Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,584
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 17

Bab 17

Di suatu tempat lain, asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara, menzahirkan bau  wangi yang menyengit hidung. Manusia itu, mahu menjahanamkan dua gadis itu, dia telah mengaburi pandangan kedua-dua gadis itu dengan khayalan-khayalan yang menakutkan. Dia telah menyesatkan arah tuju perjalanan kedua-dua gadis itu supaya mereka mendapat kecelakaan. Dia mahu mereka mengikut jejak langkah sahabat mereka Rose. Dia mahu mempermainkan Nico dan Farah di dalam permainan ghaib ciptaannya itu, sebelum membunuh kedua-duanya.

Manusia itu ketawa berdekah-dekah di sudut pemujaan yang hanya diterangi mentol gantung malap . kemenyan ditabur ke dalam dupa berkali-kali bagi meneruskan ritual menyeru makhluk alam ghaib yang menjadi pendampingnya sejak sekian lama. Ruang separuh gelap itu dikelilingi lilin dan di tengah-tengah ruang pemujaan terdapat 2 ekor ayam hutan putih yang dijadikan korban. Ritual itu memerlukan darah ayam segar dan darah pemiliknya sebagai balasan ke atas pertolongan ghaib bagi menjayakan rancangan jahat ke atas Farah dan Nico.

 Manusia itu telah dihantui oleh dunia gelap yang diciptanya sendiri bagi memuaskan nafsu dendam syaitan yang telah lama beraja di hati. Manusia itu tersenyum puas dan bangga kerana segala rancangan yang direncanakan berjalan lancar.

Tiba-tiba manusia itu, terdengar ngauman enjin kereta di halaman rumah. Beberapa detik berlalu. Pintu pondok dikuak dari luar. Tubuh mugil yang hanya berseluar jeans dan berkemeja labuh biru muncul di muka pintu. Manusia itu mengukir senyuman sebaik sahaja mereka bertentang mata. 

"Kenapa kau datang?" tegur manusia itu sambil tangannya tidak lekang mengasap kemenyan di udara.

"Saja! Aku tahu apa yang kau buat kerana aku dapat rasakannya, hati aku tak tenteram" sekutunya itu tepat memandang manusia di hadapannya itu dengan wajah bersalah.

"Kau terlalu obses dengan rasa takut kau tu!" manusia itu memandang galak wajah mulus di hadapannya.

"Mesti!! Kerana kau dah melibatkan nyawa orang, kau tak kasihan ke kat dia orang tu  semua?"

Wajah manusia itu serta-merta bertukar bengis.

"Ada mereka kisah masa kejadian tu berlaku? Ada dia orang tu kasihan masa suara rintihan tu kedengaran nyaring di telinga dia orang, ada ke??!!" tengking manusia itu dengan nada suara yang begitu tinggi sehingga mengejutkan sekutunya yang berada di hadapannya.

"Itu kau! Tapi aku tak sampai hati melihat mereka dibunuh!"

"Kau diam! Diam! Diam! Berapa kali aku cakap kat kau, ikut sahaja arahan aku faham!!" bagaikan halilintar suara amarah tersebut mengegarkan pondok usang itu.

Sekutunya yang tadinya berada di dalam posisi duduk, lantas berdiri. Dia mahu pergi meninggalkan pondok itu. Fikirnya biarlah manusia itu bersendirian menghabiskan urusannya. Dia cuma mampu menurut. Walaupun ada sekelumit dendam di hatinya, namun perasaan kemanusiaannya masih utuh merantai jiwa. 

Sekutunya itu, tidak mampu menentang manusia itu. Dirinya terlalu lemah untuk melawan arahan dari manusia itu. Dirinya bagaikan pak turut. Hanya mampu menurut dan melihat sahaja. Ah, dirinya bagaikan dibayangi oleh bayang-bayang manusia itu. Dia rimas. Rimas menjadi sebahagian daripada manusia itu.

Sebaik sahaja sekutunya itu, mahu menuruni tangga kayu yang sedikit bergoyang apabila dipijak. Kedengaran manusia di belakangnya memanggil dengan nada keras.

"Jangan sesekali kau bocorkan rahsia kita, natijahnya kau juga yang tanggung nanti".

Tanpa mempedulikam amaran manusia itu, sekutunya melangkah semula menuruni anak tangga. Membawa diri ke dalam kereta dan beredar pergi.

Tinggallah manusia itu sendirian semula dengan mulut yang diketap geram. Dia tidak akan termakan dengan pujukan sekutunya itu. Tiada apa yang lebih penting dari melunaskan dendam yang semakin membara di jiwanya. Biarlah seribu halangan sekalipun yang datang, manusia itu akan tetap nekad dengan keputusannya.

***

Nico  terjaga dari tidur dan terpisat-pisat bagaikan anak kecil, dia tercengang-cengang memandang sekeliling. Wajahnya berkerut. Kiri dan kanan jalan cuma kegelapan yang menyelimuti. Kereta yang mereka naiki tersadai di bahu jalan manakala pemandunya Farah tidak berada di situ.

"Kurang ajar betul si Farah ni! Tinggalkan aku sorang-sorang kat sini!" Nico melihat jam di pergelangan tangannya yang menunjuk tepat ke angka 12.30 malam.

Suasana di persekitaran amat sunyi, hanya bunyi cengkerik yang menemani di kala itu. Sebiji kereta pun tidak kelihatan. Cuma cahaya dari lampu kereta mereka sahaja, yang menerangi jalan di hadapan. Bulan umpama segan-segan pula memunculkan diri. Nico mengeluh perlahan sebelum mengambil keputusan untuk membuka pintu kereta dan keluar bagi memerhati keadaan sekeliling supaya jelas otaknya untuk mentafsir dimanakah sebenarnya dia berada sekarang.

Nico berdiri di sisi kereta sambil memandang kiri dan kanan. 

"Mana pula kau pergi Farah? Kalau ye pun nak kemana-mana, kejutlah aku dulu, geram betul, janganlah tinggalkan aku macam ni!!" Nico mengumam sendiri sambil mengepal penumbuk sebagai tanda geram yang amat sangat.

"Kawan tak guna!!!"  

Tiba-tiba desiran angin yang bergemersik menyapa tubuh tinggi lampai Nico yang berbaju kurung putih sehingga meremangkan bulu roma. Nico berpeluk tubuh. Kesejukan. 

"Farah! Mana kau pergi! Tempat ni terasa lain macam pula."

Nico berasa seram sejuk. Seolah-olah seperti ada seseorang yang sedang memerhatikannya. Anak mata Nico melilau memerhati keadaan sekeliling. Tiba-tiba dari sebelah kiri jalan yang terbentang luas itu, dia melihat kelibat seseorang berlari. Kelibat seorang gadis berambut pendek separas bahu semakin menghampiri.

"Farah!" Nico menjerit apabila kelibat itu amat dikenalinya iaitu Farah. Memang betul farah, dia amat mengenali susuk tubuh kurus dan berketinggian sederhana itu.

Farah tercungap-cungap mengambil nafas di hadapan Nico 

"Nico masuk! Nico aku kata masuk kereta cepat!!" arah Farah sambil menolak masuk tubuh Nico ke tempat duduk sebelah pemandu. Walaupun kehairanan dan penuh tanda tanya namun Nico tetap menurut arahan Farah.  Apabila kedua-duanya telah masuk, Farah lantas mengunci kereta tersebut.

Nico dapat melihat jelas tangan Farah terketar-ketar cuba memutarkan kunci kereta dan cuba menghidupkan enjin kereta. Gagal. 

"Arghhh!! Kenapa enjin tak hidup pula ni!" bentak Farah. Tidak lepas-lepas tangannya memutar kunci kereta pada lubang kunci namun hasilnya tetap gagal. 

Nico yang berada di sebelah cuma memerhati.

"Farah! Kau kenapa?" tanya Nico dengan nada kehairanan.

" Mati kita! Mati! Mati" ucap farah berulang-ulang kali sambil mengoyang-goyangkan badannya ke depan dan ke belakang. Didakapnya kaki ke dada seperti orang hilang akal. Enjin kereta yang tidak mahu hidup sudah tidak diendahkannya. 

Nico yang tidak faham apa yang telah terjadi memusingkan badannya menghadap farah dan cuba menenangkan sahabatnya itu.

" Farah , kenapa dengan kau ni?"

Farah langsung tidak menjawab soalan Nico malah menoleh pun tidak. 

"Kenapa pula dengan kawan aku ni?" Nico memandang di sekeliling kawasan itu melalui dalam kereta. Tetapi tiada satu pun yang mencurigakan hatinya. Cuma kegelapan malam yang menyelimuti kawasan itu. Lampu kereta yang tadi terang-benderang juga telah dipadamkan farah. Apa motifnya farah berbuat begitu? Dia tidak tahu. Suasana senyap seketika. 

Oleh kerana kegelapan yang begitu pekat di dalam dan luar kereta, Nico menyalakan lampu dari power bank yang dibawanya. Wajah Farah yang dibasahi peluh dapat dilihat sepenuhnya. Diulangnya kembali soalan yang tidak dijawab farah tadi.

"Farah, Kenapa dengan kau?".

"Aku takut ".

" Takut? Kau takut apa sebenarnya? Macammana kita boleh berhenti kat sini? Kau pergi mana tadi?" bertalu-talu soalan cepu emas dari Nico. Farah tidak tahu soalan yang mana satu ,mahu dijawabnya.

"Sesuatu yang luar biasa! Aku tak tahu sama ada apa yang aku tengok tadi realiti ataupun hanya fantasi aku semata-mata".

"Apa yau kau cakap ni Farah, aku tak faham".

Tanpa mengendahkan Nico yang terpinga-pinga, Farah cuba menghidupkan enjin kereta semula. Namun enjin masih gagal dihidupkan, begitu juga dengan lampu kereta masih tidak dinyalakan. 

Nico mulai rimas dan bosan dengan tingkah-laku Farah yang seperti berteka-teki dengannya. Dia perlu tahu apa sebenarnya yang telah berlaku. Nico dapat melihat jelas riak wajah Farah yang seperti ketakutan. Apa sebenarnya yang Farah takutkan?

"Kenapa kau tak nyalakan lampu?".

"Kau ni banyak soal la, pening aku! Dah la enjin buat hal!" Farah mula berang.

Kali ini bukan farah sahaja yang naik angin, Nico pun sudah mula naik angin apabila Farah asyik menunjukkan perangai acuh tak acuh sahaja dengan semua soalannya sejak dari tadi. Dia perlu tahu apa yang sebenarnya yang berlaku. Dia tidak mahu terpinga-pinga seperti orang bodoh. Nico memegang kasar bahu Farah dan meminta gadis itu menjelaskan apa yang sebenarnya terjadi. Dia tidak mahu berteka-teki lagi.

"Farah!! Tolong jelaskan kat aku apa yang sebenarnya terjadi?? Dari tadi kau tak jawab soalan aku! Apa sebenarnya yang terjadi??" Nico mengulang-gulang soalannya  supaya Farah memahami yang dia sebenarnya mahukan jawapan jujur dari Farah.

"Ok, aku akan cerita kat kau satu persatu, tapi boleh tak kalau kita turunkan seat kereta ke belakang sedikit, at least aku dapat rehatkan badan aku yang penat ni..." Nico bersetuju lantas seat kereta diturunkan ke belakang dan dia mengiring menghadap wajah Farah yang hanya diterangi sedikit cahaya dari power bank yang diletakkan berhampiran gear kereta itu.

Dengan wajah yang seperti berkerut seribu, Farah cuba mengingat kembali kejadian tadi. Farah memulakan cerita.

"Masa kau tido tadi, aku memandu macam biasa, tapi yang peliknya aku rasa macam kita tak keluar-keluar dari jalan kampung tu, aku rasa macam kita berpusing-pusing di tempat yang sama. Aku nak gerak kau, tapi kau tidur nyenyak sangat". 

"Sebab tu kau berhenti kat sini?" pintas Nico.

Farah yang cuba mengingat sesuatu, menjeling tajam ke arah Nico lalu mengangguk perlahan sebagai tanda mengiyakan soalan Nico tadi.

"Aku tengok jam dah pukul 11.00 lebih, dah lewat sangat, kalau ikutkan masa perjalanan, kita sepatutnya dah sampai rumah tau, lagipun kita bukannya ada singgah mana-mana" Farah menerangkan kejadian sebenar dengan suara yang perlahan seperti berbisik. 

"Betul juga kata kau tu farah, " Nico mengiyakan.

"Kau rasa kita sesat ke?" Farah menyoal dengan nada berbisik.

"Mungkin kita salah jalan lantas tersesat, maklumlah kita pun baru pertama kali ke kampung Rose kan!!" Nico menyatakan kemungkinan dari logik akalnya, namun sebenarnya lebih kepada kata-kata untuk menyedapkan hati mereka berdua sahaja. Pada hal, dia mula merasai ada sesuatu yang tidak kena.

"Mungkin juga" Farah mencebikkan bibir. 

Gula-gula HACKS perisa oren dicapai dari atas dashboard lalu dihisap. Farah merasa kerongkongnya gatal dan kering tiba-tiba. Perisa oren yang bercampur dengan enzim di dalam mulutnya betul-betul membuatkan kerongkongnya sedikit lega.

Seusai sahaja gula-gula HACKS mencair di dalam mulut, Farah menyambung ceritanya kembali. 

"Aku rasa macam ada yang tak kena, jadi aku berhenti  kat tempat kita berada sekarang ni, aku nak tanya kat orang kawasan ni, samaada tersalah jalan ataupun sebaliknya, jadi aku mengambil keputusan untuk keluar. Mana tahu terjumpa orang yang boleh aku minta bantuan, jadi aku jalan sehingga sampai di sebuah rumah, kat sana tu!" Farah menunding jarinya menunjuk ke arah belakang.

"Rumah? Jadi kau masuk ke dalam rumah tu?" soal Nico. Matanya tidak berkelip memandang wajah Farah di dalam cahaya kesuraman itu.

"Ya, berkali-kali aku beri salam, namun tiada seorang pun yang menjawab salam aku. Aku lihat, pintu rumah terbuka luas dan cahaya lampu oren menerangi rumah kayu tersebut, aku mengambil keputusan masuk sahaja ke dalam rumah tu........."

Di dalam rumah kayu usang itu, Farah melihat makhluk hitam berbulu dan berbadan besar sedang melahap sesuatu. Oleh kerana perasaan ingin tahu yang begitu kuat,  Farah mendekati makhluk yang sedang asyik menghadap sesuatu  itu. Rupa-rupanya makhluk itu sedang menjamah sekujur tubuh manusia yang telah menjadi mayat. Farah terkaku dan terpana sambil menekup mulutnya. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Di zaman serta moden dan canggih ini, masih terdapat makhluk yang memakan daging manusia. Farah tidak pasti apakah makhluk tersebut sama ada manusia atau sebaliknya. Farah terpempan di belakang makhluk itu. Hanya hembusan nafas dia dan makhluk itu sahaja yang kedengaran 

Tiba-tiba Farah perasan makhluk di hadapannya menoleh ke arah Farah sebagai tanda menyedari kehadiran Farah di situ. Farah tidak menunggu lama lagi, dia mengorak langkah seribu, berlari menuju ke arah kereta. Makhluk hitam legam yang seakan-akan manusia itu mengejar Farah, namun Farah hairan, apabila dia menoleh semula ke belakang, makhluk hitam legam itu menghilang. Farah meneruskan lariannya, malas dia mahu berfikir ke manakah makhluk itu pergi. Perasaan takutnya membuak-buak ketika itu. Di kala dia berlari, wajah Nico terbayang-bayang di ruangan mata. 

"Macam tu lah ceritanya, aku menyesal pula masuk ke dalam rumah tu tadi!"  Farah mengeluh halus. Perasaan kesal yang membuak-buak melanda benak. 

Tercengang Nico mendengar cerita yang dianggapnya gila dari Farah . Tapi, tak mungkin pula Farah menipu, rasanya tiada faedah kot. Nico merasakan seluruh badannya lemah secara tiba-tiba. Cerita makhluk memakan manusia memang amat menyeramkan. Bulu roma mula tegak dan tubuhnya kini sudah meremang. Terasa mahu pitam pula mendengar cerita Farah. Tambahan pula mereka tidak tahu langsung dimana sebenarnya lokasi mereka berada sekarang.

"Apa sebenarnya yang kejar kau tu, Farah?".

"Entahlah.Mungkin Zombie? Atau syaitan?".

"Syaitan?".

"Hantu!!".

Nico mula menelan liurnya berkali-kali dan jantungnya tiba-tiba berdebar hebat seperti mahu luruh dari alteri yang memegangnya.

"Apa yang harus kita buat sekarang ni?" Soal Nico. Hatinya benar-benar bimbang. Tidak langsung Nico menjangka mereka akan mengalami situasi seperti sekarang ini. Perasaan bimbang semakin mengasak dadanya.

"Kita tunggu sehingga hari siang, kita tiada pilihan. Enjin kereta tak boleh hidup, signal telefon pun tak ada, jadi tunggu sahajalah sehingga hari siang!" Farah mengutarakan pendapatnya yang dia sendiri tidak yakin sama ada itu merupakan keputusan terbaiknya.

Nico mengeluh kasar. Persoalan lain pula yang melanda benaknya.

"Kita selamat ke kat sini?".

"Errrr, aku rasa selamat. Apa kata kita cuba lelapkan mata dan tunggu sahaja sehingga hari siang. Kalau kau banyak sangat soalan Nico. Kau buat aku takut!!" marah Farah. Terbakar hatinya apabila Nico asyik bertanya segala soalan yang sukar mahu dijawabnya.

Akhirnya mereka berdua, cuba melelapkan mata. Masing-masing cuba menghilangkan kegusaran yang melanda perasaan. 

Baru sahaja mereka berdua terlena seketika, tiba-tiba terasa kereta itu seakan-akan bergoyang. Terumbang-ambing ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah dilanda ombak besar di lautan gayanya.

 Nico dan farah tersentak dari lena dan cepat-cepat menegakkan seat Kereta, serta mengamati keadaan sekeliling. Keadaan sekeliling masih sama seperti tadi. 

Bagaikan halilintar yang membelah bumi, mereka benar-benar terkejut apabila makhluk hitam legam yang diceritakan Farah, berada di atas cermin kereta dengan posisi duduk mencangkung sambil memandang Farah dan Nico dengan mata yang merah menyala. Mereka berdua dapat mendengar dengusan nafas keras ibarat singa lapar itu.

Makhluk tersebut mencakar-cakar cermin kereta dengan kukunya yang panjang. Seusai mencakar dan berdeham-deham makhluk tersebut melompat pula ke atas bumbung. 

Farah dan Nico jelas mendengar goresan seperti dicakar-cakar di atas bumbung kereta. Mereka teroleng-oleng ke kiri dan ke kanan di dalam kereta. Masing-masing mendiamkan diri. Tiada apa yang dapat mereka lakukan selain dari redha dan berdoa.

"Apa kita nak buat ni?" soal Farah. Hampir sahaja dia menitiskan air mata. Di ruangan matanya telah mula terbayang mayat dia dan Nico pula yang akan menjadi mangsa kerakusan makhluk yang menyerang mereka itu.

"Kita lawan!" Nico berkata penuh semangat.

"Kita nak lawan dengan apa?".

"Dengan apa sahaja yang dapat dijadikan senjata" jawab Nico selamba sambil tangannya mengagau ke dalam dashbord kereta bagi mencari pisau yang memang sengaja diletakkannya di situ tempoh hari.

Manakala Farah pula terjumpa kayu besbol di bawah tempat duduk pemandu. Kayu besbol itu dipegangnya kejap. Dia nekad jika makhluk tersebut menyeringai ke arahnya dia akan memukul kepala makhluk itu sehingga lunyai.

Masing-masing memegang senjata mempertahankan diri di tangan. Walaupun semangat mereka ada untuk melawan makhluk tersebut namun rasa takut yang teramat sangat tidak dapat disembunyikan dalam diri masing-masing. Tangan Farah dan Nico yang masing-masing telah memegang pisau rambo dan kayu besbol mula mengeletar. Habis basah baju masing-masing dengan peluk yang merecik keluar.

Olengan kereta semakin rancak ke kiri dan ke kanan. Farah dan Nico rasa macam mahu muntah apabila kereta tak henti-henti terumbang-ambing. Entah apalah yang makhluk tu buat kat atas bumbung kereta mereka. Syok sangat ke main lompat-lompat kat atas tu sampaikan tak henti-henti kereta mereka teroleng-oleng. Nico dah rasa macam nak keluar dari kereta sekejap itu juga dan hantuk kepala makhluk tersebut di situ juga. Tapi, mampukah dia berbuat begitu?

Bersambung


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif