Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,625
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 12

Bab 12

"Masak apa tu Mak Senah, sedap baunya"

Hafizah membuka tudung periuk yang bertenggek di atas dapur. Bau gulai kari ayam  semerbak menghimpit-himpit ruangan dapur tersebut. Lapar sungguh perut Hafizah.

"Mak Senah ada masak gulai kari ayam, rebus pucuk ubi, cicah asam jawa dan goreng pekasam ikan keli ni. Hafizah duduklah, nanti Mak Senah hidangkan".

"Terima kasih Mak Senah. Sayang Mak Senah" terharu rasanya apabila dia dilayan seperti kanak-kanak kecil.

Mak senah baginya sudah serupa ibunya. Hafizah tersenyum meleret sehingga ke pangkal telinga apabila dia mengenangkan ibunya di kampung. Rindu sungguh Hafizah akan ibunya. Dia pasti akan mencari masa yang sesuai untuk bercuti.

Hafizah duduk menunggu di meja makan sambil melihat gelagat Mak Senah menghidangkan makanan. Terasa penat pula mahu menolong Mak Senah, ini kerana dia baru sahaja menyelesaikan urusan memberi makan dan minum kepada Puan Mazni di dalam bilik.

Tiba-tiba telinga Hafizah mendengar bunyi orang berdeham kuat. Rupa-rupanya Pak Badrul sudah berada di sebelahnya. Hafizah tidak menyedari langsung kehadiran Pak Badrul. Nasib baik dia bukan latah orangnya, kalau tidak pasti kecoh dapur tersebut.

"Anak dara termenung jauh nampaknya? Ingatkan buah hati ke?" gurau Pak Badrul. Cuma mahu mengambil hati.

"Ishh, mana adalah Pak Badrul, Hafizah cuma penat je. Baru lepas layan Puan Mazni".

"Oooo begitu, biasalah Hafizah. Nama lagi kerja, mana ada yang senang..hehehe".

"Huh" Hafizah mengeluh. Menjaga Puan Mazni boleh diibaratkan menjaga sepuluh orang anak.

"Tak baik mengeluh Hafizah, setiap kebaikan yang Hafizah buat pasti ada ganjarannya nanti, inshaallah" Pak Badrul tersenyum.

"Alang-alang dah terjumpa Hafizah ni, Pak Badrul nak pesan, kalau Hafizah ternampak wanita berkebaya kuning bersanggul emas, jangan tegur, baca ayat qursi banyak-banyak dan kalau ada sesiapa bagi Hafizah makanan atau apa sahaja yang mencurigakan seperti tempoh hari, Hafizah jangan ambil, buangkan sahaja.." pesan Pak Badrul panjang lebar. Pak Badrul seperti menasihatkan anaknya sendiri.

Fikiran Hafizah melayang semula kepada peristiwa di mana dia diberi makan benda kotor oleh 'Mak Senah'. Hampir sahaja Hafizah muntah hijau apabila mengenangkan semula peristiwa tersebut. Hafizah hairan, bagaimana mindanya boleh dimanipulasikan begitu mudah sehingga tidak dapat melihat 'benda' yang dimakannya adalah cacing. Ishh, itulah makan tak baca bismillah.

"Hafizah betul-betul tak sangka, yang datang ke bilik berjumpa dengan Hafizah tempoh hari bukannya Mak Senah, patutlah 'Mak Senah' tu pandang Hafizah semacam je....huh...kalau diingat balik, meremang pula bulu roma Hafizah ni, dah la tu, makan cacing pula, eeee...Hafizah tak sanggup ingat semua tu Pak Badrul!" Hafizah membuat reaksi tubuh seperti geli-geleman. Mukanya menunjukkan riak takut. Pak Badrul cuma memandang Hafizah sambil tersengeh sahaja.

"Sudah-sudahlah tu cerita pasal cacing, kan nak makan tengahari ni.. tunggu sekejap Mak Senang nak buat air oren, sekejap lagi bolehlah kita makan ye" Mak Senah menyampuk.

"Boleh tak Hafizah tanya Pak Badrul soalan?".

"Tanyalah apa salahnya, sementara Mak Senah kamu tengah buatkan air tu!".

"Macammana Pak Badrul tahu yang hari tu Hafizah dah 'terkena'? Dan Pak Badrul kenal ke siapa wanita berkebaya kuning dan bersanggul emas tu?" Hafizah memandang tepat wajah kedut Pak Badrul. Dia mahukan jawapan padu di setiap soalannya tadi.

"Sebenarnya, masa Pak Badrul sedang membasuh kereta di halaman, Pak Badrul terlihat kelibat wanita tersebut memasuki rumah. Hairan juga Pak Badrul pada mulanya kerana tiada sesiapapun yang memberi salam. Jadi Pak Badrul mengikut firasat hati. Firasat Pak Badrul mengatakan wanita tersebut bukanlah manusia, sebaliknya jin yang menyerupai manusia. Tak sangka la pula, jin tersebut menyerupai Mak Senah, alih-alih Pak Badrul lihat Hafizah dah makan cacing..." Pak Badrul tergelak kecil, geli hati.

"Ishhh, dahla tu Pak Badrul nya, Hafizah, air dah siap ni. Jom makan. Jangan dikenang lagi kisah hari tu, seram Mak Senah dengar, dah la Mak Senah selalu dengar macam-macam suara dari bilik Puan Mazni tu, lagilah Mak Senah takut" Mak Senah sudah duduk sambil menyenduk nasi di pinggan.

"Ye ke Mak Senah! Suara siapa?" pintas Hafizah.

"Dah la tu Hafizah, kita makan dulu, nanti kita sambung cerita lagi ye!" Pak Badrul telah mula menyuap nasi ke dalam mulut.

Hafizah menjeling sekilas wajah tua Pak Badrul yang menegurnya sebentar tadi. Adakah Pak Badrul mengetahui sesuatu yang tidak diketahuinya? Wajah selamba Pak Badrul yang tiada riak takut mahupun terkejut membuatkan benak Hafizah terdetik bahawa Pak Badrul menyimpan suatu rahsia. Jika benar telahan Hafizah. Rahsia apa yang disembunyikan Pak Badrul sebenarnya?

"Huh" Hafizah mengeluh perlahan.

Banyak lagi persoalan yang mahu ditanyakan kepada Pak Badrul dan Mak Senah, namun oleh kerana kekangan masa pada ketika itu menyebabkan Hafizah membatalkan sahaja niatnya. Dia lebih berminat mengetahui akan siapakah sebenarnya wanita berkebaya kuning dan bersanggul emas tersebut? Dari penceritaan Pak Badrul seperti Pak Badrul mengetahui akan asal usul wanita itu. Walaupun Pak Badrul mengatakan bahawa wanita itu adalah jin, namun Hafizah yakin pasti ada permulaannya mengapa wanita berkebaya kuning dan bersanggul emas itu muncul di banglo ini.

***********

Erin, Nilam dan Doktor Nazmi keluar dari balai polis dengan keadaan murung, terkejut dan penuh tanda tanya. Tiada kata-kata yang meniti dari bibir masing-masing kecuali keluhan yang tidak putus-putus, manakala nafas pula terasa amat berat. Sejuta kekesalan bagaikan menghiris-hiris tangkai hati. Longlai seluruh tubuh.

Mereka bertiga diminta bekerjasama dengan pihak polis kerana didakwa ada kaitan dengan pembunuhan Tok Bomoh Arong. Menurut laporan pihak polis Tok Bomoh Arong telah dibunuh dengan kejam sehingga mayatnya tidak dikenali . Tubuh yang hampir hancur dan dirobek-robek ibarat sehelai kertas yang dikoyak-koyak begitu tidak berperikemanusiaan.

Nilam tahu itu, memang dia melihat segala-galanya yang terjadi di hadapan mata. Namun dia langsung tidak menyangka apabila mayat Tok Bomoh Arong dilihatnya untuk kali yang kedua, dia hampir pitam. Ternyata mayat Tok Bomoh Arong lebih dasyat dari yang dilihatnya semasa berada di Satun. 

Manakala Erin dan Doktor Nazmi hanya mampu terpempan dengan tangan yang mengeletar memandang foto Tok Bomoh Arong di tangan. Apakah atau siapakah yang telah memperlakukan Tok Bomoh Arong sebegitu kejam? Bermain persoalan itu di minda Erin dan Doktor Nazmi. 

Mengikut keterangan pihak polis, mayat Tok Bomoh Arong telah membusuk dan berulat apabila seorang penduduk kampung yang mahu berubat telah menemui mayat tersebut dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa tempatan. Namun kes itu diserahkan kepada ibu pejabat kerana mereka yang disyaki terlibat, bukan berasal dari daerah yang sama dengan Tok Bomoh Arong. Kes Tok Bomoh Arong melibatkan dua buah negara yang berjiran. Banyak sungguh prosedur yang harus pihak polis ikuti bagi menyelesaikan kes ini.

Mayat Tok Bomoh Arong telah dihantar ke hospital yang berdekatan dan dikendalikan oleh Unit Forensik. Mayat tersebut akan dibedah siasat dan laporan akan dikeluarkan. Laporan yang telah siap akan dihantar ke bahagian siasatan jenayah yang dikendalikan oleh Inspektor Hakim. Kes kematian Tok Bomoh Arong akan disiasat sendiri oleh Inspektor Hakim dan akan dibantu oleh pegawai bawahannya.

Sebaik sahaja selesai urusan di balai polis. Mereka bertiga menaiki kereta Mitsubishi Triton berwarna merah milik Doktor Nazmi. Mereka singgah sebentar di restoran makanan segera Burger King. Doktor Nazmi ke ruangan 'Drive Thru' dan memesan beberapa set burger yang berlainan untuk mereka bertiga. Walaupun masih berasa terkejut dan susah hati mengenai berita kematian tragis Tok Bomoh Arong , namun perut yang berkeroncong tetap perlu diisi. 

Seusai sahaja mendapat pesanan yang dikehendaki Doktor Nazmi memandu kenderaannya ke arah taman rekreasi bagi mengisi perut dan cuba menenangkan perasaan masing-masing yang sedang berkecamuk.

Doktor Nazmi membelek jam di pergelangan tangan. 

"Sudah pukul 3.00 petang rupanya, patutlah perut aku lapar sangat" Doktor Nazmi bermonolog sendiri sambil menuju ke bangku kayu di hujung tasik. 

Kerusi dan meja kayu yang telah lusuh dijadikan tempat untuk mereka menikmati pesanan makanan yang dibeli tadi.

Erin dan Nilam memandang Doktor Nazmi yang sedang rakus menikmati burger daging bersaiz besar . Sungguh berselera sekali Doktor Nazmi menikmati burger yang dipesannya, tidak seperti Erin dan Nilam selera mereka mati terus.

"Arghh" sendawa Doktor Nazmi kuat menerobos masuk ke dalam gegendang telinga Nilam dan Erin.

Ulah Doktor Nazmi dijeling tajam oleh Nilam dengan perasaan meluat yang bertimpa-timpa.

"Takde perasaan langsung...ishhh..." Nilam berkata perlahan sambil mencebik bibir.

Burger yang dipesan masih belum dijamah oleh Nilam dan Erin. Cuma air bikarbonat coca-cola sahaja yang diteguk sedikit bagi menghilangkan rasa dahaga. Erin dan Nilam masih berasa susah hati selagi penyiasatan ke atas mereka belum selesai. Muka Inspektor Hakim yang kelihatan bengis masih terbayang-bayang di ruangan mata. Mereka diherdik dengan kuat oleh pegawai polis yang ditugaskan untuk mengambil keterangan di bilik soal jawab. Gentarnya hati usah cakaplah. Ibarat pergi berjihad ke medan perang.

"Lapar sungguh awak ye, macam seronok je kena tahan polis tu!! " Marah betul Nilam, sambil memandang tepat ke muka Doktor Nazmi di sebelahnya. Lengan lelaki itu dicubit. Doktor Nazmi mengaduh kesakitan, namun tetap menyambung menikmati burger kegemarannya. Seperti tiada langsung masalah yang dihadapi.

"Ishh" jawapan pendek dari Doktor Nazmi..

Benak Nilam mula nakal memikirkan perkara yang tidak-tidak mengenai Doktor Nazmi yang duduk di sebelahnya.

"Entah-entah Nazmi , yang telah membunuh Tok Bomoh Arong kot!". terdetik perasaan curiga di hati Nilam. 

Cara Doktor Nazmi menjamah makanan dengan rakus mengigatkan Nilam tentang serigala jadian yang telah merobek perut Tok Bomoh Arong dengan kukunya yang tajam serta menyiat-yiat daging lelaki itu dengan taringnya yang panjang sehingga tubuh lelaki itu hancur. Daging bercerai dari badan dan Nilam masih terbayangkan mata Tok Bomoh Arong yang terbeliak. Ngeri sungguh.

