Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,620
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 14

Bab 14

Cerita  seram mengenai hospital yang didengari dari Pak Mahat sedikitpun tidak mematahkan semangat Rose untuk bekerja dan menabur khidmat di hospital itu. Lagipun Pak Mahat ada mengatakankan bahawa hospital itu telah 'dibersihkan' jadi apa yang nak dirisaukan. Tiada apa yang perlu ditakutkan.

Pada malam itu Rose bertugas seperti biasa.Dia ditemani oleh Nico, Erin, Farah dan Nilam. Bekerja sebagai jururawat pada Rose adalah suatu tugas yang agak mencabar. Bukan calang-calang orang yang mampu mengalas tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat.Tetapi  itulah cita-cita Rose sejak dari kecil lagi.

"Rose, kau ada nampak Mimi Amira tak" tanya Nilam. Matanya tidak lepas memandang di sekeliling bilik jururawat itu, kalau-kalau kelibat Mimi Amira kelihatan.

"Mimi Amira?.... tapi..." belum sempat Rose menghabiskan ayatnya Nico masuk ke bilik jururawat dengan tergesa-gesa.

"Weh, kau orang..... ada kecemasan! Doktor Nazmi memerlukan tiga orang jururawat untuk membantunya di bilik pembedahan" Nico memberitahu rakan-rakannya bahawa satu pembedahan segera akan dilakukan oleh Doktor Nazmi.

"Sekarang ke?" tanya Nilam. 

Hasrat Nilam mahu mencari Mimi Amira dibatalkan. Entah kemanalah budak tu pergi. Dia bukannya apa, dia cuma mahu menanyakan perihal Nenek Anong kepada Mimi. Cuma dia dan Mimi sahaja yang pernah melihat kelibat Nenek Anong di hospital itu. Dia cuma mahu mengesahkan Nenek Anong sebenarnya wujud atau tidak. Dia mahu membuktikan kepada Erin bahawa katil tersebut sebenarnya berpenghuni. Ah! Lupakanlah dulu persoalan itu. Perihal pembedahan yang sekejap lagi bakal dilakukan lebih penting.

"Siapa volunteer nak tolong ni, aku perlukan lagi dua orang jururawat" kata Nico.

"Aku nak bertugas di sini je, banyak lagi kerja yang tidak siap ni" ujar Rose. Sebenarnya dia cuba mengelak dari menyertai pembedahan tersebut, tiba-tiba badannya seperti tidak sihat. 

Akhirnya Erin dan Farah yang akan menyertai Doktor Nazmi di bilik pembedahan selain Nico sendiri. Jururawat yang dipilih adalah jururawat terbaik yang berpengalaman di bilik bedah.  

"Nilam tolong pergi ke bahagian kaunter dalam wad perempuan!. Kat sana tiada seorang pun jururawat, maklumlah malam-malam macam ini, risau pula kalau ada pesakit yang suka-suka hati merayau keluar dari wad! Arah Nico".

"Alah, boringlah sorang-sorang, aku takutlah" Nilam membuat mimik muka monyok.

"Ishh, kau nak takut apa?!! Ramai la pesakit kat dalam wad tu yang boleh temankan kau!" Nico somborono menyembur Nilam.

"Perli aku ke!, okeylah aku pergi, tapi kalau aku takut aku akan minta Rose temankan aku ye!!" jerit Nilam sambil kakinya dibawa ke arah wad yang sama paras dengan tingkat itu.

Manakala Nico, Farah dan Erin mula mengorak langkah menaiki lif menuju ke Bilik pembedahan yang terletak di tingkat paling atas bangunan tersebut iaitu di tingkat 12.

Farah, Nico dan Erin menukar pakaian masing-masing. Kesemua mereka memakai pakaian berwarna ungu yang longgar iaitu sepasang baju dan seluar. Pakaian tersebut merupakan pakaian yang akan dipakai oleh para doktor dan jururawat apabila berada di bilik pembedahan. 

Mengikut maklumat yang mereka perolehi, seorang pesakit wanita dimasukkan ke hospital itu kerana terkena serangan jantung. Wanita itu  menghidapi penyakit jantung arteri koronari (CHD). Doktor akan menentukan rawatan yang terbaik dan salah satu kaedah pembedahan yang akan Doktor Nazmi lakukan ialah memintas arteri yang tersumbat.

Mereka akan melakukan pembedahan pintasan jantung @ Coronary Artery Bypass Graft (CABG). Pembedahan ini dilakukan bagi meningkatkan aliran darah ke otot jantung pesakit yang menderita penyakit jantung koroner (Coronary Heart Disease - CHD) akibat penyempitan atau penyumbatan didalam saluran darah.

Operasi CABG yang mereka lakukan terhadap pesakit akan membina kembali pembuluh darah baru, melintasi pembuluh darah jantung yang sempit dengan menggunakan pembuluh darah dari bahagian tubuh lain.

Pesakit wanita itu telah bersiap sedia di bilik bedah. Erin, Farah dan Nico mengambil tempat masing-masing berhampiran pesakit. Setelah pesakit wanita itu dibius, operasi pembedahan pun bermula.

Tinggallah Rose berseorangan di bilik jururawat untuk melakukan tugas-tugas di situ. Dia menyanyi-nyanyi riang bagi menghiburkan hati.

"Alamak rasa seram pula tinggal sorang ni, menyesal pula aku tolak nak jadi pembantu Doktor Nazmi di bilik pembedahan tadi, ishhh" desis hati Rose. Sambil menyusun pelbagai dokumen ke dalam fail khas.

Gerakan tangan Rose terhenti seketika apabila dia melayan perasaannya sendiri.

"Macamlah aku tak pernah tinggal seorang sebelum ni.....uhhhh" Rose cuba menghilangkan perasaan gundah-gulananya malam itu dengan menyanyi lagu Aida Jebat yang amat diminatinya. 

"Ishh, kuat betul detakan jantung aku malam ini! Kenapa pula?".

Rose meletakkan tangan kanannya di bahagian jantung dan merasai rentak jantungnya yang laju. 

"Adakah aku menghidap 'palpilation'. Ah tak mungkin! Hati aku je yang rasa macam-macam pula malam ni" Rose mengeluh dengan menghembuskan nafas berat.

Rose melilaukan matanya memandang di sekeliling bilik tersebut. Ayat kursi dibaca berulang kali.Tangannya tiba-tiba menjadi sejuk. 

"Ya,ALLAH lindungilah aku!" 

Mahu sahaja rasanya Rose ke wad perempuan bertemu dengan Nilam, namun apabila mengenangkan kerjanya yang masih belum selesai. Niatnya dibatalkan. Mungkin perasaan yang dialaminya sebentar tadi cuma nalurinya yang terlalu dikuasai perasaan takut. Lantas, Rose menyambung kembali kerja-kerjanya yang terbengkalai .

Rose menuju ke arah kabinet besi berhampiran jendela pula bagi menyusun fail di dalam kabinet tersebut. Kerjanya menyusun dokumen yang dilakukannya sebentar tadi telah selesai.

Laci kabinet besi dibuka. Bergegar bunyinya apabila kabinet besi itu ditarik kasar oleh Rose.

"Banyaknya, fail lapuk dalam ni!" omel Rose.

Bukan saja-saja Rose mahu menyusun fail lapuk di dalam kabinet besi tersebut, segalanya arahan dari Puan Syamsiah. Jadi terpaksalah dia meringankan tulang empat keratnya bagi melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan itu.

Satu-satu fail di dalam kabinet besi itu dikeluarkan, habuk usah cakaplah, habis berdebu uniform jururawat yang dipakai Rose.  Dia Terbatuk-batuk  apabila habuk dari kebinet tersebut disedutnya semasa bernafas. Terasa pula kerongkongnya gatal. Rose berdeham-deham keras bagi menghilangkan 'geli-geli' kerongkong akibat habuk yang masuk ke dalam rongga pernafasannya.

"Entah berapa lamalah kabinet ini tak dibuka, menyusahkan aje" Rose mengomel sendiri. Perasaan gundah-gulananya sebentar tadi serta-merta hilang. Perasaan marah pula yang berganti, maklumlah tugas sebegitu betul-betul menyusahkannya. Mana tidaknya, dahla terpaksa membuka satu-satu isi kandungan fail tersebut, habuk bukan main banyak lagi. Itu baru satu laci, ada tiga lagi laci yang harus dikemas.

"Menyusahkan betul, saja nak kenakan aku ke Puan Syamsiah ni?!! Sabar jelah!!" beberapa buah fail telah dikeluarkan dan dibaca isi kandungannya. Cuma dokumen biasa. 

Fail-fail yang telah diasingkan, akan disimpan di dalam kotak yang telah dilabel sebagai "CLOSING FILE". Ini bermakna fail ini tidak digunakan lagi dan kemungkinan akan dilupuskan.

"Alhamdulilah, dah siap kerja aku separuh, lepas ni bolehlah aku jenguk Nilam kat wad, tolong apa yang patut!" Rose tersenyum sendiri . Dia bercekak pinggang sambil merenung hasil kerjanya yang hampir siap. Dua buah kotak fail telah disusun dan dilebelkan. Rose mengalihkan kotak-kotak tersebut di bahagian sisi kabinet besi itu. Esok dia mengarahkan pekerja lain mengangkat kotak-kotak tersebut ke dalam stor.

Rose manarik laci ketiga pula. Bunyi yang terhasil masih seperti tadi. Maklumlah kabinet lama. Rose tersengeh sendiri. Jimat betul hospital ini, segalanya old school. 

Dokumen dalam laci ketiga diperhati, kebanyakannya adalah rekod peribadi pesakit. Setiap dokumen di telek oleh Rose sebelum dimasukkan ke dalam mesin penghancur kertas untuk dibuang.

Terdapat satu dokumen rekod peribadi pesakit yang menarik perhatian Rose. Nama pesakit pada rekod itu ditatap Rose berulang kali dengan wajah yang amat terkejut. Rose tidak menyangka sama sekali bahawa Rekod Peribadi pesakit yang dipegangnya itu merupakan orang yang amat dikenalinya. kemudian rekod pesakit itu dibaca dengan teliti dari mukasurat pertama sehingga ke mukasurat terakhir. Perasaan takut menyusup perlahan-lahan ke dalam dirinya. Perasaan tidak sedapnya tadi datang kembali. Rose mengusap dadanya berulang kali.

"Kenapa selama aku tak pernah tahu dan sedar yang dia memang mendapatkan rawatan di hospital ini?! Bagaimana semua ini boleh berlaku?"

Fail tersebut ditutup dan diletakkan di atas meja. Rose mahu menunjukkan fail tersebut kepada rakan-rakannya. Dia juga mahukan penjelasan ke atas segala yang dibacanya tadi. Jika benar seperti yang dicatatkan maka pesakit tersebut harus mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Di saat itu, Rose langsung tidak menyedari bahawa ada seseorang telah menyusup masuk ke dalam bilik itu. Dia terlalu teruja dengan perkara yang tidak diduga tadi, sehingga bunyi detakan pintu dibuka seseorang tidak disedarinya.

Sekujur tubuh manusia berdiri tegak di belakang Rose  sedang memerhati gerak-gerinya. Terdapat sebilah skalpel yang telah diganti matanya dengan mata yang baru, kelihatan tajam dan mampu membuat torehan yang dalam jika digunakan untuk membedah pesakit. Skalpel tersebut dipegang sambil manusia itu melakar senyuman sinis ke arah Rose. Niatnya mesti dilaksanakan. 

Manusia itu mengeluarkan sarung tangan getah dari poket seluarnya dan menyarungkan sarung tangan tersebut di kedua-dua belah tangan.

 Manusia itu telah bersedia untuk menjalankan rancangannya. Orang yang dibencinya kini berada di hadapan matanya. Rose adalah sasarannya.

"Tengok apa tu sayang?" terperanjat beruk Rose apabila seseorang menyapanya dari arah belakang.

Dengan teragak-agak Rose berpaling ke arah suara itu dan kertas yang dipegangnya terjatuh. Di saat matanya bertemu dengan mata pemilik suara yang menyapanya itu, darahnya terasa berderau sehingga ke muka.

"kau?Errrr.....aku cuma susun fail je..." tergagap-gagap Rose menjawab.

Kertas yang jatuh tadi dikutip oleh manusia itu dan lantas mengunyahnya. Rose tahu itu bukan tingkah-laku seorang manusia normal. Rose mula berfikir untuk melarikan diri dari situ.

Fail pesakit yang diletakkan Rose di atas meja sebentar tadi, diambil oleh manusia tersebut lantas membukanya. Beberapa saat kemudia manusia itu tersenyum.

"Kebetulankan? Hahahaha, ini bukan aku...tapi dia juga adalah aku, aku adalah dia...hahahaha, kami akan bersatu hapuskan kau orang semua satu persatu" manusia di hadapan Rose berkata sinis sambil tersenyum lebar.

Perasaan takut Rose semakin menebal. Jantungnya berdegup kencang, bagaikan mahu jatuh dari alteri yang memegangnya.

Sepantas kilat, Rose menyambar dokumen di tangan manusia itu. Reaksi manusia itu tetap selamba tidak langsung menunjukkan riak kerisauan walaupun segaris. Sebaliknya, manusia itu ketawa berdekah-dekah. Gegaran suaranya memenuhi keseluruhan bilik tersebut.

"Kami? Siapa kami? Kau dan siapa? Apa maksud kau? Kau nak apa sebenarnya?" Rose bertanya. Gugup.

"Ish, ish, ishh, banyaknya soalan, mana satu aku nak jawab ye sayang. Okeylah, sebelum aku hantar kau ke 'alam' lain, aku akan bagitahu, tapi sikit-sikit jelah ye... hahahaha..!".

"Woi!! Jangan cuba nak main-mainkan aku lah!!" Marah Rose dengan wajah menyinga. 

Mahu sahaja rasanya, Rose menumbuk manusia di hadapannya itu. Namun sebilah skalpel yang dipegang oleh manusia itu betul-betul menakutkan Rose. Dia tahu, walaupun skalpel itu kecil namun  natijahnya bukan calang-calang. Bisa membawa kematian.

"Aku dan dia adalah satu, kami sama Rose! Sama!.kau tanya aku nak apa kan?! Aku mahukan keadilan. Kau dan kawan-kawan kau rampas segalanya dari aku!! Aku sepi!! Hati aku hancur!! Kau orang semua pencuri!! Penjenayah!" manusia tersebut mula menangis teresak-esak.

"Maksud kau apa?" 

Rose berkata perlahan. Hatinya terusik juga dengan esakan manusia di hadapannya itu. Dia hairan. Jenayah apa yang dia lakukan sehingga menyakiti perasaan manusia di hadapannya itu. 

"Nampaknya kau berpura-pura tidak tahu Rose" manusia itu berkata sinis.

"Ha? Memang aku tak tahu!!"

"Ah! Sudahlah!!".

Esakan manusia di hadapannya beransur reda. Keadaan kembali sunyi. Tetapi tidak di dada Rose. Ritma jantungnya bertambah laju berdetak dari tadi. 

Dengan perlahan-lahan munusia itu melangkah ke arah Rose. Rose kaget, dan mula mengambil langkah untuk melarikan diri keluar dari bilik itu. Tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila kakinya tersadung kerusi pejabat yang beroda lantas Rose tersembam jatuh. Fail di tangan Rose terlepas dan tercampak di bawah meja yang dipenuhi pelbagai kotak bersaiz kecil.

Manusia tadi semakin hampir mendekati. Rose.

"Tolong, jangan apa-apakan aku, Tolonglah!" rayu Rose.

"Tidak semudah itu!"

Dengan rakusnya manusia itu mencekak rambut Rose dengan kasar dan menampar berkali-kali pipi gadis itu sehingga Rose mengerang kesakitan.

"Aduhh, sakitlah bodoh, apa salah aku hah?!!" tengking Rose sambil meludah wajah manusia itu.

"kau ni betullah, manusia yang tak tahu akan kesalahan sendiri! Penjenayah!. Selain itu,  aku benci tengok nurse yang tergedik-gedik macam kau ni, hahahahaha......." manusia itu telah melepaskan cengkamannya dari rambut Rose. 

Rose meraba pipinya yang terasa pedih, darah mula mengalir di celahan bibir gadis itu. Sakitnya amat perit dirasai. Seumur hidupnya belum pernah lagi dia ditampar sedemikian rupa.

Rose mengetap giginya, tanda geram. Benci betul dia dengan manusia di hadapannya. Rose terfikir mahu mencuba kaedah psikologi pula untuk melepaskan diri. Harap-harap menjadilah.

"Kau sakit, kau tak sihat, aku boleh tolong kau, aku janji, tolonglah lepaskan aku" rayu Rose. Namun rayuan Rose umpama mencurahkan air ke daun keladi. Tidak mendatangkan secalit pun perasaan simpati di dalam hati manusia itu.

Manusia itu mula menayang-nayangkan  scalpel yang dipegangnya di hadapan wajah Rose. 

"Tolonglah jangan apa-apakan aku, tolong aku merayu" rayu Rose sekali lagi namun rayuannya tetap tidak dihiraukan, lantas manusia itu menikam lengan kanan dan kiri Rose sehingga uniform putih gadis itu dibasahi dengan darah pekat berwarna merah.Sekali lagi manusia itu cuba menikam bertubi-tubi tangan kanan dan kiri Rose. Rose terpaksa menepis sehingga tapak tangannya penuh dengan luka  dari tujahan skalpel yang dilayangkan. Peritnya hanya ALLAH sahaja yang tahu.

"Hahahahaha, sakit sayang!!, masa kau buat perkara terkutuk tu, kau tak sedar betapa sakit dan deritanya dia. Itu kau tak sedar?!!" jerit manusia itu sekuat hati.

"Kau cakap apa ni hah!! Aku tak buat apa-apalah, lepaskanlah aku, tolonglah!!l" Rose mula mengalirkan air mata dan menangis teresak-esak. 

"Penipu!!".

Manusia itu semakin gila apabila dia merentap tangan rose dengan kasar dan mata skalpel yang dipegangnya dihalakan pada pergelangan tangan gadis itu. Sepantas kilat pergelangan tangan Rose dikelar. Rose menjerit kesakitan. 

Rose meronta-ronta minta dilepaskan tetapi manusia itu memusingkan badan rose dan memeluknya. Pergerakan rose terkunci di dalam pelukkan kuat manusia itu. Rose meraung. Hampa. Raungannya bagaikan suatu pesta buat manusia durjana itu. Rose hairan, kenapa tidak seorang pun yang mendengar suara jeritan dan raungannya di dalam bilik tersebut?

Manusia itu menyambung kembali niatnya untuk menujah tangan rose yang sebelah lagi dengan skalpel yang tajam itu. Rose mencuba sekuat tenaga untuk meloloskan diri. Skalpel semakin dekat pada sasarannya.

"Tolonglah, jangan buat aku macam ni!!"

"...zaapppppp....."

Darah memancut-mancut keluar dari torehan di pergelangan tangan Rose. Rose hampir pitam apabila  merasai kesakitan dan azab yang tak pernah dirasanya.

Dengan kudrat yang masih bersisa, Rose menumbuk perut manusia itu dengan siku kirinya, lantas manusia itu terperosok ke belakang dan pelukan maut itu terlerai. Rose telah tersandar di dinding bilik itu dengan keadaan yang berlumuran darah dan kesakitan yang semakin tidak dapat digambarkan mencengkam diri.

"Aduh!!"

Rose tersenyum puas apabila manusia yang terduduk di hadapannya mengerang kesakitan. 

"Kau memang manusia jahanam! Jahanam! Jahanam!" Rose berteriak sambil mengerang kesakitan. 

Manusia itu semakin seronok melihat keadaan Rose yang sengsara menahan sakit. Kini manusia itu puas. Manusia itu memusing-musingkan skalpel  berlumuran darah yang masih ditangan, di hadapan Rose, lantas perlahan-lahan melangkah mendekati gadis malang itu. Namun berpantang maut sebelum ajal, Rose tidak akan menyerah kalah, dia akan melawan habis-habisan.

"Sakit ye sayang, maafkan aku, aku tak sengaja...." manusia itu mula memperlihatkan simpatinya dan menangis mendayu-dayu. Air matanya kelihatan mengalir deras dari kelopak mata . Dia menangis teresak-esak sambil melutut di hadapan Rose.

"Maafkan aku" ulang manusia itu. Rose sangsi. Betulkah manusia di depannya kini, memohon maaf. Takkanlah! Mustahil! Setelah apa yang telah dilakukannya pada aku. Dasar manusia jahanam. Fikir Rose. Rose tidak tahu sama ada mahu menerima permohonan maaf manusia jahanam itu atau sebaliknya.

Manusia itu semakin galak menangis dihadapan Rose. Tangisan manusia itu, seumpama meratap. Meratap kematian seseorang. Hati Rose, mulai sayu. Rose merasakan ratapan manusia tersebut bersungguh-sungguh menyesal di atas segala perbuatannya. Lantas manusia itu memeluk Rose. Rose tidak membantah, mungkin manusia di hadapannya itu mula berfikir dengan waras dan tersedar di atas perbuatan keterlaluannya. 

"Aku maafkan".

Rose membalas pelukan manusia itu. Tiba-tiba Rose merasa begitu perit dan pedih yang berganda-ganda di bahagian belakang badannya. Rupa-rupanya Rose telah ditikam berkali-kali tanpa belas kasihan di belakang badannya dengan skalpel yang dipegang manusia itu. Darah merah keluar membuak-buak, bagaikan empangan pecah. Peritnya terasa sehingga ke tulang hitam.

"kau jahanam, kau tipu aku... kau tipu " Jerit Rose. 

Serta-merta Rose menendang manusia itu dengan sekuat hati, sehingga manusia itu tersungkur dan kepalanya terhentak mengenai besi kaki kerusi pejabat yang beroda. Kepalanya berdarah. Namun tidaklah parah. Rose sempat mencapai pasu bunga yang sederhana besar di atas meja pejabat itu dan menghempaskan pasu tersebut mengenai tepat di kepala manusia itu. Manusia itu terbaring mengerang kesakitan seketika. Rose mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri.

Rose berlari sekuat mungkin, walaupun kesakitannya sudah tidak tertahan lagi, Rose masih cuba menggagahkan dirinya berlari selagi boleh. Dia menoleh seketika ke belakang. Dilihatnya manusia itu masih mengejarnya. Skalpel yang dipegang manusia itu disua- suakan ke arah Rose. Rose melihat manusia itu menyeringai dengan darah yang meleleh membasahi kepalanya.

"kenapalah kau tak mampus lagi setan" Rose bermonolog di dalam hati sambil berlari terhencut-hencut.

Tiba-tiba langkah Rose terhenti. Dia kaku. Kiri kanannya cuma dinding. Di hadapannya pula adalah 'TANDAS WANITA'. Rose tiada pilihan, lantas dia masuk ke dalam tandas itu dan berlari menuju stor di hujung tandas. Dia menyorokkan diri di situ sambil memegang batang mop sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Rose semakin terasa seakan-akan pemandangannya berpinar-pinar. Namun Rose tetap mengagahkan dirinya untuk bertahan.

"Ya ,ALLAH, lindungilah aku, selamatkanlah nyawa hambamu ini" doa Rose di dalam hati.

 Rose tidak menyedari bahawa darah yang menitis dari luka di tubuhnya telah meninggalkan jejak. Mudah sahaja manusia pembunuh itu untuk mengesan di mana kedudukan Rose.

"Rose Anida binti Johari!. Aku datang sayang..." manusia itu lembut bersuara. Memangil-mangil nama Rose. Suara itu betul-betul melemahkan semangat Rose.

Rose berdoa semoga ada seseorang yang memasuki tandas itu. Namun, beberapa detik berlalu. Tiada suara lain, selain suara manusia jahanam itu.

Derapan tapak kaki semakin mendekat ke arah pintu stor. Rose semakin menggigil ketakutan. Dia menahan suaranya dari meraung di situ. 

Serta-merta pintu stor dimana tempat Rose bersembunyi ditendang dengan kuat. Tetapi masih tidak terbuka kerana dikunci dari dalam. Rose semakin kuat mengigil dan menangis semahunya.

Manusia itu masih tidak berputus asa, ditendangnya berkali-kali pintu tersebut sehingga kunci di bahagian dalam terkopak sedikit demi sedikit.

Pintu tersebut akhirnya terbuka apabila menusia pembunuh itu melakukan tendangan terakhirnya yang amat kuat. Seperti dirasuk hantu,  pembunuh itu meluru ke arah Rose dan sebilah skalpel terbenam di bahagian tengah perut Rose. Tindakan drastik pembunuh itu tidak memberikan kesempatan kepada Rose untuk mempertahankan diri.

Rose mengerang kesakitan dan terbaring di lantai. Darah membuak-buak keluar dari tusukan skalpel tersebut.

"Memang aku nak bunuh kau dan semua kawan kau. Kasihan ..." sambung manusia itu lagi sambil  memperlihatkan wajah sedih kepura-puraannya.

"Sebab kau dah nak mati, jadi aku akan bagitahu kau satu rahsia " manusia itu merenung tajam wajah Rose yang telah pucat seperti tidak berdarah lagi.

"Aku dah lama rancang nak bunuh kau!! kau sasaran pertama aku.  Hahahaha, tak lama lagi giliran rakan-rakan kau pula!! Aku akan cerai-ceraikan kulit mereka, macam yang aku buat kat kau sekarang! kau orang semua pembunuh! Pengkhianat! Penjenayah! Aku akan tuntut bela sampai ke titisan darah yang terakhir. Orang bodoh macam kau dan kawan-kawan kau tak patut lagi disimpan di dalam dunia ni!"  

 Manusia itu menangis teresak-esak sambil menghantuk-hantukkan kepalanya ke dinding tandas di sebelahnya. Rose sudah tidak bermaya lagi, dia telah kehilangan banyak darah. 

"Kau orang penyebabnya aku jadi begini! Kau orang semua jahanam, aku akan bunuh satu persatu, kerana kau! sampai sekarang aku sensara!!" 

Jari manusia itu menunding ke arah Rose dan mengherdik Rose dengan kuat. Manusia itu mula mendekati Rose yang terbaring lemah.

Manusia itu melutut dan mengusap-gusap wajah Rose yang dipenuhi darah dengan skalpel yang dipegangnya. Dengan perasaan marah yang membuak-buak manusia itu menikam bertubi-tubi tubuh Rose dengan skalpel yang dipegangnya. Rose cuma mampu mengalirkan air mata pada saat-saat terakhirnya. Dia tidak mengerti apakah kesalahannya pada manusia itu.

"Kau kejam!!" hanya itu yang terlafaz di saat-saat akhir sakaratul maut menjemputnya.

Rose merasakan dunianya kian gelap Seperti ditarik oleh suatu kuasa. Kini dia bukan lagi penghuni di dunia yang fana ini.





Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif