Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,621
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 1

Bab 1


Nilam termenung di meja solek kecil bercermin panjang yang terletak di hadapan katil. Wajahnya dibelek dengan kedua-dua tangan. Matanya kelihatan sembab dan bawah matanya kehitaman. Itu akibatnya, kerana dia sering tidur lewat sehingga menyebabkan dia kekurangan tidur. Hidupnya seperti burung hantu. Sering berjaga pada waktu malam, manakala di siang hari sibuk dengan rutin seharian. 


Bibirnya dirasa dengan tangan. Kulit-kulit mati dikutil sehingga tertanggal dari bibir. Terasa kering dan mengelupas. Sering sahaja bibirnya berdarah sehingga membuatkan Nilam mengaduh kesakitan. Mana tidaknya dia terlalu kurang minum air. Seleranya untuk makan dan minum sering mati. Adakalanya dia cuma menjamah makanan sekali sehari sahaja. Itupun setelah dipaksa berkali-kali oleh Bibik. Sehingga tubuhnya kelihatan kurus. Berat badannya mulai susut. Wajahnya juga cengkung. Harap-harap tiada sesiapalah yang akan mengatakannya seperti mayat hidup. 


Pandangan Nilam beralih memandang ke luar jendela. Tingkap yang terbuka luas, menyebabkan angin sepoi sepoi bahasa menerobos masuk. Nilam kesejukan. Lantas dia bergerak ke jendela tersebut dan menutupnya. Di luar malam yang gelap gelita sering menjadi waktu bahagia untuk penghuni di alam satu lagi bersuka ria. Alam ghaib yang sukar untuk dilihat oleh mata kasar manusia. Namun bagi mereka yang terbuka hijapnya, melihat alam ghaib adalah kebiasaan. Walaupun pada mulanya agak takut, tetapi ala bisa tegal biasa. Tiada yang mustahil dengan izin ALLAH.


Nilam mengeluh agak berat. Matanya masih lagi tidak mahu pejam. Nilam mundar mandir di dalam bilik, diambilnya sebuah novel lantas tubuhnya dibawa ke katil. Novel tersebut dibacanya, namun tidak khusyuk. Dia cuma mahu mengisi waktu malam itu sahaja.. Ditunggu matanya sehingga terasa berat,setelah itu baru dia akan tertidur dengan sendirinya. Itu yang dilakukannya berulang-ulang semenjak minggu ini. 


Tiba-tiba dari sebelah kanan telinganya Nilam dapat mendengar hilaian ketawa seseorang yang berjurai-jurai. Telinganya bagaikan mahu pecah apabila desingan suara hilaian tersebut cukup kuat. Tubuhnya mula mengeletar. Dadanya mula berdegup kencang. 


Dicampaknya novel ke sisi katil. Nafasnya lebih laju dari tadi.


"Aduh! Bingitnya! Diam! Aku kata diam!!"


Nilam mula menarik kasar rambutnya sehingga kelihatan kusut masai dan menjadikan rambutnya mengerbang. Itulah caranya dia melepaskan kegusaran hatinya sendiri. Matanya meliar ke kiri kanan. Risau. Suara tadi hilang serta merta.


"Mana kau pergi?!" Nilam seriau. 


Mendengar suara sahaja sudah membuatkan Nilam mengeletar dan menjerit ketakutan, apatah lagi jika melihat paras rupa yang empunya suara. Boleh terketar kepala lututnya. Silap haribulan boleh rebah dan demam seminggu. Minta simpang malaikat 44. Itulah doanya saban malam. Nilam bangun dari katil dan kembali duduk di hadapan cermin solek. Sambil itu mulutnya terkumat-kamit bercakap sendirian.


"kenapa aku.... kenapa mesti aku" Nilam berkata-kata perlahan. Dilihatnya syiling bilik tidur tersebut berbalam balam disinari oleh cahaya lampu tidur berwarna oren. Tergambar suasana seram di bilik itu. Namun, Nilam telah biasa. Dia selesa tidur di dalam keadaan begitu, malah lebih nyenyak.

"Adakah aku sakit....ah... aku tak sakit...aku okey, Cuma dia yang sering menyakiti aku, dia datang! Suara itu datang lagi!" Perkataan "Dia" ditekankannya sedikit. Tergambar ketakutan di wajah Nilam apabila perkataan "Dia" disebutnya sendiri.


"..aku bukan gila.. aku masih waras...aku masih kenal siapa sebenarnya diri aku, aku cuma tertekan dengan suara jahanam itu, aku pasti suara itu yang menganggu aku!." Nilam seperti hilang kewarasan dan mengetuk-getuk kepalanya berulang kali dengan kedua dua tangannya. Mungkin dengan cara sebegitu akan membuatkan tekanan perasaannya berkurangan dan mennyahkan suara hilaian itu dari kepalanya.


Nilam kembali menarik nafas dalam-dalam, zikir Nabi Yunus di dalam perut ikan nun dibacanya berulang-kali. Nilam pernah mendengar seorang ustaz terkenal di televisyen mengatakan jika seseorang itu mengamalkan zikir Nabi Yunus, Ishaallah ALLAH akan mempermudahkan segala urusannya yang di dalam kesusahan. Semuanya dengan Izin ALLAH yang satu.


Nilam lega. Perasaannya tenang semula. Suara tadi sudah tidak kedengaran.


Sikap Nilam tidak lagi seperti tadi. Dia Menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH, Maha Pencipta yang satu. 


Dipandangnya sepi makanan yang terhidang di meja kecil di sebelah katil. Makan malam itu dibawa oleh pembantu rumah yang dipanggil Bibik.Semasa makan malam tadi, Nilam tidak turun untuk makan bersama neneknya Puan Marry, kerana dia merasa kurang sihat. 


Dipicitnya kepala sebelah kanannya berulang-kali. Berdenyut denyut, bagai nak pecah. Dua biji pain killer iaitu penadol ditelan, lantas Nilam mengorak langkah semula menuju katil. Dia berbaring. Memandang syiling dengan mata yang hampir kuyu dan akhirnya tertidur.


Manakala tanpa Nilam sedari lampu di bilik tidurnya berkelip-kelip sendiri. Jendela yang telah ditutup sebentar tadi kembali terbuka dan menghempas-hempas dinding. Bunyinya begitu menakutkan. Angin yang membawa bau hamis menerobos masuk ke dalam bilik, lantas jendela tersebut tertutup kembali dengan bunyi yang agak kuat.


Setelah dua 2 jam lebih Nilam tertidur. Dia terjaga apabila jam menunjukkan ke angka 11 mlm . Walaupun masih mengantuk, Nilam mengagahkan dirinya untuk duduk. Dia tercium bau busuk yang menyelubungi bilik tidurnya lantas terbersin.


"Bau ini lagi? Adakah.....acccccuuuuuuuumm!!!.." Nilam tidak meneruskan kata-katanya, apabila dia sekali lagi terbersin kuat.


Bau tersebut amat dikenalinya. Dia pasti apabila bau itu datang , pastinya dia akan terdengar suara jahanam yang sering mengganggunya. Nilam panik. Matanya mula berkaca-kaca, dia mahu menangis dan lari dari situ, namun apakan daya dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Dia mahu cuma dirinya sahaja yang mengetahui akan suara jahanam yang sering menghantuinya.


Nilam menanti dengan dada yang berdebar-debar. Dia terpaksa mengharungi malam ini dengan perasaan takut yang amat sangat, malah lebih hebat dari tadi.


Jam dinding dikerling sepintas lalu. Menunjukkan angka 12 malam tepat.


"Ya..ALLAH" Nilam berbisik sendiri.


Dia mula resah.Jantung yang tadinya setenang air di kali mula berdegup laju.bagaikan mahu terlerai dari alteri yang memegangnya. Dia tahu apabila tiba detik 12 malam pastinya suara itu akan lebih hebat mengganggunya. Dipandangnya jendela tanpa tirai di sebelah katilnya. Tiada apa yang kelihatan. Pandangannya dialih semula ke arah cadar katil yang berwarna biru lembut.


Bagaikan magnet, Nilam berkalih semula memandang jendela di sebelahnya. Dia seperti melihat bayang-bayang seorang nenek tua berdiri di situ dengan situasi terawang-awang. Menyeringai ke arahnya dengan mata yang merah menyala. Dengan rasa tidak percaya. Nilam mengosok matanya berkali-kalai. Adakah dia salah melihat.? Ditolehnya kembali ke jendela. Kosong. Cuma gelap gelita yang menyelubungi suasana di luar jendela. 


Fikiran Nilam kembali mengingat akan suara yang sering menganggunya saban malam. Namun 15 minit berlalu, suara jahanam itu masih tidak kedengaran.


"janganlah suara itu datang lagi...tolong jangan ganggu aku" benak Nilam berbisik seperti merayu. Dia bangun dari katil, membawa tubuhnya duduk di kerusi solek yang menghadap katil. Lampu kalimantang di biliknya masih tidak dinyalakan. Matanya masih lagi mengantuk, namun perasaan takut lebih menguasai diri.


"hahahahahaha....." Tiba-tiba suara ketawa itu kedengaran lagi. Kali ini lebih panjang hilaian suara jahanam itu tertawa, sehingga membuatkan Nilam menutup telinganya dengan kedua-dua tangannya. Berdesing telinganya seperti gegendang telinganya mahu pecah. Hilaian ketawa itu jelas dan amat seram.Sungguh menakutkan.


"Kau datang lagi!! Jahanam!! Aku ingatkan kau dah tak ganggu aku lagi. Kenapa kau ganggu aku!!" Jerit Nilam sekuat hati. Namun suaranya cuma bergema di dalam bilik itu sahaja.


"jangan, dekat dengan aku jahanam, aku sumpah kau akan dilaknat ALLAH selamanya!'Jerit Nilam kembali.


"Aku akan sentiasa berdamping dengan kau, aku datang untuk kau ...kau galang gantinya..hahahahaha, perjanjian tetap perjanjian!!"Suara tersebut berkata-kata kuat sehingga menggegarkan perabot yang terdapat di dalam bilik itu.


"Perjanjian apa ha!? Aku tak pernah berjanji dengan kau, siapa kau?" bentak Nilam marah.


Nilam mula merasakan keadaan sekitarnya panas, seperti berbara.Peluh mula merecik di wajah dan tubuhnya. Tubuhnya seperti dipanggang di bawah api yang sedang menyala. Nilam tidak tahan, sepantas kilat Nilam berlari ke arah meja solek dan dia menumbuk-numbuk permukaan almari itu sehingga segala alat make up bertaburan. 


Nilam duduk memandang cermin. Namun dia cuma melontarkan pandangan kosong. Pantulan dirinya di dalam cermin tersebut tidak dihiraukan. 


20 minit berlalu, suara hilaian itu berhenti. Tidak kedengaran lagi. Nilam memandang sekeliling. Seperti biasa. Tiada apa yang berubah kecuali bau hamis yang menyelimuti bilik tersebut masih bersisa. 


."Ya..ALLAH... lindungilah hambamu ini"..Nilam berkata di dalam hati. Memohon perlindungan daripada yang MAHA ESA.


"hahahahahahahaha" Suara itu kedengaran semula. Suara tersebut menyanyi-nyanyi riang. Lagu buai laju-laju dinyayikan oleh suara itu.

"buai laju-laju...buai laju-laju sampai pokok sena..... apa dalam bajuuuu... sekuntum bunga sena...hahahah"


Nyanyian itu diulang-ulang sehingga membuatkan bulu roma Nilam meremang. Dadanya berdegup kencang. Dia seperti mahu rebah. Namun tidak juga rebah. Kan bagus jika dia pengsan, maka dia tidak perlu mendengar nyanyian seram sebegitu.


"buai laju-laju...buai laju-laju sampai pokok sena..... apa dalam bajuuuu... sekuntum bunga sena...hahahah" 


Lekas lekas Nilam mengorak langkah ke arah katil semula dan melonjakkan badannya ke atas katil yang bercadar biru lembut itu. Diambilnya bantal segiempat tepat yang bersarung biru lembut juga dan menekup muka. Tidak sanggup rasanya dia mendengar suara nyanyian itu.


Nafasnya sedikit terganggu oleh lekapan lembut bantal di hidungnya. Badannya yang memang telah basah dengan peluh mula menggigil dan mengeletar. Tidak pernah Nilam takut sebegini. Mana tidaknya inilah kali pertama suara tersebut menyanyi dengan nada seram. Jika sesiapa yang mendengar pasti tidak tertahan menanggung ketakutan yang dialami.


Bantal yang ditekup di muka masih tidak mampu menghilangkan suara gemersik yang masih ketawa dan menyanyi itu. Suara gemersik itu masih kedengaran nyaring di telinga Nilam, seolah-olah suara itu ada bersamanya pada ketika itu. Seolah-olah suara itu berdamping dengannya. dan gemersik suara tersebut menusuk masuk ke dalam urat saraf serta sel - sel otaknya. Sesungguhnya ketika ini Nilam merasakan otaknya terlalu sakit dan perit dengan suara hilaian itu. Suara tersebut betul-betul menekan mindanya sekarang. Sakit kepalanya datang kembali. Lebih sakit dari tadi.


"Ah... sakitnya...pergi kau dari sini... pergi" Nilam menjerit di sebalik bantal yang masih menekup wajah.Namun suara itu semakin galak ketawa dan memekik-mekik -seperti memarahinya.Keseluruhan biliknya di selubungi suara tersebut.


"Jahanam..." Caci Nilam dengan kuat .


Nilam mencampakkan bantal ke tepi dan tangan sebelah kanannya mengagau ke dalam beg tangan yang terletak di penjuru katil. Nilam mengambil pil tidur di dalam botol kecil berwarna putih dan menelan pil tersebut. Dia terpaksa menelan pil itu supaya dia boleh tidur dan menghalau pergi suara-suara aneh yang berada di mindanya.


Pandangan Nilam mula berbalam-balam dan akhirnya gelap. Nilam terlena. Terlena bersama suara ketawa dan jeritan yang sering menghantui tidur malamnya sejak sebulan yang lalu, namun suara tersebut lebih kerap menganggunya minggu ini, sehingga kepala gadis ini terasa bagai nak pecah apabila malam menjelma.


Keesokannya apabila bangun dari tidur, Nilam melihat makanan yang dihantar oleh bibiknya semalam berterabur di keseluruhan bilik. Bau busuk sepeti bau makanan basi menyelubungi bilik tersebut.


"tuk!tuk!Tuk!" Pintu bilik diketuk seseorang.


Jam loceng dipandang sekilas. Jam 9.30 pagi. Pastinya sarapan pagi bersama neneknya telah terlepas. Puan Marry selalunya akan bersarapan seawal jam 8.00 pagi. Jika dia tidak menemani neneknya pasti Bibik pembantu rumahnya ataupun Pak Mustafa selaku pemandu dan merangkap tukang kebun yang akan menemani neneknya bersarapan. Jika makan seorang tidak berselera kata neneknya. Nilam tersentak, bunyi ketukan bertalu-talu memenuhi gegendang telinga.


Pintu bilik masih lagi diketuk . Berhenti. Nilam melihat pintu terkuak sedikit. Terpacul wajah Puan Marry yang bersanggul tinggi dan berkebaya ketat di muka pintu.


"uwek!uwek!"


Puan Marry hampir muntah. Lubang hidung ditutup dengan kedua-dua belah tangan. Busuknya bilik Nilam tidak dapat digambarkan. Busuknya seperti berada di tempat pelupusan sampah. Bagaimana cucunya boleh duduk di dalam bilik sebegitu? Fikir Puan Marry.


"kau buat apa ni Nilam, kotor sungguh bilik, macam kena angin puting beliung dengan ...." Puan Marry tidak meneruskan kata-katanya apabila dilihatnya Nilam berlari-lari anak mendapatkannya, lantas memeluk tubuhnya.


" Busuk betul kau ni, jangan peluk nenek! Nilam buat apa sebenarnya...?" Sambil menolak Nilam menjauhi tubuhnya.


" Entahlah nenek, bangun sahaja dari tidur, bilik Nilam dah jadi macam ni! Nilam pun pelik juga, entah-entah hantu tu yang buat semua ni tak..." Nilam menelan liur. Dia melanggar janjinya sendiri, kononnya tidak mahu memberitahu sesiapa perihal semalam, namun sebenarnya dia memerlukan seseorang untuk meluahkan segala masalah yang dihidapinya.


" Hantu mana pula ni Nilam! Dah nenek taknak dengar, Nilam ambil tuala kat dalam bilik nenek dan pergi mandi, nenek akan suruh Bibik bersihkan bilik ini, ishhh... bela tikus mondok agaknya budak ni!!!" Gumam Puan Marry.


Puan Marry beredar mencari Bibik di dapur. Kedengaran suara Puan Marry riuh menyuruh bibiknya membersihkan bilik Nilam. Manakala, Puan Marry masuk semula ke bilik tidurnya dan menyembur sebanyak mungkin perfume ke seluruh tubuh, bagi menghilangkan bau busuk yang masih melekat di tubuhnya. Setelah itu Puan Marry beredar bersama Pak Mustafa menuju ke pameran lukisan yang diadakan di pusat kebudayaan.


Nilam yang masih berada di muka pintu biliknya mengeluh berat. Nampaknya, masalahnya tetap tidak dapat dikongsi dengan neneknya. Neneknya terlalu sibuk dengan urusan seharian. Nilam mengorak langkah ke dalam bilik neneknya untuk membersihkan dirinya yang busuk dan comot. 


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif