Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kenapa mesti dia??!!!
Kenapa mesti dia??!!!
Diyana Ramlan
19/1/2015 14:48:36
155,528
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

Suasana di rumah banglo mewah milik Puan Wati dan Encik Imran kelihatan sungguh meriah sekali dengan kedatangan tetamu kenalan mereka. Ditambah lagi dengan lampu-lampu berwarna warni di dinding-dinding besar bangle itu membuatkan Natasha sedikit gugup. Natasha yang hanya mengenakan pakaian dress berwarna merah jambu berlabuci di pergelangan tangan dan bertudung shawl tunduk membetulkan pakaiannya. Terasa segan pula ingin masuk ke sana. Manakan tidak, dia yang mulanya menyangka majlis menyambut kepulangan Luqman hanya sekadar kecil-kecilan sahaja dan turut disertai oleh kenalan rapat mereka sahaja, namun, sangkaannya meleset sekali. Terasa mahu lari sahaja. Kakinya masih lagi utuh berdiri di hadapan bangle mewah itu. Seperti digam sahaja kerana sangat terpukau dengan hiasan depan rumah tersebut. Tetapi oleh kerana janjinya pada Luqman dan kedua-dua orang tua Luqman dia terpaksa melangkah berani masuk rumah itu.

“Bismillah” ucapnya lalu melangkahkan kaki kanannya dahulu memasuki perkarangan bangle mewah itu.

Sebaik sahaja dia memasuki perkarangan rumah, dia terus sahaja bersalaman dengan kedua orang tua Luqman yang berada tidak jauh dari pintu rumah mereka.

“Assalamualaikum Mama Wati, Papa Imran.” Ucap Natasha lalu bersalaman dengan mereka.

“Waalaikumsalam. Ya Allah. Sha! Rindunya mama dengan kamu!” Datin Wati terus sahaja memeluk Natasha dengan erat sekali. Manakala Datuk Imran hanya tersenyum melihat gelagat isteri dan anak angkat yang sudah lama dia tidak berjumpa.

Natasha juga membalas pelukan mereka itu. Erat sekali. Rindu. Hanya itu yang mampu diungkapkan oleh Natasha ketika ini. Sungguh dia rindu dengan Mama Watinya itu. Semenjak dia di terima masuk ke sekolah berasrama penuh, dia tidak pernah lagi berjumpa dengan Datin Wati dan Datuk Imran. Mereka hanya berhubung melalui telefon sahaja. Pada tahun kedua di sekolah tersebut, dia mendapat berita bahawa Mama Wati dan Papa Imrannya terpaksa berhijrah ke luar Negara atas urusan kerja akan tetapi mereka tetap berhubung seperti dia dan Luqman. Namun itu tidak dapat menghilangkan kerinduan yang telah lama di pendam mereka.

“Sha pun rindukan mama!” ucap Natasha. Setitis air mata mengalir keluar membasahi pipinya yang sudah dioles dengan solekan ringkas. Pelukan mereka bertambah erat lagi. Rindu!

“Amboi. Dengan Papa tak nak rindu ke?” Gurau Papa Imran dengan Natasha. Anak angkat kesayangannya.

Pelukan Natasha dan Datin Wati dileraikan. Natasha hanya tergelak.

“Mesti la Sha rindu! Sha rindu kedua-duanya! Sangat!” ucap Natasha penuh keikhlasan.

Ketiga-tiga mereka ketawa dengan jawapan yang diberi Natasha. Lepas juga rindu mereka dengan pertemuan ini. Pertemuan di dalam majlis menyambut kepulangan Luqman pulang dari belajar ilmu perubatan di London selama lima tahun di sana.

“Cantiknya kamu Sha. Mama hampir tak kenal tau kamu tadi. Nasib baik mata bundar kamu tu Mama Ingat sangat!” puji Datin Wati dengan kecantikan semula jadi yang dimiliki oleh Natasha.

Natasha tersipu malu dengan pujian Datin Wati. Datuk Imran pula sudah meminta diri beredar untuk menyapa tetamu mereka yang lain yang baru sahaja hadirkan diri.

“Mana ada la Mama. Biasa je. Mama wati laaaagi cantik! Maklumlah, dah bergelar Datin sekarang ni.” Natasha menyakat Datin Wati pula. Sebuah cubitan di lengan Natasha dilepaskan oleh Datin Wati. Natasha hanya mampu ketawa. Tidak ubah seperti dahulu kala, bilamana dia menyakat Datin Wati, pasti tangan ketam miliknya akan hinggap ke badan Natasha.

“Mama. Puan Sri Habibah cari mama dekat sana.” Tegur Luqman tiba-tiba sahaja di celah perbualan mereka. Natasha tersentak. Terasa jantungnya berdegub kencang sekali. Tidak sangka dapat berjumpa dengan Luqman dalam keadaan dia tidak bersedia begini.

“Ya Allah. Mama lupa. Sha, makanlah dulu ya? Mama nak ke sana sebentar.” Pesan Datin Wati kepada Natasha.

“Sha?” dahi Luqman kerut seribu. Dia kemudian memandang wajah Natasha. Tidak berkelip dia memandang wajah Natasha.

“Iya. Ini Natasha. Orang yang kamu tak sabar-sabar nak jumpa. Ini la dia, Luqman.” Kata Datin Wati lalu beredar dari situ berjumpa dengan rakannya.

Natasha hanya tertunduk malu.

“Liyana Natasha? Natasha adik abang ke ni?” tanya Luqman inginkan kepastian. Natasha hanya mengangguk.

“Natasha sihat?” tanya Luqman agak teruja dengan pertemuan mereka itu. Natasha Mengangguk sekali lagi.

“Dah jumpa papa?”

Natasha mengangguk lagi.

“Dah kahwin?”

Natasha mengangguk tapi setelah sedar dengan kesilapannya dia bersuara menidakkan soalan yang ditanya Luqman tadi. Luqman ketawa dengan reaksi Natasha itu tadi.

“Eh! Belum. Hehe..” Natasha ketawa. Malu dengan jawapan yang diberinya tadi.

“Apalah Sha ni. Kenapa Nampak macam takut je? Abang bukannya makan orang pun.” Kata Luqman masih dengan sisa tawanya.

“Sha segan la abang Luqman.” Jelas Natasha.

Luqman tergelak kecil dengan jawapan yang diberi Natasha. Dia terpandang pula pada bag kertas yang dipegang Natasha dari tadi lagi.

“Eh? Itu untuk abang ke?” tanya Abang Luqman sambil menunding jari kearah bag kertas yang di pegang Natasha.

“mana?” tanya Natasha kembali lalu mengangkat bag kertas yang dipegangnya.

“Ini ke?” sambung Natasha lagi. Luqman hanya tersengih mengangguk pertanyaan yang diajunya awal tadi.

Natasha hanya menjelirkan lidahnya. Sengaja mahu menyakat Abang kesayangannya itu.

“Eh… mana ada ini untuk abang Luqman. Perasan je.”

Dapat Natasha lihat wajah Luqman sedikit redup namun cuba disembunyikan dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya itu. Natasha tergelak kecil. Terhibur kerana dapat mengenakan Luqman.

“Kenapa gelak?” tanya Luqman. Protes kerana merasakan dirinya pula dipermainkan.

“Ini. Sha ada buatkan Abang Luqman. Kuih Bakar.” Kata Natasha lalu menghulurkan beg kertas tersebut kepada Luqman.serta merta wajah Luqman yang tadinya kelihatan redup itu bertukar menjadi ceria. Disambutnya huluran tersebut dengan penuh teruja sekali.

“Wah! Alhamdulillah! Terima kasih Sha! Sayang adik abang ni” luah Luqman tanpa segan silu. Natasha pula sudah merona merah menahan malu.

“Eh? Marilah makan.Mesti Sha suka. Mama ada pesan buffet kegemaran abang tau!” ajak Luqman penuh teruja. Natasha ketawa kecil.

“Apa kena mengena kegemaran abang dengan Sha?” tanya Natasha sedikit lucu dengan ajakan Luqman itu.

“Yela. Bukan Sha pun suka ke semua makanan kegemaran abang? Kan? Takkan dah lupa?” sengih Luqman. Natasha hanya tersenyum.

‘Sha suka sebab abang Luqman suka.’ Tapi sayang, kata-katanya itu hanya bermain di fikirannya sahaja. Tidak mampu rasanya ingin diluahkan kepada Luqman. Takut perasaannya itu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

“Sha? Termenung kenapa? Berangan la tu.” Tegur Luqman. Dilambai-lambainya tangan di depan muka Natasha.

Natasha tersentak. “Eh! Jom la temankan Sha makan. Lapar!” ujar Natasha menahan malu kerana berangan di hadapan Luqman. Luqman hanya ketawa kecil melihat telatah Natasha. Dalam ketawanya. Diikutnya juga permintaan adik angkat kesayangannya itu. 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Diyana Ramlan