Bab 7

Nika cuba untuk tidak mengendahkan dan mahu mengelak dari menyapa lelaki itu. Bagaimanapun, langkahnya terhenti bila mendengar namanya dipanggil.

“Nika!” 

Dia menyambut wajah suram Dr. Ishak yang terpamer jelas ketika menghampirinya.

“Boleh kita jumpa sekejap.”

Dia tahu apa yang lelaki itu nak bicarakan. Sudah tentu berkenaan dengan temujanji mereka yang terbatal minggu lalu. Nika berpaling sesaat pada Zakiah yang membuat isyarat akan menunggunya di dalam kereta.

“Boleh tak awak khabarkan pada saya kalau awak ada masalah lain…” luahnya berterus-terang.

Nika terkebil-kebil sebelum menjawab.

“Maaflah Ishak kalau pasal temujanji tu, saya ada masalah dan tak boleh elak,” jawabnya tapi tak sanggup hendak membahaskan masalah sebenar yang dia terpaksa bekerja di rumah majikan emaknya.

Namun, saat itu apa yang Nika perasan, bukan wajah resah Ishak di hadapannya sebaliknya renungan Amr dari jarak sepuluh kaki di belakang Ishak.

“Tak perlukah saya ambil tahu apa masalah awak Nika, bukankah itu penting,” kata Ishak lagi.

Oh Tuhan… adakah dia perlu beritahu pada Ishak yang emaknya dipukul oleh ayahnya seorang kaki judi dan pemabuk. Adakah Ishak akan memahami dan mahu menelan hakikat apa yang dilalui dalam hidupnya sekarang. Nika mengakui, selepas dia melalui saat-saat paling teruk dengan keluarganya dia harus mengambil kira perlu atau tidak tentang menjalin hubungan dengan Ishak berikutan taraf kehormat lelaki itu yang diketahuinya dari awal dan mampukah dia berhadapan dengan situasi sebegitu. Rasanya tidak!

“Tak ada apa-apa, saya ok,” putusnya lemah dan sayu.

“Nika..”

“Saya akan beritahu awak nanti, belum masanya untuk saya bincangkan perkara lain. Maaflah, saya balik dulu.. Zakiah dah tunggu,” dia sebenarnya bukan tidak mahu berada bersama Ishak lebih lama di situ tetapi dia tidak tahan dengan renungan mata Amr yang benar-benar aneh. 

Seolah-olah ada suatu perasaan yang sangat rumit berlaku ketika itu. Malah apabila Amr turut pergi dari tempatnya berdiri tadi, Nika sangat inginkan penjelasan kenapa dia merenung begitu sekali sedangkan sewaktu berada di rumahnya lelaki itu seakan benar-benar tidak mahu memandangnya. 

Sebelum masuk ke dalam kereta, Nika sempat berpaling pada Amr sekali lagi dan sumpah! Dia melihat lelaki itu masih memerhatikannya.

“Kenapa dia renung aku begitu!” rungutnya sendirian yang dapat Zakiah dengar dengan jelas.

“Siapa? Dr. Ishak?” tanya Zakiah pelik.

“Bukan. Amr.”

“Amr? Majikan mak kau?” tanya Zakiah dengan rupa terkejut.

“Siapa lagi. Dia asyik renung aku bercerita dengan Dr. Ishak. Dia dah tertelan pil dungu ke?”

“Tak. Pil angau. Mungkin ubat yang kau bagi dia hari tu buat dia jadi gila bayang dengan kau,” kata Zakiah sambil ketawa besar di sebelah Nika yang menggeram. 

“Zakiah!” deramnya. “Dia bukan begitu, aku yakin dia aneh. Ada yang tak kena dengan kemunculannya di rumah arwah Tuan Rahmad.”

“Baik kau tanya aje dia nanti, lebih jelas. Tak perlulah kamu berdua saling hairan. Lagipun rumah kamu berdua dekat aje pun.” 

Cadangan yang bernas sekali dari Zakiah. Nika memandang jengkel dan hampir tidak menyedari mereka sudah pun sampai di kawasan rumahnya. “Baguslah tu. Terima kasih,” lantas Nika turun.

“Nika…” panggil Zakiah dari dalam kereta. “Dia dah balik tu,” muncungnya mengarah ke rumah besar lalu seronok ketawa gelihati dari dalam keretanya.

Nika turut menoleh dan melihat Range Rover hitam berkilat yang sedang parkir di halaman masuk dengan pemandu yang sangat menjengkelkan beberapa hari ini turun dari kereta.

“Kalau aku jadi kau Nika, aku pilih Amr sebab aku tak sanggup berdepan dengan mak Dr. Ishak tu! Amr pun tak kurang kacaknya.” 

(Mak Dr. Ishak? Dia tersengih. Mereka sekarang merujuk kepada pengarah hospital tempat mereka bekerja – seorang wanita perengus dan kuat marah.)

“Zak, agaknya kau pun dah termakan pil dungu!” sahut Nika dan mereka ketawa di situ.

Selepas Zakiah memandu pergi. Dia berjalan keseorangan ke lorong masuk yang redup dan sunyi diiringi satu perasaan aneh, seperti ada sepasang mata yang mengiringi langkahnya. Nika berpaling ke tingkap-tingkap banglo rumah besar itu tetapi dia tidak nampak pun sesiapa kecuali kaca jendelanya yang gelap. 

‘Ah! Perasaan mengarut’ kata hatinya, barangkali dia pun sudah tertelan ‘pil kurang waras’ hari ini. Atau mungkin juga kerana nama lelaki itu beberapa hari ini kerap muncul dalam benaknya. 

Sebenarnya, ada banyak perkara yang tidak jelas tentang Raylan Amr dan kenapa dia boleh terus mengingati lelaki yang baru muncul itu. Salah satunya, latar belakang Raylan Amr yang selama ini begitu kabur. Anak tunggal arwah Tuan Rahmad itu juga bukan membesar dalam rumah besar itu sebelum ini.

Nika mengeluh kecil. Kemudian dia melihat emaknya berjalan menuju ke rumah besar. Serta-merta hatinya runtun. Dia simpati pada emaknya yang seharusnya tidak perlu bekerja lagi. Namun dia gagal untuk mengelakkannya, semuanya kerana mereka masih menumpang di tanah arwah Tuan Rahmad. Emaknya pernah kata, ini sahajalah balasan budi yang dapat diberikannya pada keluarga itu atas jasa baik mereka selama ini. Langkahnya semakin perlahan saat pintu rumah berwarna coklat semakin jelas.

Bagaimanapun, Nika tidak terus masuk ke dalam rumah, sebaliknya ke pinggir laman untuk menyiram bunga-bunga yang emaknya tanam yang diyakininya merupakan salah satu terapi untuk menenangkan hati.

“Nika!”

Tangannya yang sedang menyiram bunga terhenti. Dia berpaling benci melihat ayahnya. Hatinya masih terguris dan menyimpan segunung kebencian untuk lelaki yang sekarang tidak layak dipanggilnya ayah.

“Buat apa awak datang!” biadap benar mulutnya menyambut kedatangan ayahnya.

“Mana mak kamu!” 

“Mak tak ada di rumah dan mak tak mahu jumpa ayah!” tempelaknya.

“Tolong ayah Nika, ayah dalam kesusahan ni..” rayu ayah dengan wajah lelaki yang tidak berguna.

“Bukan Nika atau mak yang cari penyakit tapi ayah sendiri!”

“Ini penting Nika, kalau tidak ayah akan mati!”

“Jadi! Siapa yang perlu tanggung semua itu! Mak? Nika? Bukankah masa berhutang dengan mereka ayah dah tahu apa akibatnya. Jadi! Kenapa cari kami lagi, tak cukupkah dengan apa yang mak lalui!” Nika bengang dan marah. Dia malu hendak mengakui siapa lelaki yang pernah membesarkannya dengan kasih sayang dulu.

“Buat apalah kamu kerja kalau tak boleh tolong ayah sedikit pun! Itulah gunanya anak..” tempelak ayahnya dengan wajah bengis.

“Adakah Nika ni dilahirkan semata-mata untuk hidup susah dan menanggung kesalahan ayah seumur hidup!”

Pantas tangan sebesar pinggan hinggap ke pipinya. Sakit dan memilukan. Kepalanya terpaling ke sisi. Airmatanya gugur dengan rasa kebencian yang meluap-luap.

“Ah!!! Sudahlah!!!!” pekik ayahnya lantas menghayun langkah pergi dan tidak lagi berpaling.

Nika tersandar lemah pada pintu sambil memegang pipinya yang masih sakit. Kepalanya mendongak ke dada langit yang membiru tenang tidak seperti hatinya yang mengumpul rasa kemarahan dan benar-benar tegang. Dia masuk ke dalam rumah, masih terngiang-ngiang kata-kata ayahnya yang tak masuk akal. Tidak berfikir seperti seorang ayah dan tidak pernah mahu memikul tanggungjawab sebagai seorang pelindung untuk keluarganya.

“Nika..! Nika...” tiba-tiba saja mak menerjah masuk dengan wajah cemas. Mujur jugalah mak tidak keluar dari rumah besar itu sepanjang dia bercakap dengan ayahnya  tadi.

“Kenapa mak ke sini.. nanti ayah nampak..” kata Nika risau.

“Tak.. dia dah pergi, kamu tak apa-apakan Nika?” 

“Tak payah risau, mak pergilah sambung kerja,” katanya lagi.

“Ayah kamu nak apa?” 

“Duitlah.. apa lagi yang dia perlukan selain duit! Dia takkan berubah, sampai masanya kita kena lepaskan dia mak,” luah Nika dengan mata yang bergenang, tangannya segera mengesat airmata dan nekad untuk menguatkan hati.

“Mak nampak dia pukul kamu tadi. Tuan Amr pun nampak, tu yang mak risau,” beritahu emaknya sambil mengusap pipi Nika dan memberitahu ada kesan kemerahan di pipinya. 

“Tak apa.. Nika okey.”

“Berehatlah nak.”

Nika mengangguk lemah. Mak masih risau tapi dia berkeras mengatakan yang dia tidak apa-apa dan menyuruh emaknya menyambung kerja. Maknya terpaksa akur. 

Tetapi belum pun jauh maknya pergi dia terdengar suara seseorang yang sangat janggal kedengarannya. Hatinya tersentak.

“Ada apa-apa yang perlu saya bantu,” ujar suara itu dari luar yang mendorong Nika menjenguk dari tingkap tepi pintu. Dia mengintai dari celah langsir yang diselak sedikit dengan perasaan tidak menyangka Raylan Amr berdiri di situ sedang bercakap dengan emaknya.

“Eh! Tuan, err… semuanya baik..” beritahu emak.

“Dia tak apa-apa?”

Mata Nika terbuka besar, adakah dia tersalah dengar atau cuba mereka-reka cerita yang lelaki itu baru saja bertanyakan keadaannya. Memang benarlah firasatnya, lelaki dingin ini sering memerhatikannya dari rumah besar dan pastilah kejadian tadi sangat menarik perhatiannya hingga mendorong Amr ke situ untuk mengetahui keadaannya. 

Kedengaran suara mak menjemput lelaki itu masuk. 

 Nika bersumpah dari belakang pintu yang dia tidak akan membukakannya untuk lelaki sombong itu. Mujurlah Amr menolak pelawaan emaknya dan berjalan ke hadapan sebelum berpaling ke arah tingkap tempat Nika mengintai tadi. 

Ada pengertian yang tidak difahami dari cara dia menoleh…


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.