Home Novel Cinta CINTA DI PERDU HATI
CINTA DI PERDU HATI
Raiza Khairina
21/4/2013 00:09:31
30,159
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Bab 2


SELESAI mengerjakan solat subuh, Intan Suhaila kembali berbaring. Dia ingin melelapkan matanya buat seketika. Penat sangat matanya kerana malam tadi dia ketiduran saat leka membaca majalah yang baharu dibeli. Sedar-sedar sahaja azan subuh sedang berkumandang.

Baharu sahaja hendak melelapkan matanya, kedengaran ketukan di pintu bilik.

“Masuklah ibu. Pintu tak berkunci.” Dengan mata yang terpejam, Intan Suhaila mempelawa.

“Sayang, dah solat?” tanya Puan Suria di muka pintu. Direnung raut wajah anak yang disayangi itu. Raut wajah itu kelihatan tidak bermaya. Mungkin juga kelelahan kerana semalaman tidak cukup tidur, desis hati kecil Puan Suria.

“Dah ibu.” Intan Suhaila menjawab pendek dengan mata masih terpejam.

Puan Suria melabuhkan punggung di sisi anaknya itu. Rambut ikal anak gadis itu dibelai sayang. Cantik anak gadisku ini. Tak sangka sudah besar panjang pun dia, hatinya bermonolog lagi.

“Bangunlah mandi, sayang. Bagi segar mata tu.”

“Masih pagi, ibu. Mengantuk ni.”

“Semalam tidur pukul berapa? Tidur lambat tidak bagus untuk kesihatan,” tegur Puan Suria lembut bernada tegas.

“Entahlah, tak sedar pukul berapa. Sue leka baca majalah. Pukul satu pagi kot.” Intan Suhaila meneka.

“Hmmm...baca majalah sampai lewat pagi? Apalah yang menarik sangat tu?

“Hmmm...” Intan Suhaila tidak menjawab. Hanya senyuman yang terukir di bibirnya.

“Jangan lambat sangat bangun. Ibu nak ajak Sue temankan ibu ke satu tempat,” ujar Puan Suria sebelum berlalu. Dengar atau tidak anaknya itu, Puan Suria tidak peduli lagi. Apa yang penting dia perlu pantas menyegerakan kerja-kerjanya.

Hampir jam lapan Puan Suria sudah siap membasuh. Selesai membasuh dia menjemur pakaian di balkoni tingkat atas. Kemudian dia bersolek dan bergaya anggun. Berkali-kali dia menggayakan pakaian yang dipakai di hadapan cermin. Sehelai jubah warna unggu muda elok tersarong ditubuhnya, Setelah berpuas hati, dia menapak keluar dari kamar beradu untuk turun ke tingkat bawah. Namun, terhenti di hadapan pintu kamar anak gadis yang tidak ditutup itu sambil memanggil nama anaknya.

Panggilannya tidak disahut. Dengkuran halus kedengaran hampir di telinganya.

“Intan Suhaila! Pukul lapan masih melingkar atas katil. Jam berapa pula nak jumpa kawan ibu ni? Appointment pukul 9.30 pagi,” sergah Puan Suria geram.

Intan Suhaila menggeliat manja. Digeleng kepalanya melihat gelagat anak gadisnya itu.

“Iyelah...iyelah. Sue bangunlah ni.” Intan Suhaila bangun duduk di atas katilnya dengan mata terpejam.

Puan Suria menyelak langsir yang menutupi tingkap kamar anaknya itu. Serta-merta suasana kamar yang suram itu berubah cerah. Tingkap bilik dibiarkan bertutup kerana kamar itu sudah dilengkapi penghawa dingin.

“Matahari sudah mulai meninggi. Kita perlu pantas mengejar masa. Kalau tidak ibu akan ketinggalan detik-detik manis bersama kawan ibu tengahari nanti.” Puan Suria merungut sebelum berlalu keluar dari kamar anaknya. Niat hati hendak menyediakan sarapan pagi. Rutin pagi sebelum keluar bekerja. Dia sangat menitikberatkan sarapan pagi kerana perut yang kosong mudah masuk angin.

“CANTIKNYA ibu pagi ni! Secantik mentari pagi.” Puan Suria tersengih. Sengaja dia bersolek lain dari biasa kerana hari itu dia ada temujanji dengan seseorang. Seseorang yang sangat memahami dirinya. Sanggup menumpangkan bahunya saat dia larut dalam kesedihan, bergelak ketawa bersamanya saat buih-buih bahagia membuai jiwanya.

“Dah mulalah tu. Pagi-pagi mengusik ibu. Hai, tak mandi lagi? Pukul berapa kita nak gerak ni?” Puan Suria mengomel sambil menyediakan roti bakar buat sarapan mereka berdua pagi itu.

“Iyalah, kejap lagi Sue mandi. Teruja sangat tengok ibu bergaya anggun macam ni. Ibu cantik bangat.” Intan Suhaila terus menyakat ibunya.

Tanda tanya terus bermain dibenaknya ketika itu. Jarang benar ibunya itu bergaya seanggun itu.

“Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam. Sesekali bergaya mampu membangkitkan keyakinan kendiri. Penampilan kita kena jaga juga. Bukan begitu?” Intan Suhaila mengangguk kecil.

Diraih tangan ibunya sambil melentokkan kepalanya sendiri di bahu wanita kesayangannya itu. Biarlah ibu hendak marah, dia tidak kisah. Senyuman lebar tersungging di bibir saat pipi mulusnya dibelai mesra.

Dia berasa sangat beruntung kerana kegigihan ibu membesarkannya. Ketika di zaman kepayahan ibunya dulu, ibunya mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor. Dengan bantuan zakat itulah ibunya memulakan langkah pertama sehingga membolehkan satu-satunya abang kandung dapat melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti.

‘Kalaulah abang masih ada, alangkah bahagianya.’ Detik hati kecil Intan Suhaila. Hampir setiap detik wajah yang dirindui itu hadir mengocak sukma.

“Kecantikan itu bermula dari dalam, sayang. Kalau dalaman kita cantik, luaran kita pun jadi cantik. Cantikkan diri kita dengan beramal dan bersedekah. Banyakkan berzikir, ikhlaskan diri berselawat ke atas nabi, membantu orang yang memerlukan setakat kita mampu. Bersyukur dengan apa yang kita ada cukup membuatkan kita dekat dengan-Nya. Kalau ibu nak terangkan sampai esok tak habis.”

“Iye, Sue tahulah. Setiap pesan ibu, nasihat Ustaz Roslan dan Pak Cik Fuad, Sue amalkan hingga kini. Mana mungkin Sue lupa, “jawab Intan Suhaila jujur. Luluh hatinya saat mengingatkan itu semua. Peristiwa pahit yang membelenggui hidupnya hingga kini.

“Baguslah,” tersungging senyuman nipis di bibir Puan Suria. Penuh tertib meletakkan roti bakar yang tinggal separuh itu di dalam piring.

“Su sangat sayangkan ibu. Su nak sangat tengok ibu bahagia. Sudah lama ibu hidup sendiri diulit sepi.”

“Sue cakap apa ni? Ibu tak faham.”

“Sue teringin nak tengok ibu bahagia. Ibu berhak miliki bahagia itu. Sampai bila ibu nak hidup begini?” ujarnya lagi sambil memeluk ibunya dari belakang.

“Sue merepek apa ni? Siapa kata ibu tak bahagia? Ibu sudah cukup bahagia dengan adanya Sue di sisi ibu. Ibu jadi kuat selama ini pun disebabkan anak ibu ini juga. Jangan disebut tentang ni lagi, faham! Ibu tak suka,” ujar Puan Suria agak tegas.

Intan Suhaila melepaskan nafas berat. Terasa diri khilaf kerana telah melukakan hati wanita kesayangannya. Wajah ibu kesayangannya direnung penuh kasih.

“Maafkan Sue. Sue tak niat nak buat ibu berkecil hati.”

‘Kasihan ibuku. Terpaksa lalui semua ini demi aku. Ya Allah! Kurniai kebahagiaan buat ibuku ini. Meskipun sekelumit cuma. Mudahkanlah apa jua yang dikerjakannya, berilah juga kelapangan buatnya.’ Bisik hati kecilnya lagi.

“Cepatlah pergi mandi. Boleh kita bersarapan sama-sama. Sekejap lagi boleh temankan ibu jumpa sahabat lama. Nak harapkan Sue sediakan memang kebulurlah ibu pagi ni.”

‘Aik! Ibuku ini perli ke apa? Hihi...memang kena denganbatang hidungku.’ Hati kecil Intan Suhaila berbisik nakal.

Dalam pada itu, debaran tetap hadir mengocak rasa tenangnya kini. Mahu atau tidak dia mesti bersedia menghadapi sahabatnya itu. Bukan dia tidak biasa bertemu. Cuma kali ini sangat berbeza. Pertemuan itu bakal memberi perubahan kepadanya. Perubahan yang bakal mengubah persepsi masyarakat padanya.

‘Mudah-mudahan Allah SWT merestui usaha murniku.’ Doa Puan Suria dalam hati.

“Sahabat lama? Cowok handsome mana pulak tu?” Intan Suhaila sengaja melopongkan mulutnya. Suka mengusik ibu kesayangan.

“Ish, budak ni! Tak habis lagi? Nak ibu tarik telinga Sue, baru Sue nak dengar?” Intan Suhaila membuat memek muka terperanjat.

“Tak nakkk.” Pantas saja Intan Suhaila berlalu dari dapur. Dia bergegas naik ke tingkat atas.

Puan Suria menggeleng sahaja melihat telatah anak gadisnya yang keanak-anakan itu. Senyuman manis terukir di bibirnya. Suka benar anak itu mengusik dirinya.

Sarapan yang tersedia di atas meja dipandang sekali lalu. Sementara menunggu anaknya itu bersiap, dia ke belakang hendak menyiram bunga-bunganya yang tubuh subur.

ALIFF WAFHI mundar mandir di hadapan restoran. Sekejap-sekejap matanya merenung jam dipergelangan tangan. Wajah yang dicari belum kelihatan telah menimbulkan tanda tanya dibenaknya.

“Kau ni kenapa Wafhi? Macam ayam berak kapur sahaja mak tengok.” Puan Latifah menegur anak bujangnya itu. Pelik juga dia. Elok-elok tengah hendak memasak di dapur boleh pula dia berlalu ke depan restoran. Tidak pula dihiraukan pelanggan yang keluar masuk membeli dan memesan sarapan pagi.

“Mana Mak Cik Suria ni, mak? Tak nampak batang hidung dia lagi?” jawab Aliff Wafhi.

‘Gelisah sebab Suria ke sebab anak gadisnya tu? Macamlah mak tak tahu.’ Hati kecil Puan Latifah berbisik.

“Kan mak dah beritahu kamu, Mak Cik Suria lambat sikit datang. Dia ada hal pagi ni. Kenapa kamu nak tahu ke mana Mak Cik Suria pergi?” Puan Latifah pula menyoal anaknya.

“Nak informtentang tempahan pelanggan baru kitalah. Apa lagi?”

“Hmm...eloklah diberitahu segera. Mak Cik Suria perlu tahu. Senang dia nak buat kira-kira nanti atau dia ada idea nak tambah menu ke.”

Sebagai penasihat dan penyumbang modal terbesar, adalah menjadi tanggungjawab Puan Suria mengatur kewangan yang keluar masuk dengan bijaksana bagi manfaat semua pekerjanya. Dia tidak pernah lokek membantu apa yang terdaya. Juga turut berkongsi resepi hasil air tangannya sendiri. Dia perlu juga memantau perkembangan kedai jamu yang bersebelahan Restoran Warong Warisan Tradisi.

Laju saja Aliff Wafhi mendail nombor telefon bimbit Intan Suhaila.

Ucapan salam kesejahteraan itu diucapkan sebaik sahaja gagang diangkat.
“Waalaikumussalam. Sue datang kedai jam berapa?” terpacul soalan dari Aliff Wafhi.

“Abang rupanya. Ingatkan siapa tadi. Mungkin tengahari kot sebab ibu ajak Sue jumpa seseorang.”

“Hmm... siapalah pulak tu?”

“Kawan lama ibu katanya. Ada apa abang call ni?” tanya Intan Suhaila pula.

‘Hai... abang dah tak boleh call ke?” ujar Aliff Wafhi.

“Bukan tak boleh call. Peliklah pulak. Selalunya waktu macam ni abang sibuk pilih barang dekat pasar. Abang tak pergi pasar ke pagi ni?”

“Barang dah penuh dalam peti. Buat apa pergi pasar. Lainlah, kalau nak borong lauk basah. Pagi-pagi lagi abang dah keluar cari dekat pasar borong.” Jawab Aliff Wafhi.

Intan Suhaila tidak dapat menyembunyikan tawanya. Sikapnya itu telah mencetus tanda tanya dibenak Aliff Wafhi.

“Abang marah ke? ‘Sorry’ la kalau abang marah.”

“Mana ada marah. Tak puas hati saja. Orang di sana tak kerja, orang di sini sibuk sejak pagi. Setidak-tidaknya datang tolong masak pun ada faedahnya,” giliran Aliff Wafhi pula hendak mengenakan Intan Suhaila.

“Eh... tugas Sue cuma jaga akaun, jaga kaunter ambik order dan jaga kebajikan pekerja. Tugas memasak tak ada kena mengena dengan Sue tau.” Intan Suhaila turut tidak mahu mengalah.

Dua bulan Intan Suhaila membantu ibunya di restoran yang diberi nama Warong Warisan Tradisi itu, dia sudah tahu selok belok perjalanan syarikat itu. Meskipun sebagai rakan kongsi dan penyumbang modal yang terbesar, Puan Suria tidak pernah menyombong diri. Dia bijak mengatur hidupnya. Bersebelahan restoran tersebut dia menyewa satu ruang kecil untuk memasarkan produk jamu yang merupakan minatnya sebagai menambah pendapatan. Kedai jamu itu pula berdekatan dengan kaunter restoran itu.

“Iyalah... abang kan pandai masak,” kata Aliff Wafhi sambiltersengih.

“Amboi... masuk bakul angkat sendiri nampak.” Aliff Wafhi tergelak pula.

“Abang... ibu dah panggil. Ada apa abang call?” Asyik sangat usik-mengusik sehingga terlupa topik sebenar.

“Hm.. nasib baik tak lupa. Abang nak inform pada mak cik. Pagi ni kita ada tempahan daripada pejabat Infra Saujana. Mereka merancang adakan jamuan ringan ringkas untuk peserta kursus. Nak minta pendapat mak cik menunya.” Panjang lebar Aliff Wafhi bercerita.

Setiap kali menerima tempahan Aliff Wafhi akan memaklumkan kepada Puan Suria. Emaknya sudah mengingatkan dirinya berkali-kali. Walaupun Puan Suria ada urusan di luar sekalipun, dia wajib tahu.

“Okey, abang. Sue akan sampaikan pesanan abang pada ibu,” jawab Intan Suhaila.

“Okeylah, abang ada kerja ni.”

“Okey, selamat bekerja.”

Take care. Hati-hati memandu,” ujar Aliff Wafhi mengakhiri bicara. Intan Suhaila tersenyum. Sangat senang dengan perhatian yang diberikan pemuda itu.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.