Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,588
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 13

Bab 13

Ibu Pejabat Polis di Pejabat Inspektor Hakim.

Inspektor Hakim membelek  fail berwarna coklat yang diserahkan kepadanya pagi tadi. Laporan forensik mayat mangsa pembunuhan dibacanya sepintas lalu. Masih terlalu awal untuk dia merumuskan keadaan mangsa pembunuhan.  Inspektor Hakim masih menunggu satu lagi laporan dari Jabatan Kimia mengenai barang bukti yang ditinggalkan di tempat kejadian. Setelah kedua-dua laporan itu digabungkannya, barulah Inspektor Hakim akan membuat rumusan berkaitan kes itu. Terasa berat betul bebanan tugas yang dipikulnya.

"Itulah, nak sangat jadi polis, sekarang mengeluh tak habis-habis, ishhh... Hakim! Hakim!" Inspektor Hakim mengomel sendiri.

Inspektor Hakim mengoyang-goyangkan kerusi empuk yang didudukinya. Dia memikirkan bagaimana si pembunuh sanggup membunuh mangsa dengan begitu kejam. Melihat gambar sahaja sudah membuatkan Inspektor Hakim berasa mual. Malam semalam terbayang-bayang mayat Tok Bomoh Arong terdampar di lantai rumahnya berlumuran darah. Semangatnya terbang serta-merta. Akhirnya dia terpaksa merendah diri bermalam di rumah detektif Suhaimi. Pegawai bawahannya. Nasib baiklah Suhaimi duduk bujang. Tetapi,  merona merahlah juga mukanya apabila Suhaimi gelak sakan dah macam tak ingat dunia. Silap dia juga, harapkan badan sahaja sasa tapi kalau soal-soal mistik, soal hantu memang dia takut. Biarlah dia terpaksa menangkap penjenayah paling kejam sekalipun, dia sanggup asalkan jangan berdepan dengan hantu. Itu memang dia lemah. 

Inspektor Hakim tersedar dari ingatannya terhadap malam semalam apabila Interkomnya berbunyi. Butang interkom ditekan. Terdengar suara Julia di talian yang mengumumkan pada petang itu mesyuarat tergempar akan diadakan. Namun, apabila dikerling jam, masih banyak masanya yang berbaki sebelum mesyuarat bermula.

Fail jenayah mengenai kes pembunuhan Tok Bomoh Arong dibelek kembali. Segala keterangan dari suspek kes pembunuhan tersebut dibaca berulang-kali. Ada sesuatu dari keterangan salah seorang suspek yang begitu menarik perhatiannya

"Serigala jadian.?... ishhh, kau ingat aku bodoh ke nak percaya semua tu!" 

Dia teringat akan keterangan dari suspek kes pembunuhan itu, masing-masing memberikan keterangan yang sama pada mulanya, namun setelah itu keterangan yang diberikan mula berlainan dan ada yang tak masuk dek akal. Makhluk mistik seperti serigala jadian pula yang dikaitkan dengan pembunuhan  Tok Bomoh Arong. Inspektor Hakim mengeluh berat. Bagaimana dia harus mempercayai perkara mistik sebegitu?

"Mistahil! Mustahil serigala jadian boleh wujud, takkan mangsa mati akibat dilapah serigala jadian,...... hairan..." Inspektor Hakim berkata-kata sendiri sambil mengaru-garu dagu yang tidak gatal.

"Serigala jadian?"

Inspektor Hakim lantas membuka laptop Acer di atas meja dan memulakan carian berkaitan serigala jadian. Dia mahu mencari bukti sama ada  makhluk yang bernama serigala jadian itu wujud atau tidak? Matanya ralit menatap setiap maklumat yang didapati dari internet. Namun usahanya tidak mendatangkan sebarang hasil. Tidak banyak maklumat mengenai makhluk yang bernama serigala jadian dikupas di laman web,  kecuali cerita-cerita dongeng yang tidak mempunyai asas.

"Huh!! Adakah aku telah diperbodohkan oleh suspek, ishh.. aku kena soal mereka semula ni, tak puas hati betullah!" omel Inspektor Hakim sambil meraup rambutnya ke belakang. 

"Apa sebenarnya yang berlaku?" Inspektor Hakim masih menconggak  pelbagai kemungkinan yang mungkin terjadi pada malam mangsa dibunuh.

"Tuk! Tuk! Tuk!"

Kedengaran pintu diketuk bertalu-talu dari luar.

"Masuk".

"Tuan Hakim, ini laporan analisis dari Jabatan Kimia mengenai bahan bukti kes pembunuhan Tok Bomoh siam tu" Detektif Suhaimi menyerahkan beberapa helai kertas yang telah distapler kepada Inspektor Hakim.

"Terima kasih" Inspektor Hakim menganggukkan kepalanya kepada pegawai tersebut. Namun, Detektif Suhaimi masih lagi tidak berganjak dari menghadap wajah Inspektor Hakim sehingga menimbulkan rasa hairan di benak Inspektor Hakim.

"Awak nak apa?"

"Malam ini, tuan nak tidur di rumah saya ke? Boleh saya standby tempat tidur tuan awal-awal! Tak payahlah tuan tidur atas sofa kepam saya tu..." tersengeh-sengeh Detektif Suhaimi melafazkan kata, sambil mengangkat-gangkat kening.

"Awak perli saya ke?!"

"Eh...takla...saya ikhlas".

"Hari ini saya tidur di rumah saya je..... awak boleh keluar!" Inspektor Hakim berkata garang. Padahal dalam hatinya malu bukan kepalang. Menyesal pula dia mengikut kata hatinya semalam.

Detektif Suhaimi keluar dari bilik Inspektor Hakim dengan melakar senyuman sumbing. Rasa geli hatinya mengenai malam semalam masih lagi bersisa. Tidak disangkanya polis segagah Inspektor Hakim takutkan perkara mistik. 

Sebaik sahaja Detektif Suhaimi beredar dari biliknya Inspektor Hakim merenung Laporan Analisis bahan bukti yang diperolehi di tempat kejadian. Dibacanya dengan teliti dan membandingkannya dengan laporan bedah siasat mayat yang diperolehi. Memang sah, mangsa dibunuh dengan menggunakan senjata tajam.

Mangsa dibunuh dengan skalpel iaitu pisau bedah yang dijumpai di sebelah mayat Tok Bomoh Arong. Luka di badan Tok Bomoh Arong sepadan dengan mata skalpel yang dijumpai. Tetapi masalah lain pula yang dihadapi apabila tiada cap jari dijumpai pada skalpel tersebut. Ini membuatkan fikiran Inspektor Hakim bertambah buntu. Perasaan tertanya-tanya menerjah-nerjah benaknya. Dia mahukan jawapan. Siapakah sebenarnya yang menjadi pembunuh kejam tersebut?

Untuk meredakan keserabutan yang dialaminya sebatang rokok dari poket dikeluarkan. Lantas, Inspektor Hakim keluar dari pejabatnya. Dia mahu merokok di luar. Dua batang rokok sempat dihisapnya apabila telefon bimbitnya berdering. Doktor Ilham dari unit forensik hospital menelefonnya.

Tidak banyak yang dibualkan oleh Doktor Ilham kepadanya, cuma sekadar bertanya sama ada dia sudah terima mahupun belum laporan forensik pembunuhan Tok Bomoh Arong. Tiba-tiba Inspektor Hakim bertanyakan sesuatu yang di luar jangkaannya sendiri.

"Aku nak tanya kau sikit ni!" Inspektor Hakim menyedut rokoknya dulu dalam-dalam sebelum menyambung semula perbualannya.

"Apa dia?" suara Doktor Ilham di hujung talian menjawab. 

"Kau yakin ke, skalpel tersebut yang membunuh bomoh siam tu? Bukannya cakaran serigala yang membunuhnya?" soal Inspektor Hakim tegas.

"Hahahahahahaha" berdekah-dekah Doktor Ilham ketawa sehingga bingit telinga Inspektor Hakim mendengarnya.

"Aku bukannya suruh kau ketawa macam orang gila!!" marah Inspektor Hakim.

"Okey, aku minta maaf. Weh aku dah lama tau dalam bidang forensik ni. Dah jadi pakar pun sekarang. Belum ada lagi laporan aku yang tidak tepat. Memang Tok Bomoh Siam tu dibunuh dengan skalpel tersebut. Takdenya teori dicakar serigala pula! Mana kau dapat teori gila ni?? ".

"Entahlah ilham".

"Bagaimana pula dengan laporan dari jabatan kimia yang kau terima?"

"Positif memang darah Tok Bomoh siam tu!!" Inspektor Hakim perkata perlahan namun agak tegas nadanya.

"Aku rasa kau sebagai pegawai polis lebih tahu bagaimana mahu menyiasat kes sebegini Hakim. Hahahaha, okeylah, aku pun ada hal ni. Nanti aku telefon kau lagi kalau ada perkembangan lain. Assalamuailaikum".

"Muailaikumsalam" Inspektor Hakim memutuskan talian. 

Baru sahaja kes pembunuhan Tok Bomoh Arong dikendalikannya. Dia telah menemui jalan buntu. Semuanya gara-gara kekurangan bukti dan kenyataan suspek yang begitu mengelirukan. Namun Inspektor Hakim yakin, kes tersebut pasti akan selesai juga. 

************

Kot labuh berwarna hitam dan topi fedora disimpan ke dalam almari kayu lusuh. Dia cuma memakai singlet pagoda dan berseluar slack hitam. Tubuhnya dibawa ke birai katil, lantas dia membongkokkan tubuhnya mencari sesuatu di bawah katil tersebut. Sebuah kotak kayu lama yang warnanya mulai kusam diangkat dan diletakkan di atas katil.

Penutup kotak kayu tersebut dibuka. Terdapat pelbagai barang lama yang tidak mempunyai nilai, namun  mempunyai nilai sentimental yang amat tinggi kepada pemiliknya. Sebuah album lama dikeluarkan. Sekeping gambar diambil dari celahan helaian album tersebut.

"Sayang! Huh...".

Hanya itu yang bisa dilafazkannya. Tiada kata-kata lain yang mampu keluar dari mulutnya. Peristiwa lampau betul-betul mengamit jiwanya sehingga hatinya dirundung sebak yang bukan kepalang. Jika waktu boleh diputar kembali seperti memutar globe, telah lama di akan membetulkan keadaan yang tidak betul seperti sekarang.

Gambar wanita di dalam gambar lama itu dikucupnya berulang-kali. Dia redha, walaupun sisa cintanya masih terpahat di hati kecilnya, namun takdir yang telah tersurat tidak pernah sekalipun dikesalinya. Cuma, dia amat menyesali perbuatannya kerana tidak berterus-terang sewaktu perkahwinan itu berlangsung. Dia tahu segalanya. Anggapannya segalanya akan berubah apabila mahligai cinta telah terbina, tetapi sebaliknya pula yang berlaku.

"Maafkan aku, kerana tidak menarikmu ke arah yang betul apabila kau telah tersasar jauh, maafkan aku sayang".

Gambar lusuh itu disimpannya semula. Tubuhnya dibawa ke katil empuk, lantas matanya terlelap bersama kenangan lama yang tidak dapat dilupakan. Kenangan yang seringkali membuatkan jiwanya begitu sendat. Sebak.

Dia akan menangis teresak-esak. Sesal kerana khilafnya yang lampau.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif