Bab 17

Dia boleh terkena serangan sakit jantung kalau lebih lama tinggal dengan lelaki dingin itu. Belum selesai beberapa hari yang lalu, belum pun dia menemui sebarang jawapan malam tadi, sebaik saja dia turun dari kereta Zakiah, Amr menyambutnya di luar pagar dengan riak muka yang tidak dapat diteka.

“Kita pergi sekarang,” kata Amr tegas dan tergesa-gesa. Dia berjalan tanpa mempedulikan Nika yang sekali lagi ternganga di depan pagar.

“Ke mana?” soal Nika polos.

“Nanti aku beritahu, aku ada urusan urgent nak diselesaikan dan aku tak boleh tinggalkan kau dalam rumah ni sendirian.”

“Tak mengapa. Kau saja yang pergi, aku dah biasa tinggal sendiri,” jawabnya tenang. Sepatutnya Amr sudah faham kalau dia memang suka bersendirian  mengenangkan itulah yang berlaku pada mereka berdua saban waktu.

“Tak... bukan kali ini. Mahu atau tidak, kau perlu ikut.” Amr memuktamadkan arahannya. “Aku tunggu di sini, pergi ambil seragam kerja kau,” pantas dia melangkah dengan wajah serius menuju ke kereta begitu sahaja. Langsung tak pedulikan Nika yang terpinga-pinga dan berat hati hendak menurut.

Bagaimanapun, Nika terpaksa akur. Mengenangkan dia sebagai isteri, dia harus menuruti kehendak itu. Lantas dengan rasa tidak relanya dia masuk ke dalam rumah, naik ke bilik dan mengambil baju seragam jururawatnya. Dia tidak tahu apa yang akan dilaluinya bersama Amr sambil memikirkan yang dia kena masuk kerja pukul dua petang esok. Selepas mencapai beg tangan dan memasukkan baju seragam di dalam beg kertas dia pun menemui Amr yang siap sedia menunggu dalam kereta. Wajah serius yang sedang tergambar di muka Amr sekarang adalah riak wajah lelaki yang tidak suka dibantah arahannya dan Nika pula langsung tidak suka dengan perangai begitu.

Perjalanan ke bandar JB taklah lama sangat dari tempat tinggal mereka tapi setiap minit yang berlalu merupakan penyeksaan jiwa pada Nika yang seolah didera dengan rasa ketidakselesaan sepanjang berada di sebelah Amr yang hanya tahu memandu dan melihat jalan raya besar. Sementara Nika merasakan sekejap lagi lehernya akan mengalami kekejangan urat kerana hanya melihat pemandangan di sebelah kirinya. Mereka langsung tidak berbual seolah-olah mereka berdua dipisahkan oleh dinding tebal yang kukuh dan hanya dibenarkan menikmati kedinginan suhu dalam kereta mewah yang berbau enak, bau kereta baru.

Bagaimanapun, sejurus kereta itu memasuki bandaraya Johor Bahru yang sesak, hatinya kembali tertanya-tanya kenapa Amr memandu keretanya ke dalam perkarangan hotel mewah. Nika mula rasa semacam. Kepalanya berpaling melihat pemandu kereta itu yang tetap berwajah tegar dan bibir yang langsung tidak mahu bersuara untuk menjelaskan situasi apa yang mereka hadapi sekarang. Amr telah pun mendapat parkir untuk keretanya ketika Nika tidak dapat lagi menahan sabar mahu bertanya.

“Buat apa ke sini?” soalnya dan berharap yang dia tersalah anggapan pada Amr yang mungkin hendak singgah sebentar kerana urusan lain. Tapi.. apa yang mengecewakan Nika, Amr menjawab dengan riak tenangnya.

“Kita tempah bilik dulu.”

Terasa mukanya disimbah dengan air dingin yang mengejangkan. Lututnya tiba-tiba bergegar kerana takut hendak mengetahui momen seterusnya. Kepalanya sekarang disorong berbagai cerita ngeri dan menyeksakan.

“Aku tak mahu,” katanya dan enggan turun. Amr tercengang melihatnya seketika.

“Jadi, kau mahu tidur dalam kereta?” tangannya laju menghayun pintu. 

Amr berjalan ke depan keretanya dan tidak syak lagi berpusing untuk ke pintu tempat Nika yang memendam ketakutan. Dia mahu mengunci pintu kereta itu tetapi tak ada gunanya pun. Pintu dibuka. Amr  berdiri di sebelahnya. 

“Aku ada urusan lain dan tolong jangan buat aku marah,” kemudian telefonnya berdering. Amr menjawab panggilan itu.

“Hello, ok sekejap saya datang. Barang tu ada dengan saya sekarang..” katanya sambil mengerling pada Nika yang tambah ketakutan.

Oh Tuhan.... apa maksud Amr? Adakah dia barang yang dimaksudkan oleh lelaki itu? Siapa pula yang menelefonnya? Adakah seorang lelaki yang sedang menuntut sesuatu. Adakah itu penyebabnya kenapa Amr tidak menuntut wang bayaran darinya. Astaga.. rupa-rupanya dialah bayaran yang dimaksudkan! Masih terngiang-ngiang lagi di kepalanya kata-kata Amr sebulan yang lalu. ‘Aku tak perlukan wang, aku cuma mahukan kau!’ kalau begitu Amr cuba menunaikan kata-katanya. 

Lengannya tiba-tiba dicengkam kuat oleh tapak tangan dingin Amr. Nika tersentak.

“Amr... kita buat apa di sini,” tanya Nika lagi. Dia mahu menangis.

“Tidurlah, buat apa lagi,” jawabnya bengang.

Nika turun dengan berat hati. Tangan Amr masih memegang lengannya seolah-olah takut dia lari atau Amr tahu dia sedang terfikir hendak lari. Barangkali jika dia berkeras tidak mahu ikut, Amr akan nekad mengheretnya. 

Amr hanya melepaskan lengannya sejurus kaki mereka berdua mencecah di hadapan hotel mewah itu. Seorang pekerja lelaki menyambut dengan ramah di depan pintu utama.

“Amr, tolonglah...” rayunya lagi saat mereka berdua sudahpun menghampiri kaunter menempah bilik.

Tetapi, Amr tidak perlu pun bersusah payah hendak berurusan di kaunter sebab seorang lagi pekerja lelaki terus sahaja menemuinya dan tertunduk-tunduk hormat sambil menghulurkan kunci bilik. Semuanya seperti telah diaturkan dengan rapi. 

“Ini kuncinya Sir, bilik 213, tingkat 6, ada barang yang perlu saya bawa ke atas, Sir,” Amr menyambut kunci tersebut dan menyahut.

“Thank you, tolong beritahu Rafidah nombor bilik ini kalau dia telah dapatkan semuanya.” Katanya sambil berjalan manakala pekerja lelaki tadi terus mengangguk-angguk hormat. 

Nika yang mendengar perbualan ringkas itu terus-menerus dirasuk kerisauan. Amr pula langsung tidak berperasaan dan terus membawanya ke ruang legar yang bersinar indah memantulkan silauan pada jubin keemasan di bawah kakinya. Sekarang mereka berdua berdiri di depan pintu lif yang sedang menunjukkan isyarat sedang turun.

“Amr, kau tak perlu buat aku begini,” tetapi suaranya tenggelam ketika mereka masuk ke dalam lif. Dua wanita berbangsa Inggeris menyertai mereka berdua di dalam  mematikan rayuan Nika untuk ke sekian kalinya sehingga mereka tiba ke tingkat enam. 

Pintu lif terbuka, mendedahkan ruang yang lebih sunyi dan selesa. Kali ini lantainya di penuhi karpet bercorak bunga-bunga berwarna hitam dan masih menampilkan kelasnya tersendiri.

Ketika Amr membelok ke sebelah kanan  Nika cuba lari, dia mendapat peluang itu sewaktu Amr membuka pintu bilik 213. Namun tindakannya sia-sia bila Amr menyedari dan marah ketika dia menarik pinggang Nika terus kembali rapat ke sisinya.

“Kenapa dengan kau!” Amr menderam sebelum senyap ketika seorang pekerja hotel keluar dari bilik sebelah dan sedang kehairanan memerhatikan tingkah Nika yang merintih dalam tahanan Amr. 

Bagaimanapun pekerja hotel itu tadi terus tertunduk hormat bila terpandang wajah Amr dan segera beredar malah enggan menoleh lagi pada Nika yang mahu memohon bantuan pada gadis tersebut. 

Pintu bilik 213 itu telah pun terbuka. Sekejap sahaja dia ditolak masuk ke dalam bilik yang dingin.

“Tolong jangan buat aku malu di depan pekerja-pekerja di sini, jaga tingkah kau!” katanya marah. 

Mereka berdiri di ruangan masuk yang kecil dan saling tegang.

“Kenapa kau bawa aku ke sini! Aku mohon pada kau Amr tolong bawa aku keluar dari sini.”

“Maaflah, aku tak boleh buat begitu.”

“Aku tahu aku berhutang banyak pada kau tapi bukan ini caranya, aku boleh bayar semuanya, aku cuma mohon kau berikan aku waktu,” kata Nika dalam cubaan merayu pembebasannya dari Amr yang hendak menjual maruahnya.

“Kau sudah jelaskan perkara ini dulu, aku tahu dan aku tak perlukan wang kau. Kau masih ingat apa yang aku katakan malam itu.”

“Kalau begitu kau tak perlu jual aku pada sesiapa. Aku mohon Amr demi janji kau pada Puan Ros, bawa aku pulang... tolonglah.”

“Jual kau!” dia berdengus dan tersengih. “Kenapa aku hendak jualkan benda yang aku dah beli, dengan membayar sejumlah wang pada ayah kau secara automatiknya kau dah jadi milik aku sepenuhnya termasuklah keselamatan kau sepanjang berada bersama aku. Apa lagi yang kau mahu...!!” kata Amr dengan nada meninggi. Sebelum ini lelaki itu tidak pernah begitu.

“Bukankah kau sedang berurusan dengan seseorang tadi tentang barang?” Nika tetap inginkan kepastian.

 Amr  ketawa. Tetapi sekadar mempamerkan barisan giginya tanpa sebarang suara. Dia kemudian berkata. “Ya, betul sebab tu aku tak boleh tinggalkan kau seorang diri di rumah. Aku ada urusan di luar dan keadaan di sini lebih selamat.”

“Selamat? Apa maksud kau selamat? Kenapa aku tak boleh tinggal di rumah. Apa yang kau takutkan?” soalnya bertubi-tubi setelah dia yakin yang Amr sebenarnya berniat lain walaupun keadaan masih mencurigakan di antara mereka berdua. Perlu ada sebab untuk dijelaskan jika ia memang benar semua ini demi keselamatan yang terancam.

“Tak ada apa-apa. Aku cuma bimbang ayah kau datang ke rumah dan mencari kau. Dia akan pergunakan kau lagi. Kau nampak apa yang berlaku semalamkan, dia masih belum menjelaskan semua hutangnya walaupun setelah diberikan wang,” jawab Amr tepat lalu menambah rasal jengkel Nika bila menyambung bicaranya. “Macam mana kau boleh terfikir aku nak jual kau? Berapa untung aku dapat?” dia menghabiskan ayat itu sebelum masuk ke bilik air sambil tersengih.

Nika, walaupun masih curiga tapi dalam masa yang sama lega mendengar penjelasan Amr. Dia merasa dirinya terlalu kebudak-budakkan bila mengecam Amr secara membuta tuli dan merasakan tindakan Amr benar 

Seminit kemudian pintu bilik itu diketuk. Amr yang kebetulan telah keluar dari bilik air lantas membuka pintu tersebut. Seorang lagi pekerja wanita yang kemungkinan besar itulah dia Rafidah menghulurkan empat buah beg kertas kepada Amr seolah-olah dia baru lepas dari ke pusat membeli-belah.

“Thanks.”

Amr meletakkan barang-barang tadi di atas meja solek. 

“Ini semua untuk keperluan kau. Kau ada bawa baju seragam untuk kerja?” katanya dan berpaling pada Nika yang duduk di hujung katil empuk mengangguk lesu. Amr kemudian menghampirinya, duduk di sebelah Nika yang tersentak dan cuba mengelak tetapi lega kerana Amr cuma menghulurkan sekeping kad kepadanya.

“Hubungi aku kalau kau perlukan apa-apa atau kau boleh telefon Rafidah di kaunter dia boleh uruskan. Aku perlu keluar dan mungkin takkan balik.  Besok, aku akan suruh pekerja hantar kau ke hospital.”

Nika mengambil kad tersebut dari tangan Amr dan memandang lelaki itu dari tepi sebelum Amr menyedari dan berpaling padanya. Saat mata mereka saling bertatapan dadanya berdebar kencang. Cepat-cepat dia mengalih pandangannya.

“Ada apa-apa lagi?” tanya Amr perlahan.

“Aku mahu kau bersumpah kalau aku selamat berada di sini dan kau tak ada niat jahat,” ucap Nika tenang dan meyakini kalau kata-katanya ini akan menyinggung perasaan  Amr yang tetap dengan renungan memukaunya.

“Apa saja yang ada di fikiranmu sekarang, tentang cerita-cerita yang kau mungkin curigakan, aku tak ada jawapan. Aku okey dan ada kerja lain.” 

Nika kembali kaku menatap wajah cekal milik Amr yang begitu membuai perasaan, sekali lagi mata mereka saling bertaut, lama dan mengusik perasaan. Perlahan-lahan Amr semakin mendekat ke wajahnya... semakin rapat hingga dia dapat merasakan getaran nafas Amr... seperti dipukau, Nika tidak lagi berganjak, demi Tuhan dia tak mampu menghalang keberanian Amr dari niatnya saat hidung mereka bersentuhan...

Tiba-tiba deringan telefon bimbit Amr mengejutkan keduanya sebelum sempat berbuat apa-apa. Nika bingkas berdiri.

“Ok sekejap lagi aku sampai,” ujar Amr di telefon dan turut berdiri sambil menggaru kepalanya.

Masing-masing cuba menyembunyikan perasaan malu.

“Jangan ke mana-mana, tinggal saja di hotel ni hingga aku pulang nanti. Telefon aku segera kalau kau perlukan apa-apa.”

Selepas menghabiskan kata-katanya Amr berpusing dan berjalan ke pintu keluar. Nika hanya mampu memandang, memendam perasaan bersalah sambil berharap Amr memahami kebimbangannya. 


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.