Home Novel Cinta CINTA DI PERDU HATI
CINTA DI PERDU HATI
Raiza Khairina
21/4/2013 00:09:31
30,146
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Bab 3


INTAN SUHAILA.” Nama penuh anaknya dipanggil. Rasanya sudah lebih setengah jam menunggu. Namun, anaknya itu tidak juga menjelma wajahnya.

“Ya, Kejap ibu, Sue dah siap ni.” Terkocoh-kocoh Suhaila turun ke bawah. Tadi tidak mahu bersiap awal-awal. Bila sudah terkejar-kejar macam ini baharu nak menyesal. Katanya sendirian sambil mengetap gigi.

Puan Suria menggeleng sahaja melihat telatah anaknya yang sedang memilih kasut dalam almari itu. Segera pintu rumah dikunci sebaik sahaja Suhaila melangkah keluar. Anak itu mengambil tempat duduk di bahagian pemandu. Kebiasaannya begitu sekiranya keluar berdua dengannya.

Kereta MyVi yang dipandu Suhaila meluncur perlahan di jalan raya. Kelihatan jalan agak lengang. Secara tidak langsung memberi keselesaan kepada Suhaila.

Kita nak ke mana ni, ibu?” soal Suhaila kehairanan. Wajah ibu di sisi dipandang sekali lalu.

Puan Suria menggeleng sahaja melihat telatah anak gadisnya itu.

Kita ke Mid Valley, sayang.”

Ohh… nak pergi ke syurga beli belah tu? Ibu bergaya anggun macam ni cuma nak pergi shopping je? Biar betul, ibu?”

‘Wah! Anak dara aku ini, sekali lafaz dia menyoal. Berderet-deret soalannya.’ Hati kecil Puan Suria berbisik. Dikerling sekilas anaknya itu.

Sekejap lagi Sue tahulah tujuan ibu ke sini. Apalah salahnya bersabar sikit. Tak elok tau, anak dara gelojoh macam ni. Sesekali nak juga buat surprise dengan anak sendiri. Salah ke?” Suhaila hanya mampu tersengih. Sesekali ibunya membuat kejutan memang mendebarkan perasaan. Tidak mampu menebak dengan akal yang waras. Tidak habis fikir dibuatnya.

Sengaja Puan Suria merahsiakan tujuannya ke situ. Pernah sekali dia menolak permintaan rakan baiknya itu kerana Suhaila sendiri tidak bersedia menemaninya. Terpaksalah dia mereka-reka alasan yang sepatutnya agar rakan baiknya itu tidak memandang serong kepadanya.

Judul lagu pesanan terakhir berkumandang di radio. Suhaila tidak tahu kenapa dia sukakan lagu dendangan arwah Sudirman itu. Serta-merta dia teringat pesanan dari Wafhi.

“Ibu, nasib baik Sue ingat. Tadi, sebelum Sue mandi Wafhi ada tinggalkan pesan. Dia minta Sue beritahu ibu. Kita ada tempahan baru dari Infra Saujana. Mereka merancang adakan jamuan ringkas untuk peserta kursus,” jelas Suhaila sambil sesekali memandang ibunya.

“Iye ke? Alhamdulillah, kakitangan Syarikat Infra Saujana tu sudah banyak kali datang menjamu selera di restoran kita. Itu tandanya mereka jatuh hati pada masakan yang kita sediakan,” kata Puan Suria gembira.

“Sue tumpang bahagia. Bangga sangat dengan ibu,” ucap Suhaila sambil mencapai tangan ibunya dan digenggam tangan itu penuh kasih.

“Sejak ada Sue ni, Wafhi dah jarang communicatedengan ibu. Satu perkembangan yang baik.” Puan Suria sengaja mengubah topik perbualan.

“Ibu ni…ke situ pulak. Sama ajelah, Wafhi inform ibu atau Sue. Lagipun pagi tadi ibu agak sibuk di dapur. Saja, Wafhi tak mahu ganggu ibu,” jawapan selamat meniti di bibir Suhaila. Segera dia melepaskan genggaman tangan ibunya itu. Lalu meletakkan tangannya di stereng kereta.

“Lebih daripada itu ibu senang hati bila Wafhi sering mengambil berat akan diri anak ibu ini. Ibu rasa dia sudah mulai suka pada Sue,” komen Puan Suria pula.

“Ke situ pula ibu ni. Wafhi tu boleh tahan segaknya. Mustahil masih tak ada buah hati kesayangan. Lagipun dia dah macam abang Sue sendiri,” ujar Intan Suhaila.

“Ibu tak fikir Wafhi sudah ada buah hati. Lainlah kalau Sue ada sembunyikan sesuatu dari ibu. Siapa pun dia ibu tidak kisah. Asalkan dia pandai menghargai kita sebagai seorang wanita, beriman dan bertanggungjawab sudah cukup baik dah.” Bersemangat sekali Puan Suria menyatakan hujahnya.

Tidak senang duduk dibuatnya Suhaila. Jauh disudut hatinya dia ingin melihat ibunya itu kembali berteman. Sudahnya, tempias itu terkena padanya pula.

“Kami masih di peringkat saling mengenali hati budi, ibu. Dia seorang arkitek. Tapi, mengorbankan cita-cita demi emaknya. Dia baik, pandai ambil hati dan kacak pula. Tak sepadan dengan Sue yang biasa-biasa ni. Bagai langit dengan bumi, ibu. Sue tak berani nak mengulas panjang. Terserahlah pada kuasa Illahi. Ada jodoh, adalah.” Akhirnya Suhaila jujur mengakui, hatinya kini sedang diintai cinta seseorang.

“Baguslah. Ibu hanya mampu mendoakan yang terbaik buat anak ibu ini. perempuan yang baik untuk lelaki yang baik-baik juga. Lagipun teringin sangat ibu nak menimang cucu. Ramai perempuan sebaya Sue dah ada anak dua, tiga orang dah,” ujar Puan Suria sambil menggenggam tangan anaknya. Bagai patah hati bunyi nada suaranya.

“Insyaallah, ibu. Mudah-mudahan dengan izin Allah.”

Andai diikutkan hati, Suhaila sendiri tidak mahu menghampakan harapan ibunya. Namun, siapalah dia untuk mengatur sesuatu yang dia sendiri tidak pasti. Tidak pernah sekali terlintas dibenaknya itu untuk mengikat sebuah hubungan yang lebih serius. Dia hanya mampu berserah. Andai sudah sampai masanya, dia redha sahaja.

Akhinya mereka sampai di destinasi yang ingin dituju. Selesai memarkir kereta, mereka bergerak beriringan menuju ke satu arah yang menjadi tanda tanya di hati Suhaila. Dia hanya menyaingi langkah ibunya. Cuping telinga mencuri dengar saat ibu bercakap sesuatu dengan seseorang di hujung talian telefon bimbit.

Ketika tiba di restoran yang dimaksudkan, membutang mata Suhaila. Dia benar-benar terkejut. Namun, segera disembunyikan getar didadanya kala itu. Andai diberi peluang sembunyi, dia ingin bersembunyi.

Ibu! Biar betul ibu nak ditemuramah hari ini?” Soalnya tidak puas hati.

Langsung tidak terlintas dibenaknya hari itu ibu tersayang akan ditemuramah oleh wartawan. Cerita ibunya itu akan tersiar dalam majalah popular yang menjadi pilihan ramai wanita masa kini.

Lucu betul. Saat melihat wartawan dan jurugambar bersiap sedia hendak menemuramah ibunya, timbul rasa malu dijiwa. Beberapa kali Suhaila beristighfar bagi melawan gugup yang sedikit sebanyak hadir membunuh ketenangan.

‘Ish! Tak sangka aku. Tak pernah-pernah masuk majalah, hari ini jadi sejarah pula.’ Hati kecil Suhaila berbicara sendiri.

Betullah. Janganlah nak malukan ibu, sayang. Ini bukan kali pertama ibu ditemuramah. Ingat lagi tak, cerita ibu pernah tersiar dalam akhbar ‘Perdana’ tak lama dulu?” ujar Puan Suria sambil mengiakan pertanyaan anaknya.

Kenapalah ibu tak cakap awal-awal? Bolehlah Sue bersolek cantik sikit,” kata Suhaila sambil memerhati dirinya sendiri. Blouse longgar dan seluar slac hitam yang dipakainya itu sangat ringkas sekali.

Okeylah tu. Dah cantik dah pakaian Sue. Silap haribulan kawan ibu bawa sepersalinan baju, takkan Sue nak menolak pula?”

Mahu atau tidak, Suhaila akur sahaja akan permintaan ibunya. Dia diperkenalkan dengan Puan Salina selaku editor majalah Usahaniaga Wanita dan jurugambar majalah tersebut. Mereka berbalas senyum sebelum mengambil tempat masing-masing. Dia terpegun melihat keakraban ibunya dengan wakil media itu. Mereka bagai sudah lama saling kenal mengenali.

“Ibu kenalkan kawan lama ibu masa dekat kolej dulu. Puan Salina ini antara kawan rapat ibu yang mengambil jurusan komunikasi massa.” Puan Suria bermanis kata.

“Salam perkenalan, Puan Salina,” ujar Suhaila.

Panggil auntieSalina aje. Tak payah nak berpuan-puan,” kata Puan Salina sambil tersenyum.

Iyelah auntie. Gembira dapat mengenali auntie hari ini.

‘Lagi kejutan buatku. Dalam diam rupa-rupanya ibu berkawan baik dengan wartawan popular. Bertuahnya aku menumpang glamour ibuku. Ha..ha…ha.’ Bisik hati kecil Intan Suhaila lagi.

Nice to meet you too, darling,” balas Puan Salina pula.

Suria, Suria! Ibu dengan anak macam dua beradik saja. Sama cantik. Tak ubah macam kembar,” ujar Puan Salina.

Jangan nak melalutlah Salina. Aku ni dah tua kerepot dah. Anak aku ni pun bukan muda lagi. Dah 25 tahun pun usia dia,” balas Puan Suria pula.

Tak kisahlah Suria. Umur pada angka saja. Faktor umur tidak jadi masalah untuk hidup gembira dan berjaya mencapai cita-cita,” sambut Puan Salina sambil mengekeh ketawa. Puan Suria juga turut ketawa.

“Dah ada calon belum?” tambah Puan Salina sambil tertawa. Entah di mana lucunya, Suhaila pun tidak tahu.

“Pasal calon tu, dalam proses,” sambung Puan Suria menjawab bagi anaknya. Suhaila hanya menunduk malu.

“Syukurlah kalau sudah ada calon. Aku ni dah lama mengidam nak makan nasi minyak orang kahwin.” Puan Salina berseloroh pula.

“Ada-ada aje kau ni, Salina,” kata Puan Suria. Mereka ketawa bersama. Suhaila pula tersengih malu.

“Kerana izin ‘Dia’lah, aku berada di tahap ini. Anakku seorang ini jugalah yang menjadi kekuatan aku.”

Sayu hati Suhaila apabila ibunya berkata begitu. Bagaikan tidak punya perasaan. menidakkan segala kepahitan dan penderitaan hidup sendiri tanpa bantuan bapanya selama ini. Mutiara jernih yang bergenangan disapu perlahan dengan tisu yang memang sentiasa ada dalam beg tangannya.

“Dengan kegigihan dan kesabaran itu yang sebenarnya menjadi kekuatan. Tanpa ketabahan yang kau ada, aku tak yakin ketika ini kau berada pada tahap ini,” kata Puan Salina berkongsi rasa dijiwa.

Puan Salina dan Puan Suria bersoal jawab. Suhaila hanya memerhati. Tidak mahu dicop berkurang ajar kerana menyampuk perbualan orang dewasa. Kecuali dengan sengaja meminta pendapatnya pula.

Bercakap pasal kejayaan ni, kau ‘highlight’kan tentang jatuh bangun syarikat sebelum berdiri teguh seperti sekarang. Persoalan yang menyentuh tentang kisah peribadi yang pernah aku beritahu kau dulu, usahlah siarkan, tau. Anggap aje itu cerita lama, okey?” Puan Suria menambah lembut dan bermakna.

Okey, aku fahamlah. Macamlah kau tak kenal aku ni macam mana,” jawab Puan Salina sambil mengangkat kedua jari terlunjuk dan jari hantunya.

Suhaila dan Puan Suria tertawa. Ketika itu jurugambar sedang sibuk merakam aksi mereka berdua. Sempat Suhaila mencuit pinggang ibunya. Dia segan sebenarnya. Belum pernah wajahnya diabadikan di dada akhbar.

“Ibu, sukanya jurufoto tu tangkap gambar kita?” tegur Suhaila.

Emm...maaf Salina. Kalau boleh sebelum tersiar dalam majalah, bagi aku tengok dulu gambar-gambar yang jurufoto tu ambil lepas edit nanti ye,” celah Puan Suria bagai memahami isyarat yang diberikan Suhaila.

Okey, insyaallah,” ujar Puan Salina sambil berbalas senyum dengan Puan Suria.

Tak sangka aku. Ibu aku ini seorang yang perahsia juga. Tidak hairanlah selama ini, perniagaannya dikenali ramai. Betullah apa dikata teman-teman zaman persekolahan dulu, untuk harga sebuah kejayaan kenalah bersahabat baik dengan wakil media. Media memainkan peranan penting untuk melariskan perniagaan.’ Hati kecil Suhaila berbisik ceria.

Buat seketika Suhaila hanyut melayan lamunannya. Dia mengarang sendiri di atas kanvas bisu, jatuh bangun ibunya itu di dalam perniagaan. Dia tertawa dalam hati. Lucu dengan dirinya sendiri.

Seandainya dia seorang pengarang mungkin juga posisinya ketika ini sama seperti Puan Salina itu.

Inilah harga sebuah pengorbanan. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan bagi menzahirkan rasa bahagia melihat kejayaan ibu di dalam lapangan perniagaan. Betapa dia dapat melihat kesungguhan ibu menjadi wanita yang berjaya. Itulah tanda kasih sayang yang membekas dalam hati. Tanda kasih sayang itu turut mendewasakannya.

Bukan mudah membangunkan perniagaan yang berasaskan makanan ini. Tambahan pula banyak persaingan daripada restoran lain. Namun, berkat sokongan dan dorongan kawan-kawan rapat dan saudara mara yang memahami Puan Suria bangun berdiri dengan bersungguh hati.

Saat dan ketika ini, mereka berdua mampu tersenyum lebar kerana dengan tenaga kerja seramai 14 orang dan dibantu rakan kongsinya sendiri, Mak Teh Latifah serta anak lelakinya Aliff Wafhi, kelangsungan kerjanya menjadi mudah. Mak Teh Latifahlah yang sering meniup kata-kata semangat dan menumpangkan bahunya saat mereka larut dalam kesedihan. Malahan bersatu berkongsi minat yang sama menerajui perniagaan berasaskan makanan.

Akhirnya, perbualan singkat itu ternoktah juga tika jarum jam menginjak ke angka 12 tengah hari. Pertemuan kedua sahabat itu tidak terhenti di situ. Mereka mengambil keputusan untuk makan tengahari bersama. Dengan kesempatan yang ada Puan Suria mengajak sahabat baiknya itu dan krew majalah yang ada menjamu selera di restorannya sahaja.



Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.