Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,609
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 16

Bab 16

 Arwah Rose selamat dikebumikan di kampung neneknya. Sebuah kampung yang agak terpencil dan jauh di pedalaman. Kawasan tanah perkuburan pula terletak  di hujung kampung. Mereka terpaksa melalui jalan kampung yang bersimpang-siur dan berlopak-lopak untuk sampai ke tanah perkuburan yang terletak betul-betul di tepi sungai bertebing tinggi.

Suasana tanah perkuburan agak suram kerana dipenuhi pokok,-pokok kemboja dan hutan kecil yang menyebabkan suasana menjadi gelap. Tidak banyak rumah yang dapat dilihat berdekatan tanah perkuburan tersebut, kecuali beberapa buah rumah lama tanpa penghuni yang hampir roboh. 

Nico dan Farah agak terlewat menghadiri upacara pengebumian arwah Rose kerana gara-gara kesesakan trafik yang membuatkan pergerakan kenderaan mereka lambat. Mereka sampai ke tanah perkuburan tersebut setelah orang ramai telah bergerak pulang. 

Sebaik sahaja sampai di hadapan kubur Rose yang masih merah dan cuma  bernisankan kayu, Farah dan Nico menghamparkan tikar lantas Surah al-fatihan dan bacaan yassin disedekahkan untuk arwah sahabat yang disayangi. Air mata tidak dapat ditahan dari mengalir. Mereka tidak menyangka secepat itu sahabat mereka akan pergi menghadap ilahi. Mereka menerimanya dengan hati redha.

Sedang kusyuk membaca sambil menghayati maksud bacaan yasin tersebut tiba-tiba pokok buluh yang berada hampir dengan kubur Rose bergoyang kuat. Seperti ada sesuatu yang mengegarnya. Masing-masing menelan liur. Perasaan takut mula menyelimuti diri mereka. Cepat-cepat bacaan yasin ditamatkan.  Hujan gerimis pula mula turun menyimbah bumi, menambahkan lagi perasaan seram yang baru mahu berputik.

Cepat-cepat Nico dan Farah menyudahkan bacaan yassin masing-masing. Setelah bacaan Surah Yasin tamat, Nico dan farah menyusur lorong-lorong kecil dipenuhi batu nisan yang berceracak di merata-rata tempat. Mereka melangkah dengan berhati-hati supaya tidak terlangkah kubur siapa-siapa di tanah perkuburan itu. Masing-masing memanjangkan langkah supaya cepat sampai ke bahu jalan di mana kereta diletakkan. Mereka mahu pulang setelah menziarahi kubur arwah Rose yang telah selamat disemadikan.

Apabila enjin dihidupkan, Nico memandu dengan berhati-hati keluar dari kawasan tanah perkuburan. Manakala Farah cuma mendiamkan diri di sebelah tempat duduk pemandu, ibarat patung bernyawa, mungkin tengah melayan perasaan sebak yang masih hadir di sanubari. Kereta membelok ke sebelah kanan, mereka masih lagi boleh melihat tanah perkuburan yang luas terbentang. 

Tiba-tiba mata Farah terlihat seseorang yang agak aneh pakaiannya. Lelaki itu memakai kot hitam labuh dan memakai topi fedora yang agak lusuh sedang bersandar di sebatang pokok kemboja.

Farah memandang lelaki misteri tersebut dengan perasaan hairan yang membuak-buak.

"Eh, aku tak silap tengok rasanya! Memang sah itu manusia!" gumam Farah dengan wajah berkerut.

"Nico! Berhenti! Berhentikan kereta sekarang!..". 

Farah berkata kuat sehingga bergema suaranya di dalam kereta tersebut. Nico memperlahankan kelajuan kereta axia yang dipandu. Wajahnya berkerut seribu.

"Kenapa nak kena berhenti pula ni Farah, kau tahu kan jalan ni sunyi, masih lagi kat kawasan kubur ni, kau jangan buat pasal pula!" marah Nico dengan wajah yang merah padam. Stereng kereta diputar menghala ke bahu jalan.

"Sekejap je lah! kau nampak tu! Tu! Tu!" Farah menunding jari telunjuk di sebelah kiri jalan.

Melilau mata Nico memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Farah, namun dia tetap tidak melihat apa-apa pada tanah perkuburan di sebelahnya. Kecuali pokok-pokok kemboja yang telah mulai berbunga dan berbau wangi. Bulu romanya tiba-tiba meremang. Seram sejuk seluruh tubuh.

"Apa dia! Kau ni! Tu! Tu! Apa?! Jangan takutkan aku boleh tak!" Nico mula berang.

