Home Novel Cinta CINTA DI PERDU HATI
CINTA DI PERDU HATI
Raiza Khairina
21/4/2013 00:09:31
30,145
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Bab 5

MALAM itu, tanpa berlengah Aliff Wafhi mengkhabarkan sesuatu yang begitu penting kepada Haji Fuad. Dia berpendapat tidak perlu menunggu sehingga hari esok untuk memberitahu berita itu.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana. Sue dah nekad,” kata Aliff Wafhi.

Haji Fuad melepaskan keluhan. Sedikit sebanyak jiwanya dipalu kebimbangan. Bimbang anak saudaranya itu membuat keputusan yang salah. Dia perlu berbuat sesuatu agar rancangan yang diatur berjalan lancar.

“Apa kita nak buat pak cik?”

“Yakinkanlah dia syarikat Sempurna Nacco memerlukan staf yang berdedikasi sepertinya.” Haji Fuad meluahkan buah fikirannya. Kerisauan jelas kedengaran dari nada suaranya. Umpama kekuatannya turut dibawa pergi andai apa yang dihajati tidak berlaku seperti yang diharapkan.

“Tapi, saya rasa saya tahu apa nak buat.” Aliff Wafhi bersuara yakin.

“Apa rancangan kamu?” tanya Haji Fuad tidak sabar.

Dia tidak dapat memberitahu Haji Fuad tentang rancangannya. Lantaran tidak pasti menjadi atau tidak telahannya itu. Cuma, dia perlu sedikit masa. Dia faham sangat Intan Suhaila tidak mudah membuat sesuatu keputusan tanpa dinilai terlebih dulu. Sudahnya, perbualannya dengan Haji Fuad terhenti saat lelaki separuh abad itu memohon diri untuk meletakkan gagang telefon.

Dalam kelam malam Aliff tersenyum penuh makna. Dia tidak mengharapkan apa-apa balasan. Segala apa yang dilakukan, hadir ikhlas dari hati. Namun begitu, apa jua saranan Haji Fuad diikut juga. Selebihnya dia hanya mampu berdoa yang terbaik buat gadis manis itu.

“Apa kena dengan kau ni? Senyum sorang-sorang. Dalam gelap pulak tu!” Puan Latifah menyergah sebaik sahaja menuju ke ruang tamu.

Tersentak Aliff Wafhi dibuatnya. Mujur sahaja telefon bimbit tidak terlepas dari genggaman tangannya.

“Mak ni buat terperanjat Wafhi aje. Wafhi ingat mak dah tidur?”

“Mak turun ke dapur nak minum. Dahaga sangat. Kau ni pun satu, duduk dalam gelap siapa suruh. Mujur mak perasan kamu yang duduk atas kerusi tu. Kalau mak ingat pencuri ke, macam mana? Teruk mak kerjakan kamu,” jawab Puan Latifah.

‘Boleh tahan mak aku ni. Aku duduk dalam gelap pun dia boleh nampak aku. Padanlah nampak, ada mata empat. Hihihi, layak jadi detektif ni.’ Aliff Wafhi tersengih sahaja.

“Mak... mana ada pencuri dekat kawasan rumah kita ni. Kawasan taman rumah kita ni belum pernah diserang hendap pencuri. Alhamdulillah mak, Allah melindungi kita semua,” ujar Aliff Wafhi sambil tersengih.

“Alhamdulillah, mak harap pun macam itulah. Kita semua sentiasa dalam lindungan Allah. Tapi, janganlah cakap takbur. Allah tak suka,” sambut Puan Latifah.

“Betullah cakap mak tu. Mak jangan risaulah, Insyaallah Allah makbulkan doa kita tu,” balas Aliff Wafhi lagi.

‘Kasihan anak bujang aku seorang ini. Nak kata tak kacak, terlebih handsome. Tapi, membujang sampai sekarang. Umur dah 30 tahun. Masih hidup sendiri. Bilalah agaknya aku dapat main dengan cucu.’ Giliran Puan Latifah pula separuh berbisik.

“Mak cakap apa, mak? Wafhi tak dengar,” tanya Aliff Wafhi dengan dahi berkerut.

“Mak cakap jangan lupa kunci pintu grill. Mak nak naik tidur. Esok nak bangun awal. Kau tu jangan tidur lewat sangat.” Pesan Puan Latifah.

Puan Latifah ketawa geli hati. Nasib baik anaknya itu tak dengar. Kalau dengar sampai esoklah berbalah pendapat.

‘Silap-silap tak tidur malam aku...huhu.’ Hati kecil Puan Latifah berbisik lagi.

Iyelah mak. Selamat malam. Kejap lagi Wafhi tidurlah.”

Aliff Wafhi bangun berdiri menghadap tingkap ruang tamu rumahnya. Saat merenung dada langit yang hitam pekat, indahnya panorama itu dihiasi taburan bintang yang bersinar terang. Bulan pun tersenyum malu menyerlahkan cahayanya menerangi alam. Ketenangan tika itu lebih dirasai meresap lembut ke hujung sanubari. Dia terus melarikkan senyuman penuh makna ke arah rumah Intan Suhaila. Sebaris doa meniti di bibir semoga kehidupan gadis dan ibunya itu terus disimbahi warna-warna kebahagiaan buat menerangi kanvas kehidupan yang pernah suram dan lesu tidak bermaya.

BERTEMAN bintang-bintang yang bersinar terang, duduk Haji Fuad di atas kerusi malasnya di hadapan balkoni bilik. Sesekali keluhan berat dilepaskan. Tubuh yang dibungkus kedinginan tidak dihiraukan. Tidak dapat dibayangin perasaannya kala ini. Terlukis peristiwa lampau yang mengguris tangkai hatinya. Betapa daripada akibat apa yang berlaku telah membunuh sebuah kebahagiaan yang terbina kukuh.

Tersayat hatinya melihat penderitaan orang lain. Dia tidak sanggup lagi melihat kejatuhan insan yang amat disayanginya itu. Cukuplah hanya sekali. Lantaran itulah dia berusaha memberi yang terbaik. Meskipun nanti kebaikannya itu disalahertikan.

“Abang?” Panggil si iseri yang datang ke sisi sambil menatang dulang berisi minuman coklat panas.

Haji Fuad berbalas senyum dengan isterinya yang tidak pernah surut perhatian dan kasih sayangnya. Walaupun mahligai bahagia yang dibina tanpa kehadiran zuriat, kasihnya pada wanita itu tidak pernah berubah. Setiap pengorbanan yang diberikan dibalas dengan cinta yang menggunung.

“Jauhnya abang termenung? Fikirkan apa?” tanya si isteri prihatin.

“Abang teringatkan anak saudara kita. Abang takut apa yang abang usahakan tidak menemui hasil.”

“Abang sudah melakukan yang terbaik. Insyaallah, Maria yakin dengan izin Allah apa yang kita harapkan menjadi kenyataan,” kata Puan Maria bijak memujuk.

“Iya...mudah-mudahan Allah mendengar bisikan doa kita,” sambut Haji Fuad sambil tersenyum.

“Esok pagi kita berangkat ke rumah Yayasan Kasih ya, abang? Kita minta tolong Hajah Sabariah dan anak-anak buat solat hajat. Sama-sama kita berzanji dan buat tahlil sekali.” Puan Maria memberi pendapat. Baginya, doa anak-anak yatim lebih mustajab dan diterima Allah SWT.

“Elok juga tu. Sudah lama kita tidak ke sana.”

“Rindu benar hati ini bang, pada anak-anak comel tu!” Kasih Puan Maria pada anak-anak yatim di rumah Yayasan Kasih yang dikendalikan Hajah Sabariah itu tidak berbelah bahagi. Sudah dianggapnya anak-anak itu sebahagian daripada hidupnya. Sesekali dibawanya berjalan dan pergi berkelah. Hanya itu yang mampu diberikan untuk menceriakan hari-hari mereka tanpa kehadiran insan tersayang.

“Iyelah, abang pun sama. Siapa lagi yang mereka harapkan selain kita yang berkemampuan ni,” ujar Haji Fuad sambil menghirup minuman coklat yang sudah menipis rasa panasnya itu.

“Jomlah kita tidur dulu. Dah lewat sangat ni. Pagi-pagi esok Maria nak buatkan kek coklat. Buah tangan Maria untuk budak-budak tu,” kata Puan Maria sebelum bangun dari tempat duduknya.

“Elok sangatlah tu. Sesekali bawa kek bukan main sukalah budak-budak tu nanti,” sambung Haji Fuad teruja bagai ternampak keletah riang anak-anak itu di ruang matanya. Sebelum berlalu ke dalam, minuman coklat yang tinggal separuh dihirupnya sekali lalu.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.