Bab 26

Oleh kerana syif mereka tamat pada awal petang, Nika dan Zakiah bercadang hendak ke pusat bandar.

“Dah lama aku nak beli beg tu Nika, harap-harap masih ada kat kedai tu lagi..” kata Zakiah sambil mencari tempat parkir di sekitar bangunan kompleks itu.

“Kalau tak ada pun beli ajelah yang lain..” sahut Nika pula selepas dia selesai menghantar pesanan sms pada Amr memberitahu dia berada di mana sekarang.

“Eh, mana boleh, aku nak beg tu jugak tau..” bantah Zakiah.

Selepas mendapat parkir yang agak jauh sedikit mereka segera melunaskan niat. Nika tidak tahu apa yang hendak dibelinya mungkin sehelai baju atau majalah. Dua hari lepas Amr baru sahaja membawanya pergi shopping dan membelikannya baju entah berapa helai dan satu pun belum dipakainya lagi. Tetapi, hari ini dia betul-betul teringin makan aiskrim.

“Ha... tu kedainya jom kita cepat!” kata Zakiah sambil menarik lengannya tidak sabar.

“Ish, gelojohlah kau ni, kedai tu bukannya nak lari pun...” tegur Nika.

Zakiah tersengih tapi terus berjalan laju, kalau Nika tidak menguatkan langkahnya Zakiah akan meninggalkannya di belakang. Sampai ke kedai itu, Zakiah melonjak gembira bila melihat beg yang diidam-idamkannya itu masih ada. Terus sahaja dia mengambil dan membayarnya tanpa melihat beg dan kasut-kasut yang berbaris-baris di hadapannya. Selepas itu mereka keluar semula tidak sampai pun lima minit di dalamnya.

“Apasal cepat sangat kau keluar, aku belum sempat pun nak tengok-tengok,” luah Nika geram tapi tak juga marah.

“Tak payah Nika... nanti aku berkenan lagi habis duit gaji aku sebulan. Kau tu takpelah ada laki orang kaya..”

Nika tersengih menggeleng.

“Kita tengok baju baby kat sana, aku nak bagi hadiah dekat anak saudara aku tu, semalam dia baru je bersalin,” ajak Zakiah dan berkata lagi. “Kau tengok tu Nika, anak saudara aku pun dah ada anak. Aku ni entah bilalah, dah macam kura-kura tua dah aku ni..”

Nika tak tahu samada Zakiah bergurau atau tidak. Jadi dia tidak sampai hati hendak ketawa. “Zak... itu rezeki orang. Kita ni masing-masing ada rezeki cuma rezeki kau belum sampai.”

“Eh kak senah! Aku tak cakap pasal rezeki tau, aku cakap pasal jodoh!”

Nika menghamburkan ketawanya saat itu juga. Dia tak tahan melihat muka cemberut Zakiah. Tekaknya semakin kering kalau dia terus-terus mencabar Zakiah bercakap pasal jodoh. “Jom kita pergi makan aiskrim... lepas tu baru kita cari benda yang kau nak tu,” ajaknya.

Nika dan Zakiah terus saja masuk ke Mc D dan memesan Sundae untuk dua orang berserta kentang goreng yang rangup. Mujurlah pengunjung tidak begitu ramai seperti kebiasaannya. 

“Wah sedapnya...” ujar Nika dan berasa seronok menikmati seolah-olah sudah bertahun-tahun dia tidak makan aiskrim.

“Aiskrim aku ni lagi sedap. Kau tahu kenapa?” tanya Zakiah padanya. “Sebab kau belanja hahaha...” Zakiah ketawa lebar. Pelanggan masuk berganti-ganti. Semakin mereka lama di dalamnya semakin banyak pengunjung yang datang.

Selepas mengisi perut, Zakiah mengajaknya meneruskan rancangan membeli-belah mereka. Kaki Nika sudah mula letih berjalan dari tingkat bawah hingga ke tingkat atas. Tapi oleh kerana Zakiah langsung tidak mengadu apa-apa, dia pun terus mengikut ke mana sahaja Zakiah pergi. Dari kedai baju, kedai kasut sampailah ke kedai ekonomi ada sahaja yang dibeli oleh Zakiah. 

“Banyak duit kau, macam semua benda kau nak beli.”

“Iyalah aku kan single, shopping nilah yang buat aku happy. Tak macam kau ada laki yang hensem.”

Nika mula jengkel. Matanya berputar ke atas.

“Apa rasanya jadi isteri orang kaya?”

“Bosan, curiga, aku tak syorkan kau kahwin lelaki kaya, nanti kau stres,” jawab Nika geram.

Zakiah ketawa. “Aku tak kisah, janji duit masuk dengan lancar ke dalam akaun,” jawabnya yakin.

“Yalah tu, nanti stres, aku juga yang jadi mangsa tempat kau meluah.”

Lantas Zakiah ketawa sambil memukul bahu Nika.

“Dah habis shopping? Jom keluar, kaki aku sakit ni,”ujar Nika.

“nanti suruh Amr urut,” usiknya sambil tersenyum macam kambing.

Nika tersengih geram.

Mereka berdua segera keluar dari kompleks tersebut dan terus ke tempat parkir yang berdekatan dengan lif.

“Nika......” ketika dia baru hendak membuka pintu kereta tiba-tiba dia disapa seseorang dari belakang. Nika pantas berpaling. Dania sedang berdiri di hadapannya. 

“Dania??” dia bingung seketika dan tidak berani hendak meneka akan kemunculan Dania di situ.

“Bahagia nampaknya awak sekarang ye?” kedengarannya ada nada tegang dari suara Dania. Ditambah lagi dengan wajah sinisnya.

Zakiah yang keluar semula dari kereta bertanya. “Kenapa ni Nika?”

“Tak ada apa-apa Zak, tunggu sekejap...” katanya pada Zakiah yang masuk semula ke dalam kereta.

“Saya nak beritahu awak rahsia siapa Amr sebenarnya, rahsia yang akan buat awak, emmm... mungkin tak dapat tidur lena lagi,” ujar Dania jahat dan kemudian mengajak Nika ke keretanya yang terletak selang satu kereta dari tempat Zakiah parkir. Nika mengikutinya tanpa ragu.

“Jangan suka sangat dengan suami awak tu! Awak tak kenal lagi siapa dia sebenarnya.”

“Apa maksud awak, jelaskan jelah kalau awak lebih tahu siapa Amr, saya nak tahu,” sahut Nika cuba untuk menjadi berani berbanding dahulu.

“Cuma perempuan macam awak ni aje yang senang kena tipu oleh lelaki jahat tu!” cemuh Dania lebih kejam.

“Awak memang menaikkan kemarahan saya kalau cuba kata macam tu tentang Amr lagi.” Marah Nika. Dia merenung tepat ke mata Dania yang kemudian memutar-mutarkan bebola matanya ke atas.

“Sepatutnya awak ucapkan terima kasih sebab saya sudi mengingatkan awak apa yang pernah Amr buat dulu.”

“Buat apa?”

“Apa yang dah dia buat pada Jasmine!!!” suaranya lantang.

“Jangan buat fitnah Dania, berdosa!”  Nika mula bengang dengan tuduhan Dania itu.

“Fitnah? Awak kata saya cuba buat fitnah! Kenapa awak tak tanya saja pada Amr apa yang dah dia buat pada Jasmine sampai kawan baik saya tu mati!!” nada Dania semakin meninggi. Mukanya kemerahan menahan geram.

Nika tergamam seketika dan bertanya lagi. “Kawan baik? Jasmine kawan baik awak?” katanya berdebar-debar. “Macam mana awak... awak..” 

Dania memintas kata-katanya. “Ya. Jasmine memang kawan baik saya ketika kami sama-sama belajar di New York. Dia dan Amr berkenalan di universiti.” Dia mula bercerita dengan wajah sedih. “Mereka bercinta dan saya senang melihat Jasmine bahagia dengan Amr. Tapi tiga tahun kemudian, Jasmine mengadu pasal Amr yang mengongkong hidupnya dan selalu mengugut mencederakan dia...Amr tu.. di luar saja nampak baik, muka alim tapi perangai dia teruk. Kalau kami tak berkawan rapat memang saya tak percaya apa yang dia ceritakan tentang Amr sedangkan kami sepupu. Dia juga alcoholic dan pernah mengambil dadah, kau tak tahu kan... Amr memang panas baran dan selalu menderanya.”

Nika terkedu, adakah dia perlu mempercayai cerita Dania itu. Selama dia hidup bersama Amr tidak sekalipun dia mengalami kejadian yang mungkin menimpa Jasmine.

Dania menyambung lagi ceritanya. “Kemudian Jasmine meninggalkan Amr dan memutuskan hubungan mereka berdua. Tapi selepas itu saya cuma berdepan dengan Jasmine yang tidak lagi ceria. Ia berpunca ketika dia dan Amr bergaduh besar dan Amr mencederakan Jasmine. Selepas saya balik ke Malaysia tidak lama selepas cerita itu saya mendapat tahu Jasmine dimasukkan ke hospital dan kemudian meninggal dunia. Amrlah yang menyebabkan kematiannya itu.”

“Tak... tak, saya tak percaya. Saya tahu awak cuma reka cerita tentang Amr. Dia bukan begitu. Mungkin sebab awak cemburu Amr memilih hidup bersama saya jadi awak mereka-reka cerita sebab nak putuskan hubungan kami berdua,” bantah Nika. Dia menggelengkan kepalanya berkali-kali.

“Cemburu? Buat apa saya nak cemburu? Dia sepupu saya. Hei, dengar Nika... saya cuma tak mahu kisah Jasmine berulang lagi dengan mangsanya adalah awak!” 

“Tak mungkin Amr buat begitu pada Jasmine?” dia masih terkedu tidak percaya.

“Saya takkan paksa awak untuk percaya tapi saya cuma mahu awak berjaga-jaga sebab sampai saat ini pun Amr masih berahsia tentang pekerjaannya. Selepas Jasmine meninggal dunia, Amr pun menghilang. Dengarnya dia dimasukkan ke pusat rawatan mental atau dia melarikan diri dan pulang semula ke sini. Arhh... kenapalah dia tak dipenjarakan.” Cerita Dania dengan geram.

Nika mula memahami sesuatu di situ. Kenapa Amr seperti lenyap dari muka bumi ini dan tiba-tiba muncul di rumah arwah Tuan Rahmad. Dia pernah bertanya kenapa Amr tidak pernah pulang ke Malaysia sejak beberapa tahun sehinggalah ayahnya meninggal. Tapi Amr beritahu kepadanya yang arwah Tuan Rahmad datang menjenguknya di New York.

“Ambil alamat link ini dan cari di internet, awak akan jumpa nanti dan tahu saya tidak berbohong!” desak Dania lagi dan memasukkan alamat yang ditulis di atas kertas kecil ke dalam genggaman Nika yang sedang keliru.


Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.