"Tu! Lelaki yang pakai kot hitam dan topi fedora tu!" 

Farah menunjuk ke arah seorang lelaki yang masih lagi sedang bersandar di pokok kemboja. Nico yang pada mulanya tidak menyedari kehadiran lelaki yang ditunjukkan oleh Farah tadi, mula melibat kelibat lelaki itu yang agak tersorok dilindungi oleh pokok-pokok kemboja yang tinggi dan berdaun lebat.

Wajah lelaki itu , tidak dapat dilihat oleh mereka berdua kerana dia cuma menunduk memandang tanah. Topi fedora yang dipakainya pula melurut ke bahagian muka.

"Kau kenal ke orang tu, Farah?"

"Mestilah aku tak kenal, cuma apa yang menghairankan aku apa yang dia buat kat situ? Eh, kau nampak tak orang tu masa pengebumian Rose tadi?!" ujar Farah. Matanya masih tidak lepas dari memandang lelaki tersebut.

"Kau ni sengal betullah, kan kita sampai tadi orang ramai dah balik!" tempelak Nico agak kasar.

"Eh, ya tak ya juga" tersipu-sipu Farah tersengeh apabila mengenangkan kesalahannya sebentar tadi.

"Entah-entah lelaki tu intip kita sebab nak bunuh kita kot. Lepas bunuh Rose kita pula sasarannya"

 Ikut sedap mulut sahaja gaya Farah bercakap sehingga membuatkan Nico berasa marah. Mana tidaknya, dahlah mereka masih lagi di tanah perkuburan, sunyi pula tu, tak pasal-pasal kena bergelut dengan pembunuh pula.  

"Kau ni mulut puaka betullah, ishhhh.... jom gerak!!"

Nico mula memecut laju keretanya sehingga mencecah 110 km/j. Jalan yang mereka lalui cuma jalan biasa dan tiada kesesakkan lalulintas. Oleh yang demikian, tiada halangan bagi Nico untuk meningkatkan kelajuan kereta yang dipandunya. Manakala, Farah pula mula memikir-mikir perkara yang tidak-tidak di dalam mindanya. 

Selendang hitam dan kaca mata hitam yang dipakai farah ditanggalkannya lantas diletakkan di tempat duduk belakang kereta axia . Dipandangnya Nico dengan wajah serius. Perkara yang tidak-tidak mula bertali arus dan menekan-nekan mindanya kembali. Kali ini lebih banyak perkara buruk menerjah mindanya.

"Yang kau pandang aku macam tu kenapa? Aku tak suka ok!" tegur Nico apabila dilihatnya Farah memandangnya semacam.

"Aku rasakan, lelaki tadi tu yang bunuh Rose!" duga Farah.

"Tadi kau cakap, lelaki tu nak bunuh kita, sekarang ni kau cakap lelaki tu pula yang bunuh Rose, ishh kau ni serkap jarang je, entah-entah dia orang baik, mana tahu" ujar Nico. Dia memang kenal sangat dengan sikap Farah yang suka-suka sahaja serkap jarang orang tak kira tempat. Ishh, berdosa menuduh orang tak tentu pasal. 

Farah cuma menyungkitkan bahu dan memandang persekitaran di luar cermin tingkap. Dia tidak mahu lagi mengulas tentang lelaki bertopi fedora yang dilihatnya tadi. Dia cuba memikirkan perkara yang baik-baik sahaja di sepanjang perjalananan. Dia tidak mahu perasaannya terus tertekan dengan kematian Rose yang dibunuh kejam.

Beberapa minit berlalu , Nico memandang keadaan persekitaran yang dilalui kenderaannya. Kelihatan di kiri kanan jalan dipenuhi lalang-lalang yang separas pinggang manusia. Pelik juga. Semasa mereka melalui jalan itu untuk menuju ke tanah perkuburan tadi , tiada pula lalang-lalang raksasa sebesar batang penyapu yang meliuk-liuk di kiri kanan jalan. Aku tersalah jalan ke? Fikir Nico. 

"Farah! Kau perasan tak jalan yang kita lalui ni pelik la, ada lalang-lalang raksasa pula, apa tu? Aku belum pernah melihat lalang sebesar itu!"

 Nico cuba menghilangkan rasa risaunya  berbual dengan Farah. Wajah Farah tidak langsung dipandangnya.

"Woii, kau dengar tak aku cakap ni! Aku risau la" tengking Nico. Namun Farah masih juga berdiam.

"Woi! Kau dah jadi batu ke?!!, pantas sahaja Nico menoleh di sebelahnya.

 Biji mata Nico hampir mahu terkeluar apabila dilihatnya Farah sedang khusyuk mengigit jari-jemarinya dengan rakus, sehingga jari jemari tersebut hanya tinggal separuh dan darah merah mula mengalir membuak-buak. lantas bertakung di kaki Farah.

Nico mula cuak dan memusing stereng kereta ke bahu jalan untuk berhenti. Nico hampir-hampir melanggar seorang warga emas yang hanya berbasikal tua besar palang tengah yang berada hampir dengan keretanya. 

"Woi! Kau ni mengantuk ke apa, Nico!" Farah mengurut-urut dadanya yang berdebar-debar akibat terkejut dengan tindakan drastik Nico.

Nico terpinga-pinga sambil memandang Farah di sebelahnya setelah itu pandangannya tertumpah pula ke arah kiri kanan jalan yang cuma terdapat rumput-rumput serta pokok-pokok renek yang menghijau. Lalang-lalang raksasa tadi telah hilang dan Farah masih seperti 'sediakala'. Tiada darah yang membuak-buak keluar dari jari Farah. Apakah yang sebenarnya terjadi? Nico hairan. Mustahil itu cuma imaginasinya! Mustahil juga dia berangan! Nico menyeka peluh di dahi dan beristighfar panjang.

"Astagfirullah alazim, aku dipermainkan oleh syaitan rupanya," Nico membaca ayatul kursi 7 kali sebagai perlindungan diri.

Farah mula hairan dengan sikap acuh tidak acuh Nico kepada soalannya tadi.

"Aku tanya pun kau tak jawab! Muka pucat! Kau nampak hantu ke?" Jelingan Nico mematikan senyuman geram di wajah Farah.

"Takde apa-apalah!" Perlahan sahaja suara yang keluar dari kerongkong Nico. 

"Aku rasa kau letih! Bagi aku bawa kereta pula". 

Mereka bertukar kedudukan. Kini Farah pula yang memandu. Mereka perlu sampai ke rumah sewa sebolehnya sebelum lewat malam.

Enjin dihidupkan dan kereta mula bergerak dari bahu jalan ke jalan utama. Tidak berapa lama kemudian, Kereta yang dipandu Farah  memotong sebuah basikal tua berpalang tengah berwarna hitam pudar yang bergerak di bahu jalan. Namun yang anehnya, basikal itu tiada siapa-siapa yang menunggangnya. Basikal itu berjalan sendiri seolah-olah ada sesuatu yang mengayuhnya.

"Aku silap tengok ke?" Farah mengosok matanya berkali-kali dengan menggunakan sebelah tangan.

Tidak cukup dengan itu Farah melihat menggunakan cermin pandang belakang pula. Memang sah, basikal tersebut tiada sesiapa yang menunggangnya. Badan Farah mula menggigil. Peluh merenek didahi. 

Setelah menyedari sesuatu yang paranormal telah terjadi, Farah mula memecut kereta yang dipandunya dengan kelajuan yang 'selagi boleh' untuk cepat-cepat menemui lebuhraya. Dia mahu meninggalkan jalan kampung yang aneh lagi pelik itu.

Farah sengaja tidak mahu memberitahu Nico supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan. Dia tidak mahu kedua-dua mereka panik. Keselamatan di jalan raya harus diutamakan.

Kereta yang dipandu Farah masih lagi belum menemui lebuhraya untuk menuju ke arah bandar. Matahari telah mulai tenggelam di ufuk barat dan burung-burung telah pulang ke sarang masing-masing. Itu tandanya sang malam telah menjelma dan makhluk malam telah mula menjalankan kegiatan mereka.

Nico sempat melelapkan mata kerana terlalu mengantuk. Farah pula terpaksa 'menongkat' matanya agar tidak terlelap ketika itu. Jika seminit dia terlelap, pasti nyawa mereka berdua melayang dalam sesaat. 

Radio dipasang kuat, lagu dendangan Hazama bergema di segenap ruangan kereta .Farah melenggok-lenggokkan kepala mengikut rentak dan irama lagu artis terkenal itu. Dia mahu menghilangkan ngantuk yang sedang bermaharajalela menguasai dirinya.

Tiba-tiba Farah terasa amat lapar. Maklumlah sejak menghadiri upacara pengebumian sahabatnya tadi, dia dan Nico masih belum menjamah sebarang hidangan berat. Cuma air mineral dan snek yang dikunyah. Mereka agak, boleh sampai awal ke kota dan sempat menikmati makan malam di kedai Pak Mahat. Namun sangkaan mereka meleset apabila perjalanan yang dilalui mereka terasa amat lama, seolah-olah tiada berpenghujung.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif