Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,577
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 2

Bab 2


Kereta Honda Vios  berwarna hitam membelok ke arah parking hospital yang disediakan khas untuk para staf di hospital itu. Sedikit demi sedikit ruang-ruang kosong telah dipenuhi oleh kereta para perkerja yang sama shif dengan Erin. Keluar sahaja dia dari kereta ,dia ditegur oleh beberapa orang pekerja yang dikenalinya. Erin cuma tersenyum dan menggangguk  beberapa kali sebagai jawapan kepada teguran yang diterima. Dia memang ramah dan bersikap mesra kepada setiap orang yang berselisih dengannya.


Dia lega kerana staf dan para pekerja di hospital itu begitu menyenanginya. Malah, dia seringkali mendapat makanan free daripada pekerja-pekerja hospital, baik dari golongan bawahan mahupun atasan kerana sifat ramahnya yang terlebih ramah. Itulah kelebihannya jika berbuat baik kepada semua orang. Bak kata pepatah, rezeki jangan ditolak,musuh jangan dicari.                  


Masih berbaki  45 minit sebelum shif hari ini bermula, iaitu  shif malam.Erin segera menyandang beg tangannya, memicit alarm kereta dan bergegas menuju ke bahagian pentadbiran yang menempatkan mesin perakam waktu. Kad berwarna putih dimasukkan ke dalam lubangnya dan bunyi “klak” yang terhasil menandakan, masa telah dicetak ke atas kad. Kad berwarna putih diletakkan kembali oleh Erin ke tempatnya.    


 “ Hospital lain semuanya dah guna mesin perakam waktu canggih, hospital ini old school betul” Erin mengomel sambil matanya diliarkan melihat ke dalam bahagian pentadbiran yang telah pun gelap. Hanya lampu di tempat perakam waktu sahaja yang terang benderang. Begitulah rutin pekerja di bahagian pentadbiran, hanya akan bekerja sehingga jam lima petang sahaja. Selebihnya, pejabat akan menjadi gelap gelita kerana tidak berpenghuni.


Di sebalik mesin photostat besar yang terdapat di sudut bilik itu, Erin dapat melihat seorang perempuan berpakaian putih labuh sedang berdiri di situ. Erin mengecilkan biji matanya untuk melihat dengan lebih jelas susuk tubuh perempuan tersebut sambil kakinya melangkah untuk memasuki ruang pejabat. Sampai sahaja di tengah pejabat yang dipenuhi meja dan timbunan fail yang diletakkan di atas lantai, tiba-tiba perempuan tersebut berpaling ke arahnya.Erin tersentak. Wajah perempuan itu dapat dilihatnya dengan jelas.


Wajah perempuan itu begitu pucat seperti mengalami sakit yang tidak bisa sembuh. Perempuan itu tersenyum kepada Erin, namun Erin tidak membalasnya. Bulu romanya tiba-tiba meremang,  Erin tidak menghentikan langkahnya sehingga dia berada betul-betul di tepi perempuan itu. Erin hairan, apa yang perempuan itu buat di sudut mesin photostat di dalam keadaan gelap? Adakah perempuan itu staf di situ? Erin cuba mengingat kembali wajah-wajah pekerja di bahagian pentadbiran itu, tetapi wajah perempuan yang dihadapannya ini belum pernah dilihatnya. Siapakah dia? Sedang leka berteka-teki dengan perasaan sendiri,tiba-tiba Erin terbau sesuatu yang amat busuk menusuk hidungnya. Bau kapur barus bercampur bangkai menerpa rongga pernafasannya. Perempuan itu memandang Erin sambil tangannya menunjuk ke arah mesin photostat. Erin terus memandang ke bahagian dalam mesin tersebut, alangkah terperanjatnya  apabila Imej kepala manusia terpantul dari dalam mesin photostat yang lutsinar. 


Kepala tersebut menyeringai ke arah Erin dengan mata terbelalak besar. Mulut kepala itu mengeluarkan ulat sampah yang begitu banyak. Kepala lutut Erin menggigil. Erin berpaling mahu melihat perempuan itu semula. Namun, bagaikan direnjat elektrik, Erin menjerit sekuat hati sambil mengorak langkah seribu keluar dari pejabat tersebut. Perempuan di sebelahnya tidak mempunyai kepala dan dari pangkal tengkuk perempuan itu keluar darah yang membuak-buak seperti air paip yang tidak berhenti mengalir.


“Tolong ambilkan kepala aku…tolong ambilkan kepala aku….tolong ambilkan kepala aku”


Erin mendengar jelas perempuan itu merintih dengan suara hiba merayu-rayu kepadanya supaya mengambil kepalanya. Erin persetankan semua itu. Telinganya ditutup dengan kedua-dua belah tangan. Erin terus berlari melalui koridor menuju ke arah wad tempatnya bertugas.


Ketika Erin berlari, dalam keadaan tergesa-gesa dia  terlanggar  Doktor Nazmi yang sedang berjalan di koridor yang sama. Erin berhenti.  Doktor  Nazmi memandang  kehairanan ke arah Erin yang berpeluh-peluh dengan mukanya yang kemerah-merahan. Pada anggapannya Erin seperti melarikan diri dari sesuatu.


“Kau ni kenapa? Berpeluh sakan akan aku tengok, macam kena kejar anjing dah!” Soal Doktor Nazmi dengan wajah yang berkerut-kerut. Manakala, Erin cuba bernafas dengan tenang semula. Erin memalingkan kepalanya ke belakang, kalau-kalau perempuan tadi mengekorinya. Tiada. Erin berasa lega. Erin dan Doktor Nazmi membahasakan diri mereka ‘aku engkau’ kerana mereka sebaya. Cuma jawatan dan kedudukan yang membezakan mereka di hospital ini.


“Bukan kena kejar anjing, tapi aku kena kejar dengan hantu perempuan di blok sana tu!” Erin mangambil nafas.


“Hahahahaha, kau ni buat kelakar betullah, pejabat aku kan kat situ, tak pernah pula aku jumpa hantu! Kau ni berhalusinasi kot!” Doktor Nazmi masih lagi menahan sisa ketawanya. Wajah Erin merah padam.


“Kalau tak percaya aku tak kisah, tapi kalau kau kena kejar dengan hantu pula nanti, aku yang akan gelakkan kau berdekah-dekah….aku akan pulangkan paku buah keras, tahu!!” Sinis Erin membalas. Doktor Nazmi sekadar mencebikkan bibirnya sahaja.


“Opss, alang-alang aku dah jumpa kau ni, kau ada nampak Nilam tak, ataupun kau tukarkan dia lain shif?” Soal Erin. Matanya galak menatap wajah tampan Doktor Nazmi yang membuat muka pelik apabila perihal Nilam diperkatakan.


Sudah beberapa hari Erin tidak menemui rakannya Nilam yang sepatutnya sama shif dengannya. Erin risau jika sesuatu yang buruk terjadi kepada sahabatnya itu, tetapi jika shif  Nilam ditukarkan oleh Doktor Nazmi tidaklah menjadi kerisauan bagi Erin. Beberapa kali dia cuba menghubungi telefon bimbit rakannya itu, namun tidak sekalipun berjawab. Maklumlah sejak akhir-akhir ini Erin dapat melihat jelas wajah sahabatnya itu seperti tertekan. Tubuh Nilam sedikit kurus dan wajahnya cengkung. Erin perasan semua itu, namun mulutnya terasa berat mahu bertanya.


"Aku tak tukarkan shif Nilam, ikut jadual biasalah, tetapi semalam aku cuba call Nilam, tak jawab pula, bukan sekali aku call, tetapi banyak kali juga?" Terang Doktor Nazmi jujur, sambil mengaru garu kepala yang tidak gatal, Doktor Nazmi menyambung percakapannya semula . Memang tabiat doktor muda itu gemar mengaru kepala jika terdapat perkara yang menjadi kemusykilan baginya.


" Entah-entah dia pun, nampak hantu macam kau juga, sebab tu tak datang kerja…ataupun dia sakit" Doktor Nazmi membuat andaian setelah berdiam agak lama.


“ Amboi sedapnya mulut kau bercakap, kau tu kan tunang dia, tunang sendiri pergi mana pun tak tahu, teruklah kau ni Nazmi, janganlah aku dapat tunang macam kau” Erin menempelak.


"Apa kata,kau singgah rumah Nilam esok lepas balik kerja" Cadang Dr. Nazmi setelah kata-katanya tadi disambut dingin oleh Erin.


"Untuk apa pula?"Erin menyoal kasar.


"Cari Nilam la, kau kan kawan baik dia, rapat dengan dia, kalau aku yang datang rumah dia, macam tak manis pula rasanya, lagipun aku segan dengan nenek dia tu, asyik tanya bila nak kahwin je, ishhh rimas pula aku!" Doktor Nazmi merenung serius wajah manis Erin.


"Oklah aku pergi esok, tapi kau jangan lupa....  kau tu tunang dia,kau pun patut ambil tahu pasal Nilam juga, jangan nanti hilang buah hati, baru putih mata kau" Tempelak Erin lagi, mendongakkan sedikit kepalanya untuk memandang wajah doktor muda yang tinggi lampai itu.

Doktor  Nazmi acuh tidak acuh dengan kata kata Erin. Adakalanya Erin  kuat membebel dan menempelak. Jadi tak payahlah nak dilayan sangat si Erin ni. Banyak sangat kerenah.


"Kirimkan salam sayang aku pada Nilam" Doktor Nazmi tersengeh-sengeh bagaikan kerang busuk. Erin cuma mencebikkan bibir menunjukkan perasaan  meluatnya dengan kata kata Doktor Nazmi. Namun Erin tetap mangatakan "Ok", dan akan menyampaikan kiriman salam Doktor Nazmi yang dirasanya tidak perlu disampaikan. Ah, tengoklah, kalau aku ingat. Omel Erin di dalam hati. Setelah itu, Erin melangkah perlahan menuju ke wad tempatnya bertugas. Pasti kesemua rakan-rakan setugasnya telah ada di wad tersebut.


Sambil melangkah menuju ke arah wad yang hanya beberapa meter sahaja di hadapan, fikiran Erin mengelamun jauh mengingatkan tingkah laku sahabatnya Nilam sejak akhir-akhir ini. Pada firasat Erin ada sesuatu yang tidak kena pada Nilam. Sikap Nilam berbeza daripada kebiasaannya.

Erin dapat melihat wajah rakannya itu seperti tidak bermaya dan pucat lesi. Adakalanya, Nilam akan mengadu sakit-sakit badan dan asyik termenung sewaktu bertugas. Apabila berada di cafetaria pula, Nilam jarang menjamah makanan, cuma jus oren yang selalu dipesannya. Bukan itu sahaja, malah Sejak sebulan kebelakangan ini, Nilam sering datang lambat, sehingga ada staf yang merungut kerana terpaksa mengambil alih tugasnya  sehingga dia hadir.


“uhhhh, kenapalah dengan kau Nilam” Keluh Erin sambil meletakkan beg tangannya di atas meja di bilik jururawat itu. Beberapa keping kad pesakit yang berselerak di atas meja disusun lantas dimasukkan ke dalam fail yang berkaitan. Matanya memandang sekeliling bilik itu, kelibat rakan-rakannya yang lain tidak kelihatan, mungkin telah menuju ke wad untuk memeriksa keadaan pesakit. Jam tangan dikerling.


" Aku masuk lambat rupanya, semuanya sebab 'perempuan' di pejabat tadi!" Gumam Erin. 

***********************************

Farah menyimpan segala maklumat dan fail-fail pesakit di bilik jururawat yang disediakan khas untuk mereka. Di bilik itulah, tersimpannya segala maklumat pesakit yang dilabel sebagai ‘SULIT’. Hanya jururawat di situ dan orang-orang tertentu sahaja yang dibenarkan masuk dan melihat segala maklumat.


Semasa Farah mahu mengikat fail-fail pesakit yang tebal dan bertimbun di atas meja, secara tidak sengaja Farah telah menjatuhkan sebuah fail berwarna coklat sehingga  terburai isinya. Dokumen pesakit bernama Mazni binti Harun dibaca. Pesakit tersebut menghidap Skizofrenia peringkat akhir yang agak teruk sehingga berisiko mencederakan diri sendiri dan orang-orang di sekelilingnya. Laporan kesihatan pesakit menyatakan tahap kesihatan pesakit tidak memberangsangkan dan pesakit sepatutnya dihantar ke rumah sakit jiwa, tetapi tidak pula dinyatakan bahawa pesakit telah dihantar ke rumah sakit jiwa. Mengikut maklumat di dalam dokumen yang terlampir, pesakit dibawa pulang oleh penjaga. Farah menyungkitkan bahu.


Inilah kali pertama dia melihat catatan pesakit Skizofrenia yang ditahan begitu lama di dalam wad hospital tersebut. Seingat farah bilik yang digunakan oleh pesakit itu telah lama dikunci. Pihak hospital tidak membenarkan sesiapa meggunakan bilik berkenaan. Staf hospital juga dilarang keras memasuki bilik itu. Farah tidak tahu apa sebabnya, jika ditanya kepada orang-orang lama di hospital itu, mereka mengatakan bilik berkenaan berpuaka dan berpenunggu. Ada juga yang mengatakan bahawa pesakit di bilik tersebut mengamalkan ilmu sonsang sehingga makhluk belaannya seringkali mengganggu petugas-petugas di hospital itu. Kesahihan kisah tersebut tidak dapat dipastikan sama ada betul atau sebaliknya.


“Apalah nasib pesakit yang bernama Mazni ni, adakah sedang mendapatkan rawatan yang terbaik ataupun sebaliknya, tekanan jiwanya parah agaknya?” Farah berkata-kata sendiri sehingga dapat didengar oleh Rose yang baru sahaja memasuki bilik tersebut.


“Siapa pula yang mengalami tekanan jiwa ni, Farah?” Soal Rose. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.


“ Aku terjumpa laporan pesakit bernama Mazni binti Harun ni, pesakit mental kat sini dulu, aku tak sengaja menjatuhkan fail ni” Farah menunjukkan fail coklat yang dipegangnya.


“ Oooo, pesakit yang menjadi penghuni bilik yang telah ditutup lama tu kan? Aku dengar ada seorang doktor di hospital ini yang memantau perkembangannya apabila dia keluar dari hospital ini. Tetapi kisah pesakit ini dah hampir 15 tahun berlalu. Kesian,  pesakit wanita itu dimasukkan ke dalam hospital ini ketika umurnya masih muda . Dah la tu, lupakan ajelah mengenai pesakit tu, simpan semua fail-fail tu, kita ada tugas di tingkat 12 sekejap lagi, Puan Syamsiah dah tanya pasal kau, nanti membebel pula orang tua tu, ishhh tak tahan aku kalau perempuan tu dah start membebel, macam nak pecah gegendang telinga aku ni, aku nak pergi panggil Erin kat wad sekejap!” Rose berlalu menuju ke arah wad, manakala Farah memandang jam di pergelangan tangan. Jam 11.30 malam, ini bermakna hari sudah hampir menginjak ke tengah malam.


“ Ishhh pembedahan lewat malam lagi!, tiada waktu lain ke nak buat pembedahan ,Doktor Rizal oii!” Gumam Farah sendirian. 


Baru sahaja dia berniat mahu melelapkan mata apabila selesai sahaja tugasnya menyusun fail. Nampaknya hajatnya tidak kesampaian. Farah mengeluh berat.


Setelah mendapat arahan dari Rose, Farah menyusun kembali fail-fail pesakit ke dalam kabinet besi  mengikut tahun pesakit mendapatkan rawatan. Farah kemudian beredar ke tingkat 12 kerana sebentar lagi satu pembedahan akan dijalankan oleh Doktor Rizal, iaitu seorang doktor senior di hospital tersebut.


Doktor Rizal merupakan pakar bedah am profesional dan berpengalaman luas dalam mengendalikan pembedahan. Tetapi yang menjadi tanda tanya kepada Farah dan Rose, mereka sering dipanggil apabila terdapat pesakit yang memerlukan pembedahan pada lewat malam sahaja. Adakah Doktor Rizal cuma ditugaskan oleh pihak hospital membedah pesakit yang akan melakukan pembedahan pada lewat malam? Ya, barangkali, fikir Farah.


Team Doktor Rizal disertai oleh Farah, Rose, Adriana, Nilam dan Nico sebagai jururawat, manakala Doktor Rizal merangkap Doktor Pembedahan Profesional dan Doktor Nazmi sebagai Doktor pakar jantung, serta Puan Syamsiah pula sebagai Staf Nurse di dalam team mereka. Namun, pada malam itu Nico dan Adriana tidak hadir bersama kerana mereka berdua menjalani kursus selama seminggu di kolej kejururawatan terdekat. Nilam pula tidak hadir bekerja.


Selesai sahaja pembedahan pada malam itu, Farah, Rose dan Erin bergandingan menuju ke pantry hospital. Tiga gelas nescafe 3 in 1 dibancuh dengan air panas. Aromanya semerbak menusuk hidung. Setelah itu, mereka menyambung tugas masing-masing. Manakala Doktor Rizal dan Puan Syamsiah ada agendanya yang tersendiri di tingkat 12.

********************

Nilam duduk di beranda rumah agam dua tingkat itu sambil menyelak-nyelak majalah mastika yang dibelinya bulan lalu.Majalah kecil itu masih belum habis dibacanya. Maklumlah, tugasan harian yang begitu sibuk membataskannya untuk membaca majalah kegemarannya itu. Majalah itu amat digemarinya kerana mengandungi pelbagai kisah misteri dan cerita masyarakat yang amat menarik minatnya.


Majalah kecil itu diletakkannya semula di atas meja. Dibawa dirinya menghadap pemandangan petang yang terbentang indah di hadapan mata.


Suasana petang di beranda rumah agam itu amat menenangkan jiwa . Tekanan Jiwa yang dialami Nilam, bagaikan berlalu pergi apabila suasana damai yang dirasainya begitu mengasyikkan, membuai jiwa. Hilang seketika, kegusaran hati yang ditanggungnya. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup lembut menyapa tubuhnya begitu menyegarkan sehingga Nilam terasa mahu terbang mengikut arah angin yang bertiup. Jika boleh dia berbuat begitu, mungkin segala masalahnya dapat dihilangkan.


Nilam mengalihkan mata kuyunya pula melihat pemandangan bukit bukau yang menghijau dan sekawan burung yang terbang berkumpulan. Dia menikmati alam ciptaan yang maha esa ini dengan matanya yang terbuka luas sehingga melahirkan rasa syukur yang tidak terkira di dalam sanubarinya. Alangkah indahnya ciptaan tuhan yang MAHA ESA sehinggakan manusia dapat menikmati setiap keindahan-NYA tanpa bayaran.


“ uhhh” Nilam mengeluh pendek. Secebis rasa kekesalan menerpa benaknya. Selama ini dia sering alpa akan tanggungjawabnya terhadap MAHA PENCIPTA. Dia lalai. menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba yang sentiasa memerlukan DIA di sisi.


"Ini air orennya, nak". Bibik tersenyum menghampiri Nilam yang sedang mengelamun jauh.


Lamunan Nilam terhenti apabila kedengaran suara BIbik menyapanya. Orang gajinya itu, menghantar segelas air oren yang dibuat sendiri. Air oren asli dari limau mandarin yang dikisar memang membangkitkan selera . Aroma orennya begitu menusuk hidung. Wangi. Nafsu makan kembali hadir.


Sebaik sahaja air oren bertukar tangan, Nilam mencicip sedikit airnya bagi menikmati kemanisan dan rasa masam yang ada di dalam molekul oren itu. Dia memejamkan mata sebagai tanda menikmati segala rasa masam dan manis yang telah bercampur baur. Setelah itu, Nilam meneguk air oren tersebut sehingga tinggal separuh.


Nilam kembali duduk di kerusi rotan antik sambil menatang air oren yangdiberi bibik sebentar tadi. Dipandangnya bibik yang berdiri dan sedang tersengeh merenungnya.


"Bik, duduk dulu boleh tak?Nilam nak tanya sesuatu". Nilam menepuk nepuk sofa embuk di sebelahnya. Lantas Bibik melabuhkan punggungnya yang padat  di atas kerusi di sebelah Nilam.


"ada apa nak?, bibik tengok Nilam ni tak cukup tidur,bawah mata pun dah hitam,pucat je bibik tengok". Bibik memandang tepat wajah Nilam. Wajah Nilam diperhatinya dengan penuh rasa belas kasihan.


"ye ke? Dah tak cantiklah Nilam ni ye Bik?".Nilam berseloroh.Bibik tersengeh sehingga menampakkan giginya yang telah ronggak di bahagian hadapan mulut.


“ ish, mestilah cantik cuma kurang comel sahaja” Bibik berseloroh. Nilam Cuma tersengeh-sengeh. Lucu pula rasanya apabila bibiknya pandai berlucu.


"Nenek mana?" Soal Nilam berbasa basi.


"ooooo, nak tanya pasal Cik Puan? Cik Puan ada dinner malam ni di Hotel Honey Star, itu yang pergi awal petang ni, ada sesi bergambar untuk acara karpet merah , malam baru balik katanya" Jawab Bibik jujur. Nilam cuma mengangguk sebagai tanda memahami.


"Bukan itu soalan yang saya nak tanya Bik ,ada soalan lain". Nilam meningkah.


"Ok, soalan apa? Jangan soalan SPM sudah? Bik SPM cuma SAP je" Seloroh Bibik. Nilam tergelak kecil dengan seloroh orang gajinya yang bertubuh gempal itu.


Walaupun orang gaji Nilam dipanggil Bibik, dia bukanlah orang indonesia.Bibik cuma panggilan sahaja. Dia rakyat malaysia seperti Nilam. Bibik  telah lama bekerja di rumah agam itu. Nilam telah menggagap Bibik seperti kaum keluarganya sendiri. Pembantu rumah lewat 50 an itu sering dijadikannya tempat bertanya atau meluahkan perasaan. Pembantu rumahnya itu lebih open minded daripada neneknya sendiri. Neneknya sering tidak sependapat dengannya dan berfikiran agak kolot. Ada sahaja yang diperkatakan Nilam tidak kena pada pendengaran nenek. Sehingga ada kalanya berlaku perbalahan yang menyebabkan mereka bermasam muka. .


"Soalan Nilam,bibik ada tak nampak sesuatu macam......arghhhhh.... Macam....".Nilam mula memikir- mikir apakah ayat yang sesuai untuk diperkatakan kepada orang gajinya itu. Takut pula jika Bibik tersalah anggap . Kalau dah tersalah tafsir, akan jadi lain maksudnya nanti. Nilam tidak mahu itu yang terjadi.


"ala... macam... hah! Bibik ada nampak tak  bayangan ? Jelmaan ? Di dalam rumah ni, bibik pernah terserempak tak dengan semua tu?" Terkebil kebil mata Nilam menunggu jawapan dari Bibik. Bibik buat muka bodoh.


"Maksud Nilam? Hantu? Syaitan?  ?" Bibik pula yang bertanya kepadanya. Nilam mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal.


"Betul la tu Bibik.... pernah nampak tak" Direct sahaja Nilam mengiakan telahan orang gajinya.


"Nilam mengarut apa pula ni, menakutkan Bibik je lah, ishhhh... budak ni,tak pernah pula Bibik terserempak dengan semua tu, kecuali..Bibik pernah ternampak susuk tubuh seorang lelaki bertopi menyusup masuk ke dalam rumah ni, tetapi bibik cuma melihat sepintas lalu sahaja, bibik fikir itu cuma bibik tersalah pandang, maklumlah kadang kadang seharian di dapur, mata bibik pun boleh silap tengok." Kata bibik,menceritakan perkara yang pernah dilihatnya.


Bibiknya menyambung lagi “ Lelaki itu seperti memakai kot dan topi yang sering dipakainya agak ke bawah sehingga mahu menutup muka, Bibik selalu ternampak lelaki itu menyusup masuk ke dalam bilik bacaan Puan Marry” Terang bibik. Jujur. 


Nilam berfikir sejenak, berfikir   mengenai  bentuk topi yang dikatakan Bibik kepadanya.


“Adakah lelaki itu memakai topi fendora Bibik?” Nilam Cuma menggagak sahaja kerana sesiapa yang memakai topi fendora akan lebih senang menutup wajah menggunakan topi tersebut seperti di dalam filem hollywood yang sering dilihat Nilam.


“ Entahlah, Bibik tak tahu pula namanya topi itu, tapi bentuknya bulat di sekeliling dan agak besar” Bibik cuba mengingat rupa bentuk topi lelaki yang pernah dilihatnya itu.


Sah memang topi fendora yang dipakai lelaki itu. Tetapi apakah motif lelaki tersebut menyusup masuk ke dalam bilik bacaan neneknya? Adakah neneknya berhubungan dengan lelaki itu? Jika nenek menyukai lelaki itu, kenapa neneknya menyembunyikannya dari pengetahuannya? Dia tidak akan marah jika neneknya menyukai lelaki itu. Kini berjuta pertanyaan menyerbu benak Nilam, sehingga andaian buruk juga menerpa di benaknya.


“Bibik kenal siapa lelaki itu? Apa tujuannya berjumpa dengan nenek?” Tanya Nilam bertubi-tubi sehingga membuatkan Bibik mengerutkan kening.


“ Tak tahu pula Bibik lelaki itu siapa, Bibik tak nampak jelas wajah lelaki tu” Bibik menjawab pertanyaan Nilam dengan mengaru-garukan kepalanya yang bersanggul itu.


“ Okey, tidak mengapa Bibik” Nilam tersenyum.


“ Nilam janji jangan beritahu Puan Marry tentang perkara yang Bibik beritahu Nilam ini, Bibik takut Puan Marry marah nanti, habislah Bibik kena buang kerja nanti!!” Terpancar sedikit riak keresahan di wajah bibik yang berkulit kuning langsat itu.


“Baiklah Bibik, selain itu, betul ke Bibik tak pernah nampak makhluk lain di dalam rumah ini?” Soal Nilam kembali kepada persoalan asal yang mahu ditanyanya kepada Bibik.


“ Makhluk lain? Maksud Nilam? Hantu? Tak pernah pula Bibik nampak! Ishhh, Nilam ni, menakutkan Bibik je, nanti malam-malam Bibik susah nak tidur pula!”  Bibik melilaukan matanya memandang sekeliling dan serta merta mengosok tangan dan tengkuknya. Bibik syak, Nilam mengetahui sesuatu.


"Meremang bulu roma ni". Ujar bibik sambil wajah mulus Nilam dipandangnya tanpa berkedip.


Spontan Nilam menepuk bahu bibik dan tersenyum lebar.


"Tiada apa apalah bibik, jangan risau! Nilam cuma bergurau je, dah lama Nilam tak usik bibik". Nilam mencubit pipi tembam bibiknya dengan mesra. Dia tidak mahu bibiknya takut pula dengan pertanyaan peliknya itu. Risau pula kalau pembantu rumahnya itu berhenti kerja. Bukan senang mahu mencari pembantu rumah sebaik bibik. Nilam menarik nafas lega apabila bibik tidak lagi menunjukkan riak muka cemas.


Nilam meneguk kembali baki air orennya, tahulah dia kini bahawa cuma dia sahaja yang diganggu oleh  suara aneh itu.Jelmaan dan bayangan yang dilihatnya pula sering menghantui hidupnya. Walaupun bayangan dan jelmaan itu seperti "chip more", kejap ada kejap hilang, itupun dah cukup mengharu birukan hidupnya kala ini. Tetapi, bagaimana pula dengan susuk tubuh lelaki yang pernah dilihat bibik tempoh hari. Nilam belum pernah terserempak dengan susuk tubuh yang diceritakan oleh bibiknya itu. Ah, pedulikan tentang lelaki itu, masalah yang sedia ada belum selesai, jangan ditambah masalah lain pula. Semuanya bakal menyesakkan dada.


Suasana petang di beranda itu semakin suram.Awan mula berarak pergi bagi memberi ruang kepada malam melabuhkan tirainya.Sekawan burung kelihatan berterbangan balik ke sarang setelah seharian mencari rezeki. Nilam melangkah masuk dan menutup pintu beranda rumah agam itu.Dibawanya bersama gelas kosong dan beredar ke ruang dapur. Nilam semakin takut apabila malam telah semakin larut.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif