Bab 34

“Aku tak bunuh Jasmine.”

Itu ayat pertama keluar dari mulut orang sebenarnya yang disyaki oleh Nika dari sumber-sumber penting Dania yang sangat dipercayainya sebelum ini.

Sebaik Nika tersedar awal pagi ini, dia dibawa menemui Amr di balai polis di mana Amr sedang menunggunya di bilik siasatan yang dijaga oleh dua anggota polis di luar. Amr tahu dia tak boleh lagi menyimpan semua rahsia tentang apa yang berlaku selama ini kepada dirinya.

“Aku tahu kau dapat semua maklumat dari Dania. Jasmine dan Dania sahabat baik semasa kami sama-sama belajar di New York. Mereka berdua seperti adik beradik. Aku kenal Jasmine pun melalui Dania. Dia dan keluarga Jasmine menuduh aku menyebabkan kematian Jasmine. Mungkin sebab aku pernah pukul Jasmine...”

Nika pantas berpaling mendengar cerita terakhir Amr. Dia juga terkejut kalau Amr benar-benar pernah memukul Jasmine.

“Aku ketagih alkohol selepas berpisah dengan Jasmine, aku tak dapat terima hakikat yang dia tak mencintai aku lagi. Berkali-kali aku merayu, minta dia kembali semula pada aku dan suatu hari aku memukulnya kerana dia nekad untuk bersama dengan kekasih barunya. Dia membuat laporan polis dan aku diminta menjauhkan diri dari Jasmine.”

“Sebab itu.. kau dituduh membunuh Jasmine?” tanya Nika tidak sabar bila Amr memberhentikan ceritanya.

“Mungkin ... sebenarnya, aku mendengar cerita dari seorang kawan yang Jasmine mula ambil dadah sejak berkawan dengan Mike. Aku marah, jadi aku pergi ke rumah sewa mereka. Aku tak mahu Jasmine jadi begitu. Tapi aku dan Mike bergaduh ketika kami bertengkar. Aku tak tahu, tiba-tiba saja Jasmine cedera, kepalanya terhantuk. Mungkin... ketika dia cuba meleraikan pergaduhan kami berdua.

Aku ditahan polis dan berada dalam tahanan selama dua minggu sehinggalah aku diberitahu Jasmine sudah pergi. Doktor membuat laporan yang Jasmine mengambil dos berlebihan yang menyebabkan kematiannya.” 

“Kalau begitu kenapa mereka masih tuduh kau membunuh Jasmine?” Nika turut tidak berpuas hati sehinggakan Dania juga tetap mahu menuduh suaminya.

“Laman blog yang kau baca itu cerita sebelum semuanya dijelaskan. Jasmine sebenarnya membunuh diri. Dia mengambil ubat dalam dos yang banyak.” Riak wajah Amr ketika itu memudar dan terlalu mengingati kenangannya bersama Jasmine. Nika dapat merasakannya, riak wajah yang sama setiap kali Amr melukakan hati Nika. Amr lelaki yang menyimpan seluruh cintanya untuk dua orang wanita yang mana salah seorang di antaranya sudah tidak ada lagi di dunia ini.

“Jururawat yang pernah merawat Jasmine datang beritahu pihak polis yang Jasmine menulis sepucuk surat untuk aku. Aku membaca surat pemergiannya semasa aku dalam tahanan polis. Katanya... dia menyesal tinggalkan aku. Mike buat hidupnya semakin kacau, dia jadi penagih dadah dan dia tidak mahu lagi hidup di dunia ini. Katanya dalam surat itu.... biarlah dia menamatkan riwayatnya sendiri, dia tidak mahu lagi berada dalam dunia Mike.” 

Amr kelihatan meredam perasaan, cintanya untuk Jasmine begitu dalam. Seandainya Jasmine masih hidup, Nika tahu dia tidak akan ada peluang untuk menikmati cinta lelaki itu.

“Selepas surat itu diberi kepada keluarganya, ayah Jasmine ada menemui aku untuk memohon maaf. Tetapi malangnya aku dirawat di pusat pemulihan jiwa kerana kemurungan yang teruk. Aku tak mahu menemui sesiapa pun.”

“Kau jadi begitu... selepas pemergian arwah Tuan Rahmad?” Nika percaya ia benar dan Amr mengakuinya saat airmatanya menitis. Nika menepuk bahu Amr mendorongnya agar bertenang.

“Arwah datang ke New York bila dapat tahu aku ditahan polis, dia yang banyak memberi semangat agar aku bertahan. Arwah mengatakan ini semua ujian dari Tuhan agar aku kuat dilain hari nanti.” 

“Sudahlah lupakan cerita Jasmine, semuanya dah tamat…” kata-kata Nika terhenti, dia sedang memikirkan ayat seterusnya untuk bertanya sesuatu pada Amr.

Amr masih mengenggam dan mengelus tangannya perlahan.

“Kenapa kau tak beritahu aku awal-awal lagi, sekurang-kurangnya..yalah…aku tak sakit hati. Kau biarkan saja aku terkontang-kanting tanpa jawapan. Kau tahu tak berapa teruk perasaan seorang isteri bila menjawab telefon suaminya yang suaminya bekerja menjaga pelacur atas arahan Samuel?” tiba-tiba Nika menggeram.

“Undang-undangnya begitu, aku tak boleh buat apa-apa. Kau mungkin buat silap dan pihak yang diburu mungkin akan dapat tahu rancangan pihak berkuasa.” Amr cuba tersenyum biarpun janggal.

“Aku bukannya jenis mulut murai…” sahut Nika lalu menyengetkan mulutnya masih geram dengan Amr yang sekadar ketawa kecil.

“Kejadian di airport semalam adalah jenis emosi perempuan yang tidak dapat dikawal. Aku risau tengok kau menangis menjerit ‘itu suami saya! Lelaki itu suami saya!’”jelas Amr dan memegang pipi Nika.

“Tapi kau tak bersalah, aku tahu kau risau…. lagipun Murugan memang dah mengesyaki aku pada saat-saat akhir sebelum Samuel tertangkap. Aku sedar identiti aku terbongkar sejak dua, tiga bulan yang lalu. Samuel ada pengintipnya sendiri. Dan mereka berjaya menjejak di mana aku tinggal dan tahu kau ada hubungan dengan aku. Plan yang Murugan buat hampir berjaya malam tadi. Kalau dia dapat tangkap kau keadaan akan menjadi lebih rumit. Samuel dah lama diburu dan polis berjaya menangkapnya. Itu kejayaan terbesar PDRM.” cerita Amr hampir lengkap.

“Sejak bila kau jadi polis penyiasat?”

“Apa? ” Amr sedang berfikir.

Nika mengangkat bahu sambil menunjuk ke belakang entah kepada siapa?

“Asp Suresh? Dia pernah bersama kau semasa derma darah dulukan. Kamu satu pasukan rupanya.”

Amr memandang Nika dengan padangan yang pelik malah hampir ketawa tetapi dia cuba menahan rasa itu dan cuba kekal dalam perbincangan serius.

“Tak.”

“Hmm?” giliran Nika pula merasa pelik.

“Kita berbalik semula kepada selepas pemergian Jasmine. Dania memang bencikan aku, sebab aku kawan baiknya mati!”

Nika mula fokus kepada cerita seterusnya.

“Selepas bebas dari tahanan aku kembali menjadi manusia asing, hilang pedoman, New York bukan tempat yang bagus untuk orang hilang pedoman lebih-lebih lagi aku yang larut dalam kesedihan meratap kehilangan Jasmine dan ayahku. Kemudian aku jumpa Samuel, orang yang membawa aku ke lembah kotor. Aku jadi penagih dadah dan menghabiskan banyak duit untuk Samuel. Puan Rahimah selalu pesan pada aku jangan lalai, pulanglah ke Malaysia, jalani hidup baru. Tapi aku selalu mengelak dari nasihatnya dan minta dia terus menghantar duit.” Amr mengangkat wajahnya memandang Nika selepas dari tadi dia cuma bercerita dengan merenung selimut tebal di tubuhnya.

“Aku pernah kata yang ceritaku akan menakutkan kau Nika, sebab tu aku minta maaf pada kau, kau ingat lagi?

Nika mengangguk perlahan.

“Aku rasa bersalah sebab paksa kau masuk dalam kehidupanku yang penuh duri dan buat kau sama-sama menderita. Tapi kehadiran kau dalam rumah buat fikiranku lebih tenang.”

“Kau tak salah, kita bertemu untuk saling melengkapi, saling mengambil semuanya sebagai pengajaran, ceritakan pada aku semuanya tentang kau,” ujar Nika sayu. 

“Kemudian aku ditangkap semula oleh polis akibat bertindak gila di sebuah kelab malam. Aku cuba membakar kelab malam itu, kelab kepunyaan Samuel, semuanya sebab dadah. Selepas itu aku dimasukkan ke penjara dan menjalani rawatan pemulihan jiwa di New York.”


“Kau masuk penjara? Jadi kau bukan polis?” Nika masih tidak mengerti.

“Aku seorang banduan. Banduan yang ditawarkan pengampunan jika aku membantu pihak polis menangkap Samuel.”

“Tapi kenapa kau?”

“Sebab aku kawan baik Samuel sejak kecil, di sini dan bila dewasa kami berjumpa di New York. Ketika itu Samuel sudah kaya dengan kerjanya sebagai pengedar dadah. Disebabkan aku pewaris harta Tuan Rahmat. Langsung tidak dikenali di sini, memudahkan aku masuk ke dalam rangkaian Samuel. Dia menyangka aku telah bebas dari penjara. Samuel mudah percaya pada aku, kepercayaan yang lebih kepada material yang boleh mendorongnya sebagai orang yang berpengaruh dan berkuasa dengan duit. Akulah yang sabotaj beberapa rancangan Samue hingga penangkapannya.”

“Kau akan dibebaskan semula?” tanya Nika tidak sabar.

“Ya, mungkin. Aku tak tahu lagi, semuanya bergantung dengan pihak kerajaan Malaysia dan Amerika. Aku akan kembali ke New York nanti.”

 “Tapi kenapa kau bersama Asp Suresh macam satu jawatan?” dia belum berpuas hati kerana dia salah tentang apa yang difikirkannya semalam kalau Amr seorang spy polis.

“Asp Suresh jadi orang tengah kami, untuk lebih menguatkan kepercayaan Samuel terhadap aku. Semua penyeludupan senang masuk sebab Asp Suresh turut menyamar sebagai polis yang bersubahat dengan Samuel.” 

Nika akhirnya memahami keseluruhan cerita Amr.

“Aku minta maaf  Nika, jelaslah aku buat banyak kesilapan sampai melibatkan kau dalam bahaya. Kau ingat lagi apa yang kita bincangkan? Hari ini aku terima apa saja keputusan kau, aku akan pergi dari sini,” Amr bersuara dengan sangat tenang. “Aku, kadang-kadang terlupa yang aku seorang banduan. Itulah hakikat yang terpaksa kau telan, kau akan malu dengan hakikat ini,  jadi mulai hari ini kita akan kembali hidup berasingan, terima kasih untuk semua budi baik kau dan selalu ada bila aku perlukan.”

“Tapi, kenapa?” Nika terkejut dengan kata-kata Amr.

“Macam aku pernah kata, aku tak suka tengok kau terluka Nika,” ujar Amr sedih. “Aku bertindak mengikut perasaan pada malam aku buat perjanjian dengan ayah kau. Kemudian kita berkahwin. Biarpun terpaksa kau lakukan juga semuanya, terima aku seadanya, tapi aku lupa, aku cuma makhluk yang pentingkan diri. Aku lupa yang aku seorang banduan. Aku tak layak untuk seorang gadis yang baik seperti kau Nika.”

“Amr …?”

“Anggaplah aku seorang lelaki yang tak pernah wujud dalam hidup kau.” 

Nika hampir menangis. Perlahan dia bersuara. “Aku faham apa yang berlaku pada kau. Semua orang buat silap, besar atau kecil atau pun lebih besar dari apa-apa pun semua orang diberi peluang untuk berubah. Kau buat perasaan cinta kita jadi sia-sia kalau kau pergi begitu saja atas alasan kau banduan.”

Perlahan Amr mengukir senyuman. Dia masih bersikap tenang walaupun matanya kelihatan berkaca-kaca.

“Aku mahu kau jalani hidup yang kau impikan, hidup sebagai aku sangat menyakitkan Nika. Ingatanku dipenuhi segala memori yang tidak indah,” Amr mengatakannya dengan wajah yang paling sedih pernah Nika lihat.

“Apa jadi dengan pengakuan cinta kau kepadaku, adakah perasaan itu akan mati selepas kita berpisah?”

Amr terdiam, dia jelas tidak ada jawapan untuk soalan itu. Ia sangat melukakan hati Nika.

“Minta maaf puan, masa sudah tamat, kami perlu hantar puan pulang,” seorang anggota polis datang memberitahu yang perbualan tanpa penghujung itu harus ditamatkan.

“Tak, tak. Tak boleh, macam mana dengan Amr?” Nika resah gelisah, tidak sanggup hendak berpisah.

“Aku akan menjadi tahanan semula Nika.”

“Tak, tidak. Tolonglah Amr, buatlah sesuatu…”

Tetapi Nika terpaksa dibawa pergi oleh anggota polis sekaligus memisahkan mereka berdua dalam realiti yang tidak dapat disangkal lagi. Tidak ada di antara mereka berdua yang bersedia untuk perpisahan itu. Semuanya berlaku tanpa persetujuan. Amr hanya mampu melihat Nika dibawa pergi.

Dia tidak tahu adakah semuanya akan lenyap begitu saja. Kenangan mereka berdua yang saling mendebarkan dan wajah cantik Nika akan dirinduinya nanti. 


Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.