Home Novel Cinta CINTA DI PERDU HATI
CINTA DI PERDU HATI
Raiza Khairina
21/4/2013 00:09:31
30,158
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Bab 4


BUAT pertama kalinya sejak tamat belajar, Suhaila mengadakan majlis makan malam. Dia menjemput Aliff Wafhi dengan ibunya datang ke rumah. Sesekali duduk semeja makan bersama, dapat mengeratkan lagi persahabatan yang terjalin. Haji Fuad dan isteri juga turut dijemput. Kalau tidak kerana urusan penting yang perlu diselesaikan sudah tentulah pasangan suami isteri itu turut memeriahkan suasana.

Awal pagi lagi kedua beranak itu sibuk membeli barangan keperluan untuk menyediakan menu makan malam. Akan tetapi, Suhaila sahaja sendirian memasak di dapur. Dia tidak kisah sama sekali kerana memasak adalah sebahagian daripada bidang yang disukainya. Dia faham kesibukan ibunya memenuhi temujanji dengan beberapa rakannya yang turut ingin menempah barangan makanan kesihatan yang dijualnya itu.

Ringkas tetapi menyelerakan. Itulah perumpamaan paling sesuai untuk resepi yang disediakan oleh Suhaila. Tom yam udang, bergedil ayam, sayur tumis kacang buncis bersama sotong, daging masak hitam dan ikan goreng bersalut tepung. Ditambah pula pencuci mulut iaitu puding kok tail yang sangat digemari arwah abangnya Iqram.

“Dari jauh sudah terbau enaknya makanan yang dihidangkan. Ini yang tak boleh tahan ni!” Terdengar di cuping telinga suara lelaki yang tidak asing lagi dipendengaran Suhaila.

“Emm... mestilah sedap. Kalau tak sedap buat malu je jemput orang makan,” jawab Puan Suria sambil memandang wajah rakan baiknya.

Wafhi yang sedang mengekori mereka mengukir senyuman. Dia sudah boleh agak siapa yang menyediakan menu makan malam pada malam itu.

‘Eh, ibu ni perli aku ke apa ni?’ Intan Suhaila bermonolog. Tersentak. Dikerling ke arah meja makan. Namun, hanya seketika cuma. Tidak sanggup bertembung pandang dengan Wafhi yang sedang memerhatikannya. Entah sejak bila dia tidak mahu ambil tahu.

Puan Suria mempersilakan tetamunya duduk di kerusi di ruang makan yang terpisah dengan ruang dapur. Makanan sudah siap terhidang. Namun, Intan Suhaila masih menyibukkan diri di dapur.

“Apalah yang disibukkan lagi tu? Jom, kita makan.” Puan Suria menghampiri anaknya.

“Tengah memotong buah tembikai, ibu,” jawab Suhaila.

Selesai memotong, Puan Suria mengambil pinggan berisi buah itu menuju ke meja makan. Suhaila mengekori dari belakang. Saat itu bulat sahaja matanya melihat tangan Wafhi yang sedang ingin mencuit makanan. Manakala mulutnya pula kelihatan mengunyah sesuatu.

“Sabarlah dulu cik abang. Jangan lupa baca doa makan,” tegur Suhaila sambil menampar lembut tangan sasa Wafhi itu. Tidak semena-mena wajah Puan Suria berubah muram.

“Kan dah kena. Padan muka. Sudah besar panjang pun perangai macam budak-budak lagi.” Mak Teh latifah tertawa. Bukan dia tidak menegah. Anaknya itu yang degil.

“Kenapa mak cik? Muram aje?” tegur Wafhi tidak sedap hati. Dia turut terperasan perubahan wajah Puan Suria.

Suhaila mengerling sekilas wajah ibu yang sudah berubah rona. Kebimbangan mulai menjentik tangkai hatinya.

‘Aku salah cakap ke? Alamak.’ Detik hati kecilnya. Bibir bawahnya digigit.

“Tiba-tiba terkenangkan arwah Iqram. Sikap tidak sabar kamu ni mengingatkan mak cik pada arwah,” jawab Puan Suria sambil mengukirkan senyuman hambar.

“Er, maaf mak cik kalau tingkah laku saya mengembalikan nostalgia lama...”

“Eh... tak ‘best’lah suasana macam ni. Dah tak nampak romantik. Marilah kita makan. Ayuh abang, baca doa,” belum sempat Wafhi menyudahkan kata-katanya, dipotong Suhaila pula.

Rasa tidak selesa menyelinap masuk hingga ke ruang kalbu Intan Suhaila apabila arwah abang kandung kesayangan disebut-sebut. Baginya, tidak salah nama itu diingat-ingat. Namun, masa dan ketika tidak sesuai pula untuk mengingati insan yang sudah lama kembali kepada Penciptanya.

“Betullah cakap Wafhi tu, Suria. Arwah sudah lama pergi. Melihat ibunya begini tentu arwah di sana pun sedih,” kata Mak Teh Latifah.

‘Kasihan Suria. Sudahlah kehilangan anak, tidak ramai saudara pula. Namun, kau sungguh tabah. Kalaulah dugaan ini aku yang tempuh, aku tidak tahu mampukah aku laluinya.’ Desis hati kecil Latifah.

Melihat Suria ceria seperti dulu, adalah sebahagian dari impian Latifah. Mereka sudah lama saling kenal-mengenali. Cukuplah sekali Suria dihimpit penderitaan. Latifah tidak sanggup, sahabat yang dikasihi itu hidup dalam kesedihan. Dalam diam dia berazam akan sentiasa di sisi Suria saat susah dan senang.

“Iyalah, ibu. Bermuram di hadapan rezeki ni pun tak baik juga. Makanan pun turut bersedih. Malangnya, cuma kita saja yang tak nampak,” tambah Suhaila pula.

“Ibu minta maaf. Tiba-tiba saja ibu melayan emosi. Ibu tak sengaja nak buat Sue susah hati. Jangan risau ya. Ibu okey,” kata Suria sambil mengukir senyuman.

“Kalau macam nilah punya enak, setiap hari singgah makan di sini pun saya sanggup. Maklumlah sebelum ini asyik makan makanan yang dimasak sendiri. Saya ingat mak cik aje pandai masak. Anak daranya pun pandai masak jugak,” seloroh Wafhi menceriakan lagi suasana malam.

“Tengok oranglah. Tak lengkap jadi perempuan kalau tak pandai masak. Betul tak mak teh?” jawab Suhaila tidak mahu mengalah.

“Jangan dipuji sangat anak mak cik ni Wafhi. Nanti perasan pulak susah nanti.” Suria mencelah sambil ketawa.

“Ibu ni...” Suhaila memuncungkan bibirnya.

“Apa susah-susah, Wafhi. Kau pinang ajelah si Sue ni. Habis cerita. Mak pun berkenan. Lagipun bukannya jauh, dekat sangat dengan rumah kita.” Tersedak dibuatnya Suhaila sebaik sahaja Latifah menuturkan kata-katanya itu.

Serta-merta wajah si dia yang sudah dua tahun dikenalinya menjelma di ruangan mata. Lelaki itu jauh di mata namun dekat di hati. Meskipun sibuk dengan kerjaya, mereka sering berbalas SMS kala dihambat kerinduan.

“Mak ni! Kalau bercakap tu berlapik sikit mak. Sue ni dah macam adik Wafhi tau. Tak kan mak tak tahu. Buatnya Sue dah ada teman lelaki, tak ke merana buah hatinya tu,” jawab Wafhi acuh tak acuh. Namun, ikhlaskah kata-katanya itu? Dia tidak tahu. Dia sendiri keliru membezakan antara kasih abang kepada adiknya dengan kasih untuk kekasih. Tidak semena-mena mengingatkan dia pada arwah Iqram.

“Er... ibu, nanti kalau Sue dah dapat kerja di Sempurna Nacco dah tak dapat lagi dah tolong ibu macam selalu. Tapi, ibu jangan risau habis waktu kerja aje, Sue akan datang ke

kedai jamu.” Intan Suhaila mengubah tajuk perbualan. Dia rimas apabila persoalan tentang dirinya dibahaskan pada waktu itu.

‘Ah! ‘Sure’ ke aku kerja di Sempurna Nacco tu?’ Hati kecil Intan Suhaila berbisik syahdu.

Confirm ke Sue nak kerja di situ? Macam pernah dengar je namacompany tu?”

“Eh... abang ni, takkan abang dah lupa abang yang rekemen kerja tu dekat Sue? Sue tak pasti dapat ke tak. Siang tadi Sue dapat suratnya. Tapi, tak sempat Sue nak baca pun,” jelas Suhaila.

Wafhi ketawa lucu. Tidak semena-mena dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Disuruh kerja dengan mak cik tak nak. Katanya nak menimba pengalaman di tempat lain,” komen Suria pula.

“Biarlah dia Suria. Manalah tahu dia dapat pengetahuan yang berharga di tempat lain. Umur pun masih muda. Sementara muda nilah kena cari pengalaman baru.” Latifah menyuarakan pendapatnya.

Intan Suhaila ketawa kegirangan kerana Latifah menyebelahi dirinya.

“Cantik sangatlah tu. Insyaallah, Sue janji akan kerja bersungguh-sungguh. Tapi, sebelum terima tawaran kerja tu Sue nak selidik dulu siapa pemiliknya, konsep perniagaannya macam mana. Penting semua tu pada Sue,” jawab Suhaila sambil mengangkat sebelah tangannya seolah-olah mengangkat sumpah pula. Dia teringat jawatan sebagai penolong pengurus yang dipohonnya itu.

Wafhi yang sedang menyuap nasi ke mulut, terhenti. Dia memandang tepat wajah Suhaila.

“Betul ke Sue dapat kerja tu?”

“Ya, betullah. Apa masalahnya?”

Wafhi menggelengkan kepalanya. Dia tidak dapat membayangkan ekspresi wajah Suhaila kalau Suhaila mengetahui pemilik syarikat itu.

Suria mengukir senyuman bahagia. Tidak dapat diucap dengan kata-kata rasa bahagia dengan keletah satu-satunya anak perempuan yang dia ada.

Selesai menjamu selera, mereka berlalu ke ruang tamu. Wafhi ingin berbual panjang dengan adik teman baiknya itu seperti dulu-dulu. Tiga tahun Suhaila tinggal di asrama, membataskan waktu untuk duduk berbual mesra.

Suria dan Latifah menghilang di sebalik pintu. Mereka seolah-olah memberi laluan kepada kedua anak muda itu bercerita panjang. Dalam diam tanpa pengetahuan teruna dan dara itu, mereka merancang sesuatu. Latifah berkenan sangat karakter yang dimiliki Suhaila. Baginya, Suhaila sangat istimewa. Kalau boleh dia tidak mahu Suhaila jatuh ke pangkuan lelaki lain. Besar sungguh impiannya yang satu itu.

Suhaila tidak mahu ambil tahu apa yang dibualkan oleh ibunya dengan Latifah. Selesai bersolat Isyak dia duduk di ruang tamu menemani Wafhi yang sedang menonton tv. Dia sebenarnya tidak sabar ingin tahu isi surat di dalam sampul coklat yang baru diterimanya siang tadi.

“Tak silap abang,company tu dekat Jalan Sultan Ismail, kan?” tanya Wafhi sebaik sahaja membaca isi surat yang dibuka Suhaila itu. Dia sudah menjangka Suhaila yang memilikidegree dalam bidang perakaunan berhasil mendapat pekerjaan itu sesuai dengan jawatan yang dipohon.

“Ha..argh bang. Dua biji bas jugaklah nak ke sana.”

“Jauh tu. Kena bangun awal pagi pulak tu. Boleh ke?”

“Kenapa tak boleh pulak bang? Macam Sue ni tak biasa.”

“Bukan macam tu. Maksud abang, kan Sue dah janji dengan ibu Sue nak singgah kedai selepas habis waktu pejabat. Sepanjang perjalanan pergi dan balik aje masa Sue dah terbuang satu jam lebih. Tu tak kira lagi kesesakan lalu lintas. Buatnya bas yang Sue naiki itu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas macam mana. Tak ke membazir masa namanya tu?”

‘Betul juga jawapan Wafhi itu. Kalau pergi sendiri, aku tak perlu susah payah berhimpit dalam bas. Apatah lagi berlama-lama dalam bas. Lainlah masa belajar di ‘U’ tempohari.’ Fikir Suhaila dalam hati.

“Macam nilah, abang boleh hantar dan ambil Sue di tempat kerja.” Wafhi memberi ideanya.

“Macamlah Sueconfirm terima kerja tu. Abang ni beria-ia benar. Ada apa-apa ke?”

“Apalah salahnya kita ‘prepare’ awal-awal.”

“Tak payahlah bang. Sue tak nak susahkan abang nanti. Lagipun kereta ibu kan ada. Ibu pun tak kisah kalau Sue guna kereta ibu buat sementara waktu ni.”

“Terimalah pelawaaan Wafhi tu. Sesekali ibu pun nak pakai kereta. Nak bergerak susah kalau tak ada kereta,” tiba-tiba sahaja Suria mencelah.

“Nantilah Sue fikirkan.”

“Kalau Sue tak setuju, kerja ajelah dekat restoran ibu tu. Habis cerita,” ujar Suria lagi.

Suhaila sudah menarik muka masam. Baharu sahaja dia merancang hendak memiliki kenderaan sendiri. Lesen memandu pun sudah ada dalam tangan. Tunggu hendak beli keretanya sahaja. Apabila ibunya berkata begitu dia sudah mulai berasa tidak sedap hati.

“Tak apalah kalau Sue tak sudi. Abang boleh pinjamkan Sue kereta abang.” Wajah Suhaila yang masam mencuka sudah bertukar ceria. Senyum simpul menghiasi bibir mungilnya.

‘Selamat aku.’ Hatinya berdetik gembira.



Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.