Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,611
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5

Bab 5


Nilam mendekati katil nenek Anong. Sekujur tubuh sedang berselimut dan tidak bergerak seperti batu. Nilam memerhatikan tag nama yang terlekat di bahagian atas katil pesakit.


"Anong Siriphon" bisik Nilam perlahan. Walaupun sudah acap kali Nilam menguruskan keadaan nenek ini, tapi baru kali ini dia perasan nama nenek di atas katil tersebut seperti nama orang thailand.


"Dahla nama pelik, perangai pun pelik" getus Nilam sambil memandang lama ke arah tubuh nenek Anong yang kejung berselimut.


"Entah-entah dah mampus kot orang tua ini,..baguslah asyik aku je yang kena uruskan..." Nilam berkata di dalam hati sambil menarik selimut yang menutupi wajah Nenek Anong. Fikiran jahat mula meneroka mindanya.


Setelah menyedari niatnya mula tersasar, Nilam beristifar berulang-kali. Memang tanggungjawabnya sebagai jururawat adalah membantu pesakit yang tidak berdaya. Oleh itu, dia tidak seharusnya membiarkan perkara negatif merasuk mindanya. Setiap kebaikan yang dilakukan olehnya, Nilam yakin pasti diberi pahala oleh ALLAH. Cepat-cepat Nilam memadam fikiran negatifnya sebentar tadi.


Sebaik sahaja selimut ditarik, hampir mahu pitam Nilam apabila di depannya kini, jelas makhluk berwajah buruk dengan kulit muka yang mengelupas dan mulut yang terkoyak memandangnya dengan galak. Rambut makhluk tersebut panjang dan susuk tubuh itu berbau busuk.


"Uwekkkkk.... " dengan tidak semena-mena Nilam termuntah. 


Belum sempat untuk dia berlari menyelamatkan diri, terasa ada tangan kasar yang menariknya dari arah belakang. Lantas tubuh nilam tersungkur ke belakang di atas katil, tersungkur di dalam dakapan makhluk tersebut.


"Kau apa hah!, .. Lepaskan aku..lepaskan akulah! " sambil memekik Nilam meronta ronta dengan sekuat tenaga untuk melepaskan diri dari cengkaman makhluk itu. Akhirnya dia berjaya. 


Nilam tidak sanggup untuk bergelut lama dengan makhluk hodoh berbau busuk itu , jadi dengan kudrat yang ada, Nilam mengorak langkah seribu, berlari mencari jalan keluar dengan merempuh apa sahaja yang berada di hadapannya.


Pesakit dan staf hospital pelik dengan lingkah laku Nilam. Nilam menjerit secara tiba tiba dan berlari sambil melanggar apa sahaja dengan membuta tuli, sehingga ada yang menjerit menyuruhnya berhenti.


"Nilam...! Nilam!..woiiii...., kau ni dah kenapa lari macam nampak hantu je" satu suara menjerit nyaring. Seperti suara Rose, terdengar di telinga Nilam. Namun tidak dihiraukan Nilam, berpaling pun tidak. Dengan tidak sengaja dia terlanggar seseorang dan "pranggg..!!" terdengar troli ubat-ubatan berderang jatuh.


"Aduh......woiii Nilam.... Kau dah gila ke?" Jerit suara tersebut, namun masih tidak dihiraukan Nilam . Semakin pantas Nilam berlari. Manusia yang lalu lalang juga tidak dihiraukan .


"Lantaklah ....tak nampak ke, makhluk hodoh tu tengah kejar aku?" Jerit Nilam kepada orang yang berada di dalam wad tersebut. Nilam hairan kenapa tidak seorang pun yang sudi menolongnya. Tidak nampakkah mereka makhluk yang sedang mengejarnya. Darah hanyir dari mulut makhluk tersebut berbau cukup busuk. Tidak terbaukah oleh mereka semua? Ah, adakah hanya aku seorang sahaja yang nampak akan makhluk hodoh itu? Bebel Nilam di dalam hati.


Keluar sahaja dari wad, Nilam berlari pula melalui koridor yang suram dan sunyi. Hati Nilam terdetik untuk menoleh ke belakang.


"Alamak... mampus" kelihatan lembaga tersebut terawang-awang dengan mengapungkan diri sambil menyeringai dan mengilai-gilai mengikuti larian Nilam.


"Nazmi ... tolong Nilam" Jerit Nilam dengan sekuat hati . Namun suaranya cuma dia sahaja yang mendengar. Suaranya tidak boleh keluar langsung, seolah-olah tersekat di kerongkong. Nilam menangis semasa berlari di sepanjang koridor tersebut. Dia memang terlalu takut dan panik sehingga Dummmmm...


Tubuh Nilam tergolek-golek , menuruni sesuatu yang keras dan amat menyakitkan tubuhnya.


"Arghhh..." dengan perlahan Nilam membuka mata . Terlihat wajah Nenek Anong yang berkerepot seribu . Wajah itu kemudiannya perlahan-lahan berubah menjadi wajah makhluk ngeri yang mengejarnya tadi, namun tidak lama wajah mahkluk ngeri itu bertahan , apabila wajah ngeri itu bertukar pula menjadi wajah Doktor Nazmi.


"Nazmi" Nilam memanggil perlahan. Dia memejamkan mata apabila dirasakan kepalanya semakin berdenyut-denyut.


Kelopak matanya dibuka semula tetapi bukan wajah Doktor Nazmi yang dilihat . Nilam hanya melihat anak tangga yang berbalam-balam. Rupa-rupanya dia terjatuh dari tangga. Tangga kecemasan yang menghubungkan tingkat 2 dan tingkat 1. Tetapi betulkah Nenek Anong dan Doktor Nazmi yang berada di situ sebentar tadi. Jika ya, dimanakah mereka? Nilam melilaukan matanya memandang sekeliling. Tiada apa yang kelihatan, selain dinding konkrit yang mengepung di kiri kanannya.


Nilam mengagahkan diri untuk bangun. Dengan kaki yang terhenjut- henjut dia menuju ke pintu kecemasan yang terbuka.


"Aduh..sakitnya pinggang aku, nasib baik tak arwah, kalau tak kempunanlah aku nak bersuamikan Doktor Nazmi" Nilam tersengeh sendiri sambil mengelap sisa air matanya menggunakan tangan.


"Mangkuk hayun punya 'Mak Lampir' apa yang dia mahukan dari aku?" sempat lagi Nilam mencaci makhluk yang mengejarnya tadi dan mengelarkannya sebagai 'Mak Lampir'.


Matanya melilau mencari lif untuk kembali semula ke tingkat 2. Dengan keadaan diri yang lencun dibasahi peluh dan uniform yang comot serta kotor di sana sini .Nilam berjalan perlahan menuju kearah lif.


Dipandangnya sekeliling ruang koridor yang berlampu malap itu, Nilam takut jika makhluk tersebut mengekorinya lagi. Para jururawat dan doktor yang berselisih dengannya di sepanjang koridor , memandang Nilam dengan pandangan sinis sambil mencebikkan mulut. Walaupun begitu, sekurang kurangnya perasaan takut Nilam semakin beransur pergi. Nilam merapikan rambut panjangnya yang telah kusut masai. Kelihatan lif berada dalam jarak beberapa langkah sahaja dari tempatnya berjalan.


Sampai sahaja di hadapan pintu lif.


Punat lif yang berbentuk segitiga ditekan. Terbuka sahaja pintu lif, Nilam kelegaan apabila melihat Doktor Nazmi berada di dalam lif tersebut. Nilam lantas menerpa dan memeluk Doktor Nazmi dengan sekuat hatinya. Dia menangis teresak-esak di dada lelaki itu bagi meredakan perasaan takut yang masih berbaki.


Ketenangan yang dirasai Nilam tidak lama, jantungnya berdegup kencang semula apabila bau busuk makhluk yang mengejarnya tadi tiba-tiba menusuk ke rongga hidung.


Nilam mendongakkan kepala untuk memandang wajah Doktor Nazmi, namun bukan Doktor Nazmi yang dilihat tetapi makhluk ngeri, hodoh dan busuk yang dipeluknya. Belum sempat dia meleraikan pelukan, makhluk tersebut telah mencengkam tubuhnya dengan kuku yang panjang melengkung. Darah merah mula terpercik dan membuak-buak keluar dari torehan tubuh badan Nilam yang telah dirobek.


Wajah hodoh makhluk yang sedang merobek tubuh Nilam kelihatan memandang puas ke arah mangsanya dengan lidah yang terjelir panjang. Makhluk itu masih lagi terus menjilat darah yang berbau hanyir membasahi lantai lif. Nilam dapat merasakan kepedihan yang amat sangat menguasai tubuhnya. Dia terkulai lemah di lantai lif yang dibasahi darah. Makhluk itu menjilat rakus darah yang melekat di tubuh gebu Nilam. Mata makhluk itu bersinar merah.


Nilam merasakan Nafasnya semakin pendek dan tersekat-sekat. Suaranya pula seakan-akan tertahan di kerongkong. 


"To....lo...ngggg."ucap Nilam perlahan dengan nafas yang tersangkut-sangkut.


Tubuh Nilam terkulai lemah. Tidak diketahui sama ada masih bernyawa atau tidak.


**************


"Adoiiii, sakitnya badan aku". Nilam mengerang sakit apabila tersedar dari koma pendek yang dialaminya. Dia kini berada di dalam wad kelas satu di hospital yang sama.


Sebaik sahaja sedar, Nilam memerhatikan keadaan tubuhnya. Terdapat banyak torehan dan kesan lebam di sana-sini. Kepalanya juga berdenyut-denyut. Terasa pedih menikam-nikam. Nilam mengigat kembali apa yang telah berlaku.


"Alhamdulilah, aku masih bernyawa rupanya" terlahir ucapan kesyukuran apabila teringat kembali peristiwa yang terjadi kepada dirinya. Nyawanya masih panjang dan bernasib baik tidak diragut oleh makhluk hodoh tempoh hari.


Di dalam keadaan duduk Nilam menekan banyak kali butang kecemasan yang berada hampir di tepi katil. Dia memerlukan bantuan jururawat untuk membantunya ke tandas kerana masih tidak berdaya untuk bergerak laju.


...................................................................................................


Rose, Adriana, Erin, Nico, Farah dan Lisa keluar beramai-ramai untuk makan malam bersama. Mereka memilih Kedai Makan Pak Mahat kerana menu di situ semuanya sedap-sedap. Paling sedap adalah pelbagai jenis sup yang disediakan. Sup segar dari periuk dan masih berasap sering membuka selera  apabila mereka ke situ. Sup yang dimasak Pak Mahat memang hebat dan terbaik.


Sambil menikmati menu yang dipesan, mereka semua berbual mesra mengenai kejadian-kejadian aneh yang sering menganggu mereka di hospital, terutamanya Nilam yang sering menjadi mangsa. Apakah sebenarnya yang menghantui hospital mereka? Masing-masing mengelengkan kepala. Tidak ada siapa yang tahu di antara mereka semua apa yang ada di hospital tersebut.


"Kau orang rasa hospital kita ni ada hantu tak?". Ucap rose sambil tangannya mengambil seketul daging dari mangkuk sup yang dipesannya sebentar tadi. Daging dikunyah dengan lahap sekali. Sesekali dia bersendawa kuat sehingga mengundang jelak semua yang ada di situ.


"pelahap betul kau ni ye, dapat makan tak sedar diri, anak dara tak senonoh, nanti tak ada siapa nak kahwin dengan kau tahu!" marah Farah.


Meremang bulu romanya melihat cara Rose makan. Begitu lahap seperti seumur hidupnya tidak pernah merasa makanan tersebut.Rose cuma menjeling tajam menerima teguran panas dari Farah. Namun, dia tidak berasa hati. Keenakan sup daging yang dinikmatinya melebihi segala-galanya.


"memang ada hantu pun kat hospital ini, dah lama dah aku perasan". Nico pula menyampuk. Sebenarnya, dia sedang memikirkan agenda mahu mengenakan Rose, yang dilabelnya sebagai kuat makan tu.


"Betul ke? Macammana rupa hantu tu? Aku belum pernah kena kacau lagi tau? Mungkin aku ini kuat iman kot!" Adriana berkata dengan nada yang cukup teruja. Mata Nico cuma menjeling tajam ke arahnya.


"Kuat iman konon! Sebab tak kuat imanlah hantu tu tak kacau kau!" Erin pula menjawab. Mentang-mentanglah belum kena, kalau dah kena nanti lari tak cukup tanah. Sepertimana dia berjumpa dengan lembaga perempuan tanpa kepala tempoh hari. Terbayang-bayang wajah lembaga wanita itu sehingga dia terpaksa bercuti sakit selama dua hari akibat demam panas. Erin terpaksa menghubungi ibu saudaranya di kampung untuk mendapatkan air penawar bagi memulihkan semangatnya.


Adriana langsung tidak mengendahkan kata-kata Erin. Lagipun niatnya cuma mahu bergurau sahaja.


"Hantu apa yang kau jumpa Nico, bagitahulah pada kami" Lisa pula bersuara. Lisa adalah jururawat pelatih yang menyewa bersama Rose, Adriana, Farah dan Nico.


Semua mata terbuntang melihat Nico yang masih selamba wajahnya tanpa sebarang reaksi. Mereka masih menunggu jawapan dari Nico mengenai hantu yang dimaksudkannya.


"memang seram makhluk ni, aku tengok pun meremang bulu roma...".Nico menyambung ceritanya semula sambil tersengih nakal. Nasi goreng ikan masin disuap sedikit ke dalam mulut dan dikunyah dengan penuh sopan.


mereka yang lain masih lagi menunggu kata kata yang bakal diluahkan oleh nico. Aktiviti menjamu selera berhenti sejenak. Difikiran mereka semua, terbayang makhluk seram yang pernah ditemui Nico. Adakah menyerupai langsuir? Pocong? Hantu Raya? Hantu gigi? atau Juon? Masing masing meneguk liur. Rasa seram mula menghantui.


"Kau orang mesti nak tahu kan? Hantu yang bagaimana aku maksudkan." Ujar Nico.  Masing-masing menganggukkan kepala.


"Hantu tu,"  tangan Nico laju menunjuk ke arah Rose yang sedang melahap sup dagingnya. Sup dari mangkuk kedua itu dihirup dengan penuh selera.


"Tu lah.. hantunya yang aku pernah jumpa, hantu sup, hantu pelahap, hehhehehe" Nico gelak terkekeh-kekeh sambil menunding jari ke arah Rose.


Tanpa menunggu lama, Rose membaling sudu plastik ke arah Nico yang sedang menyedut teh ais kaw. Mereka semua ketawa geli hati dengan adegan itu. Rose adalah seorang pengemar sup tegar. Sudah 2 mangkuk sup dibantainya. Kadang-kadang siap bawa balik bungkus lagi.

Masing-masing tergelak kecil dan menarik nafas berat. Rupa-rupanya Nico mahu mengenakan Rose.


"Aku rasalah, memang ada makhluk paranormal kat hospital kita ni, kau orang perasan kan, Nilam kan selalu kena ganggu" Kata Adriana serius.


"Kau ada bukti, ada makhluk alam lain yang menghuni bersama hospital kita ni dan makhluk tersebut yang menganggu Nilam?" soal Erin sambil mengunyah nasi goreng cina. 


Geram betul Erin jika nama Nilam diburuk burukkan. Dijaja sana sini dengan cerita yang kononnya, Nilam diganggu makhluk halus. Cerita tersebut tidak sahih. Orang yang bercakap cuma pandai menokok tambah cerita sahaja. Bagaimana pula dengan Farah dan dirinya sendiri yang pernah diganggu? Bukankah sama sahaja? Soalnya cuma Nilam kena lebih teruk dari mereka. Bagi Erin tidak perlulah menjaja cerita yang tidak tentu lagi benarnya. Boleh menimbulkan fitnah. Fitnah itu seumpama memakan daging busuk saudaranya sendiri.


"Bukti?, takkan kau tak perasan Nilam tu sentiasa dikejar sesuatu! Entah-entah saka nenek moyang yang terlepas kot" Adriana serkap jarang, tanpa memikirkan natijahnya boleh menyebabkan Erin terasa.


"Sudah Ad! Tak baik fitnah orang!". Marah Lisa. Manakala Erin tarik muka masam.


"Mungkin makhluk tu, cuma nak bergurau kot!" Rose berkata.


"Mungkin juga, entah-entah lepas ni, giliran kau! kau! kau! aku! pula kena ganggu....eeeee... aku tak sanggup weh," Adriana berkata sambil menunding jari di setiap wajah rakan-rakannya, termasuklah dirinya sendiri.


"Choiii.... Minta simpang malaikat 44lah" Rose dan Nico berkata serentak.


"Erin kau kan sahabat baik Nilam, ada tak kau tanya dia yang makhluk tu nak apa ek?" Rose memandang Erin yang sedang asyik menonton drama bersiri di televisyen plat skrin Pak Mahat. 


Erin sebenarnya malas mahu melayan kesemua rakan-rakannya yang tak habis-habis memperkatakan perihal Nilam yang sering diganggu. Sehingga telinganya sendiri terasa berdesing. Mahu ditegah. Sudahpun ditegah, namun topik gangguan mistik itu tetap juga diperkatakan oleh mereka. Akhirnya Erin mendiamkan diri.


"kau dengar tak?" Rose menepuk agak kuat bahu Erin yang duduk di sebelahnya.


"Aku dengarlah, tapi aku malaslah nak buang masa tanya soalan tak berfaedah kepada Nilam, kalau ditamparnya aku nanti macammana, kau nak tanggung sakitnya, lagipun bukannya ada hantu pun, hantu tak wujud!! " bentak Erin marah sambil memandang kembali televisyen flat skrin yang tergantung.


"Tak wujud apanya kalau dah terjerit pekik pastu sampai luka-luka seluruh badan, kau pun pernah kena ganggu kan! Masih lagi tidak mengakui kewujudan hantu di hospital kita ini, ish kau ni Erin, kau nak hantu tu kerat-kerat badan kau pulak ke?" Rose barkata marah kepada Erin.


"Dah tu kau nak suruh aku buat apa? Tangkap semua hantu yang ada kat dalam hospital dan masukkan ke dalam botol kicap? Macam tu?" Erin bertanya. Mukanya menyinga memandang Rose.


"Kalau kau boleh buat aku tabik hormat kat kau!!! Maksud aku kita cari pendinding diri!" ujar rose kembali. Panas hatinya diperli begitu oleh Erin.


"Sudah!! Jangan bertekak lagi!! Macam budak-budak dah kau korang ni!" kata Lisa, menenangkan keadaan genting yang terjadi di antara Rose dan Erin sebentar tadi.


Masing-masing terdiam apabila Liza memarahi Rose dan Erin daripada terus bertekak. Makanan di pinggan masing-masing telah lama kosong. Namun mereka masih lagi tidak mahu berganjak dari warung Pak Mahat. Mereka masih lagi mahu mengetahui sejarah dan asal usul hospital tersebut.



Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif