Home Novel Cinta CINTA DI PERDU HATI
CINTA DI PERDU HATI
Raiza Khairina
21/4/2013 00:09:31
30,155
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Bab 9


IQRAM, maafkan aku. Aku tidak mampu menjaga adikmu. Dia kini sudah ada teman istimewa. Mereka bagaikan pasangan yang serasi. Kacak lelaki itu. Aku hanya mampu mendoakan kebahagiaan untuknya.’ Bisik hati Wafhi sayu.

‘Kalaulah kau ada saat ini!’ Ada rasa bimbang, kecewa, marah, sakit hati hadir bertali arus di dalam hati. Lama dia memandang pasangan itu berbual mesra di dalam restoran makanan segera.

Selepas keluar bertemu dengan Haji Fuad, Wafhi tidak terus pulang ke rumah atau pergi ke restoran Warong Warisan Tradisi seperti selalu yang dia lakukan. Dia memandu motosikalnya menuju Taman Tasik Titiwangsa. Sengaja dia mengambil angin di situ sambil menikmati panorama alam yang mendamaikan jiwa. Entah mengapa ada sendu yang berlagu di jiwa saat ini. Saat terpandang Suhaila bertemu dengan lelaki lain tadi, dia sudah dapat merasakan api cemburu menjalar di hatinya.

Cemburukah dia? Sedangkan dia tidak tahu menahu hujung pangkal hubungan Suhaila dengan lelaki itu. Salahnya juga kerana selama ini tidak pernah mahu ambil tahu siapa teman-teman rapat gadis itu.

Jiwanya bergetar. Pilu berada di mana-mana. Hatinya tiba-tiba berasa sedih. Cintakah dia pada adik arwah sahabat baiknya sendiri? Dia tidak tahu. Apa yang pasti tergerak hatinya untuk melihat gadis itu sebelum bertemu dengan Haji Fuad tadi.

Setahu dia, sikap ambil beratnya selama ini adalah kerana dia menyayangi Suhaila. Seperti mana dia menyayangi dirinya, seperti itulah dia menyayangi Suhaila. Apatah lagi sewaktu arwah Iqram masih ada, dia merasakan dirinya seorang sahabat yang bertuah kerana mempunyai sahabat yang berhati mulia. Ada sahaja pemberian arwah temannya itu. Bak kata pepatah, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Pendek kata, dia ingin membalas budi baik temannya itu dengan mengambil berat kebajikan keluarganya pula.

Digaru kepala yang tidak gatal kerana memikirkan yang bukan-bukan. Dalam bersedih itu, mahu ketawa pun ada kerana begitu risau dengan perkembangan baharu yang dilihat dengan mata kepalanya itu. Lagaknya seperti seorang kekasih yang patah hati kerana wanita idaman bersama lelaki lain. Sedangkan dia sekadar seorang sahabat yang sudah dianggap seperti abang kandung sendiri. Tidak lebih daripada itu.

Serta-merta wajah sahabat baiknya Iqram terlayar di ruang fikiran. Rasa sayu tiba-tiba menerjah benaknya.

KENAPA kau pandang adik aku macam tu? Nak kena ni.” Iqram yang sedang berendam di dalam air mulai datang menghampiri Wafhi. Wafhi pula yang terleka memandang Suhaila riang bermain air di kawasan cetek itu memandang ke arah Iqram.

“Adik kau tu comel sangat. Tak jemu mata memandang,” jawabnya sambil mengukir senyuman.

Weh… setakat pandang aku tak kisah. Kalau lebih-lebih aku tak kasi.” Iqram bergurau.

“Apa maksud kau? Kau ingat aku naktackle adik kau ke?” Wafhi seperti selalu akan menafikannya.

Melihat wajah Wafhi yang berubah merah-kemerahan itu, Iqram akan meledakkan tawanya.

“Ketawa pulak. Itulah… kau ingat aku nak main-main dengan kau. Aku dah anggap adik kau tu macam adik aku jugak. Aku mana ada adik lagi.”

“Kalau betul apalah salahnya. Kau dahtackle aku , ibu aku jadi takde hal naktackle hati adik aku pulak.” Bangga betul Iqram punya adik secantik Suhaila.

“Adik kau tu budak lagilah. Habis… Zaitun tu aku nak campak mana. Mampus aku dikerjakannya nanti kalau dapat tau aku ada hati dekat adik kau.” Tidak semena-mena Wafhi menampakkan wajah risaunya. Lalu sekali lagi Iqram meledakkan tawanya.

“Alah, kau tu pun bukan setua mana. Kalau tak, takkanlah si Zaitun si mulut murai tu tergila-gilakan kau, kan!” Pantas kek hiro di tangan Wafhi mengena wajah Iqram. Semakin galaklah Iqram Smentertawakan sahabatnya. Akhirnya mereka turut sama-sama ketawa. Meriah sungguh gelak tawa mereka saat itu.

Sewaktu berkelah di tepi sungai Batu 12 itu usia Suhaila baru 11 tahun. Wafhi pula sudah berumur 16 tahun. Manakala Iqram pada ketika itu 17 tahun. Memori silam itu masih segar di ruang ingatannya. Keakraban mereka jelas terserlah. Namun, tiada maknanya lagi kenangan itu kerana Iqram sudah lama pergi ke alam baqa.

Setelah puas melepaskan sendu yang berlagu di hati dan merawat desakan naluri kelelakiannya, Wafhi bangun menuju ke tempat parkir motosikalnya. Sebelum kedinginan menggigit tubuhnya sehingga ke tulang sum-sum, dia mempercepatkan langkah agar cepat sampai ke rumah.



Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.