"Mustahil pula, aku sendiri yang nampak serigala jadian itu yang membunuh Tok Bomoh Arong, bukannya Nazmi, ishhh..mengarut! Mengarut!" Spontan terluah perkataan itu dari mulut Nilam.

"Apa yang mustahilnya dan mengarutnya Nilam?" tanya Erin.

"Ha?" Nilam terpinga pinga.

."Takde apa, cuma aku risaulah Erin, macammana kalau kita semua ini disabitkan kesalahan membunuh Tok Bomoh Arong, naya.....naya".ujar Nilam sedih.

"Awak sendiri dengar tadi kan, pihak polis masih lagi mencari bukti kukuh, belum tentu lagi kita disabitkan dengan kesalahan" Doktor Nazmi menyampuk. Air bikarbonat diteguk sehingga habis. 

"Entah-entah kita sekarang ni berada di alam mimpi kot!?" Nilam menampar pipinya berkali-kali sehingga mengundang rasa hairan kepada Doktor Nazmi dan Erin. Masing-masing membulat mata memandang Nilam.

"Apa yang sayang mengarut ni!" Doktor Nazmi tergelak kecil.

"Eh, Erin kau ingat tak masa dalam perjalanan ke Satun tempoh hari?" Soal Nilam.

"Ingat, tetapi kenapa?" 

"Aku kan mimpi masa tu. Mimpi aku tu terasa macam betul-betul, aku boleh ingat segalanya yang berlaku termasuklah peristiwa aku diselamatkan di dalam lif oleh Doktor Rizal..." Nilam memandang tepat wajah polos Erin.

"Jadi?".

"Jadi mungkin sekarang ini, kita dalam mimpi aku!!".

"Hahahahahahaha" Doktor Nazmi tiba-tiba tergelak besar. Mahu tersembur air liurnya jika tidak menutup mulut. Erin pula tak habis-habis mengerutkan muka.

"Kenapa awak gelak?"berang rasanya hati Nilam apabila Doktor Nazmi seperti memperlekehkannya.

Doktor Nazmi terdiam. Malas rasanya dia mahu berlawan mulut dengan tunang kesayangannya itu.

"Maksud kau, kita semua ini dalam mimpi kau!! Yang tadi tu, kena soal siasat pun dalam mimpi kau?! Sedarlah Nilam, kita berada di alam realiti sekarang ini, Tok Bomoh Arong betul-betul telah dibunuh dan kita suspek utama. Tolonglah sedar! Jangan asyik hidup dalam ilusi dan delusi je!! Sekarang ini kita berada di alam yang ALLAH ciptakan!!" Erin seperti mahu menangis apabila terkenangkan tingkah Nilam yang tidak habis-habis mempersoalkan mimpi yang dialaminya. Boleh jadi gila rasanya.

Nilam seperti sudah tidak dapat membezakan di antara alam mimpi dan realiti. Alahai. Erin rasa seperti mahu meraung supaya Nilam segera sedar dan tidak bermain dengan perasaannya. Sudah-sudahlah, jangan diikut sangat hasutan syaitan.

"Erin, aku takut!".

Nilam telah beralih kedudukan dari duduk di sebelah Doktor Nazmi ke sebelah Erin yang duduk berhadapan dengan Doktor Nazmi. Nilam memeluk tubuh Erin erat. Rasa takut, risau dan sedih bergabung di dalam dirinya. Tiba-tiba Nilam berasa seperti hilang arah.

"Lagipun memang kita tak bunuh pun Tok Bomoh Arong tu, jadi..... apa yang kau orang risau sangat ni, tak faham betullah!" Doktor Nazmi kelihatan bengang sambil meraup rambutnya banyak kali. Risau barangkali.

"Kalau ye pun Nazmi, kita tak patut pandang ringan tau, siasatan ke atas kita pun masih belum selesai lagi, kalau mak bapak aku tahu ni, mampus aku...." kata Erin.

"Lainlah kau orang, anak orang kaya,... aku harapan keluarga tau.... Aku menyesallah" Erin pula yang menangis teresak-esak. Sebak yang ditahannya dari tadi, sudah tidak dapat dibendung.

"Aku menyesal sebab, ajak kau orang ke situ dan akhirnya terjebak dengan masalah pembunuhan ini....ishhhhh aku menyesal sangat!! menyesal!!" luah Erin berkali-kali menyatakan kekesalannya.

Erin tiba-tiba memekik-mekik dan memeluk Nilam dengan lebih erat. Perasaan menyesal di dalam diri Erin yang amat menebal membuatkan gadis itu tidak dapat mengawal perasaannya.

10 minit berlalu, tangisan Erin semakin reda. Manakala Nilam lebih tenang dari tadi.

Suasana sepi seketika. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup dari arah tasik terasa amat nyaman dan begitu asyik. kelihatan beberapa orang berjogging sambil sekali-sekala berhenti untuk meregang-regangkan otot. Nilam mula resah.

"Hahahaha.....kau orang semua ini pembunuh!! Pembunuh!! Pembunuh!!!". terngiang-ngiang suara tersebut memarahi mereka bertiga di dalam telinga Nilam. Suara tersebut seperti menghukum mereka di atas kematian Tok Bomoh Arong. Nilam mula panik..Namun dia cuba menahan dirinya dari mengendahkan suara jahat tersebut. Jika suara itu dilayan, dia juga akan menjadi sasau dan tertekan seperti yang berlaku ke atas Erin.

"Pembunuh!! Pembunuh!! Pembunuh!! Pembunuh!!"

"Ahhhhh, jahanam! Pergi! Pergi! Pergi! " Nilam memaki hamun suara itu di dalam hatinya. Suara itu tidak lagi dilayannya. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi suasana tegang yang telah tercetus.

Suara itu hilang ibarat dibawa angin tasik yang sepoi-sepoi bertiup. Kini Nilam tenang semula.

"Kita kena sabar ok, kita tunggu sehingga laporan bedah siasat mayat Tok Bomoh Arong keluar" Doktor Nazmi berkata lembut.

"Kalau bukan kita yang buat, buat apa nak takut ,kita kena kuat". Doktor Nazmi menyambung kembali percakapannya yang terhenti. Lebih kepada ayat menyedapkan hati. Padahal, benaknya sendiri begitu bergelora.  

"Ok, kalau bukan kita yang bunuh, siapa yang bunuh, pihak polis tidak akan terima kenyataan bahawa Tok Bomoh Arong dibunuh oleh serigala jadian! Tak masuk akal! Ah! Buntu! Buntu!?" percakapan Erin agak kasar. Sebak yang menguasai dirinya sebentar tadi beransur pergi.

 Erin menatap wajah Nilam dan Doktor Nazmi silih berganti 

"Cuma kita bertiga je masa tu yang ada di tempat kejadian" Erin menyambung kata.

"Betul tu, tapi bukan aku yang bunuh la!!!" Nilam membentak. Membela diri. 

"Aku nampak jelas, memang serigala tu yang bunuh Tok Bomoh Arong...aku ada kat situ masa tu...". Nilam menyambung kata.

"Nilam!! Serigala jadian tak wujud okey, aku rasa kau silap tengok!! Aku pasti yang kau lihat tu manusia! Manusia!.." Erin membangkang.

"Mustahil, aku masih boleh bezakan di antara manusia dengan haiwan..Erin..tolong percaya aku".

Erin mengeleng-gelengkan kepalanya di hadapan Nilam.

"Bukan Nilam, kau silap, tolonglah ingat wajah pembunuh tu, supaya kita boleh lepas dari semua tuduhan ini!". 

"Diam!!" Jerit Doktor Nazmi. Mukanya merah padam menahan marah. Serabut otaknya apabila banyak sangat andaian yang dibuat oleh Erin dan Nilam. Dia sendiri rimas.

"Korang berdua ni serabut tahu tak? Serabut!!" tempik Doktor Nazmi sehingga mengejutkan mereka berdua. Makanan segera kepunyaan Erin dan Nilam ditepis dengan kasar, sehingga terjatuh ke tanah. Wajah  Doktor Nazmi telah bertukar riak. Wajah itu kini telah dikuasai amarah. Wajahnya merah menyala dan mula menumbuk-numbuk meja. Keadaan mula menjadi tegang.

"Habistu siapa yang bunuh, cakap!, Cakap! Cakap cepat!! Ishhh, Arghhh" Doktor Nazmi begitu marah sehingga dia mula bertindak kasar apabila dia menarik tangan Nilam secara tiba-tiba.

"kau pun satu Nilam, kenapa kau tinggalkan handbag kau kat situ....BODOH!!" Tempik Doktor Nazmi sambil merentap kuat rambut Nilam menghadap mukanya. Tiada lagi kelembutan di wajah Doktor Nazmi. 

Erin amat terkejut dengan tindakan kasar Doktor Nazmi. kelakuan Doktor Nazmi seperti manusia yang telah hilang pedoman. Doktor Nazmi ketawa sekuat hati, tetapi masih tidak melepaskan cengkaman rambut Nilam. Nilam mengerang kesakitan. Erin terpempan.

"kau dah gila ke Nazmi!"

Erin menolak kuat tubuh Doktor Nazmi sehingga cengkaman lelaki itu terlepas. Lantas Doktor Nazmi terduduk, namun lelaki itu masih ketawa berdekah-dekah. Nilam terpegun tidak berganjak memandang kelakuan Doktor Nazmi yang tidak pernah dilihatnya sekasar itu.

"Jom Nilam, kita balik, tinggalkan aje lelaki tak guna ni!"

 Panas hatinya apabila sahabatnya diperlakukan kasar oleh tunang sendiri. Apa! Dah hilang akal ke? Walaupun serabut dengan segala yang terjadi, janganlah sehingga sanggup mengasari orang lain. Betul-betul dah naik hantu gamaknya Doktor Nazmi.

Erin merenung tajam wajah serabut Doktor Nazmi sebelum beredar.

"Entah-entah kau yang bunuh Tok Bomoh Arong!!" 

Tempik Erin kepada Doktor Nazmi dan jarinya menunding tepat di wajah jejaka itu. Mata Erin mencerlang dan kelihatan merah merenung tepat ke anak mata Doktor Nazmi. Begitu juga dengan Doktor Nazmi yang tidak mahu mengalah dengan situasi tersebut.

"Kau ni dah hilang akal ke? Tuduh aku macam tu?!! Entah-entah ini semua angkara kau, kau yang rancang semua ini kan??!! Sebab itu kan tempat kau?!!" balas Doktor Nazmi.

Tubuh Doktor Nazmi menggigil menahan amarah yang membuak-buak di dadanya. Seperti mahu sahaja dilempangnya Erin yang bermulut tempayan itu.

"Hey! Aku takde motif lah nak buat semua itu! Malas aku nak layan kau, Doktor  Nazmi!! Jika kau yang bunuh, kebenaran akan terbukti juga!!" Jerit Erin sekuat hati.

Lantas dipegangnya tangan Nilam untuk beredar dari situ. Mereka  menaiki teksi.

Tinggallah Doktor Nazmi berseorangan berhadapan dengan perasaan kacau bilau. Doktor Nazmi tidak tahu syaitan apa yang telah merasuknya sehingga dia sanggup berkasar dengan Nilam dan bertekak dengan Erin. Tuduhan Erin kepadanya begitu berat.

"Aku bukan pembunuh Erin! Percayalah!"  

"Ya, ALLAH, tabahkanlah aku" hanya itu yang mampu dilafazkannya.

"Arghhhhhhhhhh" Doktor Nazmi menjerit sekuat hati menghadap tasik di hadapannya. Tangannya didepangkan. Dia mahu melepaskan perasaan bersalah dan kecewanya sebentar tadi.

Di sebalik semak tidak jauh dari situ,  lelaki bertopi fedora mendengar segalanya yang terjadi kepada mereka bertiga. Dia tahu kejadian pembunuhan Tok Bomoh Arong merupakan satu permulaan kepada tragedi yang lebih dasyat lagi. Mampukah dia menghalang segalanya dari terjadi? Ah. Dia sendiri tidak pasti. Lantas dia mengorak langkah keluar dari semak dan berjalan di belakang Doktor Nazmi menghala ke jalan pejogging.

"Tabahlah wahai anak muda" hanya itu yang bisa dibisikkannya kepada dirinya sendiri supaya Doktor Nazmi bertabah menghadapi dugaan itu. Untuk bersua muka dengan Doktor Nazmi tidak sama sekali. Masih belum masanya.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif