Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,623
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 15

Bab 15

2 jam sebelum berlakunya pembunuhan kejam itu.

Rambut panjangnya disisir rapi ke belakang, lantas topi dipakai. Dia  berjalan ke arah lobi hospital dengan mata yang melilau. Mencari-cari kelibat manusia itu. Hampa. Terus dia berjalan ke tingkat dua. Suasana suram menyelubungi ruang koridor. Tangannya diramas-ramas. Perasaan risau menujah-nujah tangkai hati. Dadanya berdebar kencang, bagaikan lautan yang bergelora.

"Kau kat mana?" bisiknya sendiri. 

Dia melihat beberapa orang pesakit sedang diiring  jururawat ke wad masing-masing, memandangnya. Dia menurunkan sedikit topi ke bahagian muka. Dia tidak mahu sesiapapun mengenalinya. Telefon bimbit berjenama murah dikeluarkan dari poket seluar. 

"Dah 10 malam! Mana kau pergi tak muncul-muncul lagi ni!!" bisiknya sendiri. Risau. Gundah.

Telefon bimbit dimasukkannya kembali ke dalam poket seluar. Lima minit kemudian telefon bimbitnya berbunyi semula.

"Tuttut, tuttut".

Dia mengambil kembali telefon bimbit, membuka kotak mesej dan menekan nama penghantar yang baru mengirim mesej kepadanya.

Jumpa aku kat dalam tandas, tingkat dua. Pastikan tiada sesiapa yang cam kau.

Dia  mengeluh panjang, lantas membawa langkahnya ke arah tandas yang dimaksudkan. Dia melangkah dengan cukup berhati-hati. Wajahnya seboleh mungkin diselindungkan di sebalik topi yang dipakai.

Manakala di dalam tandas, manusia itu  tersengeh sendiri sambil menyalakan rokok di tangan. Badannya sedikit menggigil. Entah kenapa malam itu fikirannya cuma mengingatkan tentang kematian dua tahun lepas yang pernah disaksikannya. Peristiwa tersebut membuatkan perasaan amarahnya begitu kuat sehingga seluruh tubuhnya menggigil.

"Hahahahaha, masanya telah tiba untuk aku lunaskan segala dendam yang bermaharajalela selama ini!! " gumam manusia itu sendiri sambil duduk di mangkuk tandas dan menikmati 'kelazatan' rokok yang baru dihisapnya. Asap rokok tersebut berkepul-kepul memenuhi ruang kecil itu. Dia terbatuk-batuk sambil mengibas-ngibas asap rokok yang memutih. 

Derapan tapak kaki yang kedengaran di cuping telinga manusia itu, serta-merta mematikan hembusan terakhir asap rokok tersebut. Lantas ditenyehnya menggunakan tapak kasut.

"Kau ke? Aku ini" terdengar satu suara halus memanggil dari luar pintu tandas. Manusia itu menarik nafas kelegaan. 

Pintu tandas dibuka, serta-merta manusia itu menarik tangan sekutunya   ke dalam tandas yang masih lagi berbau rokok. 

"Kita buat hari ini, sekarang masanya!! Kau jadi aku, aku jadi kau!!" manusia itu mengusulkan cadangan yang telah lama tersimpan di benaknya.

"Aku takut!! tak payahlah, lagipun aku tak kisah!"

"Tapi aku kisah!!, aku tak boleh tengok kau menderita dan aku sendiri pun menderita! Lagipun apa yang mereka buat tu salah, mereka semua manusia jahanam yang patut dibunuh!!" manusia itu berbisik dengan nada keras kepada sekutunya yang sudah kelihatan pucat lesi.

"Tapi, kenapa tak bagitahu pihak polis sahaja!!"

"Aku sendiri yang akan mengadili mereka!!" renungan tajam manusia itu menikam wajah sekutunya dengan pandangan yang penuh semangat bagi menamatkan segala dendam yang telah lama tersemat di dada. 

"Tapi...."

"Sudah! kau ikut sahaja cakap aku! Sekejap lagi aku akan mematikan kesemua CCTV yang terdapat di tingkat ini,  kau jalankan rancangan seperti yang kita rancang, cepatlah!! ".

Manusia itu dan sekutunya, masing-masing menukar pakaian yang dipakai dan mereka berlalu keluar dari tandas mengikut haluan masing-masing. Tiada sesiapa yang dapat mengecam mereka, kerana wajah mereka begitu seiras.

Manusia itu terus menuju ke parking kereta bagi melakukan sesuatu. Di dalam kereta miliknya dia menukar pakaian yang dipakainya sekarang dengan pakaian lain yang ala-ala  korporat. Rambut palsu dikenakan begitu juga dengan kaca mata hitam 

digayakan bersama.  Kasut yang lebih elegan pula disarung. Kasut jenama mahal yang baru dibelinya semalam. Terpaksa. 

Manusia itu berjalan sambil menunduk dan menutup separuh wajah dengan rambut palsu yang dipakainya. Dia tidak mahu, wajahnya nanti dicam senang-senang oleh pekerja di dalam hospital tersebut. Dia mahu rancangannya pada malam ini sempurna. Tiada cacat cela. Jika gagal, sesalnya tidak akan berkesudahan seumur hidup.

Manusia itu melangkah pantas menuju ke destinasinya iaitu bilik kawalan.  Bilik Kawalan CCTV yang menempatkan rakaman kejadian di setiap tingkat bangunan hospital tersebut . Di bilik itu, terdapat dua orang pengawal keselamatan  beruniform putih yang sentiasa memantau keselamatan di dalam bangunan hospital itu, maka manusia itu mahu memperdayakan pengawal keselamatan yang bertugas supaya mematikan sistem CCTV.

Penyamaran manusia itu sebagai staf di bahagian pentadbiran telah berjaya  mengarahkan pengawal keselamatan supaya mematikan fungsi CCTV selama beberapa jam kerana alasan pihak pengurusan mahu melakukan penyelenggaraan ke atas semua kamera CCTV di paras dua bangunan hospital. Kad pekerja juga telah awal-awal dibuat salinan supaya penampilannya lebih menyakinkan. Lagipun bukannya susah sangat mahu menipu pekerja di bilik kawalan CCTV tersebut, maklumlah mereka yang pekerja di bahagian kawalan CCTV jarang bergaul dengan pekerja lain. Tidak susah baginya menjalankan rancangan yang telah lama dirancang.

Manusia itu tersenyum puas,  penyamarannya berjaya dan rancangannya pada malam ini, pasti akan berjalan lancar. Dia kembali semula ke parking kereta dan menukar kepada pakaian asalnya. Dia perlu melaksanakan rancangan tersebut dalam tempoh 6 jam sebelum pengawal keselamatan  mengaktifkan semula sistem CCTV di paras dua bangunan hospital itu.

******************************

"Kenapa pula jantung aku berdebar-debar ni?" 

Nilam mencapai ganggang telefon lantas menekan nombor interkom untuk menghubungi Rose di bilik jururawat. Dia mahu Rose menemaninya di kaunter tersebut sehingga pembedahan di tingkat 12 selesai. Barulah tempatnya akan digantikan dengan Erin dan Nico.

"Kau buat apa pula Rose, tak angkat-angkat telefon ni?" marah Nilam mengumam sendirian apabila  berkali-kali dia cuba menghubungi Rose di bilik jururawat, namun tidak diangkat.

"Ini mesti kau tidur ni?"

Nilam  bergegas meninggalkan tugas di kaunter dan mengorak langkah keluar dari wad tersebut untuk menuju ke bilik jururawat.

Sampai sahaja  di hadapan bilik jururawat, Nilam menghentikan langkahnya kerana dia agak hairan kerana terdapat cecair merah yang bertompok-tompok di hadapan pintu tersebut.

Nilam menunduk dan cecair tersebut dipegangnya lantas dihidu. Cecair itu, agak likat dan berbau hanyir.

"Apa ni? Macam darah? Darah siapa?"

Nilam melingaskan matanya pula ke arah dalam bilik tersebut. Langkah kakinya di bawa perlahan ke dalam. Risau. Liurnya ditelan berkali-kali. Badannya tiba-tiba menjadi seram sejuk. Sebagai jururawat, dia yakin yang dipegangnya tadi memang darah. 

Sebaik sahaja melihat persekitaran bilik yang berselerak dan dipenuhi darah. Nilam panik. wajahnya berpeluh. 

"Rose! Kau kat mana? Jangan takutkan aku! Rose!".

Panggilan Nilam tidak disahut. Dia tahu pasti ada sesuatu yang berlaku di bilik tersebut. Ini kerana, dia dapat melihat jelas  kesan pergelutan di bilik itu. Lantas dia keluar semula mengikut arah tompokkan darah yang menitis di lantai , membawa ke arah tandas wanita.

"Darah!"

Langkah Nilam terhenti di muka pintu utama tandas. Dia mengerutkan wajah. Hairan. Dia cuma termangu memandang ke dalam tandas dengan perasaan cemas.

"Siapa pula yang terluka ni? Rose? Adakah Rose? Ya ALLAH, apakah yang terjadi sebenarnya?!"

Wajah Nilam tergambar riak risau.Dia berada di antara dua persimpangan, sama ada mahu terus melangkah ke dalam tandas, ataupun berpusing semula ke arah wad.

"Ah! Kalau aku patah balik, aku tak akan tahu di mana berakhirnya tompokkan darah ini, tetapi kalau aku masuk, rasa macam tak sedap hati pula" Nilam bermonolog sendiri. 

Tiba-tiba peristiwa di mana Tok Bomoh Arong dibunuh kejam terbayang di ruangan matanya. Bila teringatkan itu, Nilam menjadi lemah. Semangatnya seperti terbang meninggalkan dirinya. Dia pasti akan dikusai perasaan takut yang membuak-buak.

"Aku mesti lawan perasaan takut tu, aku mesti masuk!".

Nilam nekad. Kakinya dilajukan mengorak langkah ke dalam tandas dengan mengikut titisan darah yang menitis. Dia akui tubuhnya menggeletar, namun dia perlu kuat. Dia tidak boleh membawa perasaan takutnya ke mana sahaja dia pergi. Dia perlu melawan rasa takut yang sering dialaminya. 

Sebaik saja Nilam sampai di hadapan pintu tandas paling hujung, tandas yang dijadikan stor, dia  hairan , titisan darah tersebut berakhir di situ. Dengan dada yang berdebar-debar dan penuh tanda tanya, Nilam menolak pintu di hadapannya. 

Mata Nilam terbeliak dan mulutnya terlopong apabila di hadapan matanya dia melihat sekujur tubuh yang berlumuran darah. Tubuh itu terperosok bersama-sama peralatan pembersihan dengan situasi ngeri yang menyayat hati. Didekatinya mayat yang hampir tidak dikenali wajahnya itu lebih dekat.

"Ya ALLAH, Rose!! Rose!!" 

Nilam meraung sekuat hati. Tubuhnya lemah terduduk di lantai. Jantungnya seperti mahu pecah apabila mayat ngeri tersebut adalah sahabatnya sendiri. Dia hampir pitam,  namun ditahannya sedaya mungkin dari rebah.

Nilam mengagahkan dirinya untuk bangun dan berlari bagai tak cukup tanah meminta pertolongan sambil menangis teresak-esak. Perasaannya begitu sayu apabila melihat mayat Rose yang begitu ngeri dan penuh dengan torehan-torehan serta dirobek -robek tanpa belas kasihan oleh si pelaku. 

Nico, Farah dan Erin yang baru sahaja keluar dari lif terpinga-pinga kehairanan apabila melihat Nilam berlari melintasi mereka sambil menangis seperti orang histeria.

"Hoi, Nilam kau kenapa? Tunggu sekejap!!" jerit Erin. 

Nico memandang Erin dengan kening yang bertaut. Jeritan Erin begitu kuat kedengaran memecah suasana hening yang memenuhi ruang koridor tersebut. Setelah itu pandangannya tumpah kembali ke arah Nilam yang sedang berlari bagaikan dikejar sesuatu.

Sebaik sahaja mendengar suara Erin yang menyebut namanya, Nilam berhenti dari berlari.

Nilam berpaling ke belakang. Sebaik sahaja wajah Erin, Nico dan Farah dilihatnya, Nilam pantas berlari dan memeluk tubuh Erin sambil menangis teresak-esak sesekali diselang-selikan dengan sedu-sedan. Manakala Farah memegang bahu Nilam dari belakang dan mengosoknya lembut.

"Kau kenapa Nilam? Nampak hantu ke?" tanya Erin. Pelukan kuat Nilam dileraikannya.

"Ye la, Nilam, bagitahu kami kau kenapa?, risau pula aku tengok keadaan kau macam ini!" Nico pula bertanya lembut. Dia memandang di sekeliling koridor itu, kalau-kalau ada sesuatu yang Nilam takutkan. Namun tiada apa pula yang mencurigakan. Apabila terpandang sahaja lantai, Nico hairan, terdapat cairan merah segar yang hampir kering bertitisan memanjang sehingga ke hujung bangunan. Nico berjalan ke arah cairan merah tersebut lantas mendekati titisan  yang berjejeran itu dan merasanya dengan jari.

"Darah?!"

Farah yang mula menyedari tingkah laku pelik Nico datang mendekati. Dia juga terlihat sama cecair merah yang berjejejeran di lantai. Lantas, memandang cecair yang dipegang Nico. 

"Apa tu?" Farah menyoal. Wajah berkerut Nico dipandangnya ragu-ragu.

"Entahlah, aku agak darah! Jom tanya pada Nilam!" Nico memegang pergelangan tangan Farah lantas kembali ke tempat Nilam dan Erin. Nilam masih lagi dengan sisa tangisannya. 

"Nilam! Nilam! Ni darah apa ni? Tolonglah bercakap. Kami perlu tahu!?" tengking Nico dengan mata yang membulat. Perasaannya mula ragu-ragu terhadap tingkah-laku Nilam yang ditunjukkan.

Dengan mulut  terketar-ketar dan tangan yang menggigil. Nilam menundingkan jarinya menunjuk ke arah hujung bangunan di mana terletaknya tandas wanita.

"Rose! Rose! Dibunuh!"  Nilam kembali menangis teresak-esak sambil dirangkul oleh Erin. Manakala Farah dan Nico bergegas menuju ke hujung bangunan.

Mereka berdua terus sahaja menerjah ke dalam tandas. Sebaik sahaja terlihat mayat Rose yang mengerikan kedua-dua mereka terduduk dengan mulut yang bagaikan dikunci. Cuma air mata sahaja yang mengalir di pipi gebu masing-masing.

Di sebelah mayat Rose, mereka dapat melihat jelas sebilah skalpel berlumuran darah ditinggalkan.

Pada malam itu, hospital tersebut gempar dengan satu kejadian pembunuhan kejam seorang jururawat. Kes tersebut akhirnya menjadi kes polis yang dikendalikan oleh Inspektor Hakim. 

Keesokkannya, keadaan hospital menjadi kecoh. Berita pembunuhan kejam salah seorang jururawat wanita, telah menular di seluruh hospital. Baik pesakit ataupun staf mula memperkatakan tentang kes jururawat yang dibunuh dan dikelar dengan kejam.

'Pita kuning' dipasang di tempat kejadian sebagai tanda tempat tersebut telah disita dari dimasuki oleh orang awam. Cuma pihak polis dan pihak tertentu sahaja yang dibenarkan memasuki kawasan kejadian. Bukan sahaja bilik jururawat ditutup, tetapi tandas wanita itu juga tidak dibenarkan oleh pihak polis untuk digunakan.

Ramai wartawan dari akhbar-akhbar dan stesen radio serta televisyen yang melihat tempat kejadian. Sehingga ada yang dihalau oleh pihak polis kerana terlalu 'over'. Seolah-olah mereka mahu menjadi penyiasat pula. 

Berita tragis kematian jururawat tersebut telah menjadi berita utama di dada dada akhbar dan televisyen pelbagai channel. Berita yang mengemparkan seluruh negara. Ramai netizen yang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Sehingga ada yang mengalirkan airmata kerana terlalu simpati.

Adakah roh Rose akan bergentayangan selagi pembunuh yang telah membunuhnya tidak ditangkap? Adakah roh Rose, tidak tenteram? Tiada sesiapa pun dapat menjawab persoalan ini. Hanya DIA yang mengetahui segalanya.

************

"Kau puas?" Dia bertanya kepada manusia yang sedang meneguk Latte Coffee di hadapannya.

"Hahahah, aku puas! Namun tugas aku masih lagi belum sempurna" manusia itu berhenti dari meneguk Latte Coffee. Ketawanya yang berdekah-dekah memecah suasana sunyi ruang tamu apartment tersebut.

"Kau tak menyesal?".

"Aku tidak akan pernah menyesal, bagiku satu kepuasan!"

Manusia itu bangun dari sofa, mendekati sekutunya yang sedang berdiri menikmati suasana pagi di balkoni,  lantas memeluk tubuh mugil di hadapannya.

Mereka berpelukan buat seketika sebelum masing-masing duduk kembali di sofa dan menikmati minuman petang yang hampir sejuk.



Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif