Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,627
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

Bab 6


Setelah berdiam agak lama dan masing-masing bermain dengan sudu di pinggan yang telah lama kosong, Lisa memulakan perbualan. Topik mengenai hospital yang dikatakan berhantu masih lagi menjadi topik utama. Memang malam tersebut isu hospital, dimana tempat mereka bekerja menjadi perbualan hangat di warung Pak Mahat, nasib baik tiada pengunjung lain. Jika ada mereka terpaksa mengawasi segala percakapan agar tidak mendatangkan silap tafsir kepada pelanggan lain yang mendengar. Maklumlah hanya mereka yang bekerja di dalam sana sahaja yang mengetahui cerita paranormal yang baru bermula menghantui kehidupan mereka itu.


"Korang tahu tak sejarah hospital ni" Lisa menyambung kata sambil memandang hospital yang tersergam di seberang jalan.


Kesemua mereka mengeleng-gelengkan kepala. generasi baru hari ini tidak mengetahui peristiwa terdahulu yang pernah berlaku. Termasuklah mereka semua.


Pada malam itu, hujan  renyai renyai membasahi bumi. Suasana suram yang bergabung dengan kegelapan malam, menerbitkan suasana seram bagaikan menusuk masuk ke dalam jiwa setiap mereka yang ada di situ.  Di seberang jalan terserlah keadaan hospital yang suram disimbahi cahaya malap yang datangnya dari lampu jalan  berwarna oren. Bangunan lama yang masih kukuh itu terasa menyeramkan jika dipandang berkali-kali, oleh sebab itulah mereka semua rela membelankangi hospital tersebut jika mahu makan di warung Pak Mahat. Terutamanya jika menikmati makan lewat malam.


Kelihatan Pak Mahat sedang mengelap meja yang telah ditinggalkan pelanggan. Rose yang perasan kehadiran Pak Mahat di meja sebelah, terlintas di mindanya mahu bertanya kepada Pak Mahat perihal hospital tempat mereka bekerja. Rose yakin, Pak Mahat merupakan orang lama di situ. Pasti Pak Mahat tahu serba sedikit mengenai cerita hospital tersebut suatu waktu dahulu. 


"Apa kata kita tanya Pak Mahat sejarah hospital ni nak tak? Dia kan orang lama, lebih dulu makan garam dari kita, sedikit sebanyak mesti tahu punya" Rose memberi idea. Kesemua rakan-rakannya bersetuju dengan idea tersebut.


"Pak Mahat, ke sini sekejap boleh?" Rose menyapa Pak Mahat yang sedang mengelap meja kosong bersebelahan meja yang diduduki mereka. Pak Mahat yang hanya berkain pelikat petak-petak biru dan berbaju pagoda putih datang menghampiri.


"Ada apa panggil Pak Mahat ni Rose, nak ajak makan nasi minyak ke? Insaallah, Pak Mahat mesti datang" Kata Pak Mahat panjang lebar.Pak Mahat melabuhkan punggungnya duduk di sebelah Rose yang berbadan gempal itu.


"Bukanlah Pak Mahat, kami nak tanya Pak Mahat satu perkara ni" teragak-agak Rose mahu mengemukakan soalannya. Setiap wajah rakannya dipandang. Dia mahu mengumpulkan semangatnya. Risau jika Pak Mahat memarahinya pula. Tak pasal-pasal malu pula dia nanti.


"Tanyalah, kalau Pak Mahat boleh jawab,Pak Mahat jawab" hairan pula Pak Mahat dengan sikap gadis-gadis di hadapannya. Jarang pula mereka memanggil Pak Mahat untuk bertanyakan sesuatu. Selalunya jika mereka mahu membuat pesanan makanan bukan main kuat lagi suara bagaikan menjerit.


"Pak Mahat tahu tak asal-usul bangunan hospital di seberang jalan ni" Rose menunding jari ke arah hospital yang tersergam di seberang jalan.Hujan renyai-renyai masih kelihatan di luar warung  Pak Mahat. Suasana dingin mencengkam tubuh mereka semua. Bulu roma mula berdiri, menandakan cuaca pada ketika ini sejuk sekali.


"Oooo, hospital tempat kamu semua bekerja tu? Pak Mahat tahulah serba sedikit sejarah hospital tu, adalah juga cerita-cerita seram yang dijaja dari mulut ke mulut mengenai hospital tu, kamu semua nak dengar ke?" Pak Mahat menyoal, dan memandang wajah mereka seorang demi seorang. Pak Mahat kelihatan serius.


"Ceritakan pada kami Pak Mahat" Adriana teruja.


"Ceritanya taklah panjang sangat" ujar Pak Mahat "Namun sesiapa yang mendengar pasti malam ini takkan boleh tidur!" Pak Mahat cuma menguji.


Masing-masing telah menunjukkan muka cuak dan menelan air liur masing-masing. Terlihat sahaja wajah gadis-gadis di hadapannya seperti ayam berak kapur. Pak Mahat ketawa berdekah-dekah sehingga air liurnya tersembur di atas meja.


"Gurauan Pak Mahat tak kelakarlah! Menakutkan kita orang sahaja!" bentak Farah. Muka pucatnya sebentar tadi mulai berdarah kembali. Baginya gurauan Pak Mahat begitu menakutkan.


"Maafkan Pak Mahat, okey kisahnya begini" Pak Mahat memulakan ceritanya. Sambil itu matanya asyik memandang bangunan hospital yang tersergam megah di seberang jalan di hadapan kedainya.   


"Dulunya hospital tempat kamu semua bekerja ini dikenali sebagai Hospital sakit jiwa. Hospital ini dibuka pada 1879 dan selama seratus tahun menerima pesakit gila" Pak Mahat menghela nafas panjang.


"Pada 1950-an, hospital ini merawat lebih daripada 1,800 pesakit dan terkenal kerana prosedur lobotomi yang mengerikan. Anehnya, hospital ini merahsiakan dengan ketat identiti pesakit. Kerana apa identiti pesakit dirahsiakan, tidak ada siapa pun yang tahu. Pernah juga ditemukan sebanyak 1900 mayat di bawah bangunan hospital ini!"


"Mayat? Ramainya! Mayat siapa Pak Mahat?" Erin bertanya. Dia hairan bagaimana mayat sebanyak itu boleh berada di bawah bangunan hospital?


"Mengikut cerita dari mulut ke mulut, mayat tersebut adalah mayat pesakit yang identitinya dirahsiakan itulah, namun kesahihannya tidaklah diketahui". Pak Mahat menjawab soalan Erin.


"Boleh kamu semua bayangkan suasana hospital ini apabila menempatkan terlalu ramai pesakit mental sehingga para doktor dan jururawat terpaksa melayan kerenah mereka semua pada setiap hari? Ada yang mendapat layanan istimewa dan ada yang mendapat layanan buruk sehingga mengorbankan nyawa" ujar Pak Mahat sambil memintal tuala good morning di tangan.


"Yang paling menghairankan sesiapa sahaja yang masuk ke hospital ini pasti berakhir dengan kematian!"


"Maknanya tidak ada pesakit yang sembuhlah ye, kerana kesemua pesakit berakhir dengan kematian?" Soal Farah membuat mimik wajah hairan.


"Yup,  begitulah" Pak Mahat menjawab.


"Macammana Pak Mahat tahu?"soal Nico pula.


"Pak Mahat merupakan generasi keempat yang berniaga di sini sejak warung ini dibuka, jadi nenek moyang Pak Mahat menyaksikan pelbagai perkara sejak hospital ini dibuka, kisah-kisah hospital ini menjadi cerita mulut ke mulut keluarga Pak Mahat, ada sesetengahnya yang Pak Mahat dah lupa, maklumlah dah lama sangat ceritanya" Pak Mahat tersengeh. Giginya yang ronggak di hadapan kelihatan jelas.


Masing-masing menggangukkan kepala sebagai tanda memahami. Biasalah orang tua memori semakin berkurangan.


"Salah satu kisah mengerikan adalah hilangnya pesakit wanita pada 1978 dan dijumpai setahun kemudian di bangsal dengan percikan darah di lantai yang dapat dilihat sampai ke saat ini, setelah itu pada tahun 1980 hospital ini diambil alih oleh tuan baru sehinggalah sekarang" 


"Oh, begitu!" Mereka semua berkata serentak.


" Setelah pemiliknya meninggal dunia, warisnya tidak mahu lagi menguruskan hospital yang dikatakan mendatangkan malapetaka kepada pemiliknya sehinggalah ia dijual kepada pemilik sekarang."Pak Mahat merenung sejenak kesuraman malam di luar kedainya.


"Malapetaka apa tu Pak Mahat?" Erin bertanya. Dirinya begitu teruja dengan cerita Pak Mahat.


"Tak ingat pula Pak Mahat" Pak Mahat tergelak kecil. Ingatannya memang semakin berkurangan. Maklumlah umurnya kini telah menginjak ke 60 an.


Selama beberapa minit Pak Mahat berhenti sejenak bagi mengambil nafas, sebelum menyambung kembali ceritanya yang terhenti.


"Penduduk yang tinggal berhampiran hospital Juga sering terdengar suara wanita menangis mendayu-dayu dan tangisan wanita itu tetap menjadi misteri sehingga ke saat ini.Tidak seorang pun mengetahui arah suara berkenaan datang dan identiti suara tersebut masih menjadi tanda tanya. Dikatakan juga roh-roh pesakit mental yang mati dengan cara yang mengerikan kelihatan bergetanyangan di lorong hospital apabila menjelang lewat malam" 


Mereka semua yang mendengar telah mula terasa seram sejuk. Terbayang oleh mereka kengerian yang berlaku di dalam hospital tersebut suatu waktu dulu. Apa sebenarnya yang berlaku di dalam hospital tersebut sejak mula penubuhannya sehinggalah 100 tahun kemudiaannya? Adakah berlaku kegiatan yang tidak bermoral di hospital tersebut? Masing-masing mempunyai persoalan di minda yang berlegar-legar.


Semua mata memandang tepat ke arah Pak Mahat. Mereka Semua tekun mendengar setiap butir bicara Pak Mahat. Apa yang diceritakan oleh Pak Mahat memang tidak dijangka .


"Nak Pak Mahat sambung cerita lagi, atau berhenti setakat ini sahaja?" Soal Pak Mahat kepada mereka semua.


"Sambunglah Pak Mahat, lagipun kami bukannya nak balik lagi" mereka yang lain menganguk-ganguk tanda bersetuju dengan apa yang dikatakan Nico.


"Ok" .Pak Mahat menyambung cerita.


"Hospital ini pernah diubah suai dan beberapa bangunan tambahan didirikan. Mengikut cerita pekerja yang terlibat, Ketika hospital ini dibina semula dan ketika para pekerja memperbaiki saluran air, beberapa pekerja bangunan mendapati bahawa hospital ini dibina di atas kuburan lama".


"Kuburan lama?" mereka semua berkata serentak. Mereka berpandangan sesama sendiri.


"Ya kubur lama! Ingat tak tadi, Pak Mahat ada cakap mengenai seramai 1900 mayat dijumpai di bawah bangunan hospital?, mungkin kubur lama ini yang dimaksudkan!" 


"Tetapi ada juga Pak Mahat dengar cerita kuburan lama yang wujud itu sebenarnya memakan korban, Pak Mahat rasa sebab itulah waris kepada pemilik sebelum ini tidak mahu mengambil alih hospital ini!" Cerita Pak Mahat tanpa gugup. Baginya tiada apa yang harus ditakutkan mengenai segala cerita seram hospital tersebut. 


Mendengar sahaja perkataan 'memakan korban' , mereka semua menelan liur. Tidak disangka sampai ke tahap sebegitu cerita yang disampaikan oleh Pak Mahat, menyesal pula rasanya mereka bertanyakan perihal hospital ini. Perasaan takut mula menjalar di dalam diri masing-masing. Korban apa yang dimaksudkan oleh Pak Mahat sebenarnya? Namun tidak seorang pun di antara mereka bertanya. Mulut masing-masing bagaikan terkunci mahu bertanya. 


"Kenapa hospital mental ini ditutup dan menjadi hospital biasa Pak Mahat?" soalan lain pula yang ditanya. Erin sengaja beralih ke soalan lain supaya perihal kuburan lama yang memakan korban dilupakan. Dia tidak mahu soal tersebut akan menekan jiwa mereka semua. Maklumlah hospital yang dikatakan 'memakan korban' itulah yang akan mereka jejak pada setiap hari.


"Hospital ini ditutup kerana kaedah rawatan aneh dan mengerikan terhadap pesakit mental seperti lobotomi frontal dan terapi kejutan elektrik yang diluar kawalan. Kaedah rawatan tersebut  yang digunakan oleh para doktor di situ adalah menyalahi undang-undang. Maka ada pihak tertentu mengarahkan supaya hospital itu ditutup dan dikosongkan".


" jadi kenapa hospital ini dibuka semula Pak Mahat?"


"Entahlah nak, Pak Mahat kurang pasti tapi dari sumber-sumber yang dipercayai hospital ini dibuka semula sebab, kedudukan hospital yang strategik dan struktur bangunan yang masih kukuh, lagipun sekitar kawasan ini telah diiktiraf oleh kerajaan sebagai kawasan yang akan dibangunkan" Pak Mahat memberi penjelasan sambil mengerling jam di pergelangan tangan.


"Ramai yang percaya, tiada lagi kejadian-kejadian misteri di hospital ini, sebabnya pihak pengurusan telah 'membersihkan' hospital berkenaan" Pak Mahat menyambung ceritanya lagi. 


"Guna klorok ke Pak Mahat?" Rose bertanya selamba.


Tiba-tiba lengan Rose dicubit Erin yang duduk di sebelahnya. Terjerit Rose menahan kesakitan ibarat digigit semut api itu. Pak Mahat pula tidak dapat menahan ketawanya dan gelak berdekah-dekah sehingga Hadi Budiman yang berada di bahagian dapur menjengahkan kepalanya di pintu . Wajahnya kehairanan.


"Kau jangan nak loyar buruk ye Rose, ishh" marah Adriana.


"Tidak mengapa, Rose tak faham tu! Pihak hospital memangil mereka yang arif untuk menghalau "benda" yang terdapat di situ, sekumpulan ustaz dari madrasah telah dipanggil dan bacaan yassin serta doa selamat telah diadakan selamat 7 hari berturut-turut, setelah itu kalau tak silap Pak Mahat tiada lagi kejadian aneh yang mengganggu hospital tersebut " terang Pak Mahat panjang lebar.


"Tetapi gangguan tersebut datang kembali Pak Mahat!" Erin berkata tegas.


"Betul ke? Mungkin ada sebab lain Pak Mahat rasa, yang menyebabkan gangguan" berkerut wajah Pak Mahat apabila perihal gangguan di hospital tersebut dibangkitkan oleh Erin.


"Sebab lain yang bagaimana tu Pak Mahat" Farah ingin tahu, apakah sebab lain yang dimaksudkan oleh Pak Mahat.


"  Sampai sini sahajalah Pak Mahat beritahu ye, Pak Mahat pun dah nak tutup warung ini, lain kali Pak Mahat sambung cerita ye!". 


Kesemua mereka mengeluh hampa. Seusai keluar dari warung Pak Mahat  

mereka semua leka dengan perasaan sendiri, memikir apakah benar gangguan yang mereka alami ada kaitan dengan segala peristiwa yang diceritakan oleh Pak Mahat sebentar tadi?


Walaupun Hari ini mereka berjaya merungkai misteri yang menyelubungi hospital berkenaan. Namun cerita dari Pak Mahat masih tidak dapat dihubungkaitkan dengan peristiwa yang mengganggu mereka dan rakan mereka Nilam. Segalanya masih lagi menjadi misteri.


Hampir jam 1.00 pagi ,  mereka semua pulang ke destinasi masing-masing. Manakala, di seberang jalan, di atas bumbung hospital berdiri sesusuk tubuh hitam bersayap, bertanduk dua, memandang mereka bergerak pergi. 


Bersambung....


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif