Home Novel Cinta CINTA DI PERDU HATI
CINTA DI PERDU HATI
Raiza Khairina
21/4/2013 00:09:31
30,143
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Bab 8


SEBAIK sahaja melangkah ke ruang tamu, Suhaila merebahkan tubuhnya di atas sofa empuk. Berat dirasakan kepalanya saat itu. Dia ingin memejamkan matanya buat seketika. Penatnya badan Allah sahaja yang tahu.

. Hari itu ada dua peristiwa yang mengganggu-gugat ketenangannya. Apa lagi kalau bukan kerana Fikri. Tidak cukup dengan itu kehadiran Shamsul pula yang berada di sekitar pejabatnya. Bukan dia tidak suka pertemuan itu terjadi. Cuma, dia tidak selesa dengan cara Shamsul yang suka mendesaknya. Malahan, tidak dinafikan sedikit sebanyak rindu pada jejaka itu terubat juga. Selama ini telefon danfacebook yang menjadi penghubung kasih mereka berdua.

Namun, kehadiran Shamsul langsung tidak meninggalkan kudis di hatinya. Hanya kemunculan Fikri yang merunsingkan fikiran. Kesal dan kecewa hadir silih berganti. Kalaulah dia tidak bekerja di Sempurna Deco sudah tentu pertemuan itu tidak akan berlaku. Kalaulah dia tahu Fikri menjawat jawatan penting di syarikat itu, awal-awal lagi dia menolak.

‘Ah! Sudah terlambat.’ Jerit hati kecilnya.

Selama dua bulan bekerja di Sempurna Deco itulah kali pertama dia melihat kelibat Fikri. Tidak pernah terfikir di ruang fikiran dia akan bekerja di bawah satu bumbung dengan lelaki itu. Sudahnya, dia mengutuk diri sendiri kerana cuai dalam membuat keputusan.

‘Ya Tuhan, apa yang harus aku lakukan? Patutkah aku berhenti kerja sahaja? Logikkah aku menghantar notis 24 jam? Fikri! Fikri! Aku bingung. Apa sebenarnya yang Pak Cik Fuad rancangkan ini?’ Hati kecilnya berbicara.

‘Subhanallah. Ya Allah! Begini kecil dugaan yang Kau timpakan padaku. Aku sudah merungut-rungut. Seolah-olah terlalu berat untukku pikul. Sedangkan aku tahu tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.’ Keluhnya lagi dalam hati.

Belum pun sempat mendapat jawapan di atas semua persoalan yang mengganggu ketenangan, Suhaila dikejutkan dengan permintaan Shamsul pula yang tika itu ada di sekitar pejabatnya. Mereka bertemu di restoran makanan segera tidak jauh dari premis perniagaan Sempurna Deco.


AWAK tak rindu pada saya ke?” tanya Shamsul sambil matanya tidak lepas memandang Suhaila.

Seingatnya, lebih enam bulan mereka tidak bertemu. Sebaik selesai majlis konvokesyen tempohari, masing-masing dengan rutin hidup sendiri. Hanya ‘SMS’ menjadi penghubung percintaan mereka.

“Rindu? Apa saya boleh buat. Sibukkan diri dengan kerja ajelah. Bila sibuk, tak adalah nak fikirkan sangat tentang rasa rindu tu,” balas Suhaila.

“Sampai hati awak. Awak cakap mudah saja. Awak tak sayang saya ke?” soal Shamsul tidak puas hati.

“Apalah awak ni? Tanya saya soalan yang bukan-bukan.” Suhaila menggumam resah.

“Saya sayang awak. Takkanlah itu pun awak tak mampu nak ucap pada saya?” Desak Shamsul lagi.

“Sayang saya tak pernah berubah. Saya sayang awak tidak lebih daripada sayang seorang kawan. Puas hati?”

“Setakat kawan saja? Tidakkah awak tahu saya sayangkan awak lebih daripada saya sayangkan diri saya. Jom kita kahwin.” Shamsul berterus terang. Jika diikutkan hati, saat itu juga dia ingin mengikat Suhaila dengan ikatan perkahwinan. Hatinya sudah lama terpaut pada gadis itu.

“Awak ni kenapa? Tak sudah-sudah nak mendesak saya. Belum terlintas di hati saya nak mengikat hubungan kita ini ke arah itu.” Entah mengapa naik angin pulak dia, saat mendengar kata-kata Shamsul itu.

“Saya tak boleh nak tunggu lagi. Saya sayang awak sangat-sangat. Saya tak boleh hidup tanpa awak.”

Naik rimas pula Suhaila dibuatnya. Pengakuan berani mati Shamsul itu buat dia tidak senang duduk.

Kita masih baru menjalin hubungan. Tidak sampai setahun saya rapat dengan awak. Tak mungkin hanya dalam masa sesingkat ini awak terus nak ikat saya,” ujar Suhaila tenang.

Shamsul meraup wajahnya dengan kedua belah tangan. Dia datang dari jauh semata-mata inginkan jawapan pasti dari Suhaila. Mereka saling mengenali sejak di universiti lagi. Masakan tempoh tiga tahun tidak cukup buat gadis itu untuk mengenali dirinya?

Dia sedar, Suhaila jarang menunjukkan perasaannya. Namun, sebagai seorang lelaki yang menganggap dirinya sebagai kekasih dia mahu sesekali dihargai, disayangi dan diberi perhatian yang sewajarnya. Sesekali terfikir juga di benaknya sejauh mana Suhaila menyayangi dirinya. Apakah sekadar mengisi ruang hatinya yang kesepian atau sekadar suka-suka? Intan Oh Intan…

“Eh! Kenapa awak diam? Awak marahkan saya ke?” tanya Suhaila dengan dahi berkerut seribu.

“Tak ada apa. Saja terkenang kenangan kita masa dekat kampus. Indah sangat,” ujar Shamsul. Dia sebenarnya ingin menarik perhatian Suhaila. Hatinya memberontak ingin tahu sejauh mana gadis itu mencintai dirinya. Atau apakah dia sudah ada yang lain? Bisik hati kecilnya.

Suhaila terdiam. Wajah lelaki berkumis nipis yang duduk bertentangan dengannya itu dipandang. Masih tidak banyak berubah. Tetap segak dan kacak. Irasnya tidak ubah seperti Irwan Syah. Pelakon Indonesia yang terkenal itu. Namun, apa yang meragukan dirinya ialah apabila berjauhan wajah itu yang dirindu. Tetapi, apabila berpeluang bertemu dirasakan antara mereka tiada keserasian. Ada sahaja perbezaan pendapat. Jelas di matanya Shamsul sering mengawal intonasi suara dan cara percakapannya.

“Apa-apa pun saya harap awak bersabar. Andai ada jodoh di antara kita, adalah. Awak janganlah risau, ya?” ujar Suhaila sambil tersenyum.

“Okey, saya pegang kata-kata awak. Semoga kita dapat hidup bersama nanti. Kata orang tua-tua, kata-kata yang kita ucapkan itu doa. Jadi, saya harap doa saya dikabulkan,” jawab Shamsul yakin.

“Insyaallah, Shamsul.” Pendek jawapan Suhaila. Namun, amat menyenangkan bagi Shamsul.

Mata mereka bertatapan. Rasa sayang kepada Shamsul tidak pernah berubah. Cuma Suhaila tidak pasti hala tuju hubungan mereka. Shamsul sering mendesaknya. Dia rimas apabila isu itu sering dibangkitkan.

Tidak pernah terfikir selama ini, secepat itu Shamsul mahu mengikat dirinya. Bermimpikah aku? Sayangkah aku kepadanya? Tapi, kalau aku sayang dia kenapa aku merasakan ada yang tidak kena dengan perhubungan ini?

Ucapan kata-kata Shamsul kembali terngiang-ngiang di cuping telinganya. Seriuskah lelaki itu dengan kata-katanya? Dia tidak pasti sejauh mana Shamsul menyayangi dirinya?

Keluhan dilepaskan.

Dalam pada itu dia tidak sedar Suria memerhati dirinya. Suria bersimpati dengan anak gadisnya itu. Firasatnya mengatakan anak gadisnya itu sedang berhadapan dengan masalah berat. Melihat kerutan di dahi anak itu, dia pasti dia tidak salah menilai. Kepalanya digeleng-geleng beberapa kali.

“Sue, sayang… bangun nak. Dah nak masuk waktu Isyak.” Suria menyapa.

Suhaila membuka matanya yang tertutup rapat. Wajah ibu di sisi kelihatan berbalam-balam.

“Dah nak masuk waktu Isyak rupanya. Sue penat sangat, ibu. Sampai tertidur di sini,” jawab Suhaila.

“Ibu faham sayang. Kadang-kadang ibu kesiankan Sue sebab terpaksa bersusah payah macam ni. Tolong ibu di restoran tu, taklah macam ni. Kalau boleh ibu nak Sue berhenti kerja aje,” kata Suria.

Suhaila mengerutkan dahinya. Belum pun sempat dia memberitahu apa-apa, Suria sudah bijak meneka. Dia melarikkan senyuman manis buat ibunya.

“Ibu macam tahu aje. Apa yang ibu tahu sebenarnya ye?” usik Suhaila.

“Alah! Sue tak cerita pun, ibu dah boleh agak. Tengok muka Sue tu. Cemberut semacam aje.”

Suhaila ketawa. Selama ini ibunya itu tidak pernah silap meneka. Naluri seorang ibu bisa mengerti bila anak gadisnya itu bermuram durja. Walaupun dia cuba berlagak ceria demi tidak mahu ibunya runsing. Meskipun dibuat-buat, segalanya nampak canggung di mata ibu.

“Ish! Budak ni. Kejap senyum, kejap ketawa. Apa kena ni?” ucap Suria. Hairan. Lalu tangannya mendarat di dahi Suhaila yang licin itu.

“Sue okeylah, ibu. Mata Sue ni aje yang letih. Apa-apa pun nanti lepas Sue mandi dan solat kita cerita panjang-panjang. Ada banyak cerita Sue nak kongsi dengan ibu. Mudah-mudahan ibu dapat menerimanya seadanya.”

“Eloklah sangatlah tu. Badan kamu pun berbau. Eeii... tak sudi ibu nak duduk rapat-rapat dengan kamu.” Suria pura-pura menepis.

“Busuk sangat ke Sue ni? Ibu saja je tau.” Suhaila memeluk ibunya erat sambil bibirnya yang masih bergincu mendarat ke pipi Suria.

Suria mengomel geram. Bukan tidak selesa dengan keletah anaknya itu. Dia tidak mahu anak gadisnya itu manja berlebih-lebihan. Sedari kecil dia cuba menitipkan sikap yang matang di dalam diri Suhaila supaya anak gadisnya itu mampu berdikari sendiri.

Semakin sukalah Suhaila merengek manja dengan ibunya. dengan kesempatan yang ada dia merebahkan kepalanya di atas ribaan ibunya. Suria hanya mampu menggeleng sahaja. Itulah sahaja pengarang jantung hatinya. Seluruh hidupnya hanya bertumpu kepada anak gadisnya nan satu. Dia sanggup lakukan apa sahaja demi kebahagiaan anak gadisnya itu.





Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.