Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,582
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 4

Bab 4


Pada tengahari itu, Nilam, Erin, Farah, Nico dan Rose hanya makan tengahari di warung Pak Mahat. Mereka mengambil waktu rehat serentak. Suasana warung Pak Mahat tidak begitu ramai pelanggan, mungkin waktu pada ketika itu telah menunjukkan jam 2 petang, jadi ramai yang telah menikmati makan tengahari seawal jam 12 tengahhari tadi. Mereka keluar agak lambat dari kebiasaan kerana terdapat pesakit yang memerlukan khidmat mereka.


Dari jauh ternampak Pak Mahat terkocoh-kocoh mendapatkan mereka. Tuala good morning berwarna putih kelihatan tersidai di bahu Pak Mahat. Wajahnya juga berpeluh-peluh, dari dapur barangkali. Fikir mereka.


" Macam penat sahaja Pak Mahat?". Tegur Nico. Matanya tidak lepas memandang wajah Pak Mahat yang hitam manis tu.


" Biasalah, pakcik mereneh sup tulang kat dapur tadi, sup tulang ni kena masak awal, untuk menu petang nanti, balik kerja nanti bolehlah tapau ye" Pak Mahat mengelap peluh di dahi menggunakan tuala good morning yang terdapat di bahunya.


"Inshaallah, kegemaran kami tu" Farah menyambut kata-kata Pak Mahat tadi. Terbayang keenakkan sup tulang panas apabila dimakan dengan nasi putih. Begitu menyelerakan. 


" kamu semua  ni nak makan apa? Makanan tengahhari dah habis tu" Pak  Mahat bersuara.


"Tidak mengapa Pak Mahat, bagi makanan goreng-goreng sahaja kepada kami" Nilam tersenyum membalas pertanyaan Pak Mahat.


Mereka membuat pesanan makanan cuma nasi goreng sahaja. Manakala air ais menjadi pilihan mereka semua. Pak Mahat mencatat menu yang dipesan di atas kertas dan berlalu ke bahagian dapur. 10 minit kemudian kesemua pesanan mereka sampai. Mereka makan dengan lahapnya sambil berbual-bual. Hanya topik mengenai hospital sahaja yang diperkatakan.


Semasa, mereka sedang asyik menikmati makanan, tiba-tiba Nilam terbatuk-batuk dan muntah darah. Mukanya pucat lesi. Badannya menggigil.


" ALLAH, kenapa dengan kau ni Nilam!" Farah menepuk-nepuk belakang Nilam. Darah dari mulutnya tidak berkurangan, malah bertambah banyak. Bau hanyir darah menusuk-nusuk hidung kesemua mereka.


Masing-masing tercegat bagaikan patung bernyawa tidak tahu berbuat apa. Mereka terkejut dengan kejadian yang tiba-tiba sahaja terjadi di hadapan mata. Mata masing-masing tekun memandang Nilam yang telah dipangku kepalanya oleh Farah.


" Woi! Takkan tengok sahaja, tolonglah buat sesuatu, nak tengok Nilam ni mati ke?!!" Marah Farah apabila dilihatnya kesemua rakan-rakannya, masing-masing mendiamkan diri. Aksi mereka bagaikan dipukau.


" Opsss .....aku panggil Pak Mahat, mana tahu kalau dia boleh tolong" tersedar sahaja dari terkejut, Rose berlari ke arah dapur untuk memanggil Pak Mahat.



Sebaik sahaja mendengar cerita dari Rose perihal yang terjadi, Pak Mahat dan Rose berlari-lari anak mendapatkan Nilam yang terkulai di pangkuan Farah. 


Mata Nilam terbeliak besar. Tidak lepas-lepas memandang alang atap warung Pak Mahat.


" Tolong aaakuu.... aku takut, tu!" Nilam menunjuk ke atas alang atap warung. Tangannya mengigil. 


Farah mendongak melihat arah yang ditunjukkan Nilam, namun tidak terdapat apa-apa pun di situ kecuali alang atap yang kehitaman dan sarang labah-labah yang kelihatan berbalam-balam. Farah hairan. Apakah sebenarnya yang dilihat oleh Nilam? Perasaan tidak sedap hati mula menular masuk ke dalam dirinya. Ayat qursi dari surah al-baqarah dibacanya berulang-kali. Memohon perlindungan agar dirinya dijauhkan dari gangguan iblis dan syaitan yang direjam.


Di atas alang atap tersebut, Nilam melihat terdapat makhluk yang berpakaian serba putih, compang-camping, bertubuh kotor dan berambut panjang sedang merangkak sambil memandangnya. Lidah makhluk itu terjelir panjang dan sedang memamah sesuatu. Baunya cukup busuk seperti bangkai. Kembang-kempishidung Nilam menahan bau yang bagaikan gas beracun itu.


Sebaik sahaja Pak Mahat dan Rose tiba di tempat kejadian. Keadaan Nilam bertambah teruk dari tadi. Muka Nilam kebiruan.


" Astafirullahalazim, apa dah jadi ni?" Pak Mahat beristifar berulang kali melihat keadaan Nilam yang  terbaring di lantai sambil dipangku kepalanya oleh Farah.


Tiba-tiba Nilam kembali batuk berdarah. Pak Mahat mengeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali.


" Kamu ni kena santau ni, ada orang hantar makhluk halus untuk santau kamu!" Terang Pak Mahat.


" Santau!??" Kesemua mereka berkata serentak. Masing-masing memegang tengkuk. Perasaan seram mula menguasai diri masing-masing.


" Bawa kawan kamu ni ke belakang, di bilik kecil di bahagian belakang tu ada katil, sekejap lagi Pak Mahat datang, Pak Mahat nak sediakan apa yang patut " Pak Mahat mengarah mereka untuk ke bahagian belakang kedai.


Beramai-ramai mereka mengangkat tubuh Nilam yang semakin lemah. Bau hanyir darah dari mulut Nilam begitu meloyakan, sehingga Nico dan Erin termuntah-muntah.


Mata Nilam terbelalak besar,  di dalam bilik bahagian belakang warung itu , Nilam melihat makhluk yang dilihat semasa di luar tadi sedang bertenggek di alang atap bilik tersebut. Dari mulut makhluk itu, Nilam dapat melihat jelas keluar lendir-lendir berwarna hijau, titisan lendir tersebut ada yang mengenai wajahnya. Baunya cukup busuk sehingga Nilam muntah kembali, kali ini lebih banyak darah yang keluar. Makhluk hodoh tersebut menyeringai keseronokan, kukunya yang panjang mengusap-gusap rambut Nilam.


Nilam meronta-ronta seperti kerasukan. Dia tidak mahu makhluk itu mendekatinya. Masing-masing yang berada di situ cuak melihat keadaan Nilam yang bertambah teruk dari tadi malah baju uniform Nilam juga lencun dibasahi darah.    


Pak Mahat tiba tepat pada waktunya. Pak Mahat membawa segelas air dan baldi kecil berwarna biru.  keadaan Nilam dilihat semakin parah. Badannya semakin panas.


" ini ada air kelapa gading yang sudah dicampur tanah dan telah dibaca dengan ayat-ayat suci al-quran, bagi kawan kamu tu minum, jangan lupa baca bismillah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, inshaallah, dia akan sembuh" Ujar Pak Mahat yakin.


"Tapi pakcik, dia tak sedarkan diri tu!" Erin berkata sambil memandang Nilam dengan pandangan risau.


"Dia sedar sebenarnya, cuma dia dikuasai oleh makhluk yang dihantar kepadanya" Pak Mahat menerangkan sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.


"Baiklah" Farah yang sedang memangku kepala Nilam, membangunkannya supaya bersandar pada kepala katil, lantas air kepala gading yang bercampur tanah diberi minum kepada Nilam dengan perlahan-lahan. Sementara itu baldi kecil telah disediakan di hadapan Nilam supaya Nilam dapat memuntahkan bisa santau di dalam tubuh badannya.


Sebaik sahaja habis segelas air tersebut diteguknya,serta-merta Nilam memuntahkan pelbagai bahan berbisa seperti serpihan kaca halus, bulu rebung, paku kecil dan rambut dari dalam perutnya. Kesemua bahan tersebut berbau cukup busuk. Darah yang dimuntah Nilam juga berwarna hitam pekat. Lantas Pak Mahat mendekati Nilam dan menepuk kuat belakang Nilam sambil membaca beberapa potong ayat suci al-quran yang tidak kedengaran di telinga mereka semua. Suara Pak Mahat cukup perlahan.


Selesai sahaja Pak Mahat mengubati Nilam. Nilam merasakan tubuhnya begitu lemah sehingga mahu bangun pun tidak berdaya. Nilam melihat, tiada lagi makhluk hodoh bertenggek di atas alang warung tersebut. Beberapa minit kemudian  Nilam terlena. Masing-masing beredar ke ruang hadapan warung. Mereka semua mahukan penjelasan terperinci apa yang sebenarnya terjadi kepada Nilam?


" Apa sebenarnya yang terjadi kepada Nilam Pak Mahat?" Tanya Rose. Perasaan ingin tahunya meluap-luap.


" Dia dikenakan santau makan dan minum yang dihantar seseorang kepadanya" Terang Pak Mahat. Wajah Rose dipandangnya tepat.


" Santau yang macam mana tu pakcik?"   Nico pula bertanya.


" Santau makan ini ialah ramuan santau dimasukkan ke dalam makanan atau minuman secara zahir oleh manusia atau pun secara ghoib dengan menggunakan khidmat jin (khadam).  Mereka yang mengambil makanan atau minuman tersebut akan menjadi mangsa santau, jika tidak diubati dengan pantas boleh membawa maut. Menurut pemerhatian Pak Mahat orang yang menyantau kawan kamu ini menghantar khadam sebagai santau" Terang Pak Mahat panjang lebar. 


Pada ketika itu tidak ada pelanggan yang datang ke warung Pak Mahat kerana sejak kejadian Nilam muntah darah tadi, Pak Mahat mengarahkan pembantunya Hadi Budiman iaitu seorang warga indonesia untuk menutup warung. Dia tidak mahu kejadian Nilam muntah darah akan menjejaskan perniagaan warungnya. Nasib baik ketika kejadian tadi tiada pelanggan di dalam warung. Pak Mahat bersyukur.


" Oh. begitu..." Masing-masing menganggukan kepala  sebagai tanda memahami.


" Pak Mahat tak pulangkan santau tu balik kepada pemiliknya?" Tanya Farah di dalam keadaan marah. Rasa marahnya membuak-buak. Di zaman serba moden ini, masih ada lagi manusia berhati iblis mengamalkan ilmu hitam yang dilaknat ALLAH.


" Pak Mahat cuma menolong kawan kamu itu sahaja mengikut petua orang lama-lama, Pak Mahat bukannya bomoh yang boleh 'pulangkan' semula santau tu kepada pemiliknya, lagipun baiklah kita sesama manusia ini saling bermaafan, jangan ada sedikit pun perasaan dendam dalam hati, ALLAH tak suka. Setiap kebaikan itu walaupun sebesar zarah, ada ganjarannya di sisi ALLAH" Pak Mahat menasihati mereka semua yang berada di situ.


 Perasaan marah Farah yang membuak-buak sebentar tadi beransur pergi. Hatinya dapat menerima kata-kata Pak Mahat dengan hati yang terbuka.


" ALLAH telah berfirman di dalam surah An-Nahl ayat 90 bahawa Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran . Oleh itu janganlah kamu semua bermusuhan mahupun membalas segala kejahatan yang dilakukan oleh manusia tersebut, Pak Mahat harap kamu semua banyakkanlah berdoa memohon perlindungan daripada ALLAH "  Pak Mahat menarik nafas lega.


Lega perasaannya apabila dapat menasihati mereka semua. Pak Mahat berharap semoga manusia yang menghantar santau kepada Nilam mendapat balasan dari ALLAH. Ilmu yang diamalkan oleh manusia itu adalan amalan khurafat yang mensyirikkan ALLAH.  Sebenarnya dia dapat melihat jelas makhluk yang dihantar kepada Nilam sebentar tadi. Jin kafir yang sering menyesatkan manusia dan membohongi manusia dengan janji-janji palsu. Janji iblis laknatullah yang mahu menyesatkan anak cucu adam sehingga hari kiamat.


Setelah 2 jam mereka di warung Pak Mahat. Mereka semua kembali semula ke hospital. Teruk juga, mereka dimarahi oleh Puan Syamsiah kerana masuk kerja lewat dari waktu yang sepatutnya. Manakala, Nilam diberi cuti seminggu oleh pihak hospital untuk merehatkan diri dan merawat dalamannya yang cedera akibat santau yang dituju kepadanya.


Manakala, di pondok usang yang terletak di pinggir bandar, manusia itu  merencanakan sesuatu untuk membalas dendam yang tidak pernah luput dari hidupnya. Selagi dendamnya tidak dilunaskan selagi itulah dia tidak akan berhenti bermain dengan permainan ciptaannya.


" Arghhh, jahanam siapa pula yang mengagalkan rancangan aku ini!" Marah manusia itu sambil tangannya menepis dupa yang mengandungi bara api. Berterabur bara api tersebut di atas lantai kayu tanpa alas itu. Bau hangit memenuhi keseluruhan rumah. Marahnya kepada Pak Mahat tidak dapat dibendung kerana telah menyelamatkan Nilam dari santau yang dihantarnya.


Dia mahukan Nilam terseksa dengan perlahan-lahan dan merasai azab, Dia sendiri yang akan membunuh gadis itu dengan tangannya sendiri. Itu janjinya kepada seseorang sejak kejadian yang menyayat hati yang menimpanya beberapa tahun lepas. Begitu juga dengan Farah, Nico, Erin, Rose dan Adriana, seorang demi seorang akan dihapuskan dengan tangannya sendiri. Itu lebih puas. Dia puas jika dapat membunuh dengan tangannya Sendiri. Darah segar dari tubuh mangsanya amat didambakannya.


Walaupun rancangannya tidak berjaya, hatinya tetap puas. Dia tahu Nilam pasti sensara dengan santau yang dihantarnya walaupun cuma sebentar.


"Hahahahaha". Ketawanya membelah suasana suram di pondok itu.


Ruang pemujaan itu ditinggalkannya. Dia melangkah menuruni anak tangga dan mencapai kunci kereta yang disangkutnya di dinding kayu. Manusia itu, akan kembali semula ke pondok tersebut apabila keadaan memerlukannya berbuat begitu. Dia puas. Namun balasan dendamnya baru bermula. Dia akan terus memburu. Memburu mangsa yang seterusnya sehingga kesemua mangsanya mati. Mati adalah penamatnya.


Sebilah scalpel yang tidak mempunyai mata diletakkan di dalam dashboard kereta. Apabila sampai masanya nanti, scalpel yang tidak bermata itu akan memakan mangsanya. Enjin kereta dihidupkan dan manusia itu bergerak menuju ke tengah kota. Dia tersenyum sendiri.


Dia mahu membunuh kesemua mangsanya menggunakan scalpel. Dia mahu mereka semua merasai betapa peritnya apabila kulit mereka dikoyak-koyak dengan rakus dan tubuh di carik-carik seperti roti canai. Dia mahu mereka semua merasai detik-detik sakaratul maut menjemput di hadapan mata. Dia mahu ketawa sepuas-puasnya apabila dari torehan skalpel tersebut keluar darah yang membuak-buak.  

************

Sejak terkena santau tempoh hari, badan Nilam masih lagi lemah-lemah. Dia ada berjumpa dengan beberapa orang ustaz yang disarankan oleh bibiknya. Dia mengambil air penawar dan berpantang dengan beberapa jenis makanan yang dikatakan berbisa untuk kecederaan dalamannya. Dia juga mengamalkan beberapa ayat al quran sebagai penyembuh termasuklah ayat rukyah.


Nilam masih lagi dihantui oleh suara jahanam yang sering menganggunya namun tidaklah sehebat dulu. Adakah suara tersebut juga datangnya dari manusia yang mengkhianatinya tempoh hari? Tetapi makhluk yang dilihatnya sebagai nenek tua dan makhluk yang dilihatnya semasa dia disantau amat berbeza. 


Makhluk yang dilihatnya semasa dia disantau lebih gerun dan amat menakutkan. Manakala nenek tua yang dilihatnya pula seperti bayang-bayang. Kenapa dia dihantui oleh makhluk-mahluk tersebut? Apakah kesalahan yang dia lakukan? Apa yang dimahukan darinya? Ah, persoalan yang tidak bisa dirungkai, Nilam buntu. 


Sejak berjumpa dengan ustaz tempoh hari tubuh Nilam tidak lagi cengkung dan selera makannya kembali semula. Dia amat berterima kasih kepada bibik yang membawanya berjumpa dengan pengamal perubatan islam yang selama ini tidak pernah terlintas di fikirannya mahu mencuba.


Selain dari berikhtiar untuk kesembuhan, ustaz yang merawatnya juga memintanya supaya tidak  lupa menjalankan perintah ALLAH bagi menjauhkan diri dari iblis dan suku sakatnya yang dilaknat ALLAH. Nilam memahami. Dia akan cuba sedaya upaya mengikut nasihat ustaz yang merawatnya. Dia akui dia sering lalai dan alpa menjalankan tanggungjawab sebagai hamba ALLAH di muka bumi ini. Tiba-tiba Nilam terasa begitu berdosa. Setitis air mata menitis di pelupuk matanya.


Waktu cuti yang diperuntukkan cuma sehari dalam satu minggu dihabiskan Nilam cuma memerap di rumah. Beberapa majalah hiburan dicampakkannya ke tepi. Bosan melanda diri, apabila tiada bacaan lain selain hiburan di dalam biliknya. Nilam menangut di tepi jendela pula. Kenderaan yang lalu lalang diperhatikannya. Tiada yang menarik perhatiannya selain ada seekor kucing yang teragak-agak mahu melintas jalan. Membuatkannya tersenyum seketika.

**************

"tuttt...tuttt...tuttt". Nilam mengeluarkan smartphone dari poket baju uniform berwarna putih yang dipakainya. Skrin telefon  dislide . Nilam melihat whatsapp yang dihantar oleh seseorang .Mesej daripada whatsapp tersebut dibaca dengan teliti.


" Nilam di mana?  jom lunch, kita makan  bihun tom yam di gerai Pak Mahat..." Mesej aplikasi whatsapp dari Doktor Nazmi dibacanya sekilas. Dia langsung tidak berminat mahu berjumpa dengan lelaki itu. 


Dia mahu menjamah makanan tengaharinya berseorangan. Dia mahu bersendiri seketika. Penat melayan pesakit sebentar tadi masih lagi terasa. Mana tidaknya, pelbagai kerenah makcik di wad perempuan yang dijaganya tadi. Sudahlah begitu, Puan Syamsiah pula asyik menyuruhnya menjaga kaunter sahaja. Lelah betul rasanya apabila asyik berkejar kesana sini, bagaikan tidak cukup jururawat pula di hospital itu. Sedangkan tugas telah dibahagikan sama rata. Kemana pula jururawat yang sepatutnya bertugas di bahagian kaunter? Sehingga dirinya pula yang menjadi mangsa. Oleh sebab itulah, Nilam memerlukan waktu bersendiri untuk merehatkan diri. Jika dia menerima jemputan Doktor Nazmi terpaksa pula dia melayan kerenah jejaka itu yang seringkali meminta perhatian darinya.


"Ah, lelaki memang begitu, banyak juga kerenahnya kadang-kala" Nilam berkata sendiri apabila teringatkan tunangnya itu. Sejak mereka bertunang ada sahaja alasan Doktor Nazmi untuk berjumpa dengannya sehingga mengundang rasa bosan pula.  


"uh.... " Nilam mengeluh lantas memasukkan kembali smartphone tersebut di dalam poket uniform jururawat yang dipakainya.


Nilam masih ingat, saat-saat romantis apabila Doktor Nazmi mahu melamarnya sebagai teman hidup sehingga ke akhir hayat. Mereka bertemu janji di starbucks, di sebuah pusat membeli belah terkemuka di ibu kota. Kejutan yang tidak disangka oleh Nilam sendiri. Dia  tidak  menyangka  Doktor Nazmi akan melamarnya di tempat seperti itu. Yang pada hematnya, tempat seperti itu cuma untuk pertemuan yang biasa  sahaja. Namun dia tetap bersyukur, walaupun dia tidak dilamar seperti yang pernah ditayangkan di dalam filem romantik, lamaran Doktor Nazmi diterimanya dengan hati yang berbunga-bunga.


Lamunannya terhenti apabila smartphone di dalam poket baju berbunyi kembali. Whatsapp daripada Doktor Nazmi tertera lagi. Kali ini lelaki itu menghantar gambar berupa seekor beruang yang sedang memegang sekuntum bunga rose merah. Nilam tersenyum lebar sehingga menampakkan giginya yang putih bersih. Namun dia masih,  tidak ada hati mahu membalas whatsapp tunangnya itu, lantas Nilam memasukkan kembali smartphone mahalnya ke dalam poket baju.


Bukannya Nilam tidak mahu membalas whatsapp yang dihantar Doktor Nazmi tetapi jika dilayan akan bertubi-tubi pula balasan whatsapp yang akan dihantar oleh Doktor Nazmi kepadanya.Lelaki itu adakalanya memang merimaskan Nilam.Dia mahu menikmati makanan petang dengan tenang tanpa sebarang gangguan. Kerana itulah dia memilih sudut cafe paling hujung untuk menikmati makanannya di situ.


Nilam masih ingat kali pertama dia menyarungkan cincin pemberian Doktor Nazmi yang berbentuk hati, merona merah pipinya apabila pada saat itu Doktor Nazmi mencuit dagunya dan mengenyitkan mata. Hatinya dan perasaanya benar-benar bahagia. Amat bahagia. Harapannya semoga perhubungan ini sampai ke jinjang pelamin. Fikiran Nilam kembali semula ke alam realiti apabila pelayan lelaki di cafetaria tersebut menghantar sepinggan mee goreng basah yang dipesannya.


Mee goreng dan teh tarik kaw dinikmatinya dengan penuh berselera. Maklumlah seleranya baru sahaja pulih. Kelazatan makanan yang dinikmatinya sungguh membuka selera sehingga Nilam tidak perasan ada sepasang mata yang sedang mengawasinya tidak jauh dari situ. 


Sebaik sahaja Nilam pergi, lelaki yang mengawasinya juga turut pergi. Ada sesuatu yang ingin dikatakan oleh lelaki itu kepada Nilam. Tetapi dia hanya memendamkan sahaja niatnya itu. Lelaki itu menunggu masa yang sesuai untuk menemui Nilam dan memperkatakan perkara yang sudah lama dipendamnya sejak sekian lama. Perkara yang semakin lama disimpan semakin menjadi duri di hatinya. Kepedihan yang dirasainya tidak terhingga. Namun dia tidak berdaya, cuma ikhtiarnya untuk menemui Nilam sahaja yang ditunggunya.  


Selesai sahaja menikmati makanan petangnya, Nilam menjeling jam di pergelangan tangan, tepat jam 7.30 petang, ini bermakna waktu rehatnya telah tamat. Masuk sahaja dia ke dalam bilik  jururawat, matanya melilau memandang sekeliling. Tidak seorang pun rakan-rakannya yang kelihatan di situ. Nilam beralih pula ke bahagian wad, dilihatnya Farah , Rose dan Adriana sedang melayan pesakit di wad wanita itu. Nilam menarik nafas lega. Semangatnya untuk bekerja berkobar-kobar.


Akhirnya Nilam mengorak langkahnya kembali ke bilik jururawat, kelihatan Nico berada di situ sedang membelek sesuatu.


" Ada pun kau? Aku ingatkan cuti lagi? Sepanjang petang aku tak nampak kau, kau pergi mana?" Tanya Nico berang. Sejak dari petang tadi dia terpaksa mengambil alih tugas Nilam di bilik jururawat tersebut.


" Aku terpaksa gantikan jururawat lain di bahagian kaunter luar, semuanya arahan Puan Syamsiah, aku boleh buat apa!" Nilam menjungkitkan bahunya sambil mencebikkan bibir.


"Kalau ye pun, terpaksa gantikan tugas orang lain, kenapa tak beritahu aku, ishhh..Puan syamsiah pun satu tak bagi tahu aku apa-apa!" Nico masih lagi marah. Nilam tidak mengendahkannya.


"Apa yang kau pegang tu? Dari tadi ralit je aku tengok kau perhatikan buku tu? Kerja pemfailan fail pesakit pun kau tak buat!" Nilam pula terasa mahu marah. Diperhatinya fail yang bertimbun di atas meja. Fail untuk pesakit-pesakit baru yang  perlu dikemaskini dan disimpan. Terdapat juga fail yang perlu diserahkan kepada doktor-doktor tertentu. Laporan x-tray pesakit juga masih ada yang perlu diserahkan kepada doktor.


"Aku terjumpa buku ini tadi, buku yang menceritakan asal usul hospital ini dahulu, itu yang aku ralit membacanya dari tadi" Nico berkata. Lembaran demi lembaran diselaknya.


"Apa yang kau baca dari buku tu?" Nilam duduk berhadapan dengan Nico. Tangannya bermain-main dengan pen di atas meja.


"Sebenarnya hospital tempat kita bekerja ini merupakan sebuah hospital kerajaan yang telah dinaiktaraf menjadi hospital milik persendirian yang berprestij apabila telah dibeli oleh seseorang. Bangunan hospital ini bukanlah bangunan baru, tetapi bangunan lama yang telah dibaik pulih oleh pemiliknya. Bangunan dari penjajahan british.Bangunan lama yang menyimpan pelbagai peristiwa yang telah menjadi sejarah. Namun tidak pula dinyatakan peristiwa apa yang telah berlaku di hospital ini. Hospital ini pernah diambil alih oleh seseorang  selepas 100 tahun hospital ini ditubuhkan " Jelas Nico.


"Itu sahaja? Ringkasnya" Celah Nilam.


"Gambar sahaja yang banyak di dalam buku ini, sejarahnya cuma ditulis serba ringkas sahaja, dah la tu, jom sambung tugas! Aku nak ke wad sekejap, ada pesakit yang perlu dipantau setiap 2 jam!" Nico bergegas keluar meninggalkan Nilam sendirian.


Sepanjang Nilam bertugas di hospital ini, dia tidak pernah sekalipun mengambil tahu akan asal usul bangunan tersebut. Cuma terdapat segelintir staf senior yang mengetahui sejarah bangunan hospital ini. Tetapi tidak pula Nilam berniat mahu mengetahuinya dengan lebih lanjut.


Ada juga sesekali Nilam terdengar daripada staf senior di sini yang hospital ini mungkin juga berhantu.Tapi lantaklah. Hantu bukannya boleh mempengapa-gapakan manusia. Sudah bertahun Nilam berkhidmat di hospital ini, tetapi tidak pernah sekalipun Nilam terjumpa atau terserempak dengan apa yang dikatakan 'hantu'. Namun Kepercayaan Nilam mula tergugat, apabila  sebulan yang lepas dia sering diganggu dengan hilaian ketawa dan bayangan hitam yang sering menjelma seperti mengusiknya. Secara diam-diam Nilam mula mengakui kata-kata staf senior tersebut. Dia berharap semoga kejadian yang sama tidak berulang lagi. Dia serik sebenarnya. Terlalu kerap kejadian-kejadian aneh yang menganggunya sejak akhir-akhir ini, sehingga kejadian santau yang hampir meragut nyawanya.


Nilam sedia maklum  cerita-cerita seram selalu dikaitkan dengan hospital. Ye lah, kematian saban waktu berlaku di hospital. Jadi tidak hairanlah, masyarakat malah staf hospital sendiri beranggapan , terdapat penghuni lain selain manusia yang berkeliaran di hospital ini.Tetapi siapakah mereka? Adakah roh mereka tidak aman sehingga menggangu penghuni dan pekerja di hospital ini. Baru semalam dia mendengar cerita daripada Erin bahawa dia pernah diganggu oleh hantu wanita berpakaian putih tanpa kepala di pejabat pentadbiran. Adakah itu juga roh yang tidak tenteram, bergetanyangan menunggu sehingga ada manusia yang sanggup mententeramkan roh mereka sehingga mereka tidak lagi menjadi penghuni bersama manusia.


"Ah! Karut mana ada roh yang tidak tenteram di dunia ini, yang ada cuma iblis yang mahu menyesatkan manusia,lagipun kan roh adalah urusan ALLAH, hanya sedikit pengetahuannya yang diketahui manusia!" Nilam berkata-kata sendiri. Sebagai tanda menyedapkan hatinya sendiri.


Sebenarnya dia sendiri berasa gundah gulana apabila terpaksa bekerja malam, seperti sekarang ini. Lagi-lagi dia pernah diganggu pada waktu malam semasa sedang melakukan rondaan di setiap katil pesakit.


"Alangkah bagusnya kalau aku bekerja shift pagi, tentu sekarang ini aku sedang enak dibuai mimpi" Nilam mengenang saat indah jika ketika ini dia berada di rumah.


"Uhhhh" keluh Nilam sambil menghela nafas panjang.    Langkah kakinya dibawa ke arah jendela.


Nilam memandang persekitaran luar hospital  melalui tingkap bilik, di luar kelihatan hujan renyai renyai turun membasahi bumi. Kesejukan yang Nilam rasai amat halus dan  meremangkan bulu roma. Suasana tengah malam mula dirasai.  Sunyi sepi mencengkam suasana. Tiada kenderaan mahupun manusia yang lalu-lalang di hadapan hospital cuma  cahaya lampu jalan sahaja yang kelihatan di mana-mana.


Nilam menjauhi jendela dan membawa dirinya semula ke arah meja kerja. Belum sempat dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk berwarna biru itu, terlihat olehnya seorang jururawat muda yang terkocoh-kocoh mendapatkannya. Gadis kecil molek itu memegang sebuah fail yang kelihatan kusam dan menyorong troli yang mengeluarkan bunyi geselan yang kuat apabila rodanya bergesel dengan lantai. Sesekali kedengaran bunyi itu sedikit menyeramkan. Nilam kehairanan. Tidak pernah pula dia melihat jururawat itu sebelum ini.


"Kau siapa? Jururawat baru?" Tanya Nilam. Jururawat muda yang mempunyai tanda nama Mimi Amira itu direnungnya dari atas ke bawah. Pakaian jururawatnya agak pelik, fikir Nilam.


“…. Lekas ke wad 2A/1...macam biasa, nenek di katil hujung nak kau yang periksa dia……” tanpa membalas pertanyaan Nilam, Mimi Amira berkata cemas. Mukanya basah dek kerana peluh yang menitis. Mungkin dia berlari gamaknya semasa mahu ke bilik tersebut, Nilam membuat telahan.


"Arghhh, nenek tu lagi! Kenapa asyik aku sahaja yang nenek tu mahu? Ishh, jururawat lain kan ada" rungut Nilam dalam nada suara yang perlahan.


Farah yang kebetulan terjojol di muka pintu bilik kehairanan  apabila Nilam tiba tiba bangun di dalam keadaan marah. Muka Nilam kelihatan merah padam. Farah hanya melihat Nilam berlalu pergi dengan mengusung sebuah troli yang terdapat pelbagai ubat-ubatan dan peralatan lain yang diperlukan oleh pesakit. Nilam langsung tidak mempedulikan kehadiran Farah di muka pintu. Setelah berdiri beberapa minit sambil melihat aksi Nilam menghilang di sebalik selekoh koridor. Tidak semena-mena bulu roma Farah terasa meremang. Lekas-lekas dia meninggalkan bilik tersebut. Sayup-sayup Farah dapat mendengar hilaian ketawa dari dalam bilik itu.


Previous: Bab 4
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif