Home Novel Cinta CINTA DI PERDU HATI
CINTA DI PERDU HATI
Raiza Khairina
21/4/2013 00:09:31
30,151
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

Prolog

PANAHAN mata Puan Suria tajam menikam. Namun, Iqram Shuhaimi tidak sedar renungan tajam ibunya. Bahkan adiknya Intan Suhaila turut tidak menyedari kelakuan aneh ibunya itu. Mereka terleka mendengar nasihat berguna daripada Ustaz Roslan.

“Pergi kau dari sini. Aku benci kau. Benciii...” bergempita suara Puan Suria. Terkedu Haji Fuad dan isteri serta anak-anak saudaranya mendengar jeritan Puan Suria itu. Tetapi, tidak pada Ustaz Roslan dan pembantu-pembantunya.

Ustaz Roslan sudah bersedia sedari tadi. Sejak awal pagi keluarga pesakit datang ke pusat perubatannya itu, dia sudah tahu ada sesuatu yang mendampingi Puan Suria. Jiwanya tersentuh melihat wajah pesakitnya itu. Tanpa disuruh pembantunya yang seramai lima orang itu terus mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran.

Sejak akhir-akhir ini kian menjadi-jadi pula penyakit yang dihidapi Puan Suria. Haji Fuad membawa dia berubat di Perubatan Islam Nihayatul Jati, Bagan Serai Perak. Ketika proses perubatan baharulah diketahui Puan Suria terkena sihir.

“Argh...” Iqram Shuhaimi tidak sempat berbuat apa-apa saat diterkam ibunya. Intan Suhaila juga terjerit nyaring akibat terperanjat.

“Kau lelaki tak guna, Ibrahim.”

Haji Fuad, Puan Maria dan Intan Suhaila menjadi cemas. Mereka berusaha meleraikan cengkaman tangan Puan Suria di leher Iqram Shuhaimi sambil dibantu pembantu Ustaz Roslan.

“Astaghfirullahalazim. Bawa mengucap Suria. Lepaskan Iqram,” jerit Haji Fuad sambil menarik tangan Puan Suria.

“Aku nak bunuh dia. Dia jahat,” jerit Puan Suria lagi. Sikapnya tidak terkawal lagi. Kian lebat air mata Intan Suhaila menitis di pipi.

Belas jadinya hati Haji Fuad sekeluarga terhadap Puan Suria yang telah kehilangan orang tua dan diceraikan suaminya. Dibawa ke hospital, doktor sudah menganalisa penyakitnya. Sudah diambil darah, kahak, najis, X-ray dan pelbagai ujian lagi. Akhirnya Puan Suria disuruh pulang. Penyakitnya tidak dapat dikesan.

Sudah lama Puan Suria menderita sakit. Simpati Puan Maria terhadap adik sepupunya itu bertambah bila melihat wajah itu pucat tidak bermaya. Hilang sudah seri wajah anggun itu. Makannya juga turut tidak menentu. Adakalanya dia meracau seperti orang hilang akal. Menjelang maghrib dia menjerit tidak tentu hala. Adakalanya dia menangis tersedu-sedu. Adakalanya dia mengekek ketawa sambil mengilai nyaring. Naik seram bulu roma Iqram Shuhaimi dan Intan Suhaila saat melihat ibunya dalam keadaan begitu.

“Bersabarlah Fuad. Insyaallah Suria akan sembuh. Bukan dia yang bercakap sekarang ni.” Ustaz Roslan bersuara.

Haji Fuad dan isterinya saling berpandangan. Menitik lagi air mata di pipi Intan Suhaila melihat keadaan ibunya itu.

“Amalkanlah bacaan Ayat Kursi pada permulaan siang dan permulaan malam. Lakukanlah bacaan ini sebagai amalan rutin. Insyaalllah akan terjaga dari maksud jahat orang zalim kerana selalu dalam perlindungan-Nya. Di samping itu syaitan pun tidak berani mengganggu,” ujar Ustaz Roslan.

“Bagaimana pula sekiranya tiba-tiba ibu tidak sedar diri lagi?” tanya Iqram Shuhaimi pula.

“Usapkan dengan tangan kanan ubun-ubun kepala ibu, lalu bacakan doa ini;

Hilangkanlah penyakit wahai Rabb manusia dan berilah kesembuhan, sesungguhnya Engkau adalah Maha Menyembuhkan, tidak ada kesembuhan kecuali dengan kesembuhan dari-Mu, (berilah) kesembuhan total yang tidak menyisakan penyakit,” ujar Ustaz Roslan sambil menulis di atas kertas maksud ayat-ayat yang disebutnya itu dan juga bacaan surat Al-Falaq, An-Nas, Al-Fatihah atau doa-doa perlindungan lainnya dan diusapkan ke anggota badan yang sakit.

Puan Suria didudukkan berlunjur menghadap kiblat. Sementara Ustaz Roslan memegang kepala Puan Suria sambil mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Salah seorang pembantunya duduk di hujung kaki Puan Suria. Seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri. Sementara yang lain diarahkan membaca ayat Kursi dan surah Yassin.

Buat seketika, keluar suara aneh dari celah bibir Puan Suria. Perkataan yang tidak mampu difahami oleh sesiapa pun. Namun, Ustaz Roslan dan pembantunya langsung tidak mengendahkan. Penat terpekik terlolong dengan suara yang kuat, Puan Suria akan jatuh pengsan. Meskipun pengsan, rawatan tetap dijalankan. Sebaik sedar sahaja dari pengsan, Puan Suria diberi minum air terapi Al-Quran.

“Insyaallah, penyakit ibu kamu akan sembuh. Banyakkan istighfar dan berserahlah kepada Allah. Allah maha penyembuh dan maha mengasihani,” pesan Ustaz Roslan kepada Iqram Shuhaimi dan Intan Suhaila.

“Siapa yang tergamak buat ibu kami macam ni?” tanya Iqram Shuhaimi tidak sabar. Intan Suhaila turut menganggukkan kepalanya tanda ingin tahu.

“Siapa pun dia yang berbuat jahat, biarlah Allah yang membalasnya. Bawa bersabar banyak-banyak Iqram. Insyaallah, tak ada masalah yang tidak boleh di selesaikan.” Haji Fuad bersimpati pada nasib yang menimpa adik sepupu isterinya itu. Bahu anak saudaranya itu ditepuk perlahan.

“Apa yang boleh Iqram buat? Kasihan ibu jiwanya terseksa,” ujar Iqram.

Hati Iqram Shuhaimi dipagut rasa kesal terhadap ayahnya. Sekelip mata berubah. Ke mana hilangnya perhatian ayah selama ini? Kenapa ayah tidak sayang kepada ibu, Iqram dan adik? Sampai hati ayah buat kami seperti ini.

“Iqram jangan risau. Ustaz akan cuba bantu mengubati penyakit ibu Iqram hingga sembuh. Di samping tu, amalkan ayat-ayat Ruqyah yang ustaz bagi tadi dan juga wirid Fatihah sebanyak 100 kali sehari pada tiap-tiap lepas solat sebanyak 20 kali. Mintalah pada Allah supaya menguatkan semangat dan menyembuhkan penyakit ibu Iqram dan Suhaila.” Kusyuk Intan Suhaila dan Iqram Shuhaimi mendengar penerangan Ustaz Roslan.

Buntang biji mata Iqram Shuhaimi mendengar nasihat Ustaz Roslan. Tanda tidak memahami nasihat yang diberikan.

“Maksud ustaz, bacaan Fatihah yang dibaca berturutan atau 100 kali baca setiap selepas 20 kali solat?” tanya Iqram Shuhaimi tanda inginkan kepastian.

“Iqram bacalah wirid Fatihah tu 20 kali selepas solat lima waktu. Maknanya jumlah dalam sehari 100 kali wirid. Kalau Iqram nak tahu, banyak kebaikan di sebalik wirid Fatihah ini jika diamalkan. Kita akan dimurahkan rezeki, diperbaiki hal ehwal, dibersihkan hati, diangkat darjat, dimudahkan pekerjaan, dilepaskan ia dari dukacita, dijauhkan dari mudharat, diberi kerajinan dan semangat, tidak kecewa, jauh dari hasutan syaitan dan diilhamkan Allah SWT kebajikan, Insyaallah,” terang Ustaz Roslan panjang lebar.

“Hanya Allah SWT yang berkuasa menyembuhkan setiap penyakit. Kita hanya berikhtiar mengubatinya,” celah Puan Maria pula yang sedari tadi hanya membisu sahaja.

“Abang....” jerit Intan Suhaila. Terkocoh-kocoh dia berlari mendapatkan ibunya.

“Kenapa Sue?”

“Ibu muntah darah lagi. Tidak berhenti-henti darah keluar dari mulut ibu,” sambung Intan Suhaila lagi sambil tubuhnya menggigil akibat terkejut melihat sakit ibunya yang semakin melarat.

Serta merta resahnya datang. Jiwanya dipagut bimbang. Bimbangkan kesihatan ibunya yang kian meruncing.

Bergegas Haji Fuad dan Iqram Shuhaimi masuk ke dalam rumah. Batuk Suria kian menjadi-jadi. Bajunya sudah basah dengan darah.

‘Ya, Allah! Kau kuatkanlah semangat ibuku. Kasihanilah dia. Sembuhkanlah penyakitnya. Aku yakin pada-Mu Ya Allah, setiap perbuatan zalim itu pasti akan dapat balasannya yang setimpal di akhirat kelak. Kembalikanlah kehidupan normal ibuku.” Bisik hati kecil Iqram Shuhaimi.

Previous: Sinopsis
Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.