaksikan sendiri lelaki india itu menutup mulut Puan Rahimah dari belakang dengan tangan hitamnya dan seperti membisikkan sesuatu yang mungkin menyuruh dia jangan menjerit. Kemudian rakannya yang baru datang merampas beg tangan Puan Rahimah dan mengambil telefon dari dalam beg itu.

Lelaki pendek yang menjawab telefon itu kelihatan ketawa gembira sebelum telefon itu dibuang saja ke lantai.

Puan Rahimah diarah duduk melutut menghadap kamera di ruang tamu sebagai mesej kepada Nika yang berada di dalam Safe Room!

Tak henti-henti mulut Nika beristighfar dan merintih pada masa yang sama. Seperti dia tidak mahu Zakiah datang menghantar beg tangannya yang tertinggal begitulah juga dia tidak menginginkan sesiapa datang ke rumah itu sekarang. Dan semua yang tidak diingininya  menjadi nyata.

Penceroboh itu bersedia mengancam. Mereka ada umpan terbaik untuk membawa Nika keluar dari persembunyiannya. Sekali lagi lelaki india tadi naik ke atas kerusi dan menayang mesej kepada Nika melalui handphonenya.

‘KELUAR SEKARANG ATAU KAMI BUNUH PEREMPUAN TU’

“Tak…tak… macam mana ni?” Nika ketakutan. Dia harus kuat, mesti bertahan dan mencari jalan.

Dengan fikiran tidak keruan pantas tangannya menyelongkar lagi rak-rak yang berbaris di bawah meja mencari senjata yang boleh digunakan. Tangannya lincah mengeluarkan segala macam dokumen harta di dalam rak itu termasuk berikat-ikat duit dalam not seratus. Kelam-kabut membongkar Nika menjumpai hand gun di dalam peti besi yang tidak berkunci.

Dia mengambilnya berhati-hati. 

Berat. 

Senjata itu berat dalam tangannya yang kecil. Debarannya sedang memuncak. Adrenalin mengalir melalui urat-urat menyuruhnya nekad. Seumur hidupnya inilah pertama kali dia memegang senjata dengan nekad. 

Satu lagi mesej ditayang pada skrin. Nika mendekatkan pandangannya untuk lebih jelas.

‘DALAM SEMINIT KALAU KAU TAK KELUAR, PEREMPUAN TU MATI’

Nika tercungap melepas nafas sesak. Tak ada jalan lain. Dia mesti keluar demi nyawa Puan Rahimah. Tak ada masa lagi, dia berdosa menggadai nyawa Puan Rahimah hanya untuk menyelamatkan nyawanya.

Kesenyapan dalam bilik yang diyakininya selamat pada awalnya sekarang begitu amat menakutkan. Tidak ada Amr, tidak ada bantuan lain, doalah senjatanya selain tangannya yang tidak yakin mampu atau tidak menggunakan handgun tersebut. Bunyi pendingin hawa  kedengaran sayup-sayup membuatkan Nika semakin menggeletar resah disamping bunyi lain tiba dari ritma kusut di atas meja….

Di depan pintu dia menadah wajah ke siling cuba berdoa.

“Nika...” tiba-tiba satu suara keluar berserta bunyi saluran kusut dari walkie -talkie mengejutkan Nika yang sedia takut.

“Amr...?” pantas dia meluru mencapai walkie-talkie. “Amr kau di mana?” suaranya bergetar. Airmatanya jatuh mendengar suara Amr yang bagaikan satu kekuatan dalam dia berdepan dengan maut.

“Nika, jangan buat apa-apa.”

“Puan Rahimah dalam bahaya sekarang! Aku tak boleh..”

“Bertahanlah di situ..”

“Amr.”

Cuma suara ritma kusut kembali berlagu dari sistem penghubung itu.

Nika tahu Amr yang menyuruh Puan Rahimah datang sebab dia gagal menghubunginya kerana handphone Nika berada dalam beg tangan yang tertinggal dalam kereta Zakiah. Nika pula mengambil masa yang lama untuk mencari gelombangnya yang betul menghantar pesanan. Amr terlambat menyedari yang Nika berada dalam keadaan terancam.

“Tunggu aku datang,” pesan Amr dan meninggalkan bunyi ‘beep’ yang pendek.

Nika tak mampu menunggu.

Dari skrin tv pengawasan lelaki india itu sedang mengancam pisau ke leher Puan Rahimah. Nika tak boleh tunggu lagi. Dalam ketakutan dia mengaktifkan kod membuka pintu dan menekan butang segiempat. Pintu konkrit terbuka lebar mendedahkan seorang Nika dengan tangan menggeletar mengacu senjatanya tepat kepada lelaki india itu.

Bagaimanapun, dua lagi rakannya tidak ada di situ, tentu sedang mengawasi di mana-mana. Nika melangkah keluar.

“Bagus, bagus... ada dua mangsa di sini sekarang,” kata lelaki india gembira dengan muka bengis.

“Lepaskan dia sebelum aku tembak!” bergetar suara Nika.

“Kau tahu senjata tu ada peluru atau tidak!” Lelaki itu mengekeh jahat.

Betul dia tak tahu samada handgun itu ada peluru atau kosong. Dia tidak memeriksanya.

“Kalau kau nak mati cepat! Aku boleh cepatkan...” nada Nika yakin biarpun tangannya masih menggeletar. Dia melangkah dua tapak ke hadapan sambil matanya meliar.

“Lepaskan dia!” arah Nika dan maju selangkah lagi.

Bagaimanapun….

“He..he…he…”satu lagi suara mengekeh dari tepinya. “Buang senjata kau perempuan!” kawannya muncul dan turut mengacu senjata pada Nika yang tidak menyangka mereka juga membawa senjata. 

“Buang atau…” hujung pisau yang tajam sudah mengenai leher Puan Rahimah yang menangis ketakutan.

Ketakutan menusuk lebih jauh ke dalam jantung, mata-mata penceroboh itu bagai tidak sabar mahu membunuh. Nika yang tidak sanggup bertahan, bagaimanapun sempat befikir sesuatu lalu dia mengubah tujuan dan mengacu senjata itu pada kepalanya sendiri. 

Dan suasana jelas berubah, wajah penceroboh itu mula terganggu, takut dengan tindakan Nika yang mahu membunuh dirinya sendiri.

“Kamu takkan berani bunuh aku malam ini… Samuel takkan bebas kalau aku mati. Amr tak akan lepaskan Samuel kalau aku mati hari ini!” begitu drastik keberaniannya berkata-kata muncul. “Lepaskan dulu wanita tu, biar aku jadi tebusan!” dia menawarkan rancangan lebih baik. Dia sudah nekad. 

Nika percaya rancangannya. “Sekarang!!” jari telunjuknya bergerak menekan picu,

Pantas lelaki india itu melepaskan Puan Rahimah yang berlari mendapatkan Nika dan dia segera menarik Puan Rahimah secara mengundur ke belakang menghampiri safe room. Dua lelaki tadi mengikut dengan berhati-hati, menunggu masa…

“Puan cepat tekan kotak segiempat…” kata Nika perlahan.

Sebaik Puan Rahimah menekan, pintu safe room terbuka dan dia menolak wanita itu masuk… tiba-tiba satu tembakan hampir mengenai tangannya dan senjatanya terlepas.

“Tutup pintu!Jangan keluar!” pekiknya pada Puan Rahimah.

“Nika….” panggil wanita itu.

Pintu tertutup laju meninggalkan Nika yang tetangkap. Dia tak mampu melawan, kudratnya terbatas. Bila seorang dari penjenayah menembak bahagian sipi tangannya Nika terkejut lalu terjatuhkan senjatanya dan dengan pantas dia dicekup bagaimanapun dia tahu Puan Rahimah berada di tempat yang selamat. Safe room secara automatik akan terkunci sepenuhnya jika ada orang di dalam bilik itu.

Rambutnya ditarik kasar ke belakang dia bertentang muka dengan lelaki india yang  sadis itu, satu layangan penampar kuat pada pipinya membuatkan Nika terperosok di atas lantai menahan kesakitan.. 

“Lepas ni kau boleh mati dengan suami bodoh kau tu!”  

Nika menggetap bibirnya yang berdarah. 

“Kita nak buat apa sekarang Murugan?” tanya lelaki pendek tadi..

“Kita tunggu Raylan pulang, sudah tentu dia risaukan isterinya.” Lelaki itu menyeringai dari balik bahu Nika. 


Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.