Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,577
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 11

Bab 11

Hafizah, masih tekun melayan kerenah pesakitnya. Dia menyuapkan biskut cream cracker yang telah dicicah teh o panas ke dalam mulut Puan Mazni yang berkerusi roda. Puan Mazni terpaksa diikat tangan dan kakinya di atas kerusi roda kerana sebentar tadi dia menunjukkan perlakuan ganas.

Puan Mazni mahu mencederakan dirinya sendiri, apabila dia menghempas-hempaskan kepalanya sendiri di cermin tingkap. Nasib baik, semasa mahu menghantar makanan di bilik Puan Mazni, Hafizah terlihat perlakuan pesakitnya itu, lantas ubat penenang disuntik dengan dos yang rendah.

Hafizah meminta bantuan Pak Badrul bagi mengikat Puan Mazni di kerusi roda kerana mahu memberinya minum petang, sebelum diberi ubat.

"Puan Mazni! Puan Mazni! Tolonglah bercakap!, kenapa puan boleh jadi macam ni?" 

Tiada sahutan dari Puan Mazni. Sejak mengenali Puan Mazni dan berkhidmat untuk wanita itu, Puan Mazni cuma mampu menjerit, menangis dan ketawa sahaja. Belum pernah sekalipun Puan Mazni bersembang mahupun bercakap sepatah dengannya. Hebat sungguh penderitaan yang ditanggung oleh Puan Mazni sehingga dia menjadi seperti yang dialaminya sekarang. Pendek kata, gila. Puan Mazni seperti orang gila.

Hafizah sebenarnya merupakan seorang doktor dan juga merangkap jururawat kepada Puan Mazni.Dia telah berkhidmat lebih setahun menjaga kebajikan Puan Mazni. Tiada satupun perkembangan kesihatan Puan Mazni yang memberangsangkan. Selain dari bersikap terlebih pasif, mahupun super aktif sehingga membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Dia, Puan Mazni mahupun penghuni rumah yang lain,  telah lama menduduki rumah banglo dua tingkat bersaiz sederhana itu, sejak mereka dipanggil berkhidmat untuk menjaga Puan Mazni. Cuma Pak Badrul sahaja yang menjadi penghuni awal di banglo tersebut. Rumah banglo yang terletak di lereng bukit itu, begitu jauh dari kawasan pekan dan agak terpencil. Untuk keluar ke pekan yang berdekatan sahaja mengambil masa kira-kira 3 jam 30 minit. Terasa betul-betul membosankan kerana Hafizah tidak boleh kemana-mana selain dari berkurung di banglo itu 24 jam.  

Menurut cerita Pak Badrul, sengaja pemilik banglo itu menjadikan rumah banglo tersebut sebagai tempat untuk Puan Mazni mendapatkan rawatan khas dari doktor peribadi yang telah diupah khas termasuklah dirinya sendiri. Puan Mazni wanita berumur hujung 40 an, telah disahkan oleh pihak hospital mempunyai penyakit Skizofrenia iaitu sejenis penyakit mental.

Selain dari Pak Badrul sebagai tukang kebun dan pemandu di banglo itu, Mak Senah juga merupakan salah seorang dari penghuni rumah banglo tersebut. Mak senah, wanita pertengahan 50an ditugaskan sebagai pembantu rumah yang akan menjaga segala urusan rumah tangga seperti memasak, mengemas rumah dan sebagainya. 

"Kringgg.... kringg..... kringgg".

Telefon klasik di ruang tamu rumah berbunyi nyaring. Lekas-lekas Hafizah, wanita berumur lewat 30 an itu keluar dari bilik Puan Mazni untuk ke ruang tamu rumah.

Sebaik sahaja sampai di hadapan sebuah meja kecil Hafizah menggangkat gangang telefon. 

"Assalamualaikum" Hafizah memberi salam. Suara itu dicamnya.

"Ya,puan".sahut Hafizah apabila wanita di talian memulakan bicara.

"Bagaimana keadaan Mazni?" terdengar pertanyaan dari wanita itu yang agak kasar.

"Puan Mazni macam tu lah puan... seperti sebelum ni, masih tiada perubahan" Jawab Hafizah, jujur. Dia memang tidak pandai menipu. Lagipun menipu adalah perkara yang ditegah ALLAH. 

Hafizah dapat mendengar keluhan panjang di talian. 

"Apa kata, jika sy cadangkan Puan Mazni mendapatkan rawatan di hospital pakar, mungkin rawatan yang diberikan oleh pihak hospital lebih bagus,dan......" belum sempat Hafizah menghabiskan percakapannya, suara di talian memintas dengan nada marah.

"Saya tak setuju Doktor Hafizah!, saya tak benarkan,! saya dah upah awak  untuk pulihkan anak saya, jadi itu sudah menjadi tanggungjawab awak untuk pulihkan anak saya seperti sediakala! Saya mahu Mazni menjadi manusia normal semula, awak kan doktor yang hebat, awak pasti tahu kaedah rawatan yang terbaik untuk anak saya!!"

"awak faham!!!".terdengar gangang di hempas kuat .Serta-merta talian terputus. Hafizah cuma mampu mengeluh kerana terpaksa melayan kerenah pemilik suara itu. 

Hafizah buntu, tanpa pertolongan alatan moden dan tanpa pertolongan dari doktor-doktor berpengalaman yang lain, Puan Mazni cuma mempunyai harapan tipis untuk sembuh.   

"Orang tua ..... cepat sangat terasa...," bisik Hafizah. Perangai majikannya itu, bagi Hafizah terlalu mementingkan diri. Sudah banyak kali Hafizah dimarahi. jika tersalah cakap pasti dia akan ditengking dan dimaki. Hafizah begitu terasa setiap kali pendapatnya disanggah bulat-bulat oleh majikannya. Sebagai doktor pakar psikiatri Hafizah mahukan yang terbaik buat pesakitnya.

"Dengar pendapat orang taknak langsung,..dasar orang kaya.... memang macam tu kot,...teruk!" gumam Hafizah, sambil menendang sofa yang berada di sebelahnya bagi melempiaskan rasa marah.

Jika tidak dikenangkan bayaran yang lumayan dan dua kali ganda dari gaji di hospital, memang Hafizah tidak sanggup mengalas tugas berat ini. Adakalanya tidur malam pun tidak lena kerana dek bebanan tugas menjaga Puan Mazni bukan boleh diambil ringan. Setiap masa, wanita itu perlu diawasi. Jika tersilap langkah, satu rumah boleh mendapat susah. Menyesal pula rasanya dia menerima kerja di rumah banglo tersebut. 

Hafizah membuat mimik muka sugul apabila mengenangkan tanggungjawab berat yang digalasnya. Dia kini bukan sahaja bertugas sebagai doktor namun tugasnya juga sebagai pengasuh. Mengasuh Puan Mazni setiap masa.

"Ah, sampai bilakah aku mesti terikat dengan pemilik rumah ini" keluh Hafizah.

Dia berlalu ke bilik bacaan untuk meneliti laporan terkini kesihatan pesakitnya. Laporan itu akan dihantar kepada pemilik banglo itu. Pemilik banglo dan suara wanita di talian yang bercakap dengan hafizah sebentar tadi adalah orang yang sama. Puan Mazni adalah anak kepada pemilik banglo ini iaitu majikannya.

Sehingga kini, Hafizah belum pernah melihat wajah wanita yang menjadi majikannya itu. Mereka cuma berhubung melalui telefon atau melalui orang suruhan wanita itu sahaja. Nampak benar, majikannya itu tidak mahu menemui anaknya sendiri, tetapi kerana apa? Adakah Puan Mazni ada berbuat salah? Soalan tersebut cuma mampu dipendam sahaja oleh Hafizah. Malas rasanya mengambil tahu hal tepi kain orang lain. 

"Selesa sungguh bersendirian di sini" 

Hafizah bercakap sendiri sebaik sahaja punggungnya dilabuhkan di atas kerusi empuk di bilik bacaan banglo tersebut. Penghawa dingin yang dipasang kuat benar-benar mententeramkan hatinya yang sebentar tadi bagai nak meletup melayan kerenah majikannya yang bengkeng tak tentu pasal.

Tangan Hafizah mencapai sehelai kertas yang mengandungi laporan kesihatan Puan Mazni yang telah siap dikemaskininya semalam. Laporan tersebut segera dikirimkan melalui email, termasuklah senarai jenis ubat-ubatan yang diperlukan.

Sebaik sahaja pihak sana menerima faks dari Hafizah, Pemilik banglo ini akan menghantar keperluan ubat-ubatan yang diperlukan oleh Puan Mazni melalui orang suruhannya. Segala keperluan lain yang diperlukan oleh Puan Mazni  juga akan dihantar bersama.  

Selain itu, setiap minggu akan datang sebuah van yang akan menghantar segala keperluan bahan mentah basah dan kering. Pendek kata, mereka yang tinggal di banglo ini, segala keperluan adalah mencukupi. Walaupun pemilik banglo ini agak tegas mengenai penjagaan kesihatan Puan Mazni, namun segala keperluan dan permintaan mereka yang menghuni banglo ini pasti ditunaikan. Mereka tidak perlu mengeluarkan satu sen pun. Cuma khidmat mereka sahaja yang diperlukan bagi menjaga Puan Mazni siang dan malam.

"Tuk! Tuk! Tuk!" bunyi ketukan pintu yang bertalu-talu mengejutkan Hafizah.

"Masuk" mata hitam Hafizah terarah tepat di muka pintu. Hatinya berkata-kata "Siapakah gerangannya yang mengetuk pintu?"

Terjojol tubuh Mak Senah di muka pintu dengan membawa bekas makanan di tangan.

"Mari duduk Mak Senah" Hafizah tersenyum.

"Sibuk ke Hafizah, maaf jika Mak Senah menganggu kerja Hafizah".

"Eh, tak ganggu pun, Hafizah baru je lepas hantar laporan kesihatan Puan Mazni kepada Puan Sabilah sekejap tadi....".

Hafizah berbasa-basi, sambil itu matanya melirik ke arah bekas makanan yang diletakkan oleh Mak Senah di hadapannya. Dia terintai-intai makanan di dalam bekas tembus lihat itu.

"Ada seseorang tadi, hantarkan makanan ini untuk Hafizah, Mak Senah rasa masih panas lagi, jadi tu yang Mak Senah bawa ke atas ni".

"Seseorang? Siapa tu Mak Senah?".

"Mak Senah tak kenal pula siapa, tapi katanya kawan Hafizah, seorang perempuan, lawa orangnya" terang Mak Senah sambil tersengeh-sengeh bagaikan kerang busuk.

"Kawan?Bagaimana rupanya" 

Hafizah tidak puas hati dengan penerangan yang diberikan oleh Mak Senah. Setahunya dia tidak mempunyai kawan di sini. Jika betul sekalipun yang datang tadi kawannya. Kenapa dia tidak berjumpa sahaja dengan Hafizah? Situasi sebegitu membuatkan Hafizah keliru.

"Seorang wanita anggun berkebaya kuning dan bersanggul emas, manis sekali" jelingan tajam Mak Senah terarah di wajah Hafizah. Bibirnya mengukir senyuman sumbing penuh makna.

Sekali lagi Hafizah berasa hairan. Penerangan Mak Senah tidak masuk akal. Dia langsung tidak mempunyai kawan sebagaimana yang digambarkan oleh Mak Senah. 

"Takpelah Mak Senah, mungkin saya tak ingat kot! Jomlah kita makan sama-sama apa yang ada kat dalam bekas ini, nampak macam sedap sahaja".

Hafizah mengambil bekas makanan tersebut sambil diperhatikan oleh Mak Senah. Sebaik sahaja bekas makanan itu dibuka kelihatan mee hailam basah yang wangi baunya. Selera makan Hafizah terbuka tiba-tiba. Tidak sabar rasanya dia mahu menikmati pemberian dari 'kawannya' itu.

"Mari makan Mak Senah" pelawa Hafizah.

"Hafizah je lah yang makan, Mak Senah dah kenyang, Mak Senah minta diri dulu".

Mak Senah beredar dari bilik tersebut meninggalkan Hafizah yang sedang asyik menikmati mee hailam . Hampir separuh mee hailam dijamah Hafizah.

"Tuk! Tuk! Tuk!" bunyi ketukan di pintu kedengaran lagi.

"Siapa pula kali ni" desis hati Hafizah. 

"Masuk" 

Kelibat Pak Badrul dimuka pintu disambut oleh sengehan Hafizah yang  mulutnya masih  penuh dengan juntaian mee.

"Astagfirullahalazim,  apa yang kau makan tu Hafizah!" sergah Pak Badrul. 

Pak Badrul melihat jelas segumpal cacing yang sedang meliuk-liuk di mulut Hafizah, namun Hafizah begitu berselera mengunyah cacing tersebut sehingga berceret-ceret bunyinya di dalam mulut. 

Pak Badrul seperti mahu muntah melihat perlakuan Hafizah. Dari muka pintu Pak Badrul membaca beberapa potong ayat Al-Quran lalu dihembuskannya ke hadapan.

Hafizah seperti baru tersedar dari mimpi apabila di tangannya penuh dengan cacing yang berlendir dan besar-besar, begitu juga di dalam mulutnya. Keadaan itu membuatkan Hafizah hampir pitam.

"Aaaaaa...Arghhh.... ya ALLAH, apa ni cacing!, uwek...uwek.." segala cacing yang dianggap mee tadi dimuntahkan semula di dalam bekas makanan tersebut. Hafizah terasa begitu jijik sekali.

Hafizah menjerit bagaikan dirasuk lantas dia berlari ke arah pintu. Pak Badrul yang berada di muka pintu tidak diendahkannya. 

Hafizah berlari ke arah bilik air yang berada bersebelahan dengan bilik bacaan itu, manakala Pak Badrul beristifar berulang kali. Tidak disangkanya sama sekali wanita berkebaya kuning dan bersanggul emas bangkit kembali. 

Apakah yang menyebabkan kehadiran wanita itu hadir kembali di dalam banglo tersebut? Siapakah yang menyerunya? Pak Badrul mengesyaki sesuatu, namun masih terlalu awal  untuk membuat telahan. 

Setelah yakin Hafizah cuma 'diusik' gitu-gitu sahaja. Pak Badrul meninggalkan bilik tersebut. 

**********************************************************

Puan Sabilah mengeleng-gelengkan kepala dan menarik nafas dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Laporan kesihatan  Mazni diteliti sekali lagi.

Laporan tersebut kemudian diserahkan kepada Doktor Kamil yang berada di hadapannya. Laporan bertukar tangan. Doktor kamil membelek-belek laporan tersebut dengan penuh kusyuk dan mindanya berfikir dengan dahi yang berkerut-kerut.

Doktor Kamil merupakan doktor peribadi keluarga Puan Sabilah sejak dulu. Umur Doktor Kamil telah menginjak ke pertengahan 50 an.  Namun masih berkhidmat sebagai doktor dengan membuka klinik sendiri. Doktor Kamil bukan hanya doktor biasa yang sekadar merawat pesakit tetapi merupakan doktor pakar sakit jiwa yang berpengalaman . Doktor Kamil juga pakar dalam bidang kaunseling. Doktor Kamillah yang telah merawat Mazni sejak Mazni mendapat penyakit kemurungan yang berpanjangan.

Tujuan Puan Sabilah memanggil Doktor Kamil ke rumah agamnya semata-mata mahu menanyakan pendapat doktor itu perihal penyakit anaknya.

Teh o di atas meja ruang tamu dihirup perlahan oleh Doktor Kamil. Laporan kesihatan Puan Mazni diletakkan semula di atas meja . Wajah tua Puan Sabilah dipandang lama. 

"Saya nasihatkan, bawalah Mazni ke hospital, keadaan Mazni ni semakin teruk" ujar Doktor Kamil yang memandang tepat ke dalam anak mata Puan Sabilah.

"Tak boleh Mil, saya lebih selesa anak saya mendapatkan rawatan dengan cara saya sendiri, saya boleh upah doktor pakar yang lebih hebat untuk pulihkan anak saya, saya mahukan anak saya sihat seperti dahulu...Mil" tegas Puan Sabilah melafazkan kata.

Doktor Kamil yang lebih muda darinya cuma dipanggil Mil. Manakala Puan Sabilah pula dipanggil kakak oleh Doktor Kamil. Ini kerana mereka berdua telah lama mengenali di antara satu sama lain, sejak dari suami Puan Sabilah masih hidup lagi. 

"Kak Sabilah, rawatan di hospital lebih bagus dan kelengkapannya lengkap, terdapat ramai doktor yang boleh memantau perkembangan Mazni". pesakit tidak semata mata bergantung pada ubat dan kaunseling sahaja, di hospital terdapat pelbagai lagi rawatan dan alatan canggih yang dapat membantu memulihkan Mazni... dengan izin ALLAH, Mazni akan pulih" panjang lebar doktor kamil memujuk Puan Sabilah.

Terkesan juga pujukan Doktor Kamil itu, namun Puan Sabilah masih belum bersedia untuk membawa Mazni mendapatkan rawatan di hospital. Biarlah dia dikurung di banglo itu. Doktor Hafizah dan Mak senah boleh memantau keadaan anaknya.

"Doktor boleh saya tanya sikit?"soal Puan Sabilah sambil menuangkan teh o yang telah suam ke dalam cawan mereka berdua. 

"Silakan Kak Sabilah".

"Teruk sangat ke,keadaan anak saya?".

Doktor Kamil memandang lama wajah Puan Sabilah sebelum persoalan itu dijawabnya.

"Minggu lepas saya pergi memantau Mazni, keadaan  Mazni lebih teruk dari sebelum ini, Kak Sabilah mesti tahukan Skizofrenia merupakan salah satu penyakit mental yang sangat serius dan memberi kesan  berpanjangan kepada si pesakit,  Mazni telah mula menunjukkan perlakuan ganas seperti mahu mencederakan diri sendiri dan orang-orang di sekelilingnya".

"Bagaimana pula dengan ubat yang dimakannya Mil, takkan tak memberikan tindakbalas yang positif" Puan Sabilah meminta penjelasan.

""Si pesakit tidak hanya bergantung kepada ubat semata-mata Kak Sabilah, adakalanya ubat yang diberikan tidak mendatangkan kesan, penghidap perlu dibantu dengan rawatan-rawatan lain," terang Doktor kamil.

Sebenarnya Doktor Kamil agak terkilan dengan sikap Puan Sabilah yang sanggup mengurung anaknya demi kepentingan diri sendiri. Apa salahnya jika  Mazni diberi peluang menjalani rawatan di hospital sebenar. Kan lebih bagus kerana  Mazni boleh dipantau sentiasa dan boleh menjalani hipotesis dari lain-lain doktor sehingga sembuh. Jika beginilah sikap Puan Sabilah, sampai kiamat pun  Mazni akan berkeadaan begitu.

"Untuk kes Mazni ini, buat sementara waktu saya akan tambahkan dos ubat-ubatan dan jenis ubat untuk diberi kepada pesakit, tetapi saya minta maaf, mungkin tak banyak membantu" Doktor Kamil menulis sesuatu di atas kertas kecil yang dibawanya. Doktor Kamil  lantas menghulurkan kertas tersebut kepada Puan Sabilah yang dari tadi berdiam diri.

"Kak Sabilah boleh dapatkan ubat-ubatan untuk  Mazni di klinik  saya ".

Doktor Kamil mengeluh.

"Dengarlah nasihat saya Kak Sabilah,  Mazni perlu dimasukkan ke hospital Sakit Jiwa dan mendapatkan rawatan di sana. Dia tidak boleh dikurung nanti tekanan jiwanya akan menjadi lebih parah ".nasihat Doktor Kamil terdengar lembut di pendengaran Puan Sabilah.

"Ataupun Kak Sabilah masih takut dengan kejadian yang pernah terjadi dihospital dahulu? Sehinggakan Kak Sabilah tak sanggup lagi menghantar Mazni untuk mendapatkan rawatan di hospital?" Doktor Kamil serkap jarang. Dia dapat merasakan ada kerisauan lain di wajah tua Puan Sabilah.

"Entahlah Mil, betul juga telahan kau tu, saya sebenarnya cuba melindungi Mazni dari kejadian lama berulang kembali, macammana jika perjanjian itu dituntut kembali oleh yang menagih janji?" memang jelas kerisauan di wajah Puan Sabilah.

"Perkara tu dah lama berlalu, dah tiada lagi perjanjian mengarut tu, dah la tu Kak Sabilah, cubalah dapatkan rawatan yang terbaik buat Mazni" .

"Inshaallah Mil".

Doktor Kamil mencapai beg briefcase di atas meja dan meminta keizinan Puan Sabilah untuk pulang ke klinik semula.

Puan Sabilah menghantar Doktor Kamil sehingga ke muka pintu. Nasihat Doktor Kamil cuba dihadamnya. Dia memang mahukan yang terbaik buat Mazni.

Toyota Alphard milik Doktor Kamil menyusur keluar dari halaman rumah Puan Sabilah. Puan Sabilah cuma memerhati dari depan pintu sehingga kelibat kenderaan itu hilang di sebalik selekoh.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif