Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,626
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 9

Bab 9

Setelah agak lama menyusur keluar dari lebuh raya ,kereta yang mereka naiki melalui jalan kampung yang agak gelap dan suram. Kiri kanan jalan hanya terdapat pokok-pokok besar serta hutan tebal. Keadaan jalan raya yang tidak rata dan berlekuk-lekuk serta berlubang-lubang  menyukarkan perjalanan. Sudah beberapa kali mereka terhentak-hentak seperti menaiki kuda apabila kenderaan yang dinaiki melanggar lubang yang terdapat di atas jalan. 

Mereka sebenarnya akan ke kampung Wang Prachan, Satun iaitu sebuah wilayah selatan siam yang berjiran dengan negeri Perlis. Satun sebenarnya terletak di sebelah barat Songkla, Thailand. Pintu masuk sempadan antarabangsa ke Satun ialah melalui Wang Kelian, Perlis.  Jalan yang terpaksa mereka lalui untuk ke Kampung Wang Prachan apabila keluar sahaja dari Wang Kelian merupakan jalan lama dan tiada kenderaan yang lalu lalang .Jalan pula agak berliku-liku serta berbukit. Kampung tersebut  agak terpencil. 

"Kau orang tahu tak, Satun, atau nama asalnya Satul merupakan sebuah jajahan Kesultanan Melayu Kedah sebelum terpecah dalam pembahagian berat sebelah antara British dan Siam melalui Perjanjian Bangkok 1909. Kesan daripada perjanjian itu, wilayah Satul dipaksa bercerai dari induknya, Kedah dan dengan rela harus berada di bawah kekuasaan Siam." Erin tersenyum menceritakan asal usul tempat yang akan mereka jejaki.

"Berhenti!berhenti!" 

Doktor Nazmi terkejut apabila Nilam menjerit kuat memyuruhnya berhenti. Erin yang berada di tempat duduk belakang juga tersentak dengan tidakan Nilam. Ceritanya mengenai Satun berhenti serta-merta.

Kelam kabut Doktor Nazmi memakir kereta di bahu jalan. 

"Kenapa nak berhenti!!" sedikit berang Doktor Nazmi bersuara.

"Maaf, saya cuma mahu duduk di belakang bersama Erin!" Nilam mengenyitkan matanya kepada Doktor Nazmi. Dia sebenarnya mahu mendengar cerita Erin mengenai Satun dengan lebih jelas lagi. Dia tahu Doktor Nazmi pasti berang dengannya. Ah! Lantaklah. Dia tahu kemarahan Doktor Nazmi kepadanya tidak akan lama.

Nilam bertukar tempat duduk di bahagian belakang kereta. Setelah itu pemanduan diteruskan. Doktor Nazmi cuma mampu mengeleng-gelengkan kepalanya sahaja dengan tingkah-laku Nilam yang seperti kebudak-budakan itu, manakala Erin cuma tersenyum. 

"Mana kau tahu semua ni Erin" sebaik sahaja Nilam duduk di sebelah Erin, pertanyaan yang dipendam lama di benaknya sejak dari tadi, meletus keluar.

 Nilam tidak pernah menduga bahawa Erin mengetahui sejarah kampung terpencil itu. Dia sendiri pun tidak tahu akan kewujudan kampung tersebut. Lagi-lagi tempat yang akan mereka tujui nanti telah memasuki negara jiran. Seram-sejuk juga, apabila terkenangkan mereka memasuki negara itu tanpa pasport. Jika kena tangkap tak pasal-pasal  tidur dalam 'hotel free'.

"hahahaha..."Erin ketawa agak kuat sehingga membuatkan Nilam dan Doktor Nazmi kehairanan. Mana tidaknya, tiada apa pun yang kelakar. 

"Kau rasa, macammana aku tahu?" 

"main rasa-rasa pulak..aku tak tahulah!" bengang pula rasanya apabila soalan yang ditanya dijawab kembali dengan soalan. 

"Aku sebenarnya asal orang Satun, sewaktu kecil aku pernah menetap sekejap di sini, masa tu nenek dan datuk aku masih hidup" Erin berkata sambil tersenyum dan mengangkat-angkat kening. Tanda membanggakan diri. Maklumlah wanita-wanita siam  kebanyakannya mempunyai paras rupa yang cantik dan berkulit putih kemerahan.

"Ha!....." terlopong Nilam seketika. Dia tidak menyangka yang Erin mempunyai darah keturunan siam. Patutlah kulit Erin putih gebu kemerah-merahan, tidak sepertinya berkulit kuning langsat. Lagipun, dia mengenali Erin  semasa di tingkatan satu.Itupun mereka bertemu di sekolah berasrama penuh. 

Walaupun mereka bersahabat tetapi Erin perahsia orangnya. Lainlah dia, semuanya nak diceritakan. Kalau tidak kerana masalah yang dihidapi Nilam, rasanya sehingga sekarang Nilam mahupun Doktor Nazmi tidak mengetahui akan asal usul Erin. Itulah hikmahnya perjalanan mereka kali ini. Lebih mengenali di antara satu sama lain.

Sedang asyik Erin dan Nilam berborak dengan pelbagai perkara. Mereka langsung tidak menyedari tempat yang ditujui semakin hampir.  Perbualan mereka terganggu apabila Doktor Nazmi tiba-tiba sahaja menyergah dari hadapan.

"Jom keluar,kita dah sampai" agak kuat Doktor Nazmi bercakap sambil mematikan enjin kereta.

Doktor Nazmi memberhentikan kereta di tepi jalan tar yang menghubungkan jalan masuk ke rumah bomoh tersebut. Kereta  tidak boleh memasuki lorong untuk ke rumah bomoh itu, hanya motosikal sahaja yang muat-muat melalui lorong sekecil itu. 

Doktor Nazmi memandang jauh ke tengah lorong.

"Kau yakin, ini jalan masuk ke rumah bomoh tu?" tanya Doktor Nazmi kepada Erin yang baru sahaja turun dari kereta. 

Wajah Doktor Nazmi berkerut seribu apabila dia melihat jalan masuk ke rumah bomoh tersebut cuma jalan tanah merah sahaja. Manakala di kiri kanan lorong dipenuhi pelbagai jenis pokok yang besar-besar serta tinggi. Sehingga membuatkan keadaan sekitar kawasan itu agak gelap dan suram. Kelihatan pokok-pokok tersebut bergoyang rancak apabila ditiup angin petang. Suasana sebegitu betul-betul menghambat perasaan takut di dalam dirinya. Liurnya ditelan berkali-kali. Sebagai lelaki Doktor Nazmi tidak akan sesekali menunjukkan perasaan takutnya kepada Erin mahupun Nilam.

"Kalau tak silap aku betullah ini lorongnya, aku yakin sangat sebabnya tidak banyak berubah keadaan persekitaran rumah bomoh ini" memang Erin yakin dia tidak salah rumah.

Doktor Nazmi cuma menganggukkan kepalanya sahaja sebagai tanda memahami. 

"Ke dalam juga rumah bomoh Ini, jadi kita terpaksa berjalan kakilah ni?" kata Nilam sambil memandang Erin dan Doktor Nazmi silih berganti. 

Nilam mendongak memandang langit yang membiru di atasnya. Nasib baik cuaca pada petang itu cerah dan berangin sepoi-sepoi bahasa, jika hujan nayalah mereka bertiga. Jalan tanah merah pastinya akan becak dan melekatkan lumpur kotor di tapak kasut masing-masing.  Itulah yang berada di dalam  fikiran Nilam. Lebih-lebih lagi dia memang amat fobia dengan lumpur., 

Cepat-cepat Nilam mennyahkan fikirannya yang tidak-tidak sebentar tadi. Dia mula melangkah memasuki lorong tanah merah tersebut, namun terhenti seketika  untuk menarik baju ketatnya ke bawah pinggang supaya lebih selesa untuk berjalan. Menyesal pulak dia berpakaian singkat dan sedikit mendedahkan dadanya. Dia memandang Erin yang berseluar jeans dan berkemeja labuh longgar. Pastinya Erin lebih selesa berjalan darinya.

"Betul tu tuan puteri!" seloroh Doktor Nazmi nakal. Erin pula cuma tersengeh-sengeh bagaikan kerang busuk. 

"Nak saya dukungkan." Doktor Nazmi mengenyitkan mata kepada Nilam. Gurauannya tidak disambut.  Nilam lebih tertarik memandang kiri dan kanan jalan tanah merah itu yang baginya terlalu sunyi. 

Setelah masing-masing berdiri agak lama di muka jalan akhirnya mereka bertiga mula melangkah memasuki lorong tanah merah tersebut. Masing-masing gugup namun tidaklah ketara di wajah mereka. Keadaan kampung yang agak sunyi juga membuatkan perasaan mereka dibuai rasa tidak enak secara tiba-tiba.

Nilam berjalan seiring dengan Doktor Nazmi. Manakala, Erin pula telah jauh ke hadapan mendahului mereka.

Erin bukannya apa, Kadang-kadang menyampah juga dia memerhatikan gelagat dua merpati sejoli tu, mengada-gada. Mentang-mentanglah dia tiada mata air lagi, mana tahan apabila melihat gurau senda pasangan yang sedang dilamun cinta. Perasaan cemburunya muncul juga di lubuk hati. Oleh itu, lebih baik jika Erin berjalan mendahului mereka. Tidaklah sakit matanya melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh Doktor Nazmi dan Erin.

Nilam yang melihat Erin seperti tidak mempedulikan dia dan Doktor Nazmi kehairanan.

"Kata tadi tak sedap hati...tapi dia dulu yang jalan menonong ke depan" 

Nilam melahirkan apa yang dilihatnya kepada Doktor Nazmi. Dia memandang asyik ke arah Erin yang bergerak laju dalam kesuraman petang, sambil itu matanya sempat mengerling  jam tangan yang menunjukkan ke angka 6.45 petang. Patutlah matahari seperti melemparkan cahaya kuning kesuraman dari langit, rupanya sebentar lagi waktu malam akan mengambil tempat di muka bumi.

Sampai sahaja di hadapan rumah Tok Bomoh, mereka bertiga berdiri betul-betul menghadap pintu rumah bomoh tersebut. Rumah kayu tersebut beratap zink dan agak klasik serta dindingnya telah pudar catnya. Bertiangkan kayu balak yang tinggi-tinggi dan mempunyai tangga kayu berukir cantik, namun tangganya agak tinggi.  Tidak jemu-jemu mereka bertiga memandang keunikan rumah tersebut. 

kehadiran mereka bertiga disedari oleh Tok Bomoh Siam itu dan 'disambut' oleh tiga ekor anjing yang tidur di penjuru halaman. Mereka mendengar butir perbualan yang tidak difahami dalam bahasa siam di tingkat atas rumah. Butir bualan itu terhenti sebaik sahaja Doktor Nazmi mengucapkan hello. Keluar seorang lelaki dari rumah kayu itu.

Bomoh lelaki yang dikatakan dukun siam itu hanya berlengeng tidak berbaju dan sekadar memakai kain pelikat yang digulung besar di pinggang sehingga kain itu tersingkat ke paras lutut. Tubuh lelaki itu masih sasa dan berotot walaupun usianya telah separuh abad. Jika diamat-amati lelaki tu mungkin berumur lewat 60 an. Berkulit kuning cerah, terserlah darah Siam yang mengalir dalam dirinya.

Di antara mereka bertiga,lelaki yang bergelar Tok Bomoh itu lebih tertarik memandang  ke arah Nilam .Lelaki itu cuma berdiri di muka pintu rumah. Nilam dan Tok Bomoh itu  bertentang mata agak lama sebelum bomoh tersebut meratah tubuh Nilam dari atas ke bawah berulang kali. Nilam malu. Menyesal pula dia berpakaian menjolok mata.

"Silakan naik," Tok Bomoh mempelawa mereka ke tingkat atas rumah. Bahasa Melayu Tok Bomoh itu agak fasih walaupun terdapat sedikit loghat kedah.

Mereka bertiga agak kekok menaiki tangga yang berukir cantik itu kerana agak bergoyang. 

Mereka bertiga duduk di atas tikar mengkuang lusuh berhadapan dengan Tok Bomoh tersebut. Entah kenapa mereka bertiga diam seribu bahasa, tidak sekecoh tadi. Wajah garang Tok Bomoh agak menakutkan mereka, tambahan pula mata Tok Bomoh yang agak membulat apabila memandang mereka bertiga telah menerbitkan perasaan cuak di hati masing-masing.

Semasa mereka bertiga sedang menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran rumah Tok Bomoh itu, mereka tercium bau hamis sehingga membuatkan Nilam, Doktor Nazmi dan Erin kurang selesa untuk bernafas. Kembang kempis hidung mereka menapis bau yang kurang enak itu. Adakah bau tersebut datangnya dari Tok Bomoh di hadapan mereka? Adakah Tok Bomoh tersebut tidak mandi?Aduh, perasaan ketiga-tiga mereka melonjak-lonjak mahu segera pulang. Tidak betah rasanya berlama-lama di rumah Tok Bomoh itu.. 

Mata mereka melilau di segenap ruang rumah tersebut. Berdekatan tempat mereka duduk, di atas rak kecil tiga tingkat, kelihatan banyak botol kecil yang mengandungi cecair jernih dan hitam. Mereka mengagak mungkin minyak, tetapi tidak dapat dipastikan minyak apa. Mungkinkah minyak pengasih? Minyak dagu? Atau minyak orang mati? Ah! Biarlah. Tujuan mereka datang ke situ bukannya mahu meminta minyak tetapi mahu berusaha cara kedukunan untuk berubat. 

Di hadapan mereka  terdapat beberapa batang lilin yang  menyala, sebiji geluk yang mengandungi air, tasbih panjang, limau nipis dan keris pendek. Malah terdapat satu tengorak manusia yang  berwarna hitam.Tenggorak tersebut diletakkan di atas kain kuning yang mempunyai tujuh warna bunga. 

"Nama aku Channarong ,panggil Tok bomoh Arong."mereka bertiga agak terkejut apabila Tok Bomoh itu tiba-tiba bersuara. Hanya anggukan sahaja untuk mengiakan apa yang dikatakan oleh Tok Bomoh sebentar tadi. 

"Tok bomoh Arong ,kawan saya ni nak berubat" Erin mula berbahasa sambil menunding jarinya ke arah Nilam yang duduk bersimpuh di sebelah.

"Ya tok" Nilam berkata sepatah.Hatinya mula gementar.

Tok bomoh Arong memandang tepat ke arah Nilam. Kali ini Nilam tidak dapat bertahan lama memandang mata Tok Bomoh Arong. Cepat cepat Nilam menunduk. Anak mata Tok Bomoh Arong begitu menikam tajam ke dalam anak matanya. Nilam hairan sejak dari mula-mula berjumpa lagi, Tok Bomoh Arong memandangnya semacam.  

"Masalah gangguan sepertimana?".pertanyaan Tok bomoh Arong kepada Nilam.

"Cakap Nilam, hari dah malam ni.... " Doktor Nazmi berbisik di telinga Nilam sambil mengusap lembut jari Nilam yang digengam kemas. Perlakuan Doktor Nazmi dijeling oleh Tok Bomoh Arong.

"Sebenarnya dah sebulan lebih saya diganggu dengan bayangan makhluk hodoh, dan hilaian ketawa yang mengerunkan tok, kadang-kadang saya terasa badan seakan-akan panas, berbahang.,...jadi.......". Nilam menghela nafas sebelum menyambung kembali percakapannya.

" Saya nak tahu puncanya semua ini terjadi Tok bomoh Arong".saya nakkan jawapan kenapa saya sering diganggu".

Tanpa berkata-kata Tok Bomoh Arong mula melakukan serapah dan jampi mantera yang tidak mereka fahami. Kameyan hitam dibakar di atas bara api yang perlahan . Kemenyan tersebut mengeluarkan berkepul-kepul asap serta bau wangi. Mereka bertiga mengibas-gibas tangan bagi menghindar dari menyedut asap kemeyan yang begitu banyak. Mereka bertiga terbatuk-batuk kecil. Tok Bomoh Arong cuma tersenyum.

Tok Bomoh Arong memulakan pengubatannya. Sembilan biji limau nipis dipotong sama jalur menjadi tiga pasang. Setelah itu, limau nipis tersebut diasap dan dibacakan jampi serapah yang tidak difahami oleh mereka bertiga. Air di dalam mangkuk putih yang tidak begitu penuh dititiskan beberapa titis cecair jernih yang mereka tidak pasti apakah ia.kemudian, Tok Bomoh Arong mengambil beberapa kuntum bunga di atas kain kuning yang terdapat tenggorak di atasnya, lalu direndam dan dibacakan mantera. Selepas itu air dan limau nipis tersebut diketepikan. 

Tok Bomoh Arong mengambil pula tenggorak hitam di atas kain kuning yang terdapat pelbagai jenis bunga di atasnya tadi, lalu diasapkan. Sebaik sahaja Tok Bomoh Arong selesai membaca mantera berderu angin menerobos masuk melalui tingkap yang terbuka. Angin tersebut menyapu wajah mereka bertiga sehingga masing-masing memejamkan mata. Angin tersebut kelihatan seperti bayangan hitam yang menderu melanggar tubuh mereka. Namun  mereka mampu bertahan dari tersungkur  ke lantai.

Tidak semena-mena, Tok Bomoh Arong seperti histeria, meracau-racau dalam loghat kedah bercampur siam. Mereka memandang sesama sendiri. Seketika mereka tergamam.Tok Bomoh Arong menepuk-nepuk lantai dengan kuat. Mereka dapat merasa rumah tersebut bergegar dan ada sesuatu yang mencakar-cakar dinding rumah itu. Nilam dan Erin mula mengeletar. Peluh dingin mula merembes keluar dari liang-liang roma. Seluruh tubuh terasa sejuk. 

Doktor Nazmi cuma mampu menelan liur berkali-kali. Perasaan takutnya tidaklah seberapa, namun situasi cemas Nilam dan Erin yang lebih mengusarkannya. Mana tidaknya  Nilam dan Erin telah berpelukan dan  tubuh badan mereka menggigil.

"Bertenang, jangan cemas aku rasa Tok Bomoh Arong menurun kot" bisik Doktor Nazmi kepada Nilam dan Erin.

"Akuuuu...aaaakuu....takkkkuttt wehhh...!" tergagap-gagap Erin melafazkan kata.

"Syhhh, semua akan okey" kata Doktor Nazmi.

"Perjanjian tetap perjanjian! Aku mahu menuntut janji! Tunaikan janji itu!z.".tiba tiba Tok Bomoh Arong bertempik dengan suara garau seorang wanita sambil menunding jari telunjuknya ke arah Nilam yang telah bersimpuh kembali apabila ditenangkan oleh Doktor Nazmi sebentar tadi . Nilam agak terkejut dengan apa yang dikatakan oleh Tok Bomoh Arong.

Memang ayat itu yang sering didengarnya apabila suara hilaian datang menganggu malamnya. Tetapi Nilam musykil, setahunya dia tidak pernah berjanji dengan sesiapa? Janji apa yang mahu dituntut darinya?

"Janji apa?" Nilam memberanikan diri untuk bersuara.

"Janji itu milik kau, kau yang mesti tunaikan!! hahahahaha, jikalau tidak aku tidak akan sesekali lepaskan kau!!" Tok Bomoh Arong berkata angkuh dalam suara garaunya tadi.

Nilam pula semakin bingung. Perasaan marahnya mula meluap-luap apabila dia diperkotak-katikan sesuka hati oleh suara garau yang menghuni tubuh Tok Bomoh Arong.  

Tok Bomoh Arong tiba-tiba rebah, dari mulutnya mengalir darah merah segar. Mereka bertiga panik. Namun, belum sempat mereka bertiga berbuat sesuatu bagi menolong Tok Bomoh Arong, tiba-tiba Tok Bomoh Arong bangun dalam posisi duduk kembali.

Tok Bomoh Arong tersedar semula dari menurun. Mereka melihat Tok Bomoh Arong berpeluh-peluh.Tok Bomoh Arong mula duduk bertafakur kembali. Darah merah dimulut dilap hanya dengan kain yang sedia ada di tempat pemujaan itu. 

"Kenapa dengan saya Tok Bomoh? saya tak faham?".ujar Nilam. Dia mahukan jawapan. 

"Kau kenal wanita berkebaya kuning dan bersanggul emas?" Tok Bomoh Arong berkata. Matanya merenung tepat wajah anggun Nilam.

"Ergrrr, tidak! Saya tak kenal" 

Nilam terkejut apabila perihal wanita berkebaya kuning dan bersanggul emas diperkatakan oleh Tok Bomoh Arong. Wanita itulah yang dimimpikannya siang tadi. Tetapi seingat Nilam dia langsung tidak mengenali wanita itu. Lagipun, wajah wanita itu samar-samar di penglihatannya. 

"Wanita itu menuntut janjinya!! tetapi aku boleh leraikan perjanjian itu, dengan syarat!".

""Apa yang perlu saya lakukan?" 

Nilam perasan saat itu, mata Tok Bomoh Arong memandang ke arah dadanya Yang sedikit terdedah. Nilam menjadi serba salah dengan pandangan itu. Manakala Tok Bomoh Arong mula mengetap bibirnya. Senyuman nakal terbit di bibir tebal kehitamannya. Maklumlah, perokok tegar.

"Awak kena berubat dengan saya bagi merungkai Perjanjian ini, awak sanggup?" jawab Tok Bomoh Arong. 

"Sanggup,apa saja tok.,asalkan saya tidak diganggu lagi." Nilam memberi kata putus. Perasaanya mula berbunga riang. Masalahnya bakal diatasi tidak lama lagi. 

"ok, awak kena ikut saya masuk ke dalam bilik tu". Tok Bomoh Arong menunding jari telunjuknya ke arah sebuah bilik yang berlangsir kuning.

Buat seketika, Nilam menoleh ke arah Doktor Nazmi dan Erin. Doktor Nazmi dan Erin memahami akan pandangan tersebut.

"Dah alang-alang kau ke sini, pergi je lah Nilam, takkan nak berubat separuh jalan kot..." Erin memberi pandangan. Doktor Nazmi hanya mengangguk sebagai tanda bersetuju.

"Baiklah"

Nilam mula melangkah menbontoti Tok Bomoh Arong memasuki bilik berlangsir kuning itu. Jantungnya mula berdegup kencang dan perasaannya mula gundah gulana. Bagaimanakah cara pengubatan Tok Bomoh Arong, sehingga dia terpaksa berdua sahaja dengan Tok Bomoh itu di dalam bilik berlangsir kuning itu. Berkali-kali Nilam mengulangi bacaan al-fatihah di dalam hatinya. Hanya surah itu sahaja yang diingatnya 


Bersambung...



Